Monday, March 7, 2011

KEMENANGAN HATRIK BN – TSUNAMI POLITIK SEMAKIN PULIH?

Kemenangan ini pastinya signifikan kerana apa yang diperjuangkan PAS ditolak rakyat. Ini termasuk perkara-perkara membabitkan perjuangan rakyat, konsep negara Islam dan tohmahan yang dilemparkan. Lebih nyata, majoriti orang Melayu tidak melihat PAS memperjuangkan nasib mereka tetapi lebih kepada perjuangan BN.



Selepas menang di Galas, Barisan Nasional (BN) mencatatkan hatrik dengan kemenangan berganda di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau semalam.

BN mengekalkan kedua-dua dengan majoriti lebih besar berbanding prestasi di pilihan raya umum tiga tahun lalu, iaitu bertambah 1,489 di Merlimau dan 1,109 di Kerdau. Keputusan berkenaan diumumkan serentak kira-kira jam 8.15 malam semalam.

Dengan kemenangan ini, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas PAS pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang, Batang Ai dan Hulu Selangor.

Trend kemenangan itu membuktikan BN semakin mendapat sokongan rakyat selepas tsunami politik pada 2008 yang mengakibatkan BN kehilangan empat negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen.

BN memperoleh majoriti 2,724 undi manakala Kerdau merekod¬kan kelebihan 3,643 undi. Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperoleh 5,060 undi manakala calon PAS, Hassanuddin Salim mendapat 2,336 undi.

Pada pilihan raya kecil Ahad, DUN Kerdau turut merekodkan 83 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, mengatasi jumlah peratusan pada pilihan raya umum pada 2008 (80.3 peratus) dan pada 2004 (79.7 peratus).

Di Merlimau, calon BN, Roslan Ahmad, 44, bersaing dengan PAS, Yuhaizat Abdullah, 38, mendapat 5,962 undi berbanding 2,319.


Jumlah yang keluar mengundi di Merlimau ialah 78.76 peratus daripada 10,679 pemilih berdaftar, yang mencatatkan peningkatan berbanding 76.18 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan juga daripada BN pada 20 Januari lalu. Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim daripada BN pada 12 Februari lalu.

Kemenangan di Merlimau dan Kerdau ini menyaksikan BN mengekalkan kemenangan tanpa kalah susulan kejayaan merampas balik kerusi DUN Galas, Kelantan dan mempertahankan DUN Tenang, Johor Januari lalu.


Kemenangan ini pastinya menuntut tanggungjawab besar kepada BN yang perlu melaksanakan amanah rakyat di sebalik ia amat signifikan kerana jelas apa yang diperjuangkan PAS ditolak rakyat.

Ini termasuk perkara-perkara membabitkan perjuangan rakyat, konsep negara Islam dan tohmahan yang dilemparkan. Lebih nyata, majoriti orang Melayu tidak melihat PAS memperjuangkan nasib mereka tetapi lebih kepada perjuangan parti.

Kemenangan BN 2-0 dengan majoriti lebih besar pastinya meneruskan trend kemenangan BN yang menerajui Putrajaya dan kerajaan negeri – kecuali Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah - dalam lima pilihan raya kecil setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menganggap kemenangan BN ini amat signifikan.

Apa signifikannya?

1. Ia sebagai pengesahan kepada dasar-dasar kerajaan, ekonomi dan sosial di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak;

2. Rakyat atau pengundi menolak perjuangan PAS menerusi dasar buku jingga dan negara Islam;

3. Beberapa isu yang diketengahkan dapat dijelaskan kepada pengundi antaranya isu ekonomi, kenaikan harga barang dan juga soal pendidikan diterima baik oleh rakyat;

4. Faktor calon yang dimahukan pengundi - berwibawa, bersih dan boleh menang – serta calon muda juga merupakan satu faktor;

5. Sokongan kaum Cina yang menunjukkan peningkatan walaupun tidak sebaik undi yang diperoleh masyarakat Melayu dan India;

6. Parti komponen MIC, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan Makkal Sakthi memberikan sokongan penuh; dan

7. Kempen yang berdisiplin dilakukan sayap UMNO seperti Wanita BN melalui jentera Jalinan Rakyat BN mampu berkempen dengan penuh disiplin, berhemah dan berkomitmen tinggi.


Walaupun kemenangan PRK ini satu keputusan cemerlang tetapi yang ia tidak menggambarkan senario nasional secara keseluruhan. Kerana itu , tidak semestinya pilihan raya ke 13 akan diadakan segera.

Lagipun undi kaum Cina masih belum pasti ketika ini dan MCA dan Gerakan perlu bekerja lebih keras untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dan BN difahami sepenuhnya.

Namun, di sebalik itu kemenangan berganda ini memberikan isyarat kepada PAS bahawa perjuangan mereka tidak diterima oleh masyarakat Melayu, Ia bukan sekali tetapi beberapa kali mereka ditewaskan di Galas, Batu Sapi, Tenang dan semalam di Merlimau dan Kerdau.

Saturday, March 5, 2011

BUKU JINGGA - KITAB PEMBANGKANG MENUJU KE PUTRAJAYA?

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan? Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Nik Nazmi Nik Ahmad jangan nak memperkecilkan keupayaan parti lain selain Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pertama, baru berapa hari Nik Nazmi main politik berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain. Nak kata orang lain ciplak idea kita, Nik Nazmi kena buka balik cadangan-cadangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang bertimbun-timbun kalau mahu diteliti semula. Baca balik hansard Dewan Rakyat.

Insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula (CESS) untuk peneroka FELDA bukan perkara baru.

Ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan hanya kerana ada dalam Buku Jingga pakatan pembangkang

Malah, Buku Jingga itu masih belum secara rasminya menjadi buku dasar pakatan pembangkang kerana ia hanya akan dilancarkan malam ini Sabtu, 5 Mac di Stadium Melawati, Seksyen 13 di Shah Alam pada perhimpunan ulang tahun ke 3 PKR perintah Selangor.

Tawaran untuk guru dan isu pembayaran CESSS sudah diperkatakan di Dewan Rakyat sejak 1980-1990an, cuma perlaksanaannya terpaksa disesuaikan dengan keadaan semasa.

Perkara ini bukan dibincangkan untuk Felda semata-mata tetapi juga untuk Risda dan Felcra kerana ketika itu semua agensi pembangunan wilayah di bawah satu bumbung iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Sebenarnya banyak perkara dalam Buku Jingga berkenaan, kalau Kerajaan Negeri hendak laksanakan, ia memang boleh umpamanya negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap mampu.

Begitu juga Kelantan, kalau mahu memberikan insentif untuk guru memang boleh beri pada ketika kedudukan ekonominya masih teguh pada 10 tahun pertama PAS bekuasa. Sekarang kerajaan PAS boleh berdalih dengan ekonominya yang lemah. Memangpun ekonomi Kelantan lemah ketika ini!

Dengan mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menciplak idea Buku Jingga, ia hanya suara anjing yang mahu menyalak bukit. Siapalah kamu Nik Nazmi?

Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membincangkan isu pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara?

Kalau Nik Nazmi melihat Buku Jingga sebagai pelan segala-galanya, beliau dan pemimpin PKR dan pakatan pembangkang lain tersilap langkah.

Tidak perlu berbahas mengenainya.

Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga.

Buku itu kalau mahu dibandingkan dengan buku Rancangan Malaysia Pertama hinggalah ke Rancangan Malaysia ke 10 serta buku-buku lain termasuk Buku Hijau dan sebagainya, bagai langit dengan bumi.

Saya mahu mengambil contoh di Terengganu, tanpa ‘Buku Jingga’, Buku Biru atau Buku Coklat, kerajaan Terengganu sudahpun melaksanakan pelbagai insentif sejak dua tahun lalu yang tidakpun dilaksanakan oleh kerajaan ‘kaya’ yang dikawal pakatan pembangkang sejak 2008.

Apakah programnya?

Bajet pendidikan yang tinggi iaitu lebih 35 juta setahun;

• Bayaran sekali sahaja untuk kemasukan ke universiti untuk semua pelajar Terengganu bagi diploma dan ijazah sebanyak RM700-RM1,000 seorang, tanpa mengira bangsa dan keturunan;

• Bayaran insentif kepada pelajar terpilih yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan dan Sijil Pelajaran Malaysia;

• Menukar pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang yang mendapat Ijazah Kelas Pertama. Mereka juga layak menerima bayaran RM5,000 tunai;

• Guru-guru Besar dan Pengetua yang sekolah mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM diberikan ganjaran, termasuk lawatan sambil belajar ke luar negara;

• Bantuan pakaian dam beg sekolah secara percuma;

• Program e-Book untuk pelajar tahun 5 dan Tahun 6 sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (perbelanjaannya kini mencecah hampir RM60 juta);

• Dan tidak lama lagi, kelas maya untuk sekolah terpilih di seluruh negeri dengan perbelanjaan antara RM30,000 hinga RM90,000 bagi satu kelas; dan banyak lagilah.


Apakah ciri-ciri seperti ini ada dalam Buku Jingga?

Dengan memperlekehkan tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta adalah sikap angkuh pakatan pembangkang.

Hanya kerana Najib mengumumkan bayaran CESS baru-baru ini, bukan bermakna BN mencedok idea paakatan pembangkang. Sebelum ini pun bayaran sebanyak RM5000 sudah dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 dan bakinya akan dibayar bila-bila masa sahaja. (Menurut Nik Nazmi - FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka).

Mungkin pakatan pembangkang mempunyai ideanya sendiri untuk membubarkan FELDA Plantations dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA jika mereka menang pilihan raya. Tetapi pendapat warga Felda belum ditanya. Apakah mereka bersetuju atau sebaliknya. Selain itu, apakah cara itu mendatangkan kebaikan kepada peneroka?

Program ‘baik mana sekali pun’ kalau hanya ada dalam buku dan hanya untuk manifesto pilihan raya tidak akan mendatangkan apa-apa untuk rakyat.

Di dalam Buku Jingga, pakatan pembangkang mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan pembangkang bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Itulah sahaja yang cuba disogokkan kepada guru namun bagi kerajaan Barisan Nasional, bukan sahaja guru tetapi semua kakitangan kerajaan menerimanya setiap tahun pada musim perayaan dan hujung tahun.

Siapakah yang lebih peka dan prihatin sebenarnya?

Hakikatnya, tidaklah perlu nak membahaskan Buku Jingga sama ada di di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau.

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan ?

Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Dan kita lihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun mempunyai pengalaman tetap berkiblatkan kepada negara tertentu. Bagus sangatkan negara yang beliau berkiblat itu?

Apakah suasana dan tuntutan politik dan ekonominya sama dengan keperluan rakyat Malaysia?

Malang sekali kalau Niuk Nazmi mengatakan Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap serta tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya Najib tidak perlu melayan Anwar malah, sama ada Perdana Menteri, mahupun Timbalan Perdana Menteri tidak usahlah layan atau membincangkan buku berkenaan.

Transformasi ekonomi dan politik yang sedang dilaksanakan sekarang jauh lebih baik dan pandang ke depan, bukan dasar-dasar pakatan pembangkang yang bersifat memancing undi untuk menang pilihan raya.

Yang penting bagi mereka bukan rakyat didahulukan tetapi mereka mendahului rakyat untuk ke Putrajaya dan selepas itu akan berlakulah pelbagai kekalutan.

Jadikan Selangor dan Pulau Pinang – sebelum ini Perak - sebagai kes kajian yang menarik betapa Buku Jingga itu sebenarnya hanyalah khayalan politik oleh pemimpin politik yang sedang berkhayal untuk ke Putrajaya!

Dakwaan Ummi Hafilda – Kenapa Anwar Berdiam Diri?

Anwar Ibrahim tidak wajar berdiam diri dan tidak menjawab pendedahan Ummi Hafilda Ali mengenai 'rahsia besar' beliau.

Jika ia suatu berupa fitnah, DatukSeri Anwar perlu menyangkalnya. Jika perlu jawab, jawablah dan jika perlu saman-samanlah.

Setidak-tidaknya Anwar boleh mohon injuksi supaya Ummi Hafilda tidak boleh memperkatakan mengenainya.

Ia kini menjadi sesuatu yang membebankan pemimpin pakatan pembangkang itu dan janganlah berdalih dengan mengatakan Ummi Hafilda dibayar untuk berkempen memburuk-burukkan namanya.

Kenyataan itu pula dibuat pada pilihan raya kecil Kerdau yang akan berlangsung esok.

Ummi Hafilda mendedahkan banyak perkara mengenai Anwar sejak sekian lama. Sebelum ini pun Ummi Hafilda pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Anwar pada 1997 sambil merayu abangnya, Azmin yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pulang ke pangkal jalan dan bertaubat.

Ummi Hafilda, berani membuat seruan itu dengan alasan setelah melihat banyak hipokrasi, penyelewengan, pembohongan serta salah laku melibatkan abangnya itu.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia di dalam lingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa.

'Jangan tipu rakyat, jangan tipu bangsa sendiri. Wahai Azmin pulanglah ke pangkal jalan. Bertaubatlah sekurang-kurangnya takutlah pada Allah, malulah kepada para malaikat. Kepada Anwar dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga saya pohon perkara yang sama. Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi. Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja,”, demikian tegas Ummi Hafilda.

Amat jelas Ummi Hafilda mengotakan janjinya untuk mendedahkan ‘keburukan Anwar’ dan ‘persekongkolan Azmi’ dan pastinya ia adalah beban kepada Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden PKR itu.

Yang penting mereka menafikannya jika tidak benar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata Anwar sepatutnya menangkis dakwaan yang dilemparkan terhadapnya sekiranya ia disifatkan sebagai fitnah.

"Sewajarnya kalau Anwar berpendapat ini satu pembohongan atau fitnah...dia jawablah dan kata ini adalah satu fitnah.

"Ummi sendiri pastinya ada pengalaman, ada sejarah dan dia ada hubungkait dengan Azmin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat). "Apa yang di sebut pastinya ada asas-asas tertentu, ada sebab dia beritahu...jadi beban (tanggungjawab beri penjelasan) itu kepada Anwar," katanya di Temerloh semalam.

Muhyddin menyatakan perkara itu mengulas mengenai tunduhan Anwar bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) membayar Ummi Hafilda untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Menariknya, kelmarin, Anwar dan Ummi Hafilda masing-masing berada di ‘padang’ apabila berceramah di kawasan berdekatan iaitu di Rumpun Makmur di Temerloh.

Persoalannya berapa lama lagi Anwar akan berdiam diri? Atau berdiam itu bermakna Anwar takut menafikannya, bimbang Ummi Hafilda akan mendedahkan banyak lagi perkara?

Wednesday, March 2, 2011

KENAPA PERTUBUHAN HARAM BOLEH MENGADAKAN PERHIMPUNAN HARAM?

Kenapakah Kementerian Dalam Negeri tidak berani bertindak, apakah kerana Hindraf menyokong atau memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN), lebih khusus untuki MIC? Dan kalau semuanya tidak, kenapa Hindraf haram dan memang diharamkan dan kini menjadi pertubuhan bawah tanah terus ‘terpelihara’? Siapa melindunginya?

TAK HERAN...Dua daripada lima pengikut Hindraf, S Jayathas (kanan) dan T. Periasamy dihadapan di Mahkamah Sesyen Selayang, semalam kerana pembabitan mereka dalam pertubuhan Hindraf.

Siapa Barisan Bertindak Hak-hak India atau Hindraf?

Bukankah pertubuhan ini haram? Haram itu bermakna ‘pertubuhan bawah tanah’. Apa pertubuhan bawah tanah yang haram dan diperangi polis dan tentera sebelum ini? Jawapnnya komunis.

Tidakkah Hindraf ini seakan sama dengan Komunis kerana ia pertubuhan yang diharamkan dan mengancam keselamatan negara.

Anggotanya begitu angkuh dan langsung tidak menghormati undang-undang negara. Kenapa mereka berperangai sedemikian dan kenapa ada anggotanya boleh menganjurkan perhimpunan di ibu negara? Siapa membenar dan membiarkannya?

Apakah kerajaan atau lebih khusus Kementerian Dalam Negeri takut kepada Hindraf dan kerana itu ia terus bermaharajalela?

Isunya bukan sama ada perhimpunan oleh Hindraf Ahad lalu mendapat sambutan atau sebaliknya.

Nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun keliru mengenai Hindraf ini apabila mengatakan di Jasin kelmarin bahawa demonsrasi Hindraf yang tidak mendapat sambutan ramai merupakan satu petanda baik sokongan masyarakat India kepada kerajaan.

Beliau berkata demonstrasi anjuran kumpulan tidak berdaftar itu tidak sepatutnya diadakan, namun beliau berpuas hati kerana ianya tidak mendapat sambutan dan langkah wajar yang telah diambil pihak keselamatan.

Isunya bukan tidak mendapat sambutan tetapi memang tidak sepatutnya dibenarkan diadakan. Di mana langkah pencegahan awal oleh kerajaan khususnya polis?

Lebih memalukan ialah kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Ipoh kelmarn yang bersyukur perhimpunan yang dirancang pertubuhan haram Hindraf di ibu negara itu tidak mendapat sambutan.

Apa bersyukurnya? Pertubuhan haram tidak boleh dibenarkan ‘muncul di bumi Malaysia’ ini walau di mana sahaja berada dan tidak mendapat sambutan bukan perkara yang perlu dinyatakan.

Malah menurut Hishamuddin, ‘berdasarkan laporan diterimanya daripada polis, ia tidaklah sebesar mana’. Isunya juga bukan ‘tidak besar’ atau kecil. Yang haram sepatutnya tidak wujud sama sekali!

Kenapakah Kementerian Dalam Negeri tidak berani bertindak, apakah kerana Hindraf menyokong atau memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN), lebih khusus untuk MIC?

Dan kalau semuanya tidak, kenapa Hindraf haram dan memang telah diharamkan dan kini menjadi pertubuhan bawah tanah terus ‘terpelihara’?

Siapa melindunginya? Pemimpin MIC atau pakatan pembangkang?

Kerana itu saya bersetuju sangat dengan Awang Selamat apabila dia menyatakan dalam Utusan Malaysia bahawa perhimpunan haram oleh kumpulan Hindraf di KLCC kelmarin jelas dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

Kata Awang Selamat, amat lucu sekali, beberapa kenyataan pihak pembangkang dikeluarkan sebaik sahaja perhimpunan itu tamat, kononnya sebagai kecaman terhadap tindakan polis menahan penunjuk perasaan.

Antara kecaman itu datangnya daripada anggota Exco Kerajaan Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar bertajuk: Kerajaan PR Selangor kutuk tangkapan lebih 100 orang aktivis masyarakat India.

Malang sungguh Xavier menggunakan nama Kerajaan Selangor sebagai platform untuk menyalurkan kecaman itu. Satu lagi kenyataan datangnya dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia jelas menunjukkan mereka telah merangka kenyataan itu awal-awal lagi, kerana sudah menjangka polis akan mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan.

Benarlah ulasan Perdana Menteri mengenai insiden itu: ‘‘Kita tak nak guna kekerasan, mereka mengharapkan kita gunakan kekerasan supaya mereka nak terokai melalui televisyen antarabangsa yang menunjukkan kononnya kita sebuah rejim autokratif.’’Itulah niat mereka yang sebenar.

Dan jika mahu iktiraf sangat tuntutan mereka itu – tuntutan kaum India – bubar sahaja MIC dan gantikan dengan Hindraf kerana menurut pemimpin mereka, Hindraf akan dikuburkan jika kerajaan menyelesaikan masalah kemiskinan orang India.

Hmmm...mudahnya menyalahkan kerajaan!

Mengelirukan sekali apabila pertubuhan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) turut menyalahkan polis yang membuat tangkapan terhadap penyokongnya dan ahli kumpulan Hindraf sebagai punca ramai yang tidak keluar berhimpun di KLCC semalam.

Presiden HRP W Sambulingam berkata sebelum ini, mereka telah memohon permit polis untuk mengadakan perhimpunan itu tetapi ditolak.

Aneh sekali apabila Sambulingam mengemukan soalan: "Kenapa mereka tidak menunaikan hak kami untuk berkumpul secara aman mengikut Artikel 10 (Perlembagaan Persekutuan)?" pada hal dia tahu perhimpunan itu tidak wajar diadakan, lebih-lebih lagi kerana Hindraf itu haram.

Dengan angkuh Sambulingam berkata Hindraf boleh dikuburkan selepas kerajaan menyelesaikan masalah masyarkat India di negara ini yang mendakwa mereka dipinggirkan. Uthayakumar yang turut hadir sama juga bersetuju dengan pandangan rakannya berhubung perkara tersebut.

Kerana itu polis menahan seramai 109 penyokong termasuk beberapa pemimpin utama HRP dan Hindraf . Antara mereka, setiausaha sementara HRP, P Uthayakumar dan ketua penerangannya S Jayathas. Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan.

Persoalannya apakah kerajaan tidak berusaha menyelesaikan masalah mereka?

Persoalannya apakah pemimin India khususnya dalam Barisan Nasional tidak mampu menjelaskan kepada mereka ini usaha kerajaan menyelesaikan masalah mereka?

Atau mereka ini jenis keras kepala dan kerana itu sanggup bergerak ‘bawah tanah’ melalui pertubuhan haram seperti Hindraf?

Menurut Uthaya, sebelum ini pihaknya telah menyerahkan satu memorandum kepada perdana menteri - ketika itu - Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai 18 tuntutan mereka . Katanya, memorandum yang dihantar sejak tiga tahun lalu kini masih belum ada sebarang maklum balas. Ini termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri - yang turut diberi salinan memorandum tuntutan mereka.

Yang nyata seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan pertubuhan haram, Hindraf, mengadakan perhimpunan Ahad lalu memberi imej buruk kepada negara. Ini kerana "Kita nak tunjukkan kebaikan negara kita. Cara tersebut tidak sesuai dilakukan di negara yang aman seperti Malaysia," katanya.

Kita mahu melihat tindakan lanjut terhadap lapan pemimpin Hindraf yang mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang akan diketahui Jumaat ini selepas kertas siasatan disemak oleh pihak pendakwa raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, lapan pemimpin terbabit dibebaskan sehingga Jumaat sementara menunggu kertas siasatan disiapkan dan disemak untuk tindakan selanjutnya oleh DPP.

Jika perlu, kesemua lapan pemimpin berkenaan akan didakwa kerana berdegil mengadakan perhimpunan haram walaupun telah dinasihatkan supaya bersurai.

Bagaimana jika selepas ini polis berpendapat ‘tidak perlu’ mendakwa mereka?