Monday, August 8, 2011

WAHAI PAS – ‘BANGKAI GAJAH’ TIDAK BOLEH DITUTUP LAGI

“Anggota parti (PAS) jangan ‘bergeser’ sesama sendiri kerana ia akan memberi ruang pada pihak lawan...segala masaalah seharusnya diselesaikan dengan baik dan jangan sekali-kali memberi ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku...” – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Untuk apa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya dari PAS mahu menghantar surat kepada Perdana Menteri meminta sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu keselamatan negara?

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub beria-ia mahu diadakan sidang khas itu yang menurutnya ekoran pendedahan media minggu lalu mengenai pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari.

Hakikatnya dalam PAS ‘bangkai gajah’ tidak boleh ditutup lagi.

Bukan sekadar tulangnya berserakan tetapi baunya kini menerjah ke hidung seluruh ahli PAS.

Pertelingkahan dan perselisihan dalam PAS semakin semarak dan tidak boleh dikawal lagi ekoran kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist di Damansara utama, baru-baru ini.

Salahuddin berkata pada jam 12 tengahari hari ini (Isnin 8 Ogos 2011) di bangunan Parlimen beliau bersama ahli Parlimen Pakatan yang lain akan menghantar surat kepada Perdana Menteri meminta sidang khas Parlimen ini.

Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu, isu ini perlu dibincangkan secara serius kerana ia merupakan pengkhianatan kepada negara.

Pemimpin PAS, khususnya Salahuddin berusaha menutup ‘bangkai gajah’ itu segera sedangkan pertelingkahan dalam PAS kini ternyata jelas.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam mengingatkan anggota parti supaya tidak ‘bergeser’ sesama sendiri kerana ianya akan memberi ruang pada pihak lawan.

Menurut Nik Aziz, segala masaalah seharusnya diselesaikan dengan baik dan jangan sekali-kali memberi ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku kerana ianya akan memberi keuntungan pada mereka.

Kegagalan PAS Pusat untuk meredakan isu ini ternyata amat jelas apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu menerima penjelasan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali semalam.

Hadi bertegas untuk mendapatkan maklumat terus daripada JAIS dan pihak gereja berkenaan.

Malah Hadi tidak pun menasihatkan PAS Selangor agar tidak menyerang Dr Hassan.

Kini Dr Hassan terkontang-kanting bersaorangan dalam isu ini walaupun mendakwa ada unsure-unsur mengkristiankan orang Islam oleh gereja berkenaan.

Kebimbangan PAS mengenai isu ini dinyatakan dengan jelas oleh Hadi apabila beliau mendakwa isu mengenai Dr Hasan dan gereja itu sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap. Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya semalam.

Bagi Nik Aziz pula: “Saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini dan saya serahkan ianya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan kerajaan Selangor sendiri.”

Amat jelas pada ketika PAS Pusat gagal mengatasi masalah kekusutan di Selangor, pemimpin utama PAS sedang bermain wayang untuk menutup pertelingkahan dengan menghala peluru kepada Perdana Menteri.

Harapan mereka dengan menumpukan kepada isu pemberian kad pengenalan biru, isu pertelingkahan dalam kepimpinan PAS Selangor dapat diredakan.

Persoalannya, apakah PAS mahu membiarkan perbuatan pihak tertentu di Selangor mengkristiankan orang Islam begitu sahaja?

Sanggupkah PAS membutakan mata dan memekakkan telinga hanya kerana tidak mahu DAP dan PKR terguris?

Ternyata PAS sanggup membelakangkan perjuangan melindungi dan menegakkan syiar Islam hanya semata-mata kerana mementingkan kerjasama dengan bukan Melayu dan bukan Islam demi undi bagi pilihan raya umum ke 13 akan datang.

No comments:

Post a Comment