Saturday, June 11, 2016

JAMBATAN MANONG...TIDAK HANYA PM, BN, BERTERIMA KASIH JUGALAH KEPADA AMANAH!!!


"...yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong."

Bercakap mengenai jambatan menyeberangi Sungai Perak di Manong, Kuala Kangsar, saya teringat ketika menjalankan tugasan Berita Harian di Bukit Chawi, Kampung Gajah pada 1983.

Ketika itu kalau mahu ke Seberang Perak jika melalui Teluk Intan - Kampung Gajah, terpaksa melalui Bota Kiri dan Bota Kanan – kerana  belum ada jambatan di Kampung Gajah.

Betapa beruntungnya rakyat di Parlimen Pasir Salak apabila mendapat jambatan berkenaan.

Kini rakyat di Manong pula diumumkan akan mendapat kemudahan jambatan kerana jika menggunakan laluan darat untuk ke Pekan Manong dari Kuala Kangsar, perjalanannya adalah sejauh 45 kilometer.

Namun,  bagi penduduk Kuala Kangsar, khususnya di Manong, kalau berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) kerana mendapat jambatan berkenaan, jangan hanya setakat mereka sahaja.

Mereka juga sewajarnya berterima kasih kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).



Kalau tidak kerana ada suara parti baru itu yang bertanya Mana Jambatan Manong Yang Sudah 5 Kali Pecah Tanah?’ mungkin ia tidak akan diumumkan dengan begitu segera oleh Perdana Menteri.

Jika tanggapan saya tidak benar dan memang sudah dirancang awal sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, mana-mana pihak boleh memperbetulkan kenyataan saya ini. Terima Kasih.

Saya tidak mengatakan tiada perancangan tetapi kebetulan dengan adanya PRK ini, rakyat di kawasan itu tiba-tiba sahaja mendapat salah satu nikmat besar daripada kerajaan.

Juga yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong.

Mengejutkan juga kerana pengumuman itu dibuat sehari selepas keluar pertanyaan seperti dilaporkan oleh Malaysia Dateline pada 9  Jun lalu itu. Reaksi spontan BN tiba-tiba muncul.

Alhamdulilah, yang baik kita terima dengan tangan terbuka.


Pada 9 Jun lalu, parti AMANAH menuntut kerajaan BN  menunaikan janji mereka untuk membina Jambatan Seberang Manong yang telah lama dinantikan penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, kerajaan BN perlu menyatakan tarikh yang tepat bila jambatan tersebut akan siap dibina dan tidak memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Asmuni Awi menegaskan : "Kami menuntut dalam pilihan raya kecil ini pihak kerajaan menunaikan janji yang sudah dibuat sejak tiga pilihan raya yang lalu. Kami mencabar pihak kerajaan BN tolong tetapkan tarikh bila akan dibina dan akan disiapkan jambatan Seberang Manong itu.

"Sudah lima kali pecah tanah sampai dah tak ada tanah nak dipecahkan," kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar.

Menurutnya, lebih 10,000 penduduk Manong masih menunggu jambatan itu dibina untuk menyeberangi Sungai Perak.

Sehingga kini, mereka masih menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak walaupun menteri kanan pernah menjadi wakil rakyat di parlimen tersebut.


Tidak apalah soal berapa kali pecah tanah – jikapun tidak benar - tetapi pengumuman itu pasti melegakan penduduk di mana sebelum ini dikatakan menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang,

Kadar bayaran dikenakan pergi balik ialah seringgit seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada 10 Jun (semalam) menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN beberapa kali mengecewakan pengundi Manong di Kuala Kangsar berikutan cadangan pembinaan Jambatan Manong.

Sebaliknya, tegas pengerusi BN Perak itu beliau telah menyemaknya beberapa kali namun ternyata tiada sebarang upacara pecah tanah bagi tujuan tersebut.

"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang ) ada permohonan dan betul. Tapi cerita pecah tanah ini dah beberapa kali saya semak dengan ADUN Manong. Tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami boleh ingat.

“Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong Kuala Kangsar Perak.

Pada majlis sama, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

“Jambatan Manong ini dah lama menjadi bualan tapi belum ada lagi majlis pecah tanah atau letak batu asas jadi saya nak umumkan mengikut standard JKR (Jabatan Kerja Raya).

"Saya dengan ini meluluskan pembinaan Jambatan Manong dengan peruntukan RM43.5 juta,” kata Najib dalam majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar.

Perdana Menteri turut berkata kelulusan projek tersebut merupakan hadiah kerajaan kepada penduduk Manong sempena bulan Ramadan.

Pembinaan jambatan itu akan disertakan dengan pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan tersebut.

Menurut laporan Bernama, pembinaan jambatan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang terdiri daripada kalangan pekebun getah dan kelapa sawit untuk berurusan di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.

Kini rakyat sedang menunggu janji.

Seperti dikatakan oleh Asmuni semalam bahawa apaa yang beliau nak nyatakan ialah penegasan yang diminta, bukan mengenai peruntukan dan bila nak buat dan bila boleh siap.

“Jadi ini satu lagi politik. Masih tidak dijawab bila jambatan itu nak dibuat. Sebab ini isu lama. Bila jambatan itu nak dibuat. Bila peruntukan itu diluluskan dan datang daripada Rancangan Malaysia yang mana?

“Dan ini saya nyatakan ia satu cara BN untuk meredakan suasana di Manong di mana rakyat sedar mereka sentiasa ditaburi janji manis tetapi di peringkat akhir pelaksanaan tidak dilakukan,” katanya.
Asmuni turut menyelar kerajaan BN yang menafikan wujudnya majlis pecah tanah sebanyak lima kali di kawasan pembinaan jambatan itu.

Perkara itu memang sudah berlaku dan telah dilaksanakan ahli Parlimen terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz.


“Yang bercakap tidak tahu dan perdana menteri tak tahu. Saya nak beritahu yang buat pecah tanah ini calon yang terdahulu. Yang sudah tidak jadi lagi ahli Parlimen di sini. Jadi Najib tidak tahu mengenai ini. Jadi calon ataupun petugas dan pegawai BN tidak tahu perkara ini. Tetapi kita tegaskan bahawa, seperti jambatan ini, setiap kali pilihan raya, setiap kali itu hanya dibina selepas lima penggal.” tegas Asmuni.

No comments:

Post a Comment