Tuesday, September 21, 2010

KELUARGA ANWAR BERANTAKAN GARA-GARA AZMIN?


Sah sudah. Gara-gara perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu November ini, wujud pertentangan pendapat keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tidak sehingga ‘konflik keluarga’ pertentangan ini jelas menggambarkan betapa cakap-cakap bahawa keluarga Anwar sedang ‘berpecah’ akibat sokongan Anwar kepada Azmin Ali memang tepat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam mengakui wujud perbezaan pendapat dalam keluarganya terutama berhubung perebutan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau menyifatkan perbezaan berkenaan tidak boleh digambarkan sebagai 'konflik keluarga' seperti yang diperkatakan banyak pihak.

"Memang wujud perbezaan pendapat dalam keluraga saya, tapi tidaklah sampai ke tahap yang boleh digambarkan sebagai konflik.

"Umpamanya berbeza pandangan dari segi soal dasar, ia adalah perkara biasa dan perkara berkenaan selaras dengan hak kebebasan bersuara," katanya kepada mStar Online di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak yang mendakwa sokongan terbuka Nurul Izzah terhadap calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim seolah-oleh mengesahkan wujud konflik antara keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mohamed Azmin Ali.

Saidatul Badru dilaporkan berkata sokongan Nurul Izzah itu merungkai segala persoalan berhubung hubungan ahli keluarganya yang didakwa tidak baik dengan Azmin.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, sehingga kini menyaksikan empat pemimpin layak bertanding iaitu Naib Presiden, Mohamed Azmin mendapat 36 pencalonan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Zaid (19); Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub (10) dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua (2).

Mohamed Azmin dikatakan menjadi pilihan Anwar yang juga Penasihat PKR untuk memenangi jawatan berkenaan.

Malah baru-baru ini kumpulan terdiri daripada 20 Ahli Parlimen PKR turut mengumumkan sokongan penuh mereka terhadap Mohamed Azmin.

Namun Nurul Izzah tidak termasuk dalam kumpulan berkenaan. (Baca selanjutnya di sini)

Monday, September 20, 2010

PKR - PARTI KRONI, MUNGKIR JANJI KEPADA RAKYAT

Lama saya memikirkan sama ada mahu mengulas atau mendiamkan diri sahaja apa yang ditulis oleh ‘rakan politik’ saya – Mohd Sayuti Omar (MSO) dalam entrinya bertajuk Politik Yang Zalim, Zalim Dalam Politik.

Tajuknya tidak lain mengenai Datuk Zaid Ibrahim. Sebelum ini saya sudah menulis sedikit mengenai kekecewaan Zaid terhadap pihak tertentu dalam PKR.

Tidak tahulah, mungkin saya kenal Zaid lama sikit daripada MSO. Saya pernah berbincang banyak perkara beberapa kali ke pejabatnya ketika firmanya masih di Jalan Sultan Ismail dan beberapa kali juga di firma guamannya di Pusat Bandar Damansara.

Ketika itu, selain bertemu Zaid, saya juga bertemu Azalina Othman Said (bekas Menteri kini Datuk Seri) yang ketika itu Ketua Puteri UMNO dan bekerja di firma Zaid.

Saya juga pernah menyertai Zaid ketika masih Ahli Parlimen Kota Bahru berbuka puasa di sebuah surau dan bagaimana akrabnya beliau dengan penduduk sekitar. Namun harapannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu berkecai apabila beliau berhadapan dengan masalah dalam Bahagian Kota Bharu.

MSO nampak berminat dengan Zaid apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berura-ura menyertai PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan selepas bertemu Zaid beberapa kali, beliau mendapat direct acess dengan pemimpin PKR itu.

Di pihak saya pula, selepas Zaid menyertai pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hubungan saya dengan Zaid renggang dan kini bagaikan ‘terputus’ dan tidak tahu bila akan bertaut kembali.

Apa yang mahu saya katakan di sini bukan soal hubungan saya dengan Zaid tetapi mengenai nasihat MSO kepada Zaid yang berbunyi:

Saya juga ingin nasihat Zaid sekali lagi. Kalau beliau juga tidak sedia menghadapi kerenah persis dalam Umno yang kini wujud dalam PKR, keluar sajalah. Beliau atau sesiapa saja tidak akan memperolehi keadilan mutlak, demorkasi tulen serta keihlasan dari sesiapa dalam sebuah badan bernama politik. Saya sudah katakan politik berpaksikan kepada 4C.... 4C. Kalau kamu tidak sedia menerima paksi ini, jadilah seperti saya, penulis, pemerhati dan perakam sejarah politik saja.

Zaid hendaknya jangan peduli apa yang dituduh kepadanya. Beliau juga harus menghadapi pertarungan itu dengan keyakinan dan wibawa yang belau sendiri miliki. Berada dalam politik tak ubah berada atas perahu di samudra luas dan bergelombang. Orang bukan saja setakat sanggup memfitnah membunuh pun boleh dilakukan
.”

Ternyata bukan Zaid sahaja kecewa dengan PKR seperti pada entri saya sebelum ini tetapi jelas MSO yang begitu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim turut kecewa bersama-sama Zaid.

Kata MSO: “Selama ini PKR melaungkan akan bawa politik baru yang telus, adil dan demokratik. PKR sering mengecam Umno tidak telus dan tidak demokratik. Bukan sedikit pemimpin PKR dan bukan sekali mereka mengatakan demokrasi dalam Umno sudah mati. Apa yang menimpa Anwar Ibrahim 1998 dulu pun adalah berunsur kekejaman demokrasi dalam Umno. Mahathir Mohamad menggunakan kuasa vetonya untuk memecat Anwar tanpa merujuk kepada ahli akar umbi, walhasilnya Umno jadi 'kucar wak yah'

Kerana sikap itu Umno dibenci. Umno disampahkan oleh PKR. Dalam masa sama PKR mengangkat dirinya sebagai sebuah parti yang profesional, penuh demokrtatik. Sebuah parti yang turun dari dewa dan mengharapkan para ahlinya dari kalangan orang-orang kudus
.”

OK cukup, full stop. Nak baca entri MSO seterusnya baca di SINI.

Amat jelas kini apa yang mahu diperjuangkan oleh Zaid atau juga MSO sudah lesap dalam PKR. Parti itu sebenarnya dalam kedudukan parah dan tikam-menikam antara pemimpinnya!

Demokrasi dalam PKR sudah mati. PKR juga mementingkan kroni selain parti anak beranak.

Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. Saya nak penjenguk baca sendiri apa kata MSO mengenai PKR:

1. PKR jadi tidak nampak diri dan lupa kepada yang mereka ucapkan sendiri. Mereka sudah mungkir janji mereka kepada rakyat selama ini. Mereka mahu jadikan PKR parti alternatif untuk rakyat. Yang adil dan terbuka. Yang membawa semangat dan roh politik baru. Namun melihat kepada beberapa tindak tanduk dan permainan menjelang pemilihan ini sudah tidak mencerminkan apa yang dihasatkan itu. Sudah ada permainan kotor dan jijik. Sudah ada tuduh menuduh antara satu sama lain. Sudah ada elemen dengki dan khianat.

2. Kehadiran Zaid Ibrahim untuk bertanding timbalan presiden sudah diacah dengan berbagai kerenah yang memabukkan. Macam-macam tuduhan dan sindiran ditujukkan kepada Zaid. Kenapa? Ini sepatutnya tidak berlaku. Biarlah kalau Zaid nak bertanding, biarkan dia bertanding. Suburkanlah demokrasi dalam PKR.

3. Sesiapa saja dalam PKR tidak perlu takut kepada Zaid. Beliau menyertai parti itu kerana tidak yakin kepada Umno. Beliau mahu lari dari tindakan non demokratik dalam Umno. Dia mahu melihat sejauh manakah demokrasi dalam PKR. Kalau keadaan dalam Umno sama juga dalam PKR tidak ada guna beliau bersusah payah menyertai PKR. Beliau boleh merayu dan kekal menjadi ahli Umno ataupun beliau tidak menyertai mana-mana parti politik.

4. Mereka yang cuba menghalang Zaid seharusnya sedar dan malu diri sendiri. Zaid masuk PKR hanya beberapa hari saja. Dakwat yang digunakan untuk menanda tangani borang pun masih belum kering lagi. Tidak mungkin dalam tempoh terdekat Zaid mengatasi mereka. Orang yang takut kepada Zaid mereka yang tidak yakin diri. Mereka yang bukan berjiwa besar dan bersemangat demokrasi tulen.

5. Orang yang sanggup menodai demokrasi untuk kepentingan diri awal-awal lagi sudah tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada Parti Keadilan Rakyat.

Jadi kenapa nak susah-susah mentafsir PKR itu dan ini. Jawapan yang diberikan MSO amat jelas dan ‘terang lagi bersuluh’.

Jika demikian, nasihat saya pula kepada Zaid ialah beliau tidak mempunyai pilihan. ‘Langgar’ dan tegakkan prinsip demokrasi seperti beliau mahukan dan jika kalah pun bermaruah atau gugur seperti Tun Ghafar Baba yang diaibkan oleh Anwar Ibrahim pada awal 1990-an.

Pilihan kini di tangan anda, Zaid!

Sunday, September 19, 2010

BOLEHKAH DIBUKTIKAN INI SEMUA?

Bahagian Kedua: Siapa Individu Penting Dalam Kes ini?

Suspek utama (paling kiri) dan dua suspek lain yang dilanjutkan tahanan reman sehingga 25 September (Sabtu depan). Suspek utama dan adiknya juga seorang peguam ditahan polis pada 9 September lalu di Banting, manakala enam lagi suspek ditahan keesokkan hari iaitu 10 September. Tempoh reman ke atas lima lagi suspek disambung hingga Khamis depan.

Dalam Bahagian Pertama entri mengenai tajuk ini yang memperkatakan “Inspektir Sab vs Datuk Peguam Kaya Raya’ saya ada menimbulkan isu apakah Peguam Bergelar Datuk itu memakai gelaran palsu atau yang dibeli.

Ternyata laporan media dan polis mengesahkan suspek utama - peguam K. Patmanaban - tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar kanan) berkata, daripada semakan, Patmanaban didapati menggunakan gelaran Datuk palsu. "Dia tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri," kata beliau pada sidang media di Kuala Lumpur kelmarin.

Amat jelas Peguam Bergelar Datuk ini amat licik dan pasukan polis akan berdepan dengan pelbagai rintangan untuk menjamin beliau ‘dibawa ke tali gantung’.

Kerana itu pandangan seorang pembaca yang menyatakan pendiriannya melalui The Star bertajuk “Build a solid case to ensure justice prevails” jangan dipandang mudah.

Perkembangan terbaru menunjukkan kertas siasatan mengenai pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain, sedang disediakan dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, berkemungkinan minggu depan. Polis mengatakan pihaknya mempunyai bukti kukuh.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama.

Dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini.

Bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah. Sementara bagi menyiasat at individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Sejauh ini jelas polis mengatakan pihaknya mempunyai ‘bukti kukuh’ seperti berikut - penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek untuk mengheret suspek utama – Peguam Bergelar Datuk – serta tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bukti-bukti itu di dapati dari beberapa tempat tetapi kawasan yang menjadi fokus ialah Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting. Polis kini sudah menghentikan operasi mencari bahan walaupun anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.

Semua pihak perlu menunggu tiga atau empat hari lagi bagi mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa.

Amat jelas Peguam Bergelar Datuk ini menjadi individu tumpuan khusus dalam konteks mereka yang terbabit dengan kes ini.

Selain peguam ini ada tujuh atau lapan lagi terpalit dan akan didakwa.

Siapa mereka? Laporan polis menyebut, tangkapan pertama pada 9 September lalu melibatkan seorang lelaki dipercayai Datuk dan adiknya yang juga seorang peguam di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September.

Amat jelas di pihak suspek, ia membabitkan individu berikut:

1. Peguam Bergelar Datuk;

2. Adik peguam berkenaan yang juga peguam di Banting;

3. Seorang lelaki lain yang rapat dengan peguam berkenaan;

4. Lelaki berusia 19 tahun yang dikatakan ang melakukan pembunuhan kejam serta; dan

5. Lima atau lebih suspek lain yang akan turut didakwa.


Bagaimanapun, dengan penahanan seorang lagi lelaki tempatan di Kampung Laksamana, Batu Caves tengah malam semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India di Banting, Selangor tahun ini, jumlah yang akan didakwa mungkin bertambah.

Malah tangkapan itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun di Taman Wilayah, Selayang petang kelmarin bagi kes yang sama. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Facebooknya berkata lelaki berusia 21 tahun tersebut ditahan kira-kira 12.15 tengah malam.

Sementara di pihak yang menjadi mangsa dikatakan ada lapan atau sembilan orang termasuk Sosilawati dan tiga rakannya. Sementara tiga atau empat lagi individu yang hilang sebelum ini disyaki ‘boleh dikaitkan’ dengan suspek utama.

Polis sudah mengesahkan lebih ramai individu yang mati di tangan pembunuh Sosilawati ketika polis sedang berusaha membongkarkan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu.

Sekurang-kurangnya seramai sembilan orang dipercayai telah dibunuh secara kejam dan dihapuskan mayat dengan cara yang sama seperti dilakukan terhadap Sosilawati bersama tiga individu lain.

Semua individu terbabit dilaporkan hilang dan mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam yang disyaki sebagai dalang kepada pembunuhan Sosilawati.

Menarik ialah Polis Pulau Pinang turut membuka semula beberapa kes yang belum selesai membabitkan pembunuhan beberapa individu.

Mangsa pembunuhan sejauh ini ialah:

1. Datuk Sosilawati Lawiya , 47,

2. Pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44,

3.
Pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38 dan,

4. Peguam peribadi sosilawati , Ahmad Kamil Abd Karim, 32.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Siapa lagi? Daripada sembilan yang dipercayai turut dibunuh oleh Peguam Bergelar Datuk itu termasuklah:

1. Jutawan India yang dikenali sebagai Allal Kathan Muthuraja, 34 (gambar kiri) dilaporkan hilang sejak tiba di negara ini dari Chennai, India pada 18 Januari lalu. Dia dikatakan berjumpa dengan seorang peguam yang juga rakannya di Banting. Jutawan berumur 34 tahun itu dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini. (Isteri jutawan, S Usharani, 24, dikatakan boleh membantu siasatan);

2. Seorang wanita bernama T Selvi (gambar kanan) dan mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, dan

3. Beberapa individu lain yang hilang.

Di pihak polis, selain Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah serta Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah akan terus menjadi tumpuan.

Namun bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ada beberapa kakitangan polis akan turut menjadi tumpuan selapas ini khususnya ketika pendakwaan di mahkamah.

Juga dalam kes berprofil tinggi seperti pasukan pendakwaan dan pembelaan juga menarik untuk diketahui.

Seperti saya katakan sebelum ini, kes ini bukan seperti pembunuhan Datuk Mazlan Idris oleh Mona Fendi yang tidak begitu sulit untuk polis mencari bahan bukti. Lagipun Mona Fendi bukan individu yang kaya, berpengaruh dan peguam seperti suspek utama pembunuhan Sosilawati ini.

Beliau mempunyai rakan dan sahabat yang berpengaruh di kalangan orang politik, peguam, ahli perniagaan dan berbagai lagi bukan sahaja di Malaysia tetapi hingga India.

Jadi dengan perkataan lain, ‘don’t play play’ dengan kumpulan peguambela Peguam Bergelar Datuk ini.

Biarpun polis mengatakan pihaknya mempunyai bukti kukuh namun kita sedia maklum apa itu mahkamah dan apa itu peguam.

Dengan pasukan pembelaan yang saya jangka amat kuat, tugas polis tidak mudah dan bergantunglah kepada Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Ismail Omar untuk menjamin imej dan integriti polis dihormati dan dipercayai.

Apapun saya amat yakin polis berupaya serta nekad membuktikan pasukannya juga kuat, dan wajar menerima penghormatan tinggi menyelesaikan kes Sosilawati ini selain kes-kesn berkaitan untuk mempastikan mereka yang menjadi mangsa mendapat pembelaan sewajarnya dan yang melakukan jenayah kejam ini menerima hukuman setimpal dengan kejahatan mereka!

Friday, September 17, 2010

POLIS LAMBAT BERTINDAK KES SALAH LAKU PEGUAM?

Polis juga yang menjadi sasaran.

Walaupun Majlis Peguam memecat kira-kira 30 hingga 40 peguam setiap tahun kerana pelbagai kesalahan namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh polis walaupun laporan telah dibuat.

Itu ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath semalam.

Sehubungan itu beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia semalam.

Dengan kata lain, Majlis Peguam tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya hanya boleh menghalang mereka daripada mengamalkan profesion undang-undang dengan menyenaraihitamkan mereka.

Majlis Peguam juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peribadi setiap ahlinya termasuk mengenal pasti harta atau aset yang dimiliki mereka.

"Kita tidak ada kuasa untuk memenjarakan peguam yang bersalah kecuali memastikan mereka tidak lagi mengamalkan profesion mereka lagi," katanya.

Ragunath diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pihak terhadap Majlis Peguam supaya bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu baru-baru ini.

Katanya, sebarang laporan mengenai peguam yang melakukan jenayah perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan hanya ke balai polis biasa seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Dengan ini tindakan terhadap peguam-peguam terbabit akan dilaksanakan secara tegas," katanya.

Menurutnya, Majlis Peguam juga sedia bekerjasama dengan polis dalam memastikan peguam yang terlibat dalam jenayah seperti pecah amanah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan mengenai kes-kes jenayah melibatkan peguam di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kelmarin. Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

"Kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lelaki lain melibatkan seorang suspek utama yang merupakan peguam bergelar Datuk sangat hina. Amat malang bagi negara kita jika seorang peguam boleh melibatkan diri dalam kes jenayah apatah lagi secara berterusan," katanya.

Tambah Mohd. Ali, melalui cara mengaudit dan menyemak kegiatan semua ahlinya, Majlis Peguam secara tidak langsung akan membantu pihak polis menggagalkan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan jenayah daripada mengulanginya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula mencadangkan agar pengurusan Majlis Peguam diletakkan di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara atau diselia oleh suruhanjaya tertentu ekoran sikap selektif majlis tersebut dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap selektif Majlis Peguam terserlah apabila tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung pembunuhan Sosilawati melibatkan suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk.

"Saya hairan dan tertanya-tanya kenapa tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam sedangkan suspek ialah seorang peguam. Jika ini sikap Majlis Peguam, sudah tiba masanya, majlis itu diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara atau sebuah suruhanjaya," katanya.

Menurut Ibrahim, sikap berdiam diri Majlis Peguam itu menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana selama ini, jika terdapat kes pembunuhan berprofil tinggi seumpama itu, badan tersebutlah yang menjadi hero dengan membuat pelbagai desakan dan tuntutan kepada kerajaan.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya bersuara mengenai pembunuhan kejam yang menimpa Sosilawati dan tiga rakannya, apatah lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dilakukan di ambang Hari Raya Aidilfitri.

Ragunath pula menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.