Showing posts with label Rohingya. Show all posts
Showing posts with label Rohingya. Show all posts

Saturday, November 17, 2018

KETEGASAN DR MAHATHIR TERHADAP KRISIS ROHINGA BUKAN MATA ASEAN...



Tidak diketahui sama ada kanak-kanak yang berpelukan ini masih  hidup atau sudah meninggal. Malah,  mungkin juga mereka sudah berada di Malaysia sekarang ini.

Gambar ini saya rakamkan 26 tahun lalu di kem pelarian Rohingya yang  tidak jauh dari bandar di selatan Bangladesh – Cox’s’s Bazar - pada 1992.

Kini, di Malaysia sendiri, dikatakan ada lebih 100,000 pelarian Rohingya. Mereka ‘menumpang berteduh’ dan meneruskan kehidupan, namun tidak semua mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR).

Dilaporkan ada  lebih satu juta penduduk minoriti Islam Rohingya terpaksa  lari mencari perlindungan di negara jiran Bangladesh dan beberapa negara lain berdekatan sejak kekejaman rejim tentera Myanmar yang disifatkan oleh PBB  sebagai langkah ‘penghapusan etnik’.

Saya ingin menyatakan kegembiraan dan mengalu-alukan langkah Malaysia, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkatakan isu ini dengan tegas, selain mengkritik kepimpinan Myanmar dalam krisis Rohingya ini.

Terbaru pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33  di Singapura beberapa hari lalu, Malaysia menunjukkan ketegasan dan komitmen teguh agar masalah dan krisis yang diakibatkan oleh rejim Yangoon ini diberikan perhatian mendalam oleh ASEAN dan dunia seluruhnya.

Malah di Sidang Kemuncak ASEAN Singapura itu juga, untuk kali pertamanya, Malaysia mengambil langkah menyatakan secara terbuka kepada pemimpin Yangoon agar menyelesaikan krisis ini, biarpun ia sudah menjadi pengetahuan pemimpin dan rakyat Malaysia sejak 1992.


Bukan mahu mendabik dada tetapi laporan bersiri dalam Berita Harian yang saya lakukan pada wal 1992 hasil tinjauan di beberapa kem pelarian Rohingya di Bangladesh, khususnya berhampiran Cox’s Baazar pada awalnya  lebih banyak dijadikan ‘alat dan kepentingan politik’ oleh pihak tertentu – bukan berusaha mengatasi isu ini secara bersungguh-sungguh.

Masih ingat dengan jelas, Menteri Luar ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) tidak begitu melihat isu ini secara serius, walaupun ada kenyataan dibuat pada 8 Mac 1992 bertajuk ‘Malaysia Gesa Jangan Tindas’ (Utusan Malaysia) mungkin kerana isu berkaitan Bosnia-Herzegovina menjadi tumpuan utama,  sementara krisis pelarian Rohingya ke Bangladesh ketika itu masiah baharu.

Malah, bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib (Tan Sri) pula menggunakan isu Rohingya pada 1994 untuk kepentingan kempennya bagi menyertai Kem Wawasan pada pemilihan UMNO 1995, diketuai oleh Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ketika itu.

Walaupun pada 7 Mac 1992, Dr Mahathir mengatakan ‘Kerajaan Malaysia Buat Pendirian Tegas’ (Mingguan Malaysia 8 Mac 1992) tetapi Perdana Menteri ke-34 itu tidak dilihat meletakkan isu ini sebagai keutamaan pada beberapa sidang antarabangsa mungkin kerana pelarian Rohingya  ketika itu hanya 100,000 tetapi kini kini sudah melebihi satu juta orang dan membebankan beberapa negara anggota ASEAN sendiri.

Pada kedudukan di mana krisis Rohingya tidak mendapat tempat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke- 4 di Singapura pada Januari 1992, saya berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai yang perlu dijadikan tumpuan.

Selepas beberapa hari kembali ke Kuala Lumpur daripada membuat liputan sidang kemuncak ASEAN ke-4 itu, saya senyap-senyap ‘terbang ke Dhaka’ untuk membuat tinjauan ke kem pelarian Rohingya.

Saya menghargai pendirian tegas Malaysia mengenai krisis Rohingya ketika ini. Malah, ingin saya ucapkan setinggi  terima kasih kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian pada awal 1990-an - Yunus Said - kerana menerima cadangan saya untuk membuat tinjauan ke kem Rohingya berkenaan.

Tanpa sokongan beliau selain sokongan di bahagian penyunting Berita Harian, Kementerian Luar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan beberapa rakan wartawan di Bangladesh dan luar negara, laporan tinjauan dan JEJAK ROHINGYA tidak akan pernah tersiar selama tiga minggu di Berita Harian antara Februari dan Mac 1992.

Bersyukur kerana Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh ketika itu memahami tugas saya sebagai wartawan, menjadkan perjalanan saya ke Cox’s Bazar menjadi mudah.
Di sana saya ditemani wartawan sambilan di Cox’s Bazaar, Munayeem Khan untuk keluar masuk kem pelarian tanya gangguan, walapun terpaksa membayar wang ' kepada pihak tertentu.

Namun, apa nasib pelarian Rohingya  sejak tarikh itu hingga sekarang sama ada yang masih berada di Myanmar, di kem pelarian di Bangladesh dan juga di Malaysia untuk masa-masa mendatang?

Jadi apabila Dr Mahathir pada 14 November 2018 dengan tegas membangkitkan  krisis yang dihadapi etnik Rohingya kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi di Singapura, ia dilakukan secara terbuka dan tidak lagi teragak-agak dan berlapit seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini - beberapa tahun kebelakangan ini – krisis Rohingya dijadikan ‘alat politik’ oleh UMNO dan PAS bagi merapatkan dua pemimpin atasan mereka agar dapat ‘duduk di pentas yang sama’ selain melaungkan slogan yang sama. Tetapi ia  hanya di Kuala Lumpur  – yang akhirnya tidak ke mana-mana.

Demi political milage semata-mata

Ternyata tindakan mereka  hanya gimik politik  murahan  dan menjengkelkan demi  penonjolan diri kononnya pejuang yang menyuarakan ‘nasib pelarian Rohingya’.

Sedangkan hakikatnya untuk menarik perhatian rakyat kononnya kedua-dua pemimpin berkenaan mempejuangkan kepentingan umat Islam.

Sebaliknya kenyataan Dr Mahathir lebih bersifat kemanusiaan dan menentang kekejaman tanpa merujuk ia sebagai ‘perjuangan umat Islam’ sebaliknya sebagai menentang kezaliman dan penghapusan etnik di Rakhnie.

Ketegasan  Dr Mahathir menyampaikan suara hati keseksaan etnik itu kepada Suu Kyi pada pertemuan mereka selain  menggesa usaha dilakukan bagi membetulkan salah laku rejim Myanmar itu.


“Di Myanmar, umat Islam di Rakhine dibunuh, rumah mereka dibakar serta jutaan pelarian telah dipaksa untuk melarikan diri hingga lemas di lautan, tinggal di pondok sementara, tanpa air dan makanan, tanpa sistem sanitasi yang sempirna.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar termasuk penerima Anugerah Nobel Keamaan Laureate menafikan perkara ini berlaku,” tegas Dr Mahathir.

Sebelum ini pun Dr Mahathir menyuarakan pendirian tegasnya beberapa kali secara lantang mengenai nasib umat Islam Rohingya termasuk pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu.

Dalam kedudukan Perdana Menteri sedar bahawa Suu Kyi adalah ‘Kauselor Negara’ tetapi peluang untuk menyatakan  pendirian pada sidang kemuncak ASEAN itu sangat penting.
Dengan reputsainya sebagai pemimpin tegas di arena antarabangsa, Dr Mahathir yang tidak diselubungi dengan isu-isu seperti rasuah dan kleptokrasi antarabangsa, pastinya beliau bebas menyatakan pendirian negara.

Menjawab soalan sama ada beliau (dr Mahathir), sebagai Perdana Menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: "Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan."

Dr Mahathir turut mendedahkan beliau  mengutus sepucuk surat kepada Suu Kyi tetapi ‘Kaunselor Negara’ Rohingya itu tidak mengaku menerima surat berkenaan. Perdana Menteri memberitahu beliau langsung tidak bertanya Suu Kyi mengenai surat itu sama ada beliau menerimanya atau tidak.

Namun di sebalik itu, Perdana Menteri berpendapat: "Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk.”

Yang nyata, Dr Mahathir dengan tegas membuat pendirian bahawa  pemimpin Myanmar itu cuba "mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan" dalam mewajarkan keganasan dilakukan pasukan keselamatan negara itu terhadap penduduk Islam Rohingya khususnya  di Rakhine.

Berikutan sikap tegas dan kritikal beliau  terhadap rejim Myanmar, khsuusnya Suu Kyi, rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota itu turut mengkritik secara langsung selain "prihatin" terhadap isu Rohingya.

Pemimpin berkenaan berharap orang Rohingya akan dapat kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan selamat.

Ketegasan pemimpin ASEAN mengkritik sikap Yanggon dan Suu Kyi memang dinanti-nantikan dan sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Najib dan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Forum ASEAN, apa lagi UNGA, tidak dijadikan medan untuk menyuarakan hasrat ini secara serius.

Sebaliknya Najib khususnya bercakap krisis Rohingya hanya di dalam negara yang menggambarkan betapa beliau hanya menggunakan krisis Rohingya untuk kepentingan politik peribadinya, menggunakan platform UMNO/Barisan Nasional dalam usaha berbaik-baik dan bekerjasama dengan PAS yang turut menggunakan isu ini – kononnya bersimpati dengan masalah yang dihadapi etnik Rohingya – gara dapat duduk sepentas dengan Najib.


Namun di sebalik semua ini, kembali ke tahun 1993, pencalonan siri berita dan rencana saya mengenai krisis Rohingya ke Institut Akhbar Malaysia untuk Anugerah Kajai 1993 terpaksa ‘ditolak-ansurkan’. Ia bagi membolehkan wartawan Harian Metro, akhbar yang masih baru kertika itu memenanginya.

Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail di luar majlis penganugerahan berkenaan di Kuala Lumpur:  “Kamu Hambali sudah menang sekali, berilah pula peluang kepada orang lain pula memang. Lagipun Harian Metro daripada kumpulan akhbar kita’.

Saya amat faham tujuannya!

Walaupun tidak mendapat anugerah, saya berpuashati kerana laporan mengenai krisis Rohinga itu mendapat perhatian mendalam banyak pihak sejak disiarkan oleh Berita Harian antara Februari dan Mac 1992 itu.

Harapan ialah dapat menjejak kaki sekali lagi ke kem pelarian Rohingya yang kini jauh tersusun berbanding ketika saya mula menjejakinya pada 1992.

Sunday, November 27, 2016

DAESH BANTU ROHINGYA? KEBIMBANGAN HISHAMUDDIN ADA LOJIKNYA...


"Benar sekali apa yang dibimbangi  Hishammuddin bahawa jika tiada tindakan diambil bagi mengatasi kekejaman terhadap masyarakat Rohingya, mereka mungkin memilih menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh."

Apakah tindakan sebenar yang boleh dilakukan selain bersolidariti  bersama masyarakat Rohingya di negara ini?

Ada beberapa kenyataan pemipin berkaitan isu Rohinga sejak dua tiga hari lalu namun banyak yang bersifat kenyataan ‘keras’ semata-mata.

Bersolidariti hanya untuk tekanan diplomatik yang dihalakan sepenuhnya terhadap kerajaan Myanmar supaya bertindak dengan adil terhadap kezaliman yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya.

Namun apa pelan tindakan sebenar bagi menghentikan kegansan junta Myanmar itu?

Wisma Putra kelmarin turut mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan di Rakhine, Myanmar dan akan memanggil duta Myanmar bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap isu itu.

Kenyataan pada Jumaat (24 November 2016)  itu  mengecam kejadian keganasan yang semakin berleluasa sejak beberapa bulan di utara Rakhine selain menggesa Yangoon  mengambil tindakan kukuh bagi menangani isu penghapusan etnik yang didakwa berlaku di utara Rakhine.

Sementara Menteri Luar Malaysia,  Datuk Seri Anifah Aman akan bertemu Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi secepat mungkin.

Namun semua itu hanya seruan dan kenyataan semata-mata.


Sebaliknya Myanmar mempunyai pilihan dan hak sendiri sama  ada untuk bertindak atau sebaliknya. Dengan kata lain, suara-suara itu lebih bersifat seruan politik semata-mata.

Myanmar yang kuasa pentadbiran dan politiknya dipegang oleh junta bukan mudah untuk digertak atau didesak ‘mengikut selera kita’. Mereka bertindak kerana yakin boleh pertahankan apa yang mereka rasakan betul.

Malah kenyataan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang  ‘keras’ juga tidak akan membawa apa-apa kesan kerana ia pernyataan politik semata-mata.

Presiden PAS itu menggesa kerajaan-kerajaan umat Islam, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) campurtangan dalam isu Rohingya.

Kita memang tahu sejauh mana komitmen mereka, lagipun isu ini bukan baharu. Kalau mereka mahu bertindak, sudah lama mereka bertindak.

Keganasan terhadap etnik Rohingya diketahui sejak awal 1990-an  lagi, namun tiada apa langkah berkesan yang sudah dilakukan.

Walaupun 1,000 kali Hadi beri amaran atau peringatan kepada junta tentera di Myanmar mengenai kekejaman terhadap etnik Rohingya, ia tidak akan berkesan.

Tanpa pelan tindakan, ia akan berlalu di bawa bayu Timur Laut sahaja. Tak ada maknanya!

Malah kenyataan Hadi pada Selasa  (24 November 2016) itu bahawa Rohingya ini berada di celah hampir 400 hingga 500 juta orang umat Islam di rantau Asia Tenggara sahaja 300 juta, di Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand, Selatan Filipina, termasuk di Kemboja termasuk di benua India, juga tidak ada apa-apa kesan.

Malah kata-kata  Hadi, “Di India hampir 200 juta, Pakistan 100 juta orang Islam. Di China pun hampir 40 juta orang Islam. Ini keliling orang Islam……..kalau berlaku apa-apa orang Islam, sabarnya ada batas,” tidak akan mendatangkan sebarang kebimbangan atau ketakutan kepada junta Yangoon.

Kenyataan pada 25 November itu tidak ke mana-mana. Hanya sedap berkata dan sedap didengar.


Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin yang mengaitkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian tegas kerajaan terhadap isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

Malah untuk membuktikan ‘ketegasan kerajaan’ Menteri Belia dan Sukan menekankan bahawa kenyataan keras dari Wisma Putra hampir melanggar dasar tidak campur tangan ASEAN.

Menurut Khairy, kerajaan membuat keputusan berikutan  ucapan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu  bahawa cara ASEAN dan dasar tidak campur tangan tidak boleh lebih tinggi berbanding mencegah penghapusan bangsa dan etnik di Myanmar.

Namun Khairy  tidak menyatakan langkah tindakan yang sewajarnya diambil.

Apapun, kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien semalam (26 November 2016) berlainan sedikit dan memberikan harapan ke atas melaksanakan sesuatu.

Menurut menteri berkenaan, ASEAN perlu mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan dan bukan menyatakan bantahan berhubung apa yang dipercayai berlaku semata-mata.

Menurut beliau,  Menteri Pertahanan Myanmar sudah beliau ingatkan bahawa isu ini adalah bersifat serantau. Jika tidak ditangani dengan baik ia dibimbangi akan wujud  'hot spot' tertentu yang dilihat sebagai kawasan yang diperhati pengganas Daesh.

"Secara peribadi pada dua minggu lepas saya ada minta diadakan mesyuarat bilateral sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dengan Menteri Pertahanan Myanmar bagi membincangkan nasib dan kedudukan masyarakat Rohingya di sana,” katanya.
Benar sekali apa yang dibimbangi  Hishammuddin bahawa jika tiada tindakan diambil bagi mengatasi kekejaman terhadap masyarakat Rohingya, mereka  mungkin memilih menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh.

Malah yang bersimpati dengan masyarakat Rohingya juga mungkin  mengambil jalan sama.

Memang kita tidak menyokong Daesh tetapi sejauh  mana kuasa dan kekuatan kita untuk menghalang dan membendung mereka?

Pada ketika  Malaysia memperhebatkan usaha dalam menangani kumpulan pengganas, kewujudkan ‘hot spot’ baru seperti itu bukan sahaja membahayakan Myanmar tetapi juga Malaysia.

Malah tidak pelik jika ada yang sanggup mengangkat senjata apabila Daesh mula mempengaruhi anak muda kita untuk ke Myanmar seperti yang berlaku apabila ada belia kita sanggup ke Iraq.

Berbanding dengan Iraq, perjuangan terhadap rejim Myanmar lebih jelas dan tindakan mereka juga mudah untuk difahami – antara orang Islam dengan bukan Islam di Myanmar.

Ini sesuatu yang membahayakan dan berbahaya jika dibiarkan.

Jika kejadian di Myanmar itu berterusan dan Yangoon tidak melakukan langkah segera menghentikannya, cabaran bukan sahaja kepada rejim berkenaan tetapi langkah Malaysia untuk mencegah pengaruh Daesh akan menjadi lebih sulit.

Dengan kata lain, langkah-langkah tindak balas pemesejan, mencegah perangkaian kewangan secara sulit, penyahradikalan suspek pelampau dan memantau gerakan merekrut anggota yang berpotensi akan tercabar dan digugat.

Malaysia memang sudah mewujudkan pusat penyahradikalan dalam usaha bertindak balas terhadap usaha dan ideologi yang menyokong keganasan dan radikalisme dalam Islam.


Persoalannya jika isu Rohingya berterusan, apa jaminan bahawa tidak akan wujud gerakan-gerakan militant Islam, kalaupun bukan Daesh, yang akan menggugat rantau ini.

Ini perkara yang wajar difahamkan kepada rejim Myanmar.

Tindakan Hishamuddin memberitahu atau mengingatkan Menteri Pertahanan Myanmar adalah langkah tepat dan penting.

Ini kerana ketidakstabilan ASEAN pastinya akan  menggugat Myanmar dan dengan sendirinya akan menggugat rantau ini.

Negara jiran Myanmar di  ASEAN memang sukar memaksa junta Myanmar tunduk kepada kehendak mereka tetapi jika pengaruh Daesh berkembang akibat dasar Myanmar terhadap etnik Rohinga tidak berubah,  mereka kenalah tanggung kesannya.

Sebelum ia menyulitkan rantau ini, termasuk Malaysia, Yangoon perlu berubah segera dan jika masih degil, mungkin anggota Daesh yang sudah tersingkir dari bumi Iraq dan beberapa kasawan lain di Asia Barat dan Afrika mungkin akan berpindah ke rantau ini.

Malah tidak mengejutkan jika Daesh memilih kawasan utara Rakhine sebagai wilayah baru memperkembangkan pengaruh mereka.

Saturday, July 16, 2016

PEMUDA JADI PENGECUT KERANA PEMIMPIN UTAMA LAGI PENGECUT?

"Malaysia kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam...tidak ada haluan sendiri. Ucapan pada sidang antarabangsa sudah longlai dan kaku.Inikah ‘pejuang dan panglima’ negara Islam kini? 


Orang Islam yang membunuh tidak kiralah kepada sesama Islam atau ke atas penganut agama lain dihukum dan digelar dengan berbagai nama.

Ada menggelar pengganas, pelampau, pembunuh, malah menyebut mereka sebagai ‘setan’.

Bagaimana dengan penganut agama Buddha yang membunuh beribu-ribu rakyat beragama Islam di Myanmar, Thailand, China dan di beberapa negara lain?

Bagaimana dengan tindakan mereka membakar masjid dan rumah kediaman umat Islam? Bukankah mereka juga setan?

Adakah ‘pelampau Islam’ membakar gereja, kuil atau rumah ibadah lain sewenang-wenangnya seperti mana penganut Buddha membakar masjid?


Kita masih ingat bagaimana golongan muda di negara ini bersuara mengenai isu masjid Babri di India dan beberapa tempat lain, termasuk isu masjid Al-Aqsa. Namun kini? tanyalah diri sendiri.

Malah, perjuangan untuk Rohingya nampaknya banyak dilakukan oleh Barat, malah agensi berita Reuters - yang dilihat pro_Barat - pernah mengemukakan soalan, "Kenapa Tidak Ada Sesiapa Membantu Rohingya?"

Kita sedih dengan sikap negara-negara yang hanya menghukum pelampau Islam tetapi memejamkan mata kepada keganasan terhadap orang Islam,  tidak kiralah di mana juga.

Kita juga kesal kerana negara kita – Malaysia – kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam,  pada ketika pemimpin negara mengakui mereka ‘pejuang dan panglima’ negara Islam.

Malaysia hanya meminta Pertubuhan Islam (OIC) bertindak dalam isu Rohingya tetapi tidak menjadi penggerak atau pembuka langkah sebaliknya hanya mahu menjadi pengikut dan berlinadung di sebalik negara lain.

Kenapa terjadi begini? Apa posture dan strategi dasar luar kita?

Kita antara 34 negara Islam yang menyertai Arab Saudi untuk menentang keganasan Islam dan kerana itu mungkin kita dapat  balasan ‘derma RM2.6 bilion’. Namun apa kesannya?


Siapa yang melakukan pengeboman kononnya menentang ‘keganasan Islam’ di Syria? Ini jawapannya...

Kini seolah-olah negara  tidak ada haluan sendiri dan ikut sahaja apa yang berlaku. Ucapan pada sidang antarabangsa pun sudah longlai dan kaku!

Prioriti Perdana Menteri sendiri terhadap kedudukan kita dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu, OIC, ASEAN, G-15, Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM), APEC, ASEM pun sudah kabur.

Malah, dasar luar kita kini ibarat berada dalam jerebu yang ‘tidak berupaya memandang jauh’.

Kenapa kita tiba-tiba menjadi begitu lemah di persada antarabangsa berbanding kita juara ketika isu seperti  Bosnia-Herzegovina suatu ketika dahulu?

Berita Harian 2 September 1992
Kenapa kita tidak lagi berjuang untuk memajukan ekonomi negara Islam dan tidak lagi menjadi juara untuk pertubuhan ekonomi Islam seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri?

Apa jadi dan kesannya  Forum Ekonomi Islam umpamanya perhimpunan WIEF ke 11 di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Apa kesannya mengenai usaha memperkukuhkan lembaga kewangan Islam, pengembangan usaha mikro, kecil, dan menengah serta pembiayaan syariah untuk industri kecil dan menengah di negara-negara Islam?

Juga sejak pengunduran Dr Mahathir, apa jadi dengan pergerakan Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8)?  Cetusan kerajasama ini dibangkitkan oleh Dr Necmettin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki pada satu seminar “Kerjasama Dalam pembangunan” diadakan di Istanbul in pada Oktober 1996. 

Kenapa dan apa masalah dengan Malaysia kini?

Kenapa kita lemah membuat pendirian mengenai nasib umat Islam yang diserang bertalu-talu di Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Yemen  serta beberapa negara lain di Afrika, sedangkan kita bukan sahaja membuktikan kita ‘juara negara Islam’ pada 1990-an - bersuara menentang kezaliman Barat pada Perang Teluk misalnya?

Apa sudah jadi dengan dasar luar dan ‘diplomasi politik’ Malaysia di pertubuhan antarabangsa?

Apakah dengan dasar berkecuali bermakna kita boleh berdiam diri? Istilah berkecuali dalam diplomasi antarabangsa ialah kita tidak berpihak tetapi perjuangan menegakkan keadilan menjadi keutamaan perjuangan dan dasar luar kita.

Kita juga sedih dengan peranan yang dimainkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO yang berlebih-lebihan dalam isu tertentu di Malaysia.

Di mana mereka dalam isu antarabangsa? Kenapa Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Najib Razak,Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz atau juga ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu vocal dalam isu antarabangsa di era mereka?

Malah Biro Antarabangsa Pemuda UMNO dipimpin oleh Nazri Aziz dan Setiausahanya Mustapha Yaakob  dilihat biro yang sangat aktif dalam memperjuangkan isu antarabangsa dan masyarakat antabangsa yang tertindas.

Malah mereka turut bersuara kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam di Asia Tengah, selain Asia Barat, di Balkan atau di mana jua.

Juga ada gerakan mengutip derma untuk masyarakat antarabangsa, bukan sahaja Islam di negara-negara yang rakyat mereka ditindas oleh pemerintah. Kini? Pemuda UMNO hanya mengharampkan ‘derma’.

Persoalannya, kenapa Pemuda UMNO sekitar 1980-an dan 1990-an, berani membuat kenyataan dan membuat pelbagai gerakan?

Kenapa mereka berani bertindak menyokong masyarakat antabangsa yang tertindas dan teraninaya?

Tetapi kenapa Pemuda UMNO kini membisu? Apakah kerana pemimpin utama UMNO berdiam diri dengan menunjukkan sikap pengecut, mereka turut menjadi ‘pengecut’?

Beraninya Pemuda UMNO pada 1980-an dan 1990-an kerana ketua mereka juga berani?

Sekawan itek berenang mengikut ketua mereka, jika ketua ke kiri, kekirilah mereka dan jika membelok ke kanan, ke kananlah mereka. Itulah kekuatan Pemuda UMNO sebelum ini tetapi sekarang?

Mohd Fakhrulrazi
Dalam isu Rohingya ini, kita menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang menyeru supaya pertubuhan Buddha di Malaysia  dapat berperanan untuk menyampaikan mesej mahupun tekanan kepada pelampau Buddha di Myanmar untuk menamatkan pembunuhan ke atas umat Islam.

"Saya percaya agama Buddha tidak bersetuju dengan apa jua bentuk keganasan. Oleh itu, kita minta organisasi berkaitan Buddha di negara ini berkongsi idea dan tampil berperanan. Penganut Buddha di Malaysia contohnya tidak bersikap seperti mereka di Myanmar’ “ katanya.

Beliau yakin rakan-rakan Buddha di negara ini dalam menyumbang idea dan peranan untuk menamatkan kezaliman dan pembunuhan terhadap masyarakat Islam di Myanmar," tambahnya lagi.

Setidak-tidaknya Pemuda AMANAH mempunyai pendirian.
Pemimpin PAS dan pemudanya juga berani dengan mnghadirkan diri diri dalam bantahan di Kedutaan Myanmar semalam.

Pemuda UMNO? Hanya sanggup ‘berperang’ dengan pemimpin DAP dalam negara tetapi tidak dalam isu-isu antarabangsa yang lebih menyeluruh.

Bangkitlah dan lihatlah kepentingan yang lebih luas jika kita mahu dihormati dan mendapat pengiktirafan rakyat.

Jangan berbangga dengan BAJU MERAH digunakan untuk ‘bertelagah’ sesama kita di dalam negara tetapi gunakan BAJU MERAH – warna kebanggaan UMNO itu -  untuk perjuangan isu-isu global.

Kalaupun benci dan marah dengan Dr Mahathir baca dan faham pendapat beliau bahawa:

1.      1. Beliau meramalkan Abad ked-21 adalah abad yang penuh ceria generasi muda yang lebih beretika, berilmu dan memahami roh tamadun dunia.  Bagi generasi muda, kata Dr Mahathir, mereka hendaklah berani merungkai ikatan budaya yang lapuk dan sebaliknya mengamalkan nilai ilmu yang lebih tinggi dan bermanfaat kepada dunia seluruhnya.

2.      2. Generasi muda abad ke-21 mesti memikirkan diri mereka adalah rakyat dunia. Manfaatkan teori dunia tanpa sempadan (lihat Kenichi Ohmae: Borderless World, 1989) dengan menghapuskan prejudis bangsa, politik, ekonomi, agama dan pelbagai lagi.

3.     3.  Generasi muda abad ke-21 mesti mengelakkan diri dan menghalang berlakunya perperangan antara tamadun dunia. Zaman informasi dan teknologi maklumat yang tinggi pada abad ke-21 itu perlu dimanfaatkan secukupnya dan seadil-adilnya supaya tidak ada negara yang akan terpulau. Mereka perlu membina kekuatan diri sendiri dan menjadikan tamadun dunia untuk satu bangsa saja.

Semua ini boleh di dapati jika membaca buku A New Deal for Asia (1999) iaitu sanggahan kepada propaganda ahli sains politik Amerika Syarikat, Samuel P Huntington melalui buku-bukunya, Clash of Civilisation (1993) dan Clash of Civilisation and Remaking of World Order (1996).

Inilah yang dinamakan sebagai ‘point counter point’ atau ‘hujah dengan hujah’ bukan jawapan merapu yang hanya untuk membela atau menyokong seseorang. Jawapan Dr Mahatahir tidak menyokong sesiapa tetapi pendirian intelektualnya.

Jadi kepada pemuda-pemuda di negara ini - masyarakat Islam di negara-negara yang menindas mereka memerlukan sokongan dan perjuangan kita  untuk bersama mereka.

Dan golongan muda, tidak terkecuali Pemuda UMNO, mereka  adalah harapan kita dan harapan mereka!