Showing posts with label Jambatan. Show all posts
Showing posts with label Jambatan. Show all posts

Saturday, June 11, 2016

JAMBATAN MANONG...TIDAK HANYA PM, BN, BERTERIMA KASIH JUGALAH KEPADA AMANAH!!!


"...yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong."

Bercakap mengenai jambatan menyeberangi Sungai Perak di Manong, Kuala Kangsar, saya teringat ketika menjalankan tugasan Berita Harian di Bukit Chawi, Kampung Gajah pada 1983.

Ketika itu kalau mahu ke Seberang Perak jika melalui Teluk Intan - Kampung Gajah, terpaksa melalui Bota Kiri dan Bota Kanan – kerana  belum ada jambatan di Kampung Gajah.

Betapa beruntungnya rakyat di Parlimen Pasir Salak apabila mendapat jambatan berkenaan.

Kini rakyat di Manong pula diumumkan akan mendapat kemudahan jambatan kerana jika menggunakan laluan darat untuk ke Pekan Manong dari Kuala Kangsar, perjalanannya adalah sejauh 45 kilometer.

Namun,  bagi penduduk Kuala Kangsar, khususnya di Manong, kalau berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) kerana mendapat jambatan berkenaan, jangan hanya setakat mereka sahaja.

Mereka juga sewajarnya berterima kasih kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).



Kalau tidak kerana ada suara parti baru itu yang bertanya ‘Mana Jambatan Manong Yang Sudah 5 Kali Pecah Tanah?’ mungkin ia tidak akan diumumkan dengan begitu segera oleh Perdana Menteri.

Jika tanggapan saya tidak benar dan memang sudah dirancang awal sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, mana-mana pihak boleh memperbetulkan kenyataan saya ini. Terima Kasih.

Saya tidak mengatakan tiada perancangan tetapi kebetulan dengan adanya PRK ini, rakyat di kawasan itu tiba-tiba sahaja mendapat salah satu nikmat besar daripada kerajaan.

Juga yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong.

Mengejutkan juga kerana pengumuman itu dibuat sehari selepas keluar pertanyaan seperti dilaporkan oleh Malaysia Dateline pada 9  Jun lalu itu. Reaksi spontan BN tiba-tiba muncul.

Alhamdulilah, yang baik kita terima dengan tangan terbuka.


Pada 9 Jun lalu, parti AMANAH menuntut kerajaan BN  menunaikan janji mereka untuk membina Jambatan Seberang Manong yang telah lama dinantikan penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, kerajaan BN perlu menyatakan tarikh yang tepat bila jambatan tersebut akan siap dibina dan tidak memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Asmuni Awi menegaskan : "Kami menuntut dalam pilihan raya kecil ini pihak kerajaan menunaikan janji yang sudah dibuat sejak tiga pilihan raya yang lalu. Kami mencabar pihak kerajaan BN tolong tetapkan tarikh bila akan dibina dan akan disiapkan jambatan Seberang Manong itu.

"Sudah lima kali pecah tanah sampai dah tak ada tanah nak dipecahkan," kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar.

Menurutnya, lebih 10,000 penduduk Manong masih menunggu jambatan itu dibina untuk menyeberangi Sungai Perak.

Sehingga kini, mereka masih menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak walaupun menteri kanan pernah menjadi wakil rakyat di parlimen tersebut.


Tidak apalah soal berapa kali pecah tanah – jikapun tidak benar - tetapi pengumuman itu pasti melegakan penduduk di mana sebelum ini dikatakan menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang,

Kadar bayaran dikenakan pergi balik ialah seringgit seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada 10 Jun (semalam) menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN beberapa kali mengecewakan pengundi Manong di Kuala Kangsar berikutan cadangan pembinaan Jambatan Manong.

Sebaliknya, tegas pengerusi BN Perak itu beliau telah menyemaknya beberapa kali namun ternyata tiada sebarang upacara pecah tanah bagi tujuan tersebut.

"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang ) ada permohonan dan betul. Tapi cerita pecah tanah ini dah beberapa kali saya semak dengan ADUN Manong. Tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami boleh ingat.

“Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong Kuala Kangsar Perak.

Pada majlis sama, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

“Jambatan Manong ini dah lama menjadi bualan tapi belum ada lagi majlis pecah tanah atau letak batu asas jadi saya nak umumkan mengikut standard JKR (Jabatan Kerja Raya).

"Saya dengan ini meluluskan pembinaan Jambatan Manong dengan peruntukan RM43.5 juta,” kata Najib dalam majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar.

Perdana Menteri turut berkata kelulusan projek tersebut merupakan hadiah kerajaan kepada penduduk Manong sempena bulan Ramadan.

Pembinaan jambatan itu akan disertakan dengan pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan tersebut.

Menurut laporan Bernama, pembinaan jambatan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang terdiri daripada kalangan pekebun getah dan kelapa sawit untuk berurusan di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.

Kini rakyat sedang menunggu janji.

Seperti dikatakan oleh Asmuni semalam bahawa apaa yang beliau nak nyatakan ialah penegasan yang diminta, bukan mengenai peruntukan dan bila nak buat dan bila boleh siap.

“Jadi ini satu lagi politik. Masih tidak dijawab bila jambatan itu nak dibuat. Sebab ini isu lama. Bila jambatan itu nak dibuat. Bila peruntukan itu diluluskan dan datang daripada Rancangan Malaysia yang mana?

“Dan ini saya nyatakan ia satu cara BN untuk meredakan suasana di Manong di mana rakyat sedar mereka sentiasa ditaburi janji manis tetapi di peringkat akhir pelaksanaan tidak dilakukan,” katanya.
Asmuni turut menyelar kerajaan BN yang menafikan wujudnya majlis pecah tanah sebanyak lima kali di kawasan pembinaan jambatan itu.

Perkara itu memang sudah berlaku dan telah dilaksanakan ahli Parlimen terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz.


“Yang bercakap tidak tahu dan perdana menteri tak tahu. Saya nak beritahu yang buat pecah tanah ini calon yang terdahulu. Yang sudah tidak jadi lagi ahli Parlimen di sini. Jadi Najib tidak tahu mengenai ini. Jadi calon ataupun petugas dan pegawai BN tidak tahu perkara ini. Tetapi kita tegaskan bahawa, seperti jambatan ini, setiap kali pilihan raya, setiap kali itu hanya dibina selepas lima penggal.” tegas Asmuni.

Wednesday, October 28, 2009

RUNTUH, RUNTUH & AKAN RUNTUH LAGI…

Maka akan sibuklah segala kementerian, jabatan atau agensi kerajaan berduyung-duyung ke Kuala Dipang kerana jambatan gantung runtuh dan menyebabkan kematian dan hilangnya pelajar di telan arus sungai.

Perkara sebegini bukan baru. Ini memang kejadian kecil bagi sesetengah pihak . Apakah ini kes terpencil?

Dilaporkan hari ini, cara pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Kampar, di Kuala Dipang itu dipersoalkan pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.

Memanglah kerajaan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam semalam, seorang murid sudah dijumpai mati sementara dua lagi hilang sementara 19 murid lain sempat diselamatkan guru dan pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang.

Kesemua terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.

Murid berkenaan adalah sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan Perak.

Sehingga ini belum ada kejadian besar. Namun ini amaran betapa jika pembinaan tidak diselia, tidak diperiksa dengan betul dan tidak terus diuruskan dengan baik, suatu hari malapetaka itu akan tiba juga.

Macam-macam sudah berlaku. Ingat lagi apa jadi kalau bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh kira-kira 24 jam lewat daripada kejadian sebenar?

Kematian mungkin beratUs-ratus kerana pada pagi keesokan (sehari selepas berlaku keruntuhan bumbung stadium berkenaan) sepatutnya diadakan pula temasya sukan institut pengajian tinggi.

Begitu juga dengan kejadian bumbung masjid runtuh, menara telekom runtuh dan runtuh dan runtuh. Bagaimana kalau orang ramai berada di dalam atau sekitarnya?

Sejauh ini Tuhan melindungi hambanya. Tetapi selama mana kalau mereka yang berwajib menjaga, menyelia atau memeriksanya terus lalai?


Maka akan adalah pihak yang tidak mahu menyalahkan sesiapa. Apakah segala-galanya takdir?
Kementerian atau Jabatan Kerja Raya (JKR) jadi sasaran kerana pembinaan sementara pihak lain yang menyediakan pelan dan pengawasan (sama ada oleh JKR) atau pihak lain juga akan turut dipersalahkan.

Sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) spontan akan bersuara ‘akan menyiasat.’

Namun siasatan yang dijalankan sejak berbulan-bulan tidak juga ada hasil yang boleh diketengahkan.

Apa jadi dengan siasatan terhadap kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, kolam renang yang bocor, Stadium Tertutup yang ditutup, dan sebagainya dan sebagainya?

Mana ada orang yang didakwa? Yang ada ialah kes rasuah 10 tahun lalu berkaitan luluan ke Kepong membabitkan dua pemegang jawatan penting dalam UMNO Terengganu.

Pengumuman yang dibuat di Shah Alam itu dibuat hampir sama waktunya dengan ‘pemecatan’ dua pemegang jawatan berkenaan. Kebetulan, suratan atau sengaja?

Sebenarnya banyak sudah diperkatakan mengenai isu pembinaan, pembayaran berlebihan dan sebagainya yang menuntut kerajaan melakukan tindakan bersungguh-sungguh dan tidak melindungi pihak tertentu.

Keyakinan rakyat, keselamatan orang ramai dan tidak membazir menjadi sendi kepada setiap pembinaan dan pembangunan bukan kerana kepentingan keuntungan kepada seorang dua atau kumpulan kecil.

Kejadian ini sepatutnya membuka lagi mata pihak yang mengakui melindungi rakyat – tidak kiralah sama ada dalam konteks politik, keselamatan atau juga penguatkuasa.
Bertindaklah sebelum rakyat makin hilang dan hilang keyakinan kepada kerajaan, khususnya agensi pelaksana dan penguatkuasa!