Saturday, April 16, 2011

PEMBANGKANG SUDAH MENANG PADA PILIHANRAYA SARAWAK?

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud diiringi calon Barisan Nasional (BN) DUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, Kuching, sebentar tadi. - foto BH Online

Kenapa ada pihak timbulkan khabar angin kononnya pembangkang sudah menang di Sarawak?

Siapa melakukannya?

Tidakkah mereka ini pengecut, takut dan sengaja mahu mengucarkacirkan keamanan dan kestabilan di negeri itu?

Mereka melakukan ini supaya rakyat bangkit jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan majoriti lebih besar?

Khabarnya, ketua pembangkang yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meninggalkan Sarawak untuk ke London atau Amerika Syarikat.

Kenapa dia bergegas ke luar negara?

Mana janjinya mahu menjawab tuduhan Raja Petra Kamaruddin mengenai dirinya?

Benar juga kata-kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kalau memang pembangkang sudah menang, kenapa pemimpin penting seperti Anwar mahu tinggalkan Sarawak?

"Kalau dia menang mesti dia tunggu sampai habis, kenapa awal-awal dia tinggalkan Sarawak?

Anwar sudah serahkan tugas kepada ketua-ketua mengundi kononnya takut jadi apa-apa," kata Muhyiddin hari ini. Amat jelas khabar angin seumpama itu hanya disampaikan oleh orang yang terdesak.

"Kita ada tempoh dua jam lagi (sehingga pengundian ditutup)...saya minta rakyat jangan terpengaruh dengan penyebaran berita palsu," katanya.

"Ini merupakan satu pembohongan...pengundian belum selesai...undi pun belum dikira," kata Muhyiddin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching sebentar tadi.

Kerana itu, rakyat jangan terperdaya dengan dakwaan pembangkang kononnya mereka telah berjaya memenangi pilihan raya negeri Sarawak pada Sabtu.

akwaan yang tersebar di Internet itu adalah tidak benar kerana proses pengundian belum selesai dan masih berjalan sehingga 5 petang ini.

"Ada berita-berita khabar angin oleh pembangkang (kononnya) mereka sudah menang, BN di Sarawak sudah tumbang, pakatan pembangkang (telah) ambil alih (kerajaan negeri).

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak tengah hari tadi, memang wajar dan sangat diperlukan.

Apa kedudukan atau keputusan mengenai sesuatu pilihan raya, apa lagi di Sarawak ini, hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik.

Seperti kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, beliau turut dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing.

“Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah," katanya kepada pemberita di Kuching.

Abdul Aziz berkata hampir dua pertiga atau 1,038 pusat pengundi telah pun ditutup setakat jam 1 tengah hari tadi dan kebanyakannya adalah di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya walaupun kawasan terbabit telah ditutup awal iaitu seawal jam 9 pagi namun proses pengiraan undi hanya boleh dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR yakin jumlah yang keluar mengundi selepas waktu tengah hari ini bagi semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka melepasi 50peratus.

"Sehingga jam 1 petang tadi, saya telah dapat maklumat daripada 11 DUN menunjukkan 43 peratus pengundi telah tunai tanggungjawab mereka, ini menunjukkan 10 peratus sejam mewakili juga bahagian lain," katanya.

Beliau berkata mereka yang belum berpeluang untuk pergi ke pusat pengundian dinasihatkan datang awal ke tempat yang telah ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengundi undi.

Ketua Menteri, Tan Abdul Taib Mahmud berikrar untuk membuktikan ramalan pembangkang adalah salah apabila mendakwa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sarawak ke-10 yang berlangsung hari ini.

"Saya akan buktikan bahawa ramalan berkenaan salah," katanya ketika diminta mengulas mengenai ramalan bahawa pembangkang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi pada pilihan raya berkenaan.

Beliau ditemui selepas membuang undi di pusat mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok. Bagaimana Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan mengulas lanjut berhubung keyakinannya itu sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi.

Ditanya perkembangan suasana proses pengundian hari ini, Abdul Taib berkata semuanya berjalan lancar sama seperti kebiasaan hari lain.

"Sama seperti hari-hari lain, sehingga kini prosesnya berjalan lancar. Kami di Sarawak berjaya mengekalkan sistem politik dan proses mengundi dalam keadaan yang aman walaupun berlaku sedikit perubahan.

"Namun saya berbangga apabila rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai taktik tidak sihat yang berlaku," katanya. Malah Abdul Taib turut menasihati rakyat supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

"Keluarlah mengundi, kepada siapa mereka memberi undi, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di Sarawak dengan keputusan yang baik.

Pilihan raya kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 213 calon bertanding bagi merebut 71 kerusi DUN yang dipertandingkan. BN bertanding di 71 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (49), DAP (15), Parti Kebangsaan Sarawak (26), PAS (5), Parti Cinta Malaysia (6) dan Bebas (41).
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu menolak kerusi roda warga emas Sheikh Rahimullah Sheikh Aminullah 72, di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Columba di Miri, Sarawak pada hari mengundi hari ini (16 April 2011).

Friday, April 15, 2011

ANWAR KANTOI, PEMBANGKANG TERSEPIT PADA PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK...

Maaf...saya belum bersedia bersumpah, serahkan DNA saya dan ulas kenyataan Raja Petra.

Jelaskan hari ini juga.

Kalau Raja Petra berbohong, Anwar yang terkenal sebagai ‘Raja Saman’, bolehlah pula Raja Petra Kamaruddin bagi dan menjelaskan segala-galanya kepada rakyat.

Tetapi kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berlengah-lengah dan tunggu selepas pilihan raya negeri Sarawak? Takut pakatan pembangkang terkangkang dan terlopong – kalah pilihan raya?



Raja Petra, nanti aku ajar kau...


Isu yang ditimbulkan oleh Raja Petra bahawa Anwar di belakang dakwaan Datuk Seri Mohd Najib dan isterinya ada kaitan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak ada kena mengena dengan politik Sarawak. Dalam tempoh 24 jam ini Anwar perlu jelaskan.

Jika tidak rakyat satu Malaysia dan Sarawak seluruhnya semakin yakin bahawa Anwar memang melakukan perkara seperti disebutkan oleh Raja Petra itu.

Ini adalah perbuatan peribadi Anwar yang tidak mahu Najib menjadi Perdana Menteri selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi bersara, Itu saja.

Dengan kata lain, pilihan raya negeri Sarawak menjadi permulaan hukuman terhadap Anwar dan mereka yang bersekongkol dengannya - PAS dan DAP serta PKR amnya.

Semalam, Najib berkata pengakuan Raja Petra yang menafikan pembabitan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu menunjukkan kebenaran selama ini telah terbukti.

Walaupun secara peribadi, Najib selama ini menganggap isu itu sudah tutup namun pengakuan pengendali portal berita Malaysia Today itu dapat membuktikan ia ditimbulkan semata-mata untuk menjatuhkan imej beliau dan isterinya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Seri Malaysia Lawas dan upacara pecah tanah projek Hospital Baru Lawas semalam, Perdana Menteri berkata kenyataan Raja Petra telah mendedahkan wujudnya cubaan daripada pihak tertentu untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri.

Najib mengulas kenyataan Raja Petra dalamtemu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3 Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini yang disiarkan di Buletin Utama TV3 Khamis malam.

Dalam temu bual itu, Raja Petra mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurut Raja Petra, beliau sendiri tidak pernah menuduh Najib mahupun Rosmah terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan beliau kini tidak lagi mempercayai cerita individu berkenaan.

Jelas apabila Anwar mengelak daripada menjawab persoalan yang ditimbulkan Raja Petra dan sengaja melengah-lengkahkan apa juga tuduhan terhadapnya, membuktikan beliau takut untuk berdepan rakyat Sarawak dalam pilihan raya esok.

Anwar bimbang isu ini akan merugikan diri serta pakatan pembangkang kerana dengan pembongkaran Raja Petra ini, Anwar mulai merasa bahang akibat kerja-kerja jahatnya, pembohongan dan kepentingan diri yang melampau untuk menjadi Perdana Menteri.

Sudah pasti rakyat Sarawak akan berfikir banyak kali untuk memenangkan pembangkang di kerusi-kerusi yang dijangka mereka mampu perolehi.

Juga, sikap Anwar melengah-lengahkan sebarang perkara yang merugikannya adalah senjata utama dirinya. Sebelum ini kita dapat melihat dengan jelas sikapnya yang enggan bersumpah, selain menyerahkan DNAnya.

Di Kuching, hari ini, Anwar berkata beliau tidak akan melayan sebarang soalan berhubung kenyataan dan dakwaan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin terutamanya mengenai kredibilitinya sebagai pemimpin pakatan pembangkang.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, beliau tidak mahu rakyat khususnya pengundi di Sarawak hilang fokus mengenai tanggubjawab mereka untuk memilih kepimpinan dan kerajaan negeri yang baru esok.

Bagaimanapun Anwar bersedia untuk 'membincangkan' mengenai tuduhan dan dakwaan Raja Petra terhadapnya pada Ahad ini.

"Lusa boleh bincang tentang kepimpinan Anwar. Jangan benarkan sesiapa alih pandangan. Bukan saya nak elak, kalau nak bincang boleh, tapi 17 haribulan (Ahad). Lepas itu boleh teruskan serangan terhadap Anwar," katanya sinis.

Anwar mengulas mengenai pendedahan mengejutkan yang dibuat oleh Raja Petra pada Rabu yang disiarkan TV3 berhubung pengakuan penulis blog itu bahawa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isterinya terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Malam semalam, Raja Petra turut mempersoalkan kemampuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana sering menabur janji kosong serta gagal menangani krisis dalaman pakatan pembangkang.

Thursday, April 14, 2011

PAS TABUR FITNAH, SEBAR MAKLUMAT PALSU DI SARAWAK

Jururawat dan petugas Klinik Bergerak 1Malaysia melambaikan tangan sejurus klinik di atas bot untuk keperluan penduduk di tebing Sungai Baram itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Marudi, Sarawak.


Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Barisan Nasional (BN) akan mendapat kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya negeri Sabtu ini kerana kawasan-kawasan Bumiputera tetap bersama kerajaan.

Sebagai Pengerusi BN Sarawak beliau tahu berlakunya perubahan dalam sokongan daripada pengundi Cina di beberapa kawasan yang dikatakan "hitam". Ini kerana kalangan pengundi Cina, yang berusia 35 tahun ke atas berpendapat masyarakat itu perlu ada wakil dalam kerajaan.

Parti Cinta Malaysia (PCM), yang julung kali bertanding dalam pilihan raya negeri dengan meletakkan 10 calon, sudah mengingatkan rakyat Sarawak akan bahaya yang menanti mereka sekiranya mereka mengundi pakatan pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Naib Presiden PCM yang berpangkalan di Pulau Pinang, Huan Cheng Guan berkata jika pakatan pembangkang mengambil alih Sarawak, mereka akan bawa masuk orang mereka dari Semenanjung ke Sarawak untuk 'cari makan'".


Contoh jelas ialah DAP telah berbuat demikian di Pulau Pinang apabila mereka mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 2008 dan telah memberi layanan buruk kepada penduduk negeri itu.


Najib bertembung dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada satu lawatan kempen di Sarawak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pula semalam turut yakin BN boleh mencapai kemenangan dua pertiga kerusi pada pilihan raya Sabtu ini walaupun menghadapi tentangan sengit pembangkang.

Media alternatif sebelum ini mengambarkan BN khuatir tidak boleh memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerusi.

“Pendirian saya dengan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) adalah sama," kata Najib.

Dengan kata lain, walaupun pilihan raya ini saingannya lebih sengit daripada pilihan raya yang lalu tetapi berdasarkan pada pengamatan dan tinjauan beliau, dua pertiga itu memang mampu diperolehi oleh BN.

Beliau menasihatkan kepada pengundi-pengundi di Sarawak ialah untuk kekalkan BN sebagai parti pilihan mereka sebab track record dan kemampuan BN serta hala tujunya yang tidak ada siapa pun boleh pertikaikan.

Selain itu amat penting kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebab negeri Sarawak ini besar dan memerlukan sumber yang banyak dan hanya melalui kerjasama yang erat bahawa rasanya masa depan Sarawak akan lebih terjamin lagi.

Kerana itu pengundi jangan terpesong atau termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pembangkang. Rakyat Sarawak perlu tetapkan pendirian mereka bahawa pilihan untuk masa depan mereka dan kemakmuran rakyat dan negeri Sarawak adalah dengan BN.

Pada saat-saat akhir pertarungan memenangi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini, PAS memainkan kerja kotornya dengan mendakwa berikut:

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak. Najib dikatakan tergugat kerana BN diaktakan hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi pula milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar;

2. Najib seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN kerana itu Najib ‘turun ke Sarawak’;

3. Faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. PAS mendakwa hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu;

4. Amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini. Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib; dan

5. BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka.

Strategi PAS kononnya untuk melaga-laga, membuat tuduhan tanpa fakta serta ‘perang psikologi kotor’ oleh parti “Islam” ini sangat tidak beretika dan cuba memecahbelahkan Barisan Nasional (BN) khususnya antara pemimpin Semenanjung dan Sarawak.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang. Ini termasuklah PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala SNAP bertanding di 27 kerusi.

PAS yang bertanding hanya lima kerusi pada pilihanraya negeri seolah-oleh ‘pihak yang paling bijak’ meramal dan menjadi ketua di pihak pembangkang dengan mengatakan sekurang-kurangnya 17 kerusi didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Pembangkang.

Sementara 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Ini bermakna pembangkang mungkin akan dapat 28 kerusi.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya semalam mengatakan daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, BN setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi.

Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Malaysiakini setakat ini meramalkan kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

Walau apa juga ramalannya, Najib hari ini tetap yakin bahawa negeri Sarawak Bumi Kenyalang akan kekal di tangan BN pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Rakyat Sarawak akan memihak kepada BN kerana di bawah kerajaan BN, Sarawak akan terus berubah dan menjadi lebih makmur lagi.

“Kita mahu Barisan Nasional terus memerintah supaya pembaharuan dan transformasi kita dapat diteruskan.”

Katanya sejak Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan, negeri Sarawak telah mendapat peruntukan RM5.7 bilion untuk pembinaan prasana luar bandar dalam tempoh tiga tahun ini.

"Ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah yang diberikan kerajaan persekutuan kepada negeri Sarawak. Pelaksanaan projek juga telah berjalan begitu lancar sekali. Transformasi yang kita lakukan adalah untuk mengubah taraf hidup.

"Untuk menanggung beban dan tanggungjawab mengubah landskap di Sarawak memerlukan kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan serentak hotel Seri Malaysia Lawas dan majlis pecah tanah hospital baru Lawas hari ini.

Soal penting kini rakyat Sarawak perlu memikirkan bahawa BN perlu kuasa dan persefahaman erat Putrajaya-Kuching agar transformasi jangan tergencat, jangan tersekat tetapi diteruskan lebih rancak lagi pada masa hadapan.

Kerana itu Najib menonjolkan dirinya sebagai yang mengamalkan gagasan 1Malaysia dan turun padang untuk melihat keadaan tempat dan masalah rakyat serta untuk merasakan denyut nadi rakyat.

"Di tempat-tempat yang sukar, jika saya perlu turun, saya akan turun. Kalau saya turun pun bukan kerana politik semata-mata tetapi membolehkan saya dapat melihat keadaan tempat dan masalah rakyat dan untuk merasakan denyut nadi rakyat,” katanya.

Apakah pemimpin pembangkang melakukan seperti Najib di luar musim pilihan raya?

Rakyat Sarawak, tepuklah dada tanya selera!

ANWAR BERTANGGUNGJAWAB KAITKAN NAJIB DENGAN ALTANTUYA?

Semakin terdedah kini!

Kes mengaitkan Datuk Serti Mohd Najib Razak dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ada kaitan dengan ‘lampu hijau’ daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar lagi?



Tujuan dikaitkan Najib dengan Altantuya ialah menyekat beliau daripada menjadi Perdana Menteri. Kesian Najib.

Tetapi yang penting, gelagat dan perangai Anwar semakin terserlah lagi.

Juga penting, Raja Petra ternyata dalam kes ini bukan menulis berdasarkan maklumat sahih tetapi berdasarkan kenyataan individu dan mungkin berdasarkan ‘grand design’ untuk menyekat Najib menjadi Perdana Menteri.

Selain itu beberapa individu turut memainkan peranan menyebabkan pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya berkenaan.

Nama-nama seperti Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog Din Merican turut disabitkan oleh Raja Petra.

Mereka ini yang dikatakan rapat dengan Anwar, selain Kolonel Azmi Zainal Abidin menjadi individu penting yang mempengaruhi Raja Petra melakukan tuduhan sedemikian.

Untuk lebih jelas, ikuti laporan Bernama berikut:

Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau sendiri tidak pernah menuduh Perdana Menteri atau isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan beliau kini tidak lagi mempercayai cerita individu tersebut.

Individu tersebut mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mereka mendesak tindakan itu diambil bagi menyekat Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan meletakkan jawatan.

"Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil kot. Takkanlah isteri Perdana Menteri nak pergi ke tempat itu, kawasan itu tempat hutan. Dan saya dok fikir nak panjat bukit, masuk hutan tengah tengah malam, 12 malam, saya ingat mustahil kot," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3 Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini.

Rakaman temu bual itu disiarkan dalam Buletin Utama TV3 malam semalam.

Raja Petra berkata dalam Akuan sumpah (SD) yang dibuatnya pada 18 Jun 2008, menyatakan beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya Rosmah berada di tempat kejadian semasa Altantuya dibunuh.

"Di dalam SD saya tadi saya telah bercerita bahawasanya orang ini telah beritahu dan biarlah orang ini yang datang dan bercerita, dan pihak berkuasa perlu siasat dan panggillah orang ini. "Itu yang saya tulis dalam SD. Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata saya tahu yang isteri timbalan perdana menteri semasa itu ada di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata: "Saya tidak cakap. Saya tidak buat satu tuduhan seperti berikut. Yang saya kata ada orang yang bercerita tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut lagi, dan untuk orang-orang ini ke depan.

"Dan saya sebut nama-nama orang ini. Saya sebut semasa siasatan polis," katanya.

Raja Petra berkata, individu yang memberinya maklumat tersebut terdiri daripada Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog Din Merican.

Selain itu, seorang pegawai perisik angkatan tentera yang dikenali sebagai Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat yang sama.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Nik Azmi, beliau telah bertanya kepada Nik Azmi kenapa beliau didesak untuk membuat akuan bersumpah itu dan bertanya: "Apa yang kau harapkan untuk dicapai? Dia kata Pak Lah akan letak jawatan, kalau kita tak sekat Najib, Najib akan menjadi perdana menteri, ganti Pak Lah."

Raja Petra berkata, beliau kemudian meminta Din Merican untuk mendapatkan pengesahan daripada Anwar. "Din Merican pun hubungi saya balik, dia kata dia dah cakap dengan Anwar dan Anwar pun bagi lampu hijau. Dia kata okey, orang ini tak ada masalah, apa dia cakap kita boleh percaya.

"Anwar pun kenal baik dengan dia ini dan dia pun biasa jumpa Anwar...Leftenan Kolonel ini, dan dia pun banyak bercerita kepada Anwar tentang isu ini...dia kata teruskan. Saya pun teruskan,
" katanya.

Raja Petra berkata, semua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau didakwa di mahkamah.

TV3 akan menyiarkan sambungan temu bual ekslusifnya dengan Raja Petra dalam Buletin Utama 8 malam ini.