Friday, August 19, 2011

ANGKUHNYA KETUA MENTERI CINA INI…

“Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim (Guan Eng) memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman.” - Datuk Zainal Abidin Osman

Mungkin Ramadan ini bulan UMNO dicabar dan pemimpinnya diminta beristifar untuk menilai di mana kedudukan dan hala tuju perjuangannya.

Beberapa hari ini, UMNO Selangor mahu saman PAS, UMNO Pulau Pinang mahu saman pemimpin DAP.

Jika di Selangor, UMNO berang dengan isu mengkristiankan orang Islam yang dikaitkan dengan 'tangan ghaib UMNO', di Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang menaikkan kemarahan pemimpin Melayu dan Islam Pulau Mutiara itu yang dikatakan cuba mengaitkan isu perkauman ekoran insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP, Ahad lalu.

Pada ketika Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ‘buat tidak layan’ amaran UMNO Selangor, Lim Guan Eng dengan angkuh mencabar Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman agar tidak perlu menunggu sehingga tujuh hari untuk menyaman beliau.

Malah beliau mencabar Zainal boleh berbuat demikian sekarang jika mahu. Zainal Abidin berkata semalam, kenyataan Guan Eng memberi gambaran seolah-olah perbuatan simbah cat itu dilakukan oleh orang Islam.

“Sebagai Ketua Menteri, beliau tidak sepatutnya bercakap sembarangan tanpa bukti, apatah lagi cuba mengaitkan sesuatu kejadian jenayah dengan isu sensitif agama,” katanya.

Guan Eng sebelum ini dipetik berkata, simbahan cat di ibu pejabat DAP mungkin berkaitan dengan tindakan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri ini menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh.

Pemimpin DAP itu jelas sengaja bermain api. Dengan mengaitkan isu simbah cat dengan larangan pembesar suara untuk azan pada waktu subuh adalah prejudis amat besar terhadap umat Islam, khususnya di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Zainal Abidin dilaporkan berbalas mesej menerusi Twitter petang ini mengenai tindakan saman berhubung kenyataan Lim.

Dengan angkuh Guang Eng berkata: “Tak payah tunggu tujuh hari. Saman sekarang. Kamu belit. Buktikan apa saya cakap,” dalam mesej diposkan sekitar 7 petang tadi.

Kira-kira dua jam sebelum itu, Zainal Abidin dalam mesej kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata: “Saya beri notis tujuh hari kepada Lim Guan Eng, beri bukti, sebelum saya bawa ke mahkamah.”

Khairy berkata beliau berharap Umno Pulau Pinang akan menyaman Lim kerana menuduh membakar ibu pejabat DAP di George Town.

Ahad lepas, pejabat DAP di Jalan Talipon di George Town dan pusat perkhidmatan Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik, di Lorong Seratus Tahun disimbah dengan cat.

Awal pagi semalam pula sebuah papan tanda dan pintu utama pejabat DAP Pulau Pinang itu mengalami kerosakan teruk akibat satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaacob hari ini sudah memberi jaminan polis akan menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat insiden cubaan membakar ibu pejabat DAP Pulau Pinang itu.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam menggesa Lim menarik balik kenyataannya yang didakwa cuba mengaitkan isu perkauman dengan insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP.

Kerana itu Zainal Abidin dengan tegas menyebut: “Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman.

Tiba masanya UMNO jangan hanya memberi amaran atau 'membuat ugutan' tetapi menyaman mereka yang sengaja memburuk-burukkan UMNO untuk meyakinkan rakyat bahawa ia parti bermaruah dan memang berjuang menegakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Thursday, August 18, 2011

KERAJAAN BN LEMAH & ‘KECUT’ HADAPI PEMBANGKANG?

“Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai. Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka (pembangkang), maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem.” -Datuk Sri Mohd Najib Razak

Buat pembaharuan untuk memuaskan hati pembangkang?

Bagaimana dengan perasaan rakyat majoriti di negara ini. Apakah mereka tidak penting untuk kerajaan?

Apakah sokongan mereka pada pilihan raya tidak penting sebaliknya kerajaan yang dibentuk hasil sokongan majoriti rakyat terlalu ‘kecut’ dan bimbang dengan pembangkang?

Apakah kerajaan sebegini yakin dan berupaya menang pilihan raya umum akan datang?
Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini lemah dan terpaksa tunduk apabila menubuhkan Panel Parlimen kerana bimbang pembangkang?

Ini bermakna penubuhan itu bukan untuk usaha menambah baik sistem pilihan raya selain demi sistem politik yang semakin baik tetapi lebih untuk memuaskan hati pembangkang!

Jika demikian, buat apa sokong kerajaan, baik sokong pembangkang jika kerajaan yang memerintah ‘kecut’ dengan pembangkang dan pendapat atau cadangan pembangkang lebih baik daripada kerajaan yang ada.

Persoalannya sekarang, BN mulai tunduk dan akur tuntutan pembangkang dan jika ada tuntuntan lanjutan (pembangkang pastinya tidak akan berpuas hati dalam segala perkara dengan BN) pembangkang selepas ini, bagaimana?

Dengan memulakan langkah sumbang iaitu tunduk kepada pembangkang, apakah akan banyak lagi langkah sumbang selepas ini?

Pastinya pembangkang akan mendabik dada dan menjelajah ke serata pelusuk negeri mengatakan BN lemah dan tunduk kepada tuntutan mereka.

Sedangkan mungkin hasrat murni yang sebenarnya tersirat di sebalik pembaharuan pilihan raya untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia sebagai sesuatu yang terbaik.

Mengejutkan selepas tiga hari mengumumkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya, Perdana Menteri berkata di Kapar semalam keputusan itu diambil untuk “memuaskan” pembangkang.

Semua tahu bahawa pembangkang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang ditentang hebat oleh kerajaan.

Bukankah dengan memenuhi tuntutan atau tunduk kepada pembangkang dalam isu ini bermakna secara tidak langsung kerajaan BN ‘mengiktiraf’ perhimpunan berkenaan?

Tegas Datuk Sri Mohd Najib Razak Najib semalam: “Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai. Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka, maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem.”

Malah, lebih jauh Najib berkata: “Kami mahu sesiapa yang memerintah negara ini dipilih mengikuti kehendak sebenar rakyat.”

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menggeleng kepala apabila ditanya sama ada Najib mengambil pendekatan itu bertujuan memperbaiki imej antarabangsa kerajaan kepimpinannya.

Pada ketika Dr Mahathir Mohamad menyokong keputusan Putrajaya mahu melaksanakan pembaharuan pilihan raya dengan membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, beliau mengakui ia ekoran “kesan tempatan” ke atas pentadbiran Najib selepas perhimpunan 9 Julai.

“Bukan disebabkan kesan antarabangsa... ia kesan tempatan,” kata Dr Mahathir selepas melancarkan majlis kutipan sumbangan bagi mangsa kebuluran Somalia di Yayasan Perdana Global Peace semalam.

Dr Mahathir berkata sistem pilihan raya di Malaysia kurang kepincangan berbanding negara-negara lain yang dibuktikan bahawa kelemahan yang ada sesuatu yang berleluasa memandangkan kita dapat melihat di negara-negara tertentu di mana 99 peratus undi pergi kepada satu parti tertentu.

Menurutnya, di Malaysia, dalam setiap pilihan raya, pembangkang menang kerusi, malah menang beberapa negeri dan kemungkinan ada kekurangan di sana sini tetapi pada umumnya pilihan raya di Malaysia adalah bersih. “Tidak bersih secara mutlak, tetapi bersih,” kata Dr Mahathir.

Berdasarkan pendapat Dr Mahathir ini jelas sekali sepatutnya pembaharuan atau apa juga dasar mengenai pilihan raya sewajarnya dilakukan demi dasar berkenaan, bukan untuk memuas hati pembangkang.

Apakah Najib akan mematuhi dan ‘kecut’ dengan tuntutan-tuntutan lain oleh pembangkang selepas ini?

Wednesday, August 17, 2011

MEMFITNAH UMNO - TAHNIAH Ir. ZIN, UMNO SELANGOR

Tahniah Datuk Seri Ir. Mohd Zin.

Pada ketika Ibu Pejabat UMNO semacam khayal dan melihat isu murtad seperti tidak penting, anda mencabar PAS supaya meminta maaf kerana mengait dan menyalahkan UMNO dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Hingga hari ini, kita tidak jelas apa pendekatan Penerangan UMNO bagi isu yang penting ini.

Kenyataan-kenyataan hambar oleh sesetengah pemimpin UMNO menjadikan seolah-olah serangan terhadap Jabatan Agama islam Selangor atau JAIS itu hanya isu di Selangor.

Sedangkan PAS mula menuding jari kepada UMNO (baca juga ulasan berikut) kononnya ada unsu
r campurtangan UMNO dalam siasatan yang dijalankan oleh JAIS terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya yang dikatakan cuba memurtadkan umat Islam.

UMNO yang berjuang demi agama Islam, bangsa dan tanah air seharusnya melakukan gerakan bersepadu mendekati permasalahan ini hanya jelas merugikan PAS dan boleh menimbulkan persoalan kepada PAS di mana perjuangan Islam mereka sebenarnya.

Dengan memberikan tempoh tiga hari, sehingga esok kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali untuk memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataannya yang menyalahkan UMNO adalah tindakan yang memang patut dilakukan bukan sahaja oleh Zin tetapi seluruh warga UMNO.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor itu semalam berkata kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan UMNO sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Mustafa turut mengatakan UMNO memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.

Hakikatnya, rakyat khususnya umat islam di negara ini sedang memerhati dengan penuh prihatin kegagalan demi kegagalan yang dibuat oleh kerajaan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS Selangor dalam menangani pelbagai masalah dan kepentingan rakyat.

Namun, apakah UMNO menggunakan pe;luang seperti ini untuk menonjolkan bahawa ia parti yang memperjuangkan kebaikan untuk rakyat dan tidak gagal seperti pakatan pembangkang di Selangor itu?

Zin menambah, tuduhan tidak berasas Mustafa ke atas UMNO itu sangat dikesali kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dihormati dan dihayati oleh semua umat Islam.

Walaupun beliau bercakap bagi pihak UMNO Selangor yang memberi masa tiga hari kepada PAS dan Mustafa Ali supaya memohon maaf, seharusnya ia mewakili UMNO seluruh negeri – kecuali Sarawak

Zin mahu PAS dan Mustafai dikenakan tindakan undang-undang kerana tuduhan tidak berasas itu.

Biar Mustafa sedar dan jangan mengaitkan segala perkara dengan UMNO kerana pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu adalah berasaskan kepada kepentingan islam dan tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Dengan tindakan UMNO Selangor ini juga akan membuktikan kepada rakyat bahawa PAS adalah parti yang hilang arah dan melihat politik dan kuasa adalah segala-galanya dan sanggup menggadai perjuangannya hanya kerana mahu mendapat pengiktirafan DAP dan PKR, bukannya Allah s.w.t.

Tuesday, August 16, 2011

KETERAMPILAN NAJIB MENGATASI ANWAR - MERDEKA CENTRE

Usaha memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak tidak berjaya malah komuniti siber anti-Najib juga gagal menonjolkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya media perdana yang dianggap ketinggalan berbanding media baru berjaya menaikkan imej Najib selain mampu menenggelamkan Anwar dengan isu-isu dan dakwaan bersilih ganti.

Menurut Ibrahim Suffian dari pusat bancian Merdeka Centre, walaupun komuniti siber di Internet - seperti laman Facebook anti-Najib - yang sebahagian besar menentang perdana menteri itu, tetapi pada hakikatnya bahawa sebilangan besar daripada rakyat tidak terdedah dengan sumber maklumat alternatif.

"Saya fikir orang ramai tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai apa yang dilakukan oleh Anwar untuk mempengaruhi keputusan. (Ini adalah) kerana hanya kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini yang mempunyai akses kepada berita alternatif, jauh lebih rendah daripada akses internet.

"Tidak semua orang yang melayari Internet akan melawat portal dan membaca berita. Oleh itu, terdapat ketidakseimbangan bagaimana orang ramai boleh menilai seseorang pemimpin. "

Kerana itu Najib dilihat lebih berketerampilan sebagai pemimpin di mata masyarakat umum berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah kerana keberkesanan penggunaan media arus perdana untuk menaikkan imej Najib.

Malah katanya, jumlah rakyat yang berpuas hati dengan kepimpinan perdana menteri, kukuh pada paras 69 peratus pada Disember lalu.

"Jika anda bertanya kepada saya - siapa yang rakyat fikirkan boleh melakukan kerja dengan lebih baik,- mereka berkemungkinan akan memilih Najib.

Terdapat banyak berita mengenai Najib melakukan pelbagai perkara dan sebahagian besar berita itu sangat positif.

"Jadi mereka mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap Najib berbanding Anwar. (Persepsi Anwar) dalam media arus perdana diselubungi tindakan undang-undang yang bersilih ganti. Hampir setiap hari, ada sahaja orang yang menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan.”

Kata Ibrahim, sekurang-kurangnya dua pertiga, bersetuju dengan apa yang perdana menteri sedang memperkatakan atau cuba untuk berbuat.

Sumber : Malaysiakini