Saturday, February 5, 2011

SHUHAIMIKAH 'PENDERHAKA' KEPADA SULTAN SELANGOR?

Jika mahkamah gagal menghukum Shuhaimi, ia akan membawa kesan besar kepada pihak pendakwaan, selain itu akan menjadi panduan kepada pihak yang mahu ‘menghina raja’. Jika Shuhaimi menang ia akan menjadi precedent kepada tindakan atau usaha berterusan menghina raja Melayu. Apakah mahkamah yang membicara Shuhaimi akan membenarkan berlakunya keadaan sedemikian?


Shuhaimi hadir bagi memberi keterangan berhubung satu entri dalam blognya SriMuda.Blogspot.Com yang didakwa menghina Sultan Selangor.

'SIAPA PENDERHAKA’. Itulah tajuk forum yang akan diadakan di Dewan Kemas Seksyen 16 Shah Alam malam Ahad ini.

Ia diadakan awal sedikit daripada sebutan kes di Mahkamah Sesyen, Shah Alam pada pagi Isnin terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Pemidato utama forum anjuran Biro Penerangan Shah Alam itu ialah Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman.

Penduduk di Shah Alam sewajarnya mendengar pidato berkenaan dan mengetahui dengan kelas siapa ‘Penderhaka’. Apakah Shuhaimi? Shuhaimi dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh ‘menghina Sultan Selangor’.

Semalam, kerajaan Selangor menyebut ia akan membiaya kos perundangan (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di Shah Alam Isnin ini.

Menurut laporan, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan semalam, berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi. ADUN Sri Muda itu yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Amat jelas bahawa dalam kes Shuhaimi ini, kerajaan Selangor menjadi dalang dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim jelas cuba ‘baling batu sembunyi tangan’.

Tidakkah dengan bersetuju membiayai kos perundagan itu menunjukkan pimpinan Khalid merestui apa yang dilakukan Shuhaimi dan tindak tanduk beliau itu?

Lebih mengejutkan apabila kerajaan negeri Selangor kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang memutuskan untuk mengenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda dari PKR Shuhaimi Shafiei, Isnin ini.

Tindakan tersebut, menurut kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu, menunjukkan sikap berat sebelah pihak berkuasa — yang terletak di bawah bidang kuasa Putrajaya — dalam mengambil tindakan perundangan ke atas wakil rakyat mereka. Sekali lagi, senario yang kita bimbangkan telah berulang apabila pihak berkuasa berat sebelah dalam mengambil tindakan dan hanya cepat menyelesaikan siasatan jika ia membawa keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) dan memburukkan imej wakil rakyat Pakatan Rakyat,” kata Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Terang lagi bersuluh sikap Khalid apabila kenyataan Pejabat Menteri Besar itu mengatakan: “Persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa, mengapakah tindakan tegas dan cepat tidak diambil terhadap kes-kes yang melibatkan kepentingan ramai seperti kes kematian (bekas setiausaha sulit Exco Kerajaan Negeri Selangor) Teoh Beng Hock, (suspek polis mati di lokap) A. Kugan dan (remaja) Aminulrashid?”

Kenapakah Khalid cuba mengaitkan isu Shuhaimi dengan isu lain sedangkan apa yang Shuhaimi sedang hadapi ialah pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Dengan kata lain, kes Shuhaimi lebih berkait dengan penghinaan terhadap Sultan Selangor. Apakah kes ini kecil bagi Khalid berbanding dengan kes Beng Hock atau A Kugan?

Kes Shuhaimi ini membabitkan penghinaan terhadap Raja Melayu dan pastinya berkait dengan institusi Raja-Raja Melayu.

Sepatutnya Pejabat Menteri Besar Selangor atau Khalid tidak campur dalam hal ini kerana jelas Shuhaimi yang hadir ke balai polis semalam untuk menyerah diri dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis membuktikan ada ketelusan bagi memberikan keadilan kepada Shuhaimi.

Apakah Pejabat Menteri Besar Selangor terus mahu mempertikaikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kota Raja berkenaan yang mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya pada 30 Disember lalu yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru?

Biarpun Shuhaimi menafikan tuduhan bahawa dia cuba menghasut rakyat dan menghina Sultan tetapi biarlah mahkamah menentukan kedudukannya.

Menghairan sekali apabila Pejabat Menteri Besar Selangor seolah-olah cuba mempengaruhi perbicaraan kesas apabila menyebut: “Dalam kes Shuhaimi, kerajaan negeri tidak akan membiarkan beliau berseorangan dalam menghadapi tuduhan tidak berasas ini. Kerajaan negeri akan membantu beliau dengan membiayai kos perundangan dan menyokong usaha beliau untuk menegakkan keadilan.”

Malah kenyataan itu juga menambah, kerajaan negeri tidak percaya beliau mempunyai sebarang niat untuk memburukkan institusi Raja-raja Melayu. "Ini dapat dibuktikan apabila Shuhaimi dan semua Adun Pakatan Rakyat yang lain, menyokong dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari lalu untuk mengembalikan perlembagaan negeri kepada bentuk asalnya yang memberi kuasa kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk memilih tiga pegawai ex-officio kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, kesemua Adun BN pula menolak pindaan tersebut, sekali gus menghalang pengembalian kuasa pelantikan tiga ex-officio kepada Sultan Selangor.

Dengan kenyataan terbuka sedemikian, amat jelas Pejabat Menteri Besar Selangor tidak menganggap Shuhaimi melakukan ‘penderhakaan’ dan seolah-olah orang lain pun boleh melakukan yang sama.

Shuhaimi, dalam kes ini. jika mahkamah gagal menghukumnya akan membawa kesan besar kepada pihak pendakwaan, selain itu akan menjadi panduan kepada pihak yang mahu ‘menghina raja’. Jika Shuhaimi menang ia akan menjadi precedent kepada tindakan atau usaha berterusan menghina raja Melayu.

Apakah mahkamah yang membicara Shuhaimi akan membenarkan berlakunya keadaan sedemikian?

Thursday, February 3, 2011

Selamatkan Pelajar - PAS, Pembangkang Jangan Pandai Mengkritik Sahaja

Empat pelajar yang tiba dengan Gulf Air pagi ini.

Apakah yang dilakukan oleh pembangkang, khususnya PAS Terengganu dalam misi membawa pulang pelajar dari Mesir?

Sekadar membuat bising dan tidak boleh bertindak apa-apa?
Sedangkan kerajaan negeri Terengganu, pimpinan Datuk Seri Ahmad Said berusaha berbagai cara sama ada melalui kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat.

Sejak beberapa hari lalu, beliau melakukan pelbagai cara sama ada menghubungi Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar serta pihak-pihak lain untuk membawa pulang pelajar Terengganu di Mesir.

Menurut laporan teganuku, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sudah mengarahkan pentadbiran negeri membuka seketeriat di Jeddah bagi memantau misi membawa pulang pelajar Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertindak pantas mewujudkan Seketeriat Terengganu di Jeddah yang di anggotai oleh Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Yayasan Terengganu dan Pegawai Majlis Agama Dan Adat Terengganu (MAIDAM).

Pentadbiran Negeri diwakili oleh Ustaz Haji Lukema Meri Saleh, Yayasan Terengganu diwakili oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Abdullah dan MAIDAM diwakili oleh Ustaz Yaacob bin Abdullah. Beliau seterusnya berkata pegawai bekenaan akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut tempoh yang akan ditetapkan.

Ketiga-tiga pegawai ini telah berlepas dari Kuala Terengganu Ke KLIA jam 10.00 pagi hari ini (3Febuari 2011) dan meneruskan penerbangan ke Jeddah jam 3.00 petang hari yang sama menggunakan Saudi Arabian airalines 3811 dan dijangka akan tiba diJeddah jam 16.40 petang waktu Arab Saudi.

Mazlan seterusnya berkata Seketeriat Negeri juga telah ditubuhkan yang diketuai oleh Datuk Haji Wan Ahamad bin Wan Muda Tmbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan Razali Mahmud Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (Tajaan) dilantik sebagai setiausaha. Pejabat Seketeriat negeri telah dibuka di Pejabat Yayasan Terengganu.

Mazlan seterusnya berkata kerajaan juga telah menyediakan laman web bagi kerajaan mengeluarkan maklumat mengenai perkembangan misi membawa pulang pelajar Terengganu yang akan menjadi kemudahan kepada orang ramai mengtahui perkembangan misi berkenaan.

Bagi ibubapa dan masyarakat awam yang ingin mengetahui mutakhir usaha kerajaan negeri Terengganu dalam Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu boleh mengetahuinya melalui laman rasmi kerajaan Terengganu,
http://mesir.terengganu.gov.my./

Selain itu, pelayar juga boleh mendapatkan maklumat di blog http://misipulang.blogspot.com/.

Laman yang dibangunkan sejak kelmarin itu hari ini melaporkan empat pelajar Terengganu dari Kaherah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangs (KLIA) Sepang pagi ini.

Mereka tiba dilapangan terbang KLIA dari Khaherah, Mesir dengan menaiki penerbangan syarikat Gulf Air.

Mereka adalah pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Maidam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kenapakah pemimpin pembangkang tidak berusaha bersama-sama kerajaan negeri dalam gerakan menyelamat ini?

Apa faedah yang pelajar boleh dapat daripada 'kebisingan' yang bersifat politik itu?

Adalah lebih baik ketika anak-anak Terengganu dan yang lain amnya berada dalam kritikal ini, PAS atau pembangkang tidak cuba 'meneguk di air keruh'.

Duduklah semeja dan carilah jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan negeri Terengganu berusaha gigih membawa pelajar pulang.

Kalaupun tidak mampu, janganlah mengkritik dan menuduh kerajaan dengan pelbagai kata-kata, lebih baik berdiam diri dan sama-sama mendoakan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir dalam keadaan selamat.

Sunday, January 30, 2011

CIK GU MALA TEWAS KEPADA MOHD AZHAR DENGAN MAJORITI 3,706 UNDI


Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir yang melanda penduduk di sekitar pekan Labis dan Tenang.

"Selepas ini saya berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir di Labis dan DUN Tenang. Saya juga akan menumpukan perhatian kepada masalah penduduk dan isu tempatan," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon yang memenangi DUN Tenang di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Majlis Daerah Labis malam ini.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis jam 10 malam ini.

Barisan Nasional (BN)menerusi Mohd Azhar mencapai kemenangan besar mempertahankan kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti 3,706 undi dengan menewaskan pencabarnya Normala Sudirman (gambar kiri) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mohd Azhar yang juga bekas Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kecil Rengit meraih 6,699 undi berbanding Normala yang hanya mendapat 2,992 undi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua sayap Umno dan Barisan Nasional. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita yang telah banyak membantu saya berkempen di sini.

"Pada masa yang sama, saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen dan sahabat-sahabat BN," katanya.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangannya sebagai wakil rakyat yang baru kawasan tersebut.

Pada pilihan raya semalam, proses pengundian tetap dijalankan dalam suasana banjir teruk melanda Labis hingga menyebabkan jalan-jalan utama dari kampung terputus hubungan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandanganya, Datuk Sulaiman Taha 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Majoriti yang diperoleh Mohd Azhar adalah 3,707 undi, berbanding 2,492 yang diperoleh Sulaiman pada pilihan raya umum 2008.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini sehingga mengakibatkan banjir menyebabkan para pengundi terpaksa dibawa ke tempat-tempat mengundi dengan menaiki trak tentera dan bot.

Keadaan cuaca buruk bagaimanapun tidak menghalang lebih kurang 72 peratus pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini.
BN memperolehi majoriti di tiga daripada empat pusat mengundi kawasan Cina iaitu di Bandar Labis Timur, Labis dan Tenang malah pengaruh PAS di kubu kuatnya di Bandar Labis Tengah turut terhakis.

Keseluruhannya BN berjaya meraih 40 peratus undi Cina.

Sokongan kepada BN di kawasan-kawasan Felda dan kampung-kampung Melayu turut meningkat. Tiga kawasan Felda, iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak Barat dan Felda Chemplak menunjukkan majoriti meningkat BN daripada 1,966 undi pada 2008 kepada 2,241.

Difahamkan, undi kaum India turut beralih kepada BN di mana majoriti undi di dua kawasan penduduk India meningkat daripada 260 pada 2008 kepada 365.

EPISOD KELUAR PKR TIDAK AKAN BERAKHIR

Apa sebenarnya sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ia menjadi peneraju untuk menawan Putrajaya?

Apakah malapetaka yang sedang melanda parti itu sedangkan ia berpaksikan ‘Keadilan’. Keadilan apa dan untuk siapa sebenarnya?

Perkembangan terbaru membabitkan anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang mengisytiharkan keluar PKR dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai pada Sabtu lalu bukan mengejutkan tetapi membawa banyak makna mengenai kedudukan parti berkenaan.

Gobala yang kini menjadi Anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta berbuat demikian kerana bosan dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menurut Gobala, kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR. Beliau juga sempat membidas Anwar yang dakwanya bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali. Beliau yakin hasrat Anwar untuk menakluk Putrajaya akan tersasar sekaligus gagal kerana bagaimana mahu mentadbir negara dengan masalah dalaman parti pun semakin teruk.

Katanya: "Kerana itulah saya membuat keputusan keluar parti yang saya juga menjadi salah seorang pengasas ketika penubuhannya. Nampaknya parti ini sudah nak runtuh, jadi biarlah saya keluar sebelum “rumah” ini runtuh,". Gobala berkata tindakannya keluar parti adalah tindakan bersendirian dan terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya sama ada mahu ikut bersamanya atau kekal sebagai anggota PKR."

Banyak ramalan mengatakan, episod keluar PKR oleh pemimpin parti itu tidak terhenti dengan tindakan Gobala semata-mata.

Sejauh ini sudah empat ahli parlimen telah meninggalkan PKR sejak pilihan raya umum 2008 - Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) manakala seorang lagi Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Bahru) dipecat dari parti.

PKR kini mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat, berbanding 30 yang dimilikinya selepas pilihan raya umum Mac 2008. Selain itu PKR juga gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. DAP kini mempunyai 29 kerusi dan PAS pula, 23. Hakikatnya, BN hanya memerlukan tiga lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk berpaling tadah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jumlah yang diperlukan adalah 148 kerusi dan ini boleh dicapai menerusi 138 kerusi yang dimenanginya bersama sokongan tujuh ahli Bebas yang mesra BN (termasuk MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali) berserta tiga yang lain.

Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan keluar daripada parti itu. Beliau berkata tindakan membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat.

"Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan sudah lama teman (saya)jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza. Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi. Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," kata Anggota Parlimen Bebas itu dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com semalam.

Zulkifli melihat Anwar bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, tetapi beliau juga menzalimi umat, rakyat dan negara.” Beliau bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi menjadi makhluk perosak kepada umat, rakyat dan negara," kat Zulkifli. Kerana itu beliau mengulangi mencabar Anwar supaya meletak jawatan dan berundur daripada politik sebelum negara hancur dek kerana nafsu serakahnya yang terlalu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri.

Apa yang jelas di sini ialah Anwar semakin dijauhi dan peletakan jawatan Gobala itu membawa isyarat bahawa PKR menuju kehancuran selain Anwar sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yan g sangat serius.

Amat jelas bahawa jika Gobala yang hampir 12 tahun bersama PKR, kini mulai nampak PKR semakin tersasar jauh daripada asas perjuangannya kerana dikuasai pemimpin seperti Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali yang hanya berjuang atas kepentingan diri sendiri, apakah PKR mempunyai masa depan yang memperjuangkan kepentingan rakyat?

Bukan sahaja ahli tetapi pemimpin dalam PKR melihat Azmin membawa pelbagai kerosakan dan perpecahan dalam parti sehingga tidak lagi dilihat boleh membawa perubahan kepada rakyat.

Bak kata Gobala: “Terlalu banyak petunjuk termasuk dalam pemilihan parti baru-baru ini yang menunjukkan betapa PKR dirosakkan oleh Azmin. Berkali-kali saya bawa perkara ini kepada Anwar supaya semua kerosakan ini dibaiki tetapi nampaknya dia tidak boleh buat keputusan. Nampaknya Azmin yang lebih berkuasa. Kalau Anwar sendiri tidak boleh beri keadilan kepada ahli-ahlinya sendiri bagaimana dia mahu memberi keadilan kepada rakyat?”

Amat jelas PKR bukan lagi memperjuangkan keadilan untuk rakyat tetapi parti itu kini menjurus kepada menjaga kepentingan Anwar dan konco-konconya sahaja.