Monday, August 8, 2011

BONUS PENJAWAT AWAM - BEBERAPA MB MULA PENING LALAT

Tidur tidak nyenyaklah jawabnya bagi Menteri Besar negeri-negeri yang berpendapatan sederhana gara-gara Kerajaan Pusat umumkan bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam sempena Aidilfitri ini.

Tahun lepas beberapa negeri, termasuk Kelantan agak lambat mengumumkan bayaran bonus kerana kesan pembayaran itu besar kepada Belanjawan Negeri.

Tahun ini tidak pasti sama ada negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang di bawah pembangkang akan menyertai Kerajaan Pusat membayar bonus.

Walaupun negeri kaya, tahun lalu semua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang menikmati bonus RM400 bagi menyambut Aidilfitri.

Di Selangor, bayaran bantuan khas dibayar kepada semua kakitangan kerajaan negeri kecuali kakitangan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas.

Bayaran kepada 9,089 kakitangan awam itu membabitkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.

Di Terengganu, dilaporkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM7 juta bagi tujuan itu.

Kelantan turut umumkan bantuan RM500 sementara lebih 10,000 pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri Johor menerima bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 seorang. Ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.3 juta.

Kerajaan negeri Perak turut memberikan bonus kepada kira-kira 7,000 kakitangannya dengan perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Selasa lalu (4 Ogos 2011), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan kepada semua kakitangan awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan segera bagi mengurangkan beban kakitangan awam.

"Tahun ini, kita tidak mahu kerajaan memberi bantuan khas seperti dua tahun lalu tetapi kita minta kerajaan beri bonus dua bulan kepada kakitangan awam.

"Memandangkan keadaan ekonomi negara semakin baik dan inflasi juga dapat dikawal, maka inilah masa yang sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan permohonan ini," katanya pada sidang media.

Namun dengan pengumuman ini, hasrat Cuepacs itu terpaksa dipendamkan saja kerana dengan pengumuman Perdana Menteri itu bagaikan isyarat bahawa kerajaan tidak akan melayani tuntutan Cuepacs.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Yang penting bagi Perdana Menteri pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Cuepacs dalam permintaannya berharap kerajaan dapat memberikan bonus kepada semua kakitangan awam masing-masing sebulan, sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment