Tuesday, December 13, 2016

KERJASAMA - APA ADA PADA PPBM SEHINGGA PKR, DAP DAN AMANAH BEGITU TERUJA?


Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) bukan parti besar orang Melayu dan ‘tidak se gah’
UMNO, PAS atau AMANAH untuk dibimbangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Banyak pemimpin UMNO memperkecilkan keupayaan PPBM sebelum ini dan akhir-akhir ini sahaja sesetengah pemimpin mereka menunjukkan sedikit perubahan ke arah kebimbangan.

Namun kebimbangan itu bukan kerana mampu membentuk menjadi kerajaan sama ada di Putrajaya atau negeri, sekadar mungkin akan kehilangan beberapa kerusi tertentu jika UMNO tidak berwaspada.

Jadi, apabila PPBM mula mengintai kerajasama dengan PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) yang ketika ini disertai oleh PKR, DAP dan AMANAH, ada beberapa pihak, khususnya PAS mulai bimbang akan menyebabkan pakatan yang diimpi dibentuk mereka – Blok Ketiga – akan tergugat.

Pemimpin PPBM sebelum ini secara terang-terangan mengatakan mereka sudah melanjutkan rundingan dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan dan menetapkan agenda baru untuk "menyelamatkan Malaysia".

Sementara HARAPAN memanaskan idea berkenaan, walaupun mereka sedar PPBM dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO yang mungkin mengamalkan budaya yang tidak jauh daripada amalan bekas parti mereka.

PAS pula sudah menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama dengan BERSATU jika mereka menyertai HARAPAN kerana parti Islam itu menganggap DAP dan AMANAH sebagai musuh.

Hari ini, 13 Disember 2016 HARAPAN dan PPBM dilaporkan  akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya.

Itu kata Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa satu mesyuarat peringkat tertinggi antara empat parti itu akan diadakan hari ini  di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.


Penting sangatkan PPBM sehingga PKR, DAP dan AMANAH memberikan perhatian sebegitu rupada sedangkan PPBM hanya ada kerusi tunggal di Dewan Rakyat berbanding dengan PKR sebanyak 29 kerusi, DAP (37) dan AMANAH pula 7 kerusi?

Biarpun diperkecilkan oleh UMNO dan sekutunya, hakikat PPBM kini ialah:

1.      Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sedikit pengalamannya apabila pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya untuk UMNO dan BN. Pengalamannya berbanding pemimpin UMNO lain, selain Presiden UMNO dan Pengerusi BN kalau pun tidak lebih tetapi setanding.

Kerjasama yang dirundingkan hari ini ialah bagi tujuan pilihan raya. Kerana kekuatan dirinya, UMNO terpaksa bermain dengan politik serangan peribadi, iaitu ‘kes wanita’, walaupun hakikatnya dalam UMNO sendiri kes seperti ini ‘adalah rahsia yang diketahui ahli dan umum’, khususnya di kalangan pemimpin tertentu;

2.      Kepimpinan PPBM walaupun tidak sehebat UMNO yang memiliki barisan kepimpinan Naib Presiden yang ‘gah’ termasuk Timbalan Perdana Menteri, mempunyai hasrat dan tujuan yang sama itu memenangi pilihan raya;

3.      Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang terdiri daripada kalangan menteri, Menteri Besar dan mereka yang ‘terpilih’ dan kalangan ‘orang istimewa’  memang berkuasa dan mempunyai kedudukan tinggi. Namun apakah mereka ‘dipandang tinggi’ oleh rakyat?

Apa kurangnya anggota kepimpinan pusat PPBM yang juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan ‘bersih’ berbanding sebilangan ahli MKT UMNO yang terpalit dengan berbagai perkara;

4.      Setiausaha Agong UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO memang dua insan yang hebat dan sumbang mereka kepada UMNO diakui penting. Di sebalik itu, Setaiusaha Agung PPBM yang juga bekas pemimpin UMNO dan masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, mungkin kurang pengalaman dan kedudukan, namun bertungkus-lumus membawa PPBM ke arah satu kedudukan dan darjat yang lebih tingi;

5.      Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abu Jalil mempunyai pengikut yang ramai tetapi apakah kesemuanya bekerja keras dan sukarela untuk parti? Shahrizat dibelenggu oleh banyak perkara yang dilihat negatif oleh sesetengah pihak, walaupun ia sekadar persepsi.

Ketua Srikandi PPBM...Anina Saadudin.

     Berlainan dengan wanita PPBM dengan jumlah yang kecil. Namun, jumlah ahli yang kecil tidak bermakna tiada sokongan kerana banyak wanita kini mengeluh dengan kedudukan kos kehidupan yang tinggi, ‘belanja dapur yang melambung’ serta berbagai isu wanita yang lain, sudah semestinya kalangan wanita akan melihat, apa perjuangan wanita PPBM sebenarnya berbanding perjuangan Wanita UMNO yang dilihat sebagai ‘pelengkap jentera parti semata-mata’;

6.   Ketua Pemuda UMNO tidak ada tolak banding hebatnya hingga mengumumkan dirinya mahu bertanding ke sukan antarabangsa. Pemuda UMNO juga dilihat sebagai ‘pelengkap jentera UMNO’. Namun dengan berbagai skandal melibatkan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan serta ‘kehidupan mewah dan glamour’ pemimpin muda dalam UMNO ini, apakah ia akan memberikan kelebihan kepada pemuda PPBM?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidaklah ‘sekarisma’ Khairy Jamaluddin, namun dia ada rancangannya sendiri untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Dan di sebalik semua itu, jangan lupa penasihatnya adalah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pasti amat mahir dengan ‘sepak terajang politik Malaysia’.

Jadi janganlah yang ‘berhingus dalam politik’ cuba mengajar beliau atau menasihatkan beliau supaya belajar politik membangkang atau menjadi sebahagian pembangkang.


Secara keseluruhannya kini yang paling nyata diperhatikan rakyat terhadap apa juga parti ialah dasar perjuangan pada saat dan ketika ini (at this juncture).

Pada ketika UMNO dilihat dan dituduh MEMPERTAHANKAN NAJIB, kepimpinan PPBM pula dilihat mahu ‘Selamatkan Malaysia’ daripada gejala rasuah dan penyelewengan serta kepayahan hidup rakyat.

Rakyat melihat perkara ini dan mungkin DAP, PKR dan AMANAH tertarik untuk bekerja dengan ‘parti kecil’ ini kerana faktor di atas, bukan kerana ramainya ahli atau banyaknya cawangan PPBM.

PPBM bernafas dan bergerak melalui penyokongnya yang bukan semesti ahli partinya. Rakyat memberikan sokongan kepada PPBM, bukan seperti UMNO oleh seramai tiga juta ahlinya.

Kalaupun PPBM tidak mempunyai ibu pejabat yang tersergam indah seperti di PWTC atau bangunan baru yang akan dibina, atau melalui Bahagian dan cawangan UMNO yang bertaburan di Semenanjung dan Sabah, PPBM disokong oleh orang Melayu di Semenanjung sahaja kerana di Sarawak, rakan sekutunya pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sedang bergerak cergas.

Kita ingin melihat sejauh mana rundingan hari ini akan membuahkan hasil kerana pengumuman rasmi diikuti dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PPBM  dan HARAPAN dijangka diadakan pada sebelah petang.

Soal penting yang dikatakan oleh Mukhriz ialah HARAPAN dan PPBM sudah menunjuk dan  memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.

Tidak mengapa kalau pun cara sebenar membentuk kerjasama itu masih belum diputuskan. Namun hasrat dan matlamat sudah jelas dan itulkah sebenarnya inti daripada pertemuan hari ini.

"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dengan kata lain, petang ini akan dikethui apa bentuk kerjasama antara meraka, sama ada:

-        HARAPAN plus PPBM;
-        PPBM menyertai HARAPAN;
-        Membentuk sebuah gabungan baru bersama; atau
-        Satu lagi bentuk kerjasama lain.
-         
Apa yang penting, selain mewujudkan kerjasama dan strategi menghadapi pilihan raya. idea keseluruhan adalah demi  memastikan cara terbaik membentuk kerajaan baru.

Amat nyata kerjasama ini bukan untuk jangka masa pendek tetapi usaha ‘Selamatkan Malaysia’ bagi suatu tempoh yang panjang sebagai parti pemerintah demi memastikan rakyat berbagai bansga  berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. 

Thursday, December 8, 2016

KENAPA BIARKAN MEDIA ANTARABANGSA MENYERANG MALAYSIA BERTALU-TALU?


"Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great Britain dan Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan antarabangsa...terbaru, kononnya China akan bantu 1MDB dalam isu pertikaian dangan IPIC."

Semakin hari semakin terjejas imej negara dan pemimpin gara-gara ‘laporan jahat’ media antarabangsa.

Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great Britain dan negara jiran, Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan antarabangsa untuk diberi pengajaran kerana menyiarkan berita palsu dan bersifat spekulatif ke seluruh dunia.

Terbaru, ia berkaitan laporan kononnya China akan bantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam membuat pembayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Laporan oleh Financial Times (FT) berpusat di Britain itu dikeluarkan di tengah pertikaian hutang AS$6.5 bilion antara 1MDB dan IPIC, iaitu syarikat kewangan milik kerajaan Abu Dhabi.

Kerajaan dan 1MDB perlu bertindak terhadap penyiaran berita sama ada oleh FT atau syarikat berita lain yang tidak bertanggungjawab itu.

Ini kerana ia boleh menjejaskan imej nama baik Malaysia,  kerajaan, pengurusan 1MDB dan individu tertentu yang terbabit.

Berita ini bukan kecil nilainya. Ia bukan sahaja memberikan gambaran buruk kepada 1MDB tetapi turut mengaitkan nama Perdana Menteri apabila setiap kali ada masalah berkaitan dengan 1MDB.

Malah laporan dan ulasan, termasuk oleh South China Morning Post (SCMP) berpngkalan di Hong Kong turut membawa tajuk “HAS CHINA OFFERED TO BAIL OUT MALAYSIA’S 1MDB? AT WHAT COST?” begitu membimbangkan.

Lebih mengejutkan, SCMP yang memetik seseorang yang dikatakan mengetahui mengenai perkara ini memberitahu akhbar berkenaan bahawa Malaysia akan bertukar aset  untuk mendapatkan pembiayaan China bagi tujuan ini.

“China kini sedang membahagi-bahagikan goodwill di seluruh wilayah sekitarnya...jadi ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Oh Ei Sun, bekas pembantu penting Datuk Seri Najib Razak.

Beijing memang tidak membuat permintaan yang pelik-pelik untuk bantuan ekonomi itu tetapi pasti ada harapan bahawa Malaysia ‘perlu tahu apa yang perlu dilakukannya”, tegas Oh.

Tidakkah laporan ini seakan mengesahkan spekulasi oleh media Barat dan Singapura sejauh ini?

Berkaitan ini, The Straits Times Singapura semalam turut memetik laporannya sebelum ini (6 Julai 2016) bahawa sebidang tanah yang dikatakan bernilai berbilion ringgit dimiliki oleh 1MDB di Pulau Pulau Pinang menarik minat sebuah syarikat China untuk mengembangkan perniagaanya di Malaysia.

Tanah selpas 94.7 hektar di Daerah Air Itam itu dikatakan menarik minat perbadanan China termasuk Metallurgical Corp, yang bersedia membayar lebih tinggi daripada pembida tempatan.

Kenyataan ini dikatakan disahkan  oleh eksekutif kewangan yang terbabit dengan rundingan perniagaan itu. Dikatakan, syarikat China mahu membeli tanah itu dengan harga RM2 billion (S$671 million) atau secara perjanjian pembangunan bersama.

Jika dibangunkan secara bersama, 1MDB dijanjikan keuntungan sebanyak RM3.5 billion.
  
Laporan oleh The Straits Times Singapura itu sebagai susulan FT yang menyebut bahawa tiga individu yang mengetahui perkara itu berkata, China dijadikan sumber dana bagi 1MDB.

Ia menambah, satu sumber memberitahu akhbar itu yang Malaysia akan melakukan pertukaran aset bagi pembiayaan itu.

Berikutan itu, hari ini pihak kerajaan membuat penafian keras terhadap dakwaan ada rundingan antara firma pelaburan milik kerajaan itu dengan kerajaan mahupun syarikat dari China berhubung bantuan kewangan dalam pertikaian dengan IPIC itu.


Pengerusi 1Malaysia Development Berhad Tan Sri IrwanSerigar Abdullah hari ini menafikan laporan Financial Times itu dengan mengatakan: “Sebagai pengerusi 1MDB, tidak ada perkara seperti itu. Berunding dengan China atau apa-apa. Itu sangat jelas.

"Saya pengerusi 1MDB, saya tahu. Jadi tiada apa-apa," kata beliau yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani mendakwa beliau tidak tahu menahu bahawa China dihubungi untuk membantu 1MDB menyelesaikan komitmennya kepada syarikat IPIC.

Dalam kenyataan menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini Johari mencadangkan supaya portal ini menghubungi Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk penjelasan.

"Saya tak tahu apa yang tertulis mengenai perkara itu. Mungkin anda patut tanya dengan Arul Kanda," katanya.

Kata Johari beliau tidak melihat ada sebarang alasan untuk China terlibat dalam pertikaian antara 1MDB dan IPIC.

Ditanya sama ada kerajaan atau kabinet ada membuat sebarang keputusan mengenai pembayaran semula 1MDB atau pertukaran aset bagi bantuan kewangan itu, Johari berkata, tiada sepanjang pengetahuannya.

Berikutan laporan FT  itu, anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendesak kerajaan memberi penjelasan mengenai laporan FT berkenaan.

Katanya berita disiarkan FT itu benar-benar merunsingkan kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang diperolehinya beberapa bulan lalu mengenai kemungkinan salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di bursa Singapura tahun depan.

Arul Kanda turut menjelaskan, beliau sudah memberi reaksi kepada FT mengenai laporan berkenaan.

Ditanya sama ada beliau menafikan laporan berkenaan, Arul Kanda meminta supaya Malaysiakini merujuk responnya kepada FT.

Dalam berita disiarkan FT semalam, Arul Kanda dilaporkan enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Katanya 1MDB tidak ada apa-apa sebarang komen untuk ditambah kepada kenyataan dikeluarkan berhubung pertikaian agensi pelaburan berkenaan dengan IPIC sebelum ini.

1MDB dan IPIC kini terlibat dalam proses timbang tara di mahkamah London membabitkan pertikaian bernilai lebih AS$6.5 bilion (RM28.72 bilion).


Persoalannya kini, kenapa media antarabangsa menyerang Malaysia bertalu-talu?

Tidak cukup dengan penulisan, mereka turut menyiarkan gambar dan kartun yang sangaja cuba memburukkan Perdana Menteri dan kerajaan.

Kenapa apabila timbul isu mempersoalkan integriti negara ini, pemimpin parti utama Barisan Nasional, termasuk UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif menunjukkan kekuatan hanya  berdiam diri dan tidak melakukan usaha misalnya menyaman media antarabangsa yang membuat fitnah?

Jika  menentang pembangkang dalam negara, BERSIH 5, isu Rohingya, dana Soros dan sebagainya dilihat untuk mempertahankan kerajaan dan Perdana Menteri, bagaimana pula dengan laporan palsu media antarabangsa  yang bertalu-talu ‘menyerang Najib dan UMNO’?

Tuesday, December 6, 2016

JADI PEMERINTAH - PAS JANGAN BERNAFSU BESAR, LIHATLAH REALITI...


Jangan terlalu mendabik dada dan menunjukkan nafsu besar.

Mengatakan PAS sedia memerintah ‘Malaysia Dengan Prinsip Islam’ selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), apakah PAS cukup kerusi untuk membentuk kerajaan?

Kalau menumpang UMNO dan Barisan Nasional (BN), atau juga bersama pembangkang, PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya untuk membentuk kerajaan dengan prinsip Islamnya.

Bukankah UMNO sendiri sudah ada prinsip Islam yang diperjuangkannya iaitu Wasatiyyah?

Kalau dengan kalangan pembangkang pula, PAS kenalah sedar diri bahawa mereka bukan kelompok terbesar.

PAS kena sedar bahawa untuk memerintah bersendirian, PAS perlu mendapat majoritI mudah daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan.

Apakah PAS akan meletakkan calon lebih 130 orang di semua negeri pada PRU-14? Apakah ia akan menang besar akan mendapat sekurang-kurangnnya 112 kerusi?

Meletakkan harapan dan keyakinan besar memang boleh tetapi pencapaiannya bagaimana?

Yang nyata, PAS tidak pun mencapai keputusan baik pada pilihan raya umum lalu berbanding dengan DAP dari segi kerusi yang dimenangi, apa lagi peratus kemenangan. PAS hanya menang di 21  kerusi Parlimen.

Bukan itu sahaja, PAS kekurangan kerusi berbanding dengan keputusan PRU12.

PAS bertanding di 73 kerusi berbanding DAP sebanyak 51 kerusi dan PKR sebanyak 99 kerusi. BN pula bertanding di 221 kerusi.

Namun keputusannya ialah,  BN mendapat 133 kerusi, DAP 38 dan  PKR 30.  Ini kejayaan paling cemerlang dicapai oleh DAP, walaupun meletakkan calon paling sedikit berbanding PKR dan PAS.

Dengan keputusan itu, DAP berjaya menambah 10 lagi kerusi parlimen pada PRU 13 manakala PAS dan PKR bukan sahaja gagal untuk menambah kerusi, malah hilang pula kerusi yang sedia ada. PAS daripada 23 kerusi parlimen pada PRU12, PAS hilang 2 kerusi menjadi 21 kerusi sahaja.

PAS hanya menang di Kedah (1); Kelantan (9); Terengganu (4); Perak (2);  Pahang (1) dan  Selangor  (4).

Manakala PKR pula daripada 31 kerusi parlimen kini menjadi 30 kerusi setelah hilang 1 kerusi pada PRU13 itu.

DAP mencapai kemenangan 76.47 peratus berbanding PAS hanya 28.7  peratus. PKR pula mendapat 30.3 peratus.

Walaupun mencapai kejayaan, DAP sehingga kini tidak mendabik dada seperti PAS.
Pada ketika PAS dengan bangganya untuk menjadi Blok Ketiga, DAP tetap mencari rakan seperjuangan yang membuktikan ia bukan parti TAMAK dan GELOJOH seperti PAS.
Melihat kepada kedudukan dan keputusan PRU13  lalu,  PAS jangan nak bermimpi di siang hari atau berkhayal sendirian.


Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Norsemalam (5 Disember 2016) berkata di Kuala Terengganu bahawa PAS bersedia untuk memerintah negara ini dengan membawa prinsip Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW, selepas pada pilihan raya umum kali-14 (PRU14).

Katanya, berasaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar yang lalu, PAS akan memimpin dan menyadbir perubahan negara dengan membawa prinsip Islam .

Beliau menegaskan: “Kita tidak mahu meruntuhkan jahiliyah dengan membawa ‘jahiliyah yang baru’………..jadi PAS dengan prinsip Islam dan kita yakin dan percaya dengan latarbelakang golongan professional dan aktivis serta para asatizah.

“PAS mampu mendapat sokongan rakyat pada PRU14 nanti,“ujarnya yakin.

Malah, menurutnya, oleh kerana UMNO telah memalu gendang perang PRU14 pada Perhimpunan Agungnya minggu lalu, ka di pihak PAS pula telah bersedia serratus peratus untuk menghadapi PRU14.

Menurutnya, PAS telah menggerakkan seluruh jenteradan diantara usaha yang akan dibuat ialah mengekalkan momentum tenaga kerja melalui himpunan-himpunan besar antaranya Himpunan Sokongan RUU355 yang akan diadakan pada 18 Februari 2017.

Menurutnya, program yang akan didadakan di Lembah Kelang dijangka menarik lebih 200 ribu orang, bukan sekadar petugas PAS, bahkan para penyokong dan seluruh jaringan sivil (sivil society) serta para NGO Islam.

PAS juga akan  Himpunan Fastaqim 2.0 yang merupakan kesinambungan Fastaqim 1.0 yang diadakan di Kota Baharu yang telah himpunkan lebih 100 ribu ahli-ahli  PAS.

Dengan program seperti itu, menurut Dr Riduan, PAS mungkin boleh mengekalkan pengaruhnya tetapi belum tentu dapat menguasai kerusi untuk membentuk kerajaan.

Di sinilah timbul persoalan, apakah PAS akan memerintah bersaorangan atau bergabung dengan UMNO/BN atau parti pembangkang, kalau tidak dapat majoriti yang diperlukan.

Untuk menegakkan cita-cita dan menjayakan nafsunya, PAS perlu memiliki kerusi secukupnya.

Sementara jika bergabung dengan parti lain, PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Ia perlu bertolak-ansur atau disisihkan langsung.


Daripada kenyataan Dr Riduan, jelas PAS akan bergerak secara bersaorangan kerana ia bukan sahaja enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana wujudnya DAP dan AMANAH tetapi tidak akan bekerjasama dengan UMNO/BN kerana ‘kegagalan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional’.

Dr Riduan berkata negara di bawah UMNO/BN kini mengalami krisis ekonomi yang parah dan hari ini dengan hutang luar sebanyak  RM800 billion serta kejatuhan nilai ringgit yang sangat teruk, PAS menentang pemerintahan atau kerajaan yang ada.

Tidak cukup dengan itu, kini inflasi dirasai oleh rakyat sementara dengan kadar tukaran wang asing yang jauh merosot berbanding nilai ringgit turut menyebabkan rakyat Malaysia sengsara.

Oleh itu beliau yakin dengan situasi sosio politik semasa, kelompok kelas menengah Melayu dan majoriti anak-anak muda akan menolak ‘rejim’ UMNO dan Barisan Basional pada PRU 14 nanti.

Malah, menurutnya negeri Terengganu merupakan antara negeri yang PAS sasarkan untuk mencapai kemenangan, kawasan-kawasan ‘Malay Belt’ (majoriti orang Melayu) dan perlu diingat bawa Terengganu merupakan negeri yang pertama PAS menang dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1959.

PAS juga mensasarkan untuk mempertahankan Kelantan serta merampas kembali negeri Kedah yang di menangi pada tahun 2008 yang lalu.

Selepas meneliti apa yang dikatakan oleh Dr Riduan itu, pertanyaan yan g boleh diakukan ialah, apakah PAS benar-benar yakin dan sedar dengan keupayaan dan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasarnya.

Walaupun mungkin ketika ini PAS  sudah ‘menarik diri’ daripada pakatan pembangkang  dengan mengurangkan kerusi pembangkang (mengambil kira  kerusi DAP dan PKR) dari 90 kepada 69 sahaja tetapi perkembangan mutakhir masih tidak berubah jauh.

Pembangkang selepas ditinggalkan oleh PAS kini mendapat tambahan kerusi selepas  mendapat SATU (1)  kerusi UMNO yang kini ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta DUA (2)  kerusi lagi iaitu satu UMNO dan satu PKR ke Parti Warisan Sabah.

Sebaliknya  PAS kehilangan enam (6) kerusi Parlimen kepada Parti AMANAH. Pada 11 Sep 2015, PKR mengumumkan penyertaan ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar. Bermakna kini PAS hilang tujuh (7) kerusi sejak pengumuman keputusan PRU13.

Ini bermakna di Dewan Rakyat kini, secara keseluruhannya UMNO menjadi 86 kerusi, DAP kekal dengan kerusinya sebanyak 37, PKR 28 dan PAS 14 sahaja.

Komponen BN paling kuat ialah Parti Pesaka Bumiputera (PPB) Sarawak dengan 14 kerusi Parlimen sementara MCA 7 kerusi dan PRS 6 kerusi.  (lihat jadual di bawah untuk lebih jelas).


PAS sebelum ini mendabik dada mengatakan kemenangan DAP kerana sokongan ahli mereka. Namun begitu jugalah kemenangan PAS di beberapa kerusi di Pantai Barat, sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kerana DAP dan PKR membantu PAS.

Namun kali ini, jika PAS bersendirian, PAS hanya boleh harapkan penyokong UMNO dan parti komponen lain menyokongnya untuk menang.

Sedarkah PAS bahawa parti komponen BN sedang menyerang PAS kerana Akta 355  (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang sedang menjadi isu negara sekarang?

Sementara DAP pula memainkan peranannya untuk menyatukan pembangkang dengan berbaik-baik dengan PPBM dan AMANAH selain memujuk ‘pembangkang senyap’ atau ‘majoriti senyap’.

Pilihan ada di tangan PAS sama ada ia mahu mencuba nasib secara bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain.

Diulangi, pilihan terbaik PAS untuk membentuk kerajaan ialah secara bergabung.

Namun untuk menegakkan prinsip dan memerintah dengan prinsipnya, PAS akan berdepan kesukaran.

Ini  kerana parti mana sekali pun, termasuk UMNO tidak akan membiarkan PAS ‘melakukan sesuka hatinya’.

Di sinilah nafsu besar besar perlu dikorbankan jika bergabung. Dan jika ia bertanding bersendirian, PAS pula mungkin terkorban kerana UMNO dan Pakatan Harapan tidak akan membuka jalan kepadanya.

Apakah pilihan PAS untuk bersendirian menjadikan ia akan dikorbankan atau memang PAS mencari nahas untuk ‘korbankan’ dirinya sendiri?

Sunday, November 27, 2016

DAESH BANTU ROHINGYA? KEBIMBANGAN HISHAMUDDIN ADA LOJIKNYA...


"Benar sekali apa yang dibimbangi  Hishammuddin bahawa jika tiada tindakan diambil bagi mengatasi kekejaman terhadap masyarakat Rohingya, mereka mungkin memilih menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh."

Apakah tindakan sebenar yang boleh dilakukan selain bersolidariti  bersama masyarakat Rohingya di negara ini?

Ada beberapa kenyataan pemipin berkaitan isu Rohinga sejak dua tiga hari lalu namun banyak yang bersifat kenyataan ‘keras’ semata-mata.

Bersolidariti hanya untuk tekanan diplomatik yang dihalakan sepenuhnya terhadap kerajaan Myanmar supaya bertindak dengan adil terhadap kezaliman yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya.

Namun apa pelan tindakan sebenar bagi menghentikan kegansan junta Myanmar itu?

Wisma Putra kelmarin turut mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan di Rakhine, Myanmar dan akan memanggil duta Myanmar bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap isu itu.

Kenyataan pada Jumaat (24 November 2016)  itu  mengecam kejadian keganasan yang semakin berleluasa sejak beberapa bulan di utara Rakhine selain menggesa Yangoon  mengambil tindakan kukuh bagi menangani isu penghapusan etnik yang didakwa berlaku di utara Rakhine.

Sementara Menteri Luar Malaysia,  Datuk Seri Anifah Aman akan bertemu Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi secepat mungkin.

Namun semua itu hanya seruan dan kenyataan semata-mata.


Sebaliknya Myanmar mempunyai pilihan dan hak sendiri sama  ada untuk bertindak atau sebaliknya. Dengan kata lain, suara-suara itu lebih bersifat seruan politik semata-mata.

Myanmar yang kuasa pentadbiran dan politiknya dipegang oleh junta bukan mudah untuk digertak atau didesak ‘mengikut selera kita’. Mereka bertindak kerana yakin boleh pertahankan apa yang mereka rasakan betul.

Malah kenyataan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang  ‘keras’ juga tidak akan membawa apa-apa kesan kerana ia pernyataan politik semata-mata.

Presiden PAS itu menggesa kerajaan-kerajaan umat Islam, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) campurtangan dalam isu Rohingya.

Kita memang tahu sejauh mana komitmen mereka, lagipun isu ini bukan baharu. Kalau mereka mahu bertindak, sudah lama mereka bertindak.

Keganasan terhadap etnik Rohingya diketahui sejak awal 1990-an  lagi, namun tiada apa langkah berkesan yang sudah dilakukan.

Walaupun 1,000 kali Hadi beri amaran atau peringatan kepada junta tentera di Myanmar mengenai kekejaman terhadap etnik Rohingya, ia tidak akan berkesan.

Tanpa pelan tindakan, ia akan berlalu di bawa bayu Timur Laut sahaja. Tak ada maknanya!

Malah kenyataan Hadi pada Selasa  (24 November 2016) itu bahawa Rohingya ini berada di celah hampir 400 hingga 500 juta orang umat Islam di rantau Asia Tenggara sahaja 300 juta, di Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand, Selatan Filipina, termasuk di Kemboja termasuk di benua India, juga tidak ada apa-apa kesan.

Malah kata-kata  Hadi, “Di India hampir 200 juta, Pakistan 100 juta orang Islam. Di China pun hampir 40 juta orang Islam. Ini keliling orang Islam……..kalau berlaku apa-apa orang Islam, sabarnya ada batas,” tidak akan mendatangkan sebarang kebimbangan atau ketakutan kepada junta Yangoon.

Kenyataan pada 25 November itu tidak ke mana-mana. Hanya sedap berkata dan sedap didengar.


Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin yang mengaitkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian tegas kerajaan terhadap isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

Malah untuk membuktikan ‘ketegasan kerajaan’ Menteri Belia dan Sukan menekankan bahawa kenyataan keras dari Wisma Putra hampir melanggar dasar tidak campur tangan ASEAN.

Menurut Khairy, kerajaan membuat keputusan berikutan  ucapan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu  bahawa cara ASEAN dan dasar tidak campur tangan tidak boleh lebih tinggi berbanding mencegah penghapusan bangsa dan etnik di Myanmar.

Namun Khairy  tidak menyatakan langkah tindakan yang sewajarnya diambil.

Apapun, kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien semalam (26 November 2016) berlainan sedikit dan memberikan harapan ke atas melaksanakan sesuatu.

Menurut menteri berkenaan, ASEAN perlu mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan dan bukan menyatakan bantahan berhubung apa yang dipercayai berlaku semata-mata.

Menurut beliau,  Menteri Pertahanan Myanmar sudah beliau ingatkan bahawa isu ini adalah bersifat serantau. Jika tidak ditangani dengan baik ia dibimbangi akan wujud  'hot spot' tertentu yang dilihat sebagai kawasan yang diperhati pengganas Daesh.

"Secara peribadi pada dua minggu lepas saya ada minta diadakan mesyuarat bilateral sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dengan Menteri Pertahanan Myanmar bagi membincangkan nasib dan kedudukan masyarakat Rohingya di sana,” katanya.
Benar sekali apa yang dibimbangi  Hishammuddin bahawa jika tiada tindakan diambil bagi mengatasi kekejaman terhadap masyarakat Rohingya, mereka  mungkin memilih menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh.

Malah yang bersimpati dengan masyarakat Rohingya juga mungkin  mengambil jalan sama.

Memang kita tidak menyokong Daesh tetapi sejauh  mana kuasa dan kekuatan kita untuk menghalang dan membendung mereka?

Pada ketika  Malaysia memperhebatkan usaha dalam menangani kumpulan pengganas, kewujudkan ‘hot spot’ baru seperti itu bukan sahaja membahayakan Myanmar tetapi juga Malaysia.

Malah tidak pelik jika ada yang sanggup mengangkat senjata apabila Daesh mula mempengaruhi anak muda kita untuk ke Myanmar seperti yang berlaku apabila ada belia kita sanggup ke Iraq.

Berbanding dengan Iraq, perjuangan terhadap rejim Myanmar lebih jelas dan tindakan mereka juga mudah untuk difahami – antara orang Islam dengan bukan Islam di Myanmar.

Ini sesuatu yang membahayakan dan berbahaya jika dibiarkan.

Jika kejadian di Myanmar itu berterusan dan Yangoon tidak melakukan langkah segera menghentikannya, cabaran bukan sahaja kepada rejim berkenaan tetapi langkah Malaysia untuk mencegah pengaruh Daesh akan menjadi lebih sulit.

Dengan kata lain, langkah-langkah tindak balas pemesejan, mencegah perangkaian kewangan secara sulit, penyahradikalan suspek pelampau dan memantau gerakan merekrut anggota yang berpotensi akan tercabar dan digugat.

Malaysia memang sudah mewujudkan pusat penyahradikalan dalam usaha bertindak balas terhadap usaha dan ideologi yang menyokong keganasan dan radikalisme dalam Islam.


Persoalannya jika isu Rohingya berterusan, apa jaminan bahawa tidak akan wujud gerakan-gerakan militant Islam, kalaupun bukan Daesh, yang akan menggugat rantau ini.

Ini perkara yang wajar difahamkan kepada rejim Myanmar.

Tindakan Hishamuddin memberitahu atau mengingatkan Menteri Pertahanan Myanmar adalah langkah tepat dan penting.

Ini kerana ketidakstabilan ASEAN pastinya akan  menggugat Myanmar dan dengan sendirinya akan menggugat rantau ini.

Negara jiran Myanmar di  ASEAN memang sukar memaksa junta Myanmar tunduk kepada kehendak mereka tetapi jika pengaruh Daesh berkembang akibat dasar Myanmar terhadap etnik Rohinga tidak berubah,  mereka kenalah tanggung kesannya.

Sebelum ia menyulitkan rantau ini, termasuk Malaysia, Yangoon perlu berubah segera dan jika masih degil, mungkin anggota Daesh yang sudah tersingkir dari bumi Iraq dan beberapa kasawan lain di Asia Barat dan Afrika mungkin akan berpindah ke rantau ini.

Malah tidak mengejutkan jika Daesh memilih kawasan utara Rakhine sebagai wilayah baru memperkembangkan pengaruh mereka.