Showing posts with label Murtad. Show all posts
Showing posts with label Murtad. Show all posts

Monday, November 19, 2012

SELEPAS KAFIR, UMNO KINI MURTAD - NIK AZIZ


Jangan marah! Jangan melenting!

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melabelkan UMNO sebagai parti murtad.

Label ini diberikan selepas sebelum ini UMNO dikatakan sebagai ‘kafir’. Ini  kerana UMNO dikatakan oleh Nik Aziz sebagai ‘tidak memperjuangkan Islam’.

Bagi Nik Aziz, UMNO tidak cukup dengan hanya mengatakan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu atau Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia semata-mata tetapi UMNO perlu perjuangkan Islam seperti PAS.

Peringatan: Nik Aziz tidak kata penyokong UMNO murtad, tapi parti yang didokong oleh orang Islam iaitu murtad. Nik Aziz mendakwa parti UMNO menolak Islam daripada dasar perjuangannya menyebabkan ia murtad.

Bagi Nik Aziz, bukan sahaja UMNO, malah mana-mana pihak yang memperlekehkan Islam dengan sengaja boleh dianggap murtad kerana tidak mahu menerima hukum Allah sebagai panduan hidup.

"Timbul masalah murtad, katanya sebab paderi Kristian, tapi saya kata tidak (kerana) orang Melayu murtad kerana orang Melayu sendiri memperlekeh Islam. "UMNO tolak Islam, maka nampak dia memperlekehkan Islam. Dia buang Islam. Macam lekehkan benda salah...macam ubat habis tempoh dia buang. Jadi bila UMNO buang (Islam), agama apa UMNO tu?


"Murtad ini bukan (hasutan) daripada paderi Kristian, tapi daripada orang Melayu sendiri yang tolak Islam, (maknanya) yang tolak Islam dia murtad.

Agama apa UMNO pakai? Bila UMNO tolak Islam dalam dasar parti dia, maka (adakah) UMNO sama ada Kristian, Buddha atau tak ada agama?" katanya kepada pemberita pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di Kota Bharu.

Namun, jika dikaji secara halus iaitu dengan berjuang, menegakkan perjuangan parti serta mengundi calon UMNO melalui Barisan Nasional – semua penyokong UMNO turut murtad.

Bagaimana pula dengan mereka yang menyokong UMNO bukan sebagai ahli dan bersimpati dengan perjuangannya? Bagaimana dengan Raja-Raja Melayu, alim ulama, mufti, guru agama dan tokoh-tokoh Islam yang bersimpati dengan UMNO?

Mengikut analogi Nik Aziz, mereka yang bersekutu dengan parti murtad akan menerima padahnya.

Diminta penjelasan sama ada beliau menjatuhkan hukum murtad kepada UMNO selepas mendakwa parti itu memperlekehkan Islam, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak kira siapa pun...tak kira kalau tok guru (agama) sekalipun, kalau murtad...murtad lah. "Usahkan UMNO, tok guru berserban atau berjanggut, kalau dia tolak Islam dengan cara hati (niat bahawa) Islam tak guna... (maka) dia murtad walaupun tak ada mufti beritahu. Kalau dia tolak Islam dengan sengaja, yakin bahawa Islam tak guna...dia murad."

Amat jelas daripada apa yang diperkatakan oleh Nik Aziz ini, dengan menyifatkan UMNO telah memperlekehkan Islam ia layak dilabel sebagai murtad.

Dengan tegas, Menteri Besar Kelantan itu berkata: "Tak lekeh apa dia buang Islam."

Benarkah UMNO buang Islam? Kita mahu lihat polimik mendalam mengenai tuduhan NIk Aziz bahawa UMNO Murtad selepas BUKAN Islam.

Bijak pandai dan ilmuan tidak kira sama ada dalam UMNO atau di luar perlu membahaskan pandangan ini kerana NIk Aziz sudah menyatakan pendapatnya yang dibimbangi berubah menjadi 'fatwa' selepas ini selepas Fatwa Hadi belum ditarik balik!



Wednesday, August 17, 2011

MEMFITNAH UMNO - TAHNIAH Ir. ZIN, UMNO SELANGOR

Tahniah Datuk Seri Ir. Mohd Zin.

Pada ketika Ibu Pejabat UMNO semacam khayal dan melihat isu murtad seperti tidak penting, anda mencabar PAS supaya meminta maaf kerana mengait dan menyalahkan UMNO dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Hingga hari ini, kita tidak jelas apa pendekatan Penerangan UMNO bagi isu yang penting ini.

Kenyataan-kenyataan hambar oleh sesetengah pemimpin UMNO menjadikan seolah-olah serangan terhadap Jabatan Agama islam Selangor atau JAIS itu hanya isu di Selangor.

Sedangkan PAS mula menuding jari kepada UMNO (baca juga ulasan berikut) kononnya ada unsu
r campurtangan UMNO dalam siasatan yang dijalankan oleh JAIS terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya yang dikatakan cuba memurtadkan umat Islam.

UMNO yang berjuang demi agama Islam, bangsa dan tanah air seharusnya melakukan gerakan bersepadu mendekati permasalahan ini hanya jelas merugikan PAS dan boleh menimbulkan persoalan kepada PAS di mana perjuangan Islam mereka sebenarnya.

Dengan memberikan tempoh tiga hari, sehingga esok kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali untuk memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataannya yang menyalahkan UMNO adalah tindakan yang memang patut dilakukan bukan sahaja oleh Zin tetapi seluruh warga UMNO.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor itu semalam berkata kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan UMNO sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Mustafa turut mengatakan UMNO memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.

Hakikatnya, rakyat khususnya umat islam di negara ini sedang memerhati dengan penuh prihatin kegagalan demi kegagalan yang dibuat oleh kerajaan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS Selangor dalam menangani pelbagai masalah dan kepentingan rakyat.

Namun, apakah UMNO menggunakan pe;luang seperti ini untuk menonjolkan bahawa ia parti yang memperjuangkan kebaikan untuk rakyat dan tidak gagal seperti pakatan pembangkang di Selangor itu?

Zin menambah, tuduhan tidak berasas Mustafa ke atas UMNO itu sangat dikesali kerana ia dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dihormati dan dihayati oleh semua umat Islam.

Walaupun beliau bercakap bagi pihak UMNO Selangor yang memberi masa tiga hari kepada PAS dan Mustafa Ali supaya memohon maaf, seharusnya ia mewakili UMNO seluruh negeri – kecuali Sarawak

Zin mahu PAS dan Mustafai dikenakan tindakan undang-undang kerana tuduhan tidak berasas itu.

Biar Mustafa sedar dan jangan mengaitkan segala perkara dengan UMNO kerana pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu adalah berasaskan kepada kepentingan islam dan tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Dengan tindakan UMNO Selangor ini juga akan membuktikan kepada rakyat bahawa PAS adalah parti yang hilang arah dan melihat politik dan kuasa adalah segala-galanya dan sanggup menggadai perjuangannya hanya kerana mahu mendapat pengiktirafan DAP dan PKR, bukannya Allah s.w.t.

Friday, November 12, 2010

ISU SOSEJ BABI DEDAHKAN MANUSIA DUA IDENTITI

"KDN kena siasat bagaimana seorang warganegara boleh mempunyai dua identiti yang berbeza dan mesti siasat sama ada pemberian dokumen rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul atau pemberian kepada pendaftaran nikah kahwin tak betul...tidak mungkin kedua-duanya betul..salah satu mesti palsu...ini membabitkan masalah keselamatan dalam negeri," - Zulkifli Noordin

Akhbar pada 5 November lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita Parti Keadilan Rakyat kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Anak itu - Basil - dirotan 10 kali di tapak tangannya kerana memakan nasi goreng dengan sosej babi yang dibekalkan oleh ibunya.

Isu itu kali pertama didedahkan pada sidang media yang dianjurkan oleh PKR di Kuching di mana Angela Jabing, ibu kepada pelajar Sekolah Rendah St Thomas itu mendakwa seorang guru merotan anaknya kerana membawa makanan tidak halal ke sekolah.

Lantas timbul beberapa persoalan membabitkan identiti anak dan bapa kepada anak berkenaan serta status agamanya selain tindakan susulan majlis agama Islam.

Pertama, membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah. Wajarkah guru merotan murid berkenaan kerana kesalahan itu? Atau dia dirotan kerana pelajar berkenaan beragama ‘Islam’?

Kedua, kenapa pelajar berkenaan dirotan. Perdebatan dan pertikaman lidah berlarut di Dewan Rakyat sejak dua hari lalu sama anak itu Basil - yang dipelihara oleh ibunya yang beragama Kristian - adalah seorang Islam.

Ketiga, apakah keluarga berkenaan beragama Islam? Dan jika sudah keluar Islam, apakah bapa kepada anak itu menggunakan dua identiti?

Keempat, kenapa apabila membuat laporan mengenai anak perlu menggunakan sayap wanita PKR. Apakah jika tiada parti pembangkang dalam laporan itu Jabatan Pelajaran tidak menerima laporan sedemikian?


Di Sarawak dan Sabah, yang pastinya walaupun namanya Islam tetapi tidak semestinya seseorang beragama Islam.

Semalam, persoalan ketiga, iaitu sama ada keluarga berkenaan Islam atau tidak, sudah terjawab. Beginda Minda, bapa kepada pelajar 10 tahun yang dirotan itu mendakwa bahawa beliau bukan beragama Islam.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda. Di sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Laporan The Star memetik Beginda sebagai berkata: ““Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda.

Beginda anak Minda pernah menggunakan nama Nor Azman Abdullah sebelum ini.

Zulkifli Noordin mendapat perhatian oleh pemerhati dan petugas media di luar dewan tentang isu yang dikupasnya pada Persidangan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin. (10 November 2010).

Malah di Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN)menyiasat taraf kewarganegaraan Beginda atau Nor Azman Abdullah, yang anaknya dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Menurutnya, Nor Azman pernah bertanding atas tiket PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dengan menggunakan nama Islam "Nor Azman Bin Abdullah atau Beginda" semasa Pilihan raya Negeri Sarawak 2001.Namun, Nor Azman tewas teruk, dengan memperoleh 173 undi, kepada calon Barisan Nasional (BN) Toh Heng San (3,845 undi).

Menurutnya, Nor Azman turut bertanding bagi kerusi Parlimen Kapit atas nama yang sama mewakili PKR semasa pilihan raya umum pada 1999, tetapi hanya mendapat 843 undi berbanding lawannya dari BN Alexander Nanta Linggi yang mendapat 12,157 undi.

"KDN kena siasat bagaimana seorang warganegara boleh mempunyai dua identiti yang berbeza dan mesti siasat sama ada pemberian dokumen rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul atau pemberian kepada pendaftaran nikah kahwin tak betul...tidak mungkin kedua-duanya betul..salah satu mesti palsu...ini membabitkan masalah keselamatan dalam negeri," katanya.

Zulkifli yang pernah mengenali Nor Azman semasa menjadi antara peguam kes perbicaraan Anwar pada 1998, berkata pihak Berkuasa Agama Negeri Sarawak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menjalankan siasatan menyeluruh sama ada "Nor Azman atau Beginda" telah melakukan jenayah murtad.

Zulkifli berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan pada 29 Julai 2009 sedangkan perkahwinan berlangsung pada 25 Disember 1999 iaitu setahun selepas kes Anwar, ketika Beginda seorang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menentukan status agama Beginda.

“Hanya selepas itu, kesimpulan boleh dibuat mengapa anaknya itu dirotan,” kata Nazri.

Persoalan kedua juga semakin jelas apabila Beginda turut menyatakan anaknya itu bukan beragama Islam. Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000. “Anak saya beragama Kristian. Dia dibesarkan mengikut agama ibunya,” katanya.

Mengenai persoalan kedua, sekolah berkenaan kemudian memohon maaf kepadanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, arahan itu ekoran keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jika seseorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu juga semestinya beragama Islam.

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar kanan) berpendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah di Sarawak itu. Katanya, ini kerana, di bawah kerangka federalisme yang diterima oleh perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri.

"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, JAKIM sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.

"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula menyatakan pendapat berlainan. Presidennya. Zainul Rijal Abu Bakar (gambar kiri) pula berpendapat, walaupun dinyatakan dalam perjanjian 18 Perkara Sarawak bahawa tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak), tetapi enakmen agama tetap wujud di negeri itu.

"Walaupun dinyatakan begitu dalam perjanjian (18 perkara) itu, tetapi undang-undang itu ada. Misalnya enakmen agama dan kekeluargaan Islam," katanya.

Mungkin dalam konteks ini jika JAKIM tidak mempunyai kuasa atau kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan mengenainya, kini terletak di tangan Yang Di-Pertuan Agong sama ada perlu bertindak di atas inisiatif baginda sendiri.Apakah Agong akan bertindak dalam kes ini?

Yang menjadi persoalan lain ialah:

1. Apakah ketika ini murtad hanya perkara kecil dalam konteks negara Malaysia?

2. Berapa ramai lagi yang mempunyai dua identiti seperti ini dan wajarkah mereka dibiarkan dalam keadaan sedemikian? Apakah dengan mempunyai dua identiti sebegini akan berlaku 'penipuan' seperti didedahkan Zulkifli? Tidakkah ia membahayakan keselamatan negera?

3. Jakim atau badan-badan lain seperti PERKIM mungkin memantau yang memeluk Islam daripada mereka yang daif dan dalam golongan miskin tetapi bagaimana yang kaya, ada nama dan berpangkat? dan,

4. Mengislamkan seseorang atau keluarga - apakah dilakukan dengan sewenang-wenang umpamanya kerana kepentingan tertentu seperti kepentingan politik (lihat apa yang berlaku di Gua Musang baru-baru ini ) tanpa tindakan susulan menjamin kedudukan ekonomi seseorang mualaf itu stabil atau sebaliknya.

Kerana itu, sudah sampai masanya PERKIM atau mana-mana juga pihak termasuk parti politik untuk melihat kembali pendekatan dakwah dan tindakan susulan mereka agar kejadian murtad tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Juga persoalan asas dalam kes pelajar di rotan kerana membawa nasi goring dan sosej babi ialah dalam soal murid dan sekolah, PKR juga cuba mengambil milage politik.
Apakah kehidupan manusia di Malaysia hari ini segala-galanya ditafsir secara politik?

Jika dipupuk budaya sebegini, ia boleh membawa kepada kebencian dan syak-wasangka yang akan mudah semakin menular dalam kehidupan sehari-hari di kalangan rakyat.

Jika tiada kesudahannya, perpaduan dan keharmonian rakyat akan tercabar.

1 Malaysia bukan sekadar melaung dan menegakkan jari telunjuk semata-mata tetapi ia turut membabitkan soal-soal lebih jauh khususnya dalam soal beragama dan penguatkuasaan.