Saturday, December 17, 2016

‘PENDERHAKA, PENGKHIANAT SEPERTI DR MAHATHIR TIDAK WAJAR DILAYAN...


Bekas menteri kanan kerajaan, Tan Sri Rafidah Aziz baru-baru ini menyatakan rasa tidak percaya bahawa jemputan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan oleh Yang Dipertuan Agong ke-15 yang sudah berlalu dengan gilang gemilang itu dibatalkan.

Bukan beliau sahaja terkejut, apa lagi Dr Mahathir adalah penerima anugerahkan Darjah Tertinggi Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi pastinya juga di kalangan rakyat.

Atas alasan penerima anugerah itu sahaja Rafidah dikatakan berhak dijemput, apalagi sebagai bekas Perdana Menteri yang masih hidup.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pembatalan undangan kepada Dr Mahathir ke istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, Selasa lalu bukan atas arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dr Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah membuat semakan terhadap pembatalan undangan kepada bekas perdana menteri itu dan mendapati urusan tersebut adalah di bawah kuasa Istana Negara.

Malah, katanya kalau ada yang tidak berpuashati (mengenai perkara itu), sila menghadap (Yang di-Pertuan Agong) untuk mendapatkan penjelasan dan jangan salahkan orang lain.

Elok jika tidak dibahaskan mengenai surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan ke istiadat tersebut yang tersebar di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan di Istana Negara sudah  berlansung pada 13 Disember di Istana Negara. Ia berjalan lancar. Yang dirancang sudah berlangsung dengan baik. Alhamdulilah.

Jika dibahas atau dipersoalkan, akan nanti  timbul syak wasangka  atau perasaan curiga bahawa Dr Mahathir menggunakan inidividu atau pertubuhan tertentu untuk ‘menyerang balas’ terhadap individu atau sesiapa sahaja dalam isu jemputan kehadirannya pada majlis itu.

Jangan pula terjadi seperti serangan media asing terhadap Perdana Menteri dan kerajaan yang menganggap Malaysia sebagai negara kleptokrasi,  yang akhirnya Dr Mahathir dan kumpulannya dipersalahkan terus-terusan.

Dr Mahathir dijadikan sasaran tanpa melihat sebab sebenar kepada punca dan sebab sebenar Malaysia diserang bertalu-talu oleh mereka.

Berucap pada anugerah Muammar Gaddafi di Tripoli 2005 (Gambar Hambali Abdul Latiff)
Yang pasti, tiada jemputan untuk Dr Mahathir tidak sedikit pun menjejas atau menyebabkan cacat-celanya majlis gilang-gemilang itu. Juga tidak ada yang kesipuan di hari tersebut.

Dr Mahathir sendiri sudah menyatakan pendiriannya. Dia terbuka dan menerima ketentuan Illahi.

Institusi Diraja adalah hak Raja-Raja Melayu. Jika Penyimpan Mohor Besar bertindak sedemikian, kena patuhlah. Tiada soal jawab lagi.

Sudah dijelaskan dalam surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 5 Disember 2016 bahawa  Dr Mahathir telah dimaklumkan bahawa jemputan kepada beliau telah ditarik balik untuk mengelak "kesipuan", kerana tempat duduk tidak disediakan untuknya.

Tuan punya diri sudah patuh dengan pemakluman itu dan dalam masyarakat Melayu. titah amat difahami sebagai ‘perintah’.

Masyarakat Melayu yang sebelum ini diajar dan bagi yang pernah mengambil mata pelajaran sastera ketika di Tingkatan Enam untuk peperiksaan HSC dan STPM, khususnya pada tahun 1960-an dan 1970-an,  disyaratkan membaca Hikayat Hang Tuah.

Rasa cinta dan taat kepada Raja sudah diasuh begitu lama, iaitu sejak zaman remaja agar tidak menderhana kepada Raja dan negara.

Dengan kata lain kepatuhan kepada titah hendaklah dibuat atau diikuti seperti kepatuhan Hang Tuah apabila dijatuhkan hukuman bunuh. Pahlawan Melayu terbilang itu mematuhinya.

Hang Tuah bukan sekadar mengelak ‘kesipuan’ untuk dirinya jika dia memohon hukumannya dipertimbangkan tetapi juga demi menjaga air mula beberapa pegawai tinggi istana yang menjadi ‘penyangak’.

Bacalah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu untuk ketahui siapa ‘penyangak itu’.

Malah, selepas ada pihak yang terpaksa mengalami ‘kesipuan’, mungkin termasuk Sultan Melaka sendiri, apabila diminta membunuh Jebat, Hang Tuah rela dan redha untuk bertindak kerana kehendak Raja walaupun hakikatnya Hang Jebat adalah orang yang sangat disayanginya.

Hang Tuah tidak sekali-kali menderhaka kepada Rajanya.

Dengan kata lain, Hang Tuah turut menjaga maruah Sultan Melaka agar tidak mengalami ‘kesipuan’ besar akibat tindakannya sendiri kerana menjatuhkan hukuman terhadap pahlawan berjasa itu.

Apa yang berlaku kepada Dr Mahathir tempoh hari amat kecil dan kerdil berbanding dengan apa yang dialami oleh Hang Tuah dalam isu ‘kepatuhan’ ini.

Juga jadikanlah kepatuhan seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif Abdul Rahman yang ditarik pingat kebesarannya pada April lalu.

Kini pingat itu dikembalikan. Jangan persoalkan kenapa dan mengapa pingat itu ditarik balik dan kemudian dikembalikan semula oleh Istana Terengganu.

Yang penting, Ahmad Razif kini bergelar ‘Datuk Seri’ semula kerana kesabaran dan kepatuhannya.

Soal banyak ‘kesipuan’ sudah berlaku akibat peristiwa Ahmad Razif itu suatu perkara lain.

Dalam konteks jemputan terhadap Dr Mahathir dan soal  ‘kesipuan’ juga jangan dipersoalkan.

Hak untuk menjemput ke majlis seseorang, adalah hak penganjur majlis.

Soalnya kita siapa untuk mempersoalkannya?

Apa lagi kita hanya rakyat biasa.

Dr Mahathir adalah rakyat biasa, lagipun sudah tua. Sebelum ini pun beliau dihina dengan berbagai rupa dengan berbagai gelaran – Mahazalim, MahaFiraun, Hitler dan sebagainya.

Baru-baru ini pula digelar ‘penderhaka’ dan ‘pendurjana’. Dan sebagai rakyat yang menderhana, beliau memang tidak layak untuk ke majlis Raja-Raja.

Beliau bukan sekadar itu. Mahazalim dan Maha Firaun itu lebih kesat dan ‘jahat’ daripada penderhaka.

Yang menderhana selalunya dibunuh atau dibuang jauh ke luar negara.

Yang menderhaka kepada British seperti Ngah Ibrahim pernah dikenakan tindakan buang negeri.

Pembesar Melayu yang menjadi penentang campur tangan British dalam pentdbiran negeri Perak itu dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan bersama-sama bapa mentuanya pada tahun 1895.

Sultan Abdullah di Batak Rabit, Sungai Perak pada Jun 1874
Pembesar Melayu itu bersama-sama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Itulah hukuman untuk seorang penderhana!

Bukan Ngah Ibrahim sahaja malah Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II ibni Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Mu'adzam Shah  atau Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Raja Abdullah) turut dikenakan tindakan yang sama.

Sultan Perak ke 26 itu dilantik oleh British selepas menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimanapun pada 1875, baginda dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W.Birch dan dibuang negeri ke Seychelles pada 21 Julai 1876.

Dr Mahathir ini bernasib baik kerana masih bebas ke sana ke mari.

Beliau tidak dibuang negeri atau negara. Sekadar tidak dijemput ke majlis di Istana Negara. ‘No hal-lah’.

Juga Dr Mahathir tidak usah timbulkan isu siapa yang berpalit menyebabkan undangan untuk beliau ditarik balik.

Penjelasan oleh Dr Ahmad Zahid semalam itu sudah menceritakan segala-galanya.

Kenyataan Rafidah dalam Facebooknya bahawa: “Walhal kehadiran sesiapa yang berpalit dan bersalut skandal, rasuah, salah urus tadbir, dsb adalah sebenarnya membawa "kesipuan", "Tidak begitu?" hanyalah perasaan geram dan simpati bekas Ketua Wanita UMNO itu semata-mata.

Tidak usah bersimpati. Memang wajarpun pengkhianat, penderhaka dan pendurjana disekat dan dilarang daripada menghadiri majlis rasmi.


Dr Mahathir yang berpengalaman dalam politik kesekian lamanya,  pastinya boleh menenangkan dirinya sendiri.

Sekadar jemputan sebegini apa ada dengannya. Beliau boleh patuh untuk menguruskannya.

Isu lebih besar di persada dunia seperti berdepan pemimpin Serbia di Sidang Negara-Negara Berkecuali di Jakarta dalam isu Bosnia pun beliau tidak ada masalah untuk menetapkan pendiriannya.

Begitu juga dalam isu lain sama ada perjuangan membantu Afrika Selatan untuk mencapai kemerdekaan, Namibia, isu Palestin dan sebagainya, beliau dapat tangani dengan baik.

Malah, usahanya menjamin sistem ekonomi Islam untuk menyaingi ekonomi bebas termasuk menubuhkan Bank Islam, insurans Islam, pasaran Islam dan kerjasama lebih kukuh di kalangan negara Islam pun beliau boleh lakukannya.

Lagipun, bagi pemimpin berusia lebih 90 tahun seperti Dr Mahathir, kehadiran ke majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang baru baginya.

Jangan ganggu Dr Mahathir.

Biarkan beliau berehat dan sekadar satu undangan dalam negara beliau terlepas,  bukan masalah besar baginya.

Maruah dan kedudukannya tidak tercalar sedikit pun. Bukan ditarik balik darjah kebesaran Tun seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif apabila pingat Datuk dan Datuk Seri ditarik balik.

Dr Mahathir akan terus disanjung di persada antarabangsa dan akan terus mendapat undangan dari luar negara.

Bukankah ini juga bentuk sumbangan untuk menjulang nama Malaysia di arena antarabangsa, kalaupun dalam negara sendiri, akan ada usaha berterusan untuk melenyapkan jasa dan legasinya?

Malah, gelaran-gelaran termasuk penderhaka dan pendurjana untuknya bukan manjadi sesuatu yang akan menjadi penghalang untuknya menyumbang bakti.

Lagipun gelaran itu bukan berikan oleh seluruh orang Melayu dan Islam di negara ini.

Sebaliknya gelaran-gelaran itu ‘dianugerahkan’ oleh pemimpin UMNO, iaitu parti yang pernah dipimpin sementara kebanyakan pemimpinnya kini pun pernah diasuh dan diletakkan di kedudukan mereka sekarang melalui kepimpinan beliau selama lebih dua dekad.

Tuesday, December 13, 2016

HAKIM AS BELA HAK RAKYAT MALAYSIA, KERAJAAN & PEMIMPIN SEMAKIN TERTEKAN?

 

Hari ini adalah hari kemenangan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dalam isu ‘harta 1MDB’ yang dicuri' bernilai  AS1 bilion (RM4,000juta) di Amerika Syarikat.

Hakim persekutuan Mahkamah Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan menolak permohonan keluarga ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho untuk memindahkan harta yang ‘disita’ oleh pihak berkuasa negara itu untuk menjadi milik mereka.

Harta-harta yang dikaitkan dengan dana 1MDB itu kini jelas ‘dicuri’ seperti yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sebelum ini. Keputusan dan tindakan itu bagaimanapun dipertikaikan oleh beberapa pihak yang menyokong kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, sebelum ini.

Dale Fischer, (gambar kiri) seorang hakim di mahkamah persekutuan di Los Angeles, California  hari ini menolak usul keluarga Jho Low untuk campur tangan dan memperolehi hak untuk memindahkan harta itu kepada mereka.

Keputusan mahkamah itu sudah pasti menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada keluarga hartawan muda Pulau Pinang itu.

Sebaliknya di kalangan rakyat Malaysia, keputusan itu adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan. Ia kini menjadi sebab penting kerajaan yang memerintah dan pemimpinnya semakin tertekan selepas ‘tidak menunjukkan minat’ untuk menuntut atau mendapat kembali harta berkenaan.

Kesipuan dan kebisuan mereka mengenai soal ini sedang diperhati dan dipertikaikan rakyat kerana ini hanya sebahagian daripada harta yang dikatakan dicuri daripada dana 1MDB sebanyak AS3.5 bilion atau RM14,000 juta. Bukan sedikit tu...

Keputusan ini adalah lanjutan daripada usul oleh keluarga Jho Low minggu lalu yang meminta supaya tarikh pendengaran kes ditangguhkan.

Keluarga hartawan Malaysia itu sebelum ini  gagal dalam usaha mereka untuk menuntut aset yang disita oleh kerajaan AS  apabila Fisaher  menolak usul yang boleh memberi mereka masa untuk mencuba nasib di mahkamah di luar negara.

Awal minggu lalu empat anggota keluarga Low Taek Jho memfailkan usul untuk menangguhkan pendengaran pada 12 Disember kepada 23 Januari untuk membolehkan mereka ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman untuk mencuba dan mendapatkan hartanah dan aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baru.

Fischer sebelum ini menolak kedua-dua usul untuk menangguhkan pendengaran itu dan satu permintaan yang berasingan untuk melanjutkan tarikh akhir untuk memfailkan tuntutan.

Kenyataan Rabu lalu menyebut, pendakwa raya persekutuan yang membantah penangguhan pendengaran tersebut, menegaskan bahawa sudah hampir lima bulan berlalu sejak Jabatan Kehakiman memfailkan saman sivil mendakwa lebih AS$3.5 bilion telah disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Keluarga Low Taek Jho melalui peguam mereka, Daniel Zaheer daripada Kobre & Kim mahu ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman, dengan harapan ia boleh menimbang permohonan mereka. Keputusan untuk meneruskan perbicaraan pada hari Isnin boleh menggagalkan rancangan itu.


Sudah pasti keputusan Fisher itu disambut baik di Malaysia dan kini kerajaan semakin tertekan untuk menyatakan pendirian mengenai punca kekayaan Jho Low yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan.

Juga pemimpin kerajaan perlu membuat pendirian sama ada akan meminta pihak yang ‘melindungi’ atau yang memegang amanah di Switzerland at uterus menutup mulut daripada melakukan sesuatu bagi menggembalikan ‘harta rakyat’ itu ke Malaysia.

Malah, bagi rakyat, tindakan DOJ itu disokong kerana ia benar. Jika  mahkamah AS sendiri mengakui bahawa harta dan kekayaan Jho Low itu sebenarnya ‘harta curi’ daripada dana 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak, kenapa pula kerajaan Malaysia membidu seribu bahasa?

Semakin nyata bahawa Jho Low, yang didakwa oleh DOJ memindahkan lebih AS$3.5 bilion tertekan sama, seperti mereka yang berada di sekeliling beliau yang dikatakan turut mendapat imbuhan daripada kerja jahat itu.

Dengan DOJ mengumumkan ‘menyita untuk mendapatkan kembali’ harta berkenaan membabitkan hartanah di New York, Beverly Hills dan London, lukiasan-lukisan bernilai tinggi danm jet peribadi, apa yang ditunggu oleh rakyat Malaysia yang mahu mengetrahui kedudukan sebenar semakin jelas.

Agaknya bagaimana pula  kenyataan pemimpin kerajaan untuk membersihkan 1MDB dan ‘kerja kotor Jho Low ini’?


Harta berkenaan yang ‘disita’ oleh DOJ, menurut Fischer,  tidak sewajarnya dituntut oleh keluarha Jho Low dan kerana itu beliau  menolak permohonan untuk masa yang lebih lama bagi menyampaikan tuntutan berkenaan.

Ahli keluarga Jho Low tidak mempunyai pertalian khusus dengan harta Jho Low dan berhasrat menggugurkan hak ‘pemegang amanah di Switzwerland’ yang mengawalnya, namun mahkamah AS berpendapat sebaliknya dan tidak layak menuntut harta itu bagi pihak mereka.

Tujuan jelas tuntutan ahli keluarga Jho Low ialah untuk menggugurkan “trustees “yang sebab atau puncanya tidak disebutkan, dipercayai semata-mata untuk  menuntut hak mereka terhadap harta berkenaan.

Bagaimana pun pihak yang menuntut itu kini tidak mempunyai hak untuk menuntut perlanjutan tarikh bagi pihak syarikat  yang mereka wakili dan tidak akan boleh sama sekali mengawalnya, kata Fischer dalam satu nota selepas perbicaraan itu.

Apakah selepas ini pemimpin kerajaan akan terus mengunci mulut?


Untuk apa mereka melakukan demikian? Apakah harta rakyat yang sebegini banyak mahu dibiarkan begitu sahaja?

Juga keputusan mahkamah AS itu sudah 'membayangkan sesuatu'. Apakah pemimpin kita, khususnya dalam UMNO dan kerajaan boleh buat muka tebal untuk tidak memperkatakannya?

Apakah Jho Low akan terus 'dilindungi' dan sebab apa? 

KERJASAMA - APA ADA PADA PPBM SEHINGGA PKR, DAP DAN AMANAH BEGITU TERUJA?


Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) bukan parti besar orang Melayu dan ‘tidak se gah’
UMNO, PAS atau AMANAH untuk dibimbangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Banyak pemimpin UMNO memperkecilkan keupayaan PPBM sebelum ini dan akhir-akhir ini sahaja sesetengah pemimpin mereka menunjukkan sedikit perubahan ke arah kebimbangan.

Namun kebimbangan itu bukan kerana mampu membentuk menjadi kerajaan sama ada di Putrajaya atau negeri, sekadar mungkin akan kehilangan beberapa kerusi tertentu jika UMNO tidak berwaspada.

Jadi, apabila PPBM mula mengintai kerajasama dengan PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) yang ketika ini disertai oleh PKR, DAP dan AMANAH, ada beberapa pihak, khususnya PAS mulai bimbang akan menyebabkan pakatan yang diimpi dibentuk mereka – Blok Ketiga – akan tergugat.

Pemimpin PPBM sebelum ini secara terang-terangan mengatakan mereka sudah melanjutkan rundingan dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan dan menetapkan agenda baru untuk "menyelamatkan Malaysia".

Sementara HARAPAN memanaskan idea berkenaan, walaupun mereka sedar PPBM dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO yang mungkin mengamalkan budaya yang tidak jauh daripada amalan bekas parti mereka.

PAS pula sudah menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama dengan BERSATU jika mereka menyertai HARAPAN kerana parti Islam itu menganggap DAP dan AMANAH sebagai musuh.

Hari ini, 13 Disember 2016 HARAPAN dan PPBM dilaporkan  akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya.

Itu kata Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa satu mesyuarat peringkat tertinggi antara empat parti itu akan diadakan hari ini  di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.


Penting sangatkan PPBM sehingga PKR, DAP dan AMANAH memberikan perhatian sebegitu rupada sedangkan PPBM hanya ada kerusi tunggal di Dewan Rakyat berbanding dengan PKR sebanyak 29 kerusi, DAP (37) dan AMANAH pula 7 kerusi?

Biarpun diperkecilkan oleh UMNO dan sekutunya, hakikat PPBM kini ialah:

1.      Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sedikit pengalamannya apabila pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya untuk UMNO dan BN. Pengalamannya berbanding pemimpin UMNO lain, selain Presiden UMNO dan Pengerusi BN kalau pun tidak lebih tetapi setanding.

Kerjasama yang dirundingkan hari ini ialah bagi tujuan pilihan raya. Kerana kekuatan dirinya, UMNO terpaksa bermain dengan politik serangan peribadi, iaitu ‘kes wanita’, walaupun hakikatnya dalam UMNO sendiri kes seperti ini ‘adalah rahsia yang diketahui ahli dan umum’, khususnya di kalangan pemimpin tertentu;

2.      Kepimpinan PPBM walaupun tidak sehebat UMNO yang memiliki barisan kepimpinan Naib Presiden yang ‘gah’ termasuk Timbalan Perdana Menteri, mempunyai hasrat dan tujuan yang sama itu memenangi pilihan raya;

3.      Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang terdiri daripada kalangan menteri, Menteri Besar dan mereka yang ‘terpilih’ dan kalangan ‘orang istimewa’  memang berkuasa dan mempunyai kedudukan tinggi. Namun apakah mereka ‘dipandang tinggi’ oleh rakyat?

Apa kurangnya anggota kepimpinan pusat PPBM yang juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan ‘bersih’ berbanding sebilangan ahli MKT UMNO yang terpalit dengan berbagai perkara;

4.      Setiausaha Agong UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO memang dua insan yang hebat dan sumbang mereka kepada UMNO diakui penting. Di sebalik itu, Setaiusaha Agung PPBM yang juga bekas pemimpin UMNO dan masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, mungkin kurang pengalaman dan kedudukan, namun bertungkus-lumus membawa PPBM ke arah satu kedudukan dan darjat yang lebih tingi;

5.      Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abu Jalil mempunyai pengikut yang ramai tetapi apakah kesemuanya bekerja keras dan sukarela untuk parti? Shahrizat dibelenggu oleh banyak perkara yang dilihat negatif oleh sesetengah pihak, walaupun ia sekadar persepsi.

Ketua Srikandi PPBM...Anina Saadudin.

     Berlainan dengan wanita PPBM dengan jumlah yang kecil. Namun, jumlah ahli yang kecil tidak bermakna tiada sokongan kerana banyak wanita kini mengeluh dengan kedudukan kos kehidupan yang tinggi, ‘belanja dapur yang melambung’ serta berbagai isu wanita yang lain, sudah semestinya kalangan wanita akan melihat, apa perjuangan wanita PPBM sebenarnya berbanding perjuangan Wanita UMNO yang dilihat sebagai ‘pelengkap jentera parti semata-mata’;

6.   Ketua Pemuda UMNO tidak ada tolak banding hebatnya hingga mengumumkan dirinya mahu bertanding ke sukan antarabangsa. Pemuda UMNO juga dilihat sebagai ‘pelengkap jentera UMNO’. Namun dengan berbagai skandal melibatkan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan serta ‘kehidupan mewah dan glamour’ pemimpin muda dalam UMNO ini, apakah ia akan memberikan kelebihan kepada pemuda PPBM?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidaklah ‘sekarisma’ Khairy Jamaluddin, namun dia ada rancangannya sendiri untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Dan di sebalik semua itu, jangan lupa penasihatnya adalah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pasti amat mahir dengan ‘sepak terajang politik Malaysia’.

Jadi janganlah yang ‘berhingus dalam politik’ cuba mengajar beliau atau menasihatkan beliau supaya belajar politik membangkang atau menjadi sebahagian pembangkang.


Secara keseluruhannya kini yang paling nyata diperhatikan rakyat terhadap apa juga parti ialah dasar perjuangan pada saat dan ketika ini (at this juncture).

Pada ketika UMNO dilihat dan dituduh MEMPERTAHANKAN NAJIB, kepimpinan PPBM pula dilihat mahu ‘Selamatkan Malaysia’ daripada gejala rasuah dan penyelewengan serta kepayahan hidup rakyat.

Rakyat melihat perkara ini dan mungkin DAP, PKR dan AMANAH tertarik untuk bekerja dengan ‘parti kecil’ ini kerana faktor di atas, bukan kerana ramainya ahli atau banyaknya cawangan PPBM.

PPBM bernafas dan bergerak melalui penyokongnya yang bukan semesti ahli partinya. Rakyat memberikan sokongan kepada PPBM, bukan seperti UMNO oleh seramai tiga juta ahlinya.

Kalaupun PPBM tidak mempunyai ibu pejabat yang tersergam indah seperti di PWTC atau bangunan baru yang akan dibina, atau melalui Bahagian dan cawangan UMNO yang bertaburan di Semenanjung dan Sabah, PPBM disokong oleh orang Melayu di Semenanjung sahaja kerana di Sarawak, rakan sekutunya pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sedang bergerak cergas.

Kita ingin melihat sejauh mana rundingan hari ini akan membuahkan hasil kerana pengumuman rasmi diikuti dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PPBM  dan HARAPAN dijangka diadakan pada sebelah petang.

Soal penting yang dikatakan oleh Mukhriz ialah HARAPAN dan PPBM sudah menunjuk dan  memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.

Tidak mengapa kalau pun cara sebenar membentuk kerjasama itu masih belum diputuskan. Namun hasrat dan matlamat sudah jelas dan itulkah sebenarnya inti daripada pertemuan hari ini.

"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dengan kata lain, petang ini akan dikethui apa bentuk kerjasama antara meraka, sama ada:

-        HARAPAN plus PPBM;
-        PPBM menyertai HARAPAN;
-        Membentuk sebuah gabungan baru bersama; atau
-        Satu lagi bentuk kerjasama lain.
-         
Apa yang penting, selain mewujudkan kerjasama dan strategi menghadapi pilihan raya. idea keseluruhan adalah demi  memastikan cara terbaik membentuk kerajaan baru.

Amat nyata kerjasama ini bukan untuk jangka masa pendek tetapi usaha ‘Selamatkan Malaysia’ bagi suatu tempoh yang panjang sebagai parti pemerintah demi memastikan rakyat berbagai bansga  berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. 

Thursday, December 8, 2016

KENAPA BIARKAN MEDIA ANTARABANGSA MENYERANG MALAYSIA BERTALU-TALU?


"Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great Britain dan Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan antarabangsa...terbaru, kononnya China akan bantu 1MDB dalam isu pertikaian dangan IPIC."

Semakin hari semakin terjejas imej negara dan pemimpin gara-gara ‘laporan jahat’ media antarabangsa.

Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great Britain dan negara jiran, Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan antarabangsa untuk diberi pengajaran kerana menyiarkan berita palsu dan bersifat spekulatif ke seluruh dunia.

Terbaru, ia berkaitan laporan kononnya China akan bantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam membuat pembayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Laporan oleh Financial Times (FT) berpusat di Britain itu dikeluarkan di tengah pertikaian hutang AS$6.5 bilion antara 1MDB dan IPIC, iaitu syarikat kewangan milik kerajaan Abu Dhabi.

Kerajaan dan 1MDB perlu bertindak terhadap penyiaran berita sama ada oleh FT atau syarikat berita lain yang tidak bertanggungjawab itu.

Ini kerana ia boleh menjejaskan imej nama baik Malaysia,  kerajaan, pengurusan 1MDB dan individu tertentu yang terbabit.

Berita ini bukan kecil nilainya. Ia bukan sahaja memberikan gambaran buruk kepada 1MDB tetapi turut mengaitkan nama Perdana Menteri apabila setiap kali ada masalah berkaitan dengan 1MDB.

Malah laporan dan ulasan, termasuk oleh South China Morning Post (SCMP) berpngkalan di Hong Kong turut membawa tajuk “HAS CHINA OFFERED TO BAIL OUT MALAYSIA’S 1MDB? AT WHAT COST?” begitu membimbangkan.

Lebih mengejutkan, SCMP yang memetik seseorang yang dikatakan mengetahui mengenai perkara ini memberitahu akhbar berkenaan bahawa Malaysia akan bertukar aset  untuk mendapatkan pembiayaan China bagi tujuan ini.

“China kini sedang membahagi-bahagikan goodwill di seluruh wilayah sekitarnya...jadi ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Oh Ei Sun, bekas pembantu penting Datuk Seri Najib Razak.

Beijing memang tidak membuat permintaan yang pelik-pelik untuk bantuan ekonomi itu tetapi pasti ada harapan bahawa Malaysia ‘perlu tahu apa yang perlu dilakukannya”, tegas Oh.

Tidakkah laporan ini seakan mengesahkan spekulasi oleh media Barat dan Singapura sejauh ini?

Berkaitan ini, The Straits Times Singapura semalam turut memetik laporannya sebelum ini (6 Julai 2016) bahawa sebidang tanah yang dikatakan bernilai berbilion ringgit dimiliki oleh 1MDB di Pulau Pulau Pinang menarik minat sebuah syarikat China untuk mengembangkan perniagaanya di Malaysia.

Tanah selpas 94.7 hektar di Daerah Air Itam itu dikatakan menarik minat perbadanan China termasuk Metallurgical Corp, yang bersedia membayar lebih tinggi daripada pembida tempatan.

Kenyataan ini dikatakan disahkan  oleh eksekutif kewangan yang terbabit dengan rundingan perniagaan itu. Dikatakan, syarikat China mahu membeli tanah itu dengan harga RM2 billion (S$671 million) atau secara perjanjian pembangunan bersama.

Jika dibangunkan secara bersama, 1MDB dijanjikan keuntungan sebanyak RM3.5 billion.
  
Laporan oleh The Straits Times Singapura itu sebagai susulan FT yang menyebut bahawa tiga individu yang mengetahui perkara itu berkata, China dijadikan sumber dana bagi 1MDB.

Ia menambah, satu sumber memberitahu akhbar itu yang Malaysia akan melakukan pertukaran aset bagi pembiayaan itu.

Berikutan itu, hari ini pihak kerajaan membuat penafian keras terhadap dakwaan ada rundingan antara firma pelaburan milik kerajaan itu dengan kerajaan mahupun syarikat dari China berhubung bantuan kewangan dalam pertikaian dengan IPIC itu.


Pengerusi 1Malaysia Development Berhad Tan Sri IrwanSerigar Abdullah hari ini menafikan laporan Financial Times itu dengan mengatakan: “Sebagai pengerusi 1MDB, tidak ada perkara seperti itu. Berunding dengan China atau apa-apa. Itu sangat jelas.

"Saya pengerusi 1MDB, saya tahu. Jadi tiada apa-apa," kata beliau yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani mendakwa beliau tidak tahu menahu bahawa China dihubungi untuk membantu 1MDB menyelesaikan komitmennya kepada syarikat IPIC.

Dalam kenyataan menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini Johari mencadangkan supaya portal ini menghubungi Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk penjelasan.

"Saya tak tahu apa yang tertulis mengenai perkara itu. Mungkin anda patut tanya dengan Arul Kanda," katanya.

Kata Johari beliau tidak melihat ada sebarang alasan untuk China terlibat dalam pertikaian antara 1MDB dan IPIC.

Ditanya sama ada kerajaan atau kabinet ada membuat sebarang keputusan mengenai pembayaran semula 1MDB atau pertukaran aset bagi bantuan kewangan itu, Johari berkata, tiada sepanjang pengetahuannya.

Berikutan laporan FT  itu, anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendesak kerajaan memberi penjelasan mengenai laporan FT berkenaan.

Katanya berita disiarkan FT itu benar-benar merunsingkan kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang diperolehinya beberapa bulan lalu mengenai kemungkinan salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di bursa Singapura tahun depan.

Arul Kanda turut menjelaskan, beliau sudah memberi reaksi kepada FT mengenai laporan berkenaan.

Ditanya sama ada beliau menafikan laporan berkenaan, Arul Kanda meminta supaya Malaysiakini merujuk responnya kepada FT.

Dalam berita disiarkan FT semalam, Arul Kanda dilaporkan enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Katanya 1MDB tidak ada apa-apa sebarang komen untuk ditambah kepada kenyataan dikeluarkan berhubung pertikaian agensi pelaburan berkenaan dengan IPIC sebelum ini.

1MDB dan IPIC kini terlibat dalam proses timbang tara di mahkamah London membabitkan pertikaian bernilai lebih AS$6.5 bilion (RM28.72 bilion).


Persoalannya kini, kenapa media antarabangsa menyerang Malaysia bertalu-talu?

Tidak cukup dengan penulisan, mereka turut menyiarkan gambar dan kartun yang sangaja cuba memburukkan Perdana Menteri dan kerajaan.

Kenapa apabila timbul isu mempersoalkan integriti negara ini, pemimpin parti utama Barisan Nasional, termasuk UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif menunjukkan kekuatan hanya  berdiam diri dan tidak melakukan usaha misalnya menyaman media antarabangsa yang membuat fitnah?

Jika  menentang pembangkang dalam negara, BERSIH 5, isu Rohingya, dana Soros dan sebagainya dilihat untuk mempertahankan kerajaan dan Perdana Menteri, bagaimana pula dengan laporan palsu media antarabangsa  yang bertalu-talu ‘menyerang Najib dan UMNO’?