Sunday, August 15, 2010

ISU BUANG BAYI – SHAHRIZAT MEMANDAI-MANDAI?

Shahrizat Jalil bohong dan pandai-pandai mereka cerital?

Itu wakil MCA dalam Jemaah Kabinet kata Kabinet sememangnya tidak membuat sebarang keputusan mengenai hukuman terhadap mereka yang membuang bayi.

Sedangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Khamis lalu menyatakan bahawa kerajaan telah mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Tidak mungkin Menteri itu sengaja memandai-mandai atau menyatakan sesuatu yang tidak dibincang dan diputuskan Kabinet.

Tetapi tidaklah diketahui sama ada wakil MCA dalam Kabinet menyatakan penolakan atau sebaliknya.

Shahrizat berkata arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan kementerian tersebut pada mesyuarat jemaah menteri Rabu lepas dan mesyuarat berkenaan juga bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes itu.

Malah parti itu mendakwa mesyuarat kabinet tersebut tidak meluluskan sebarang keputusan mengenainya sebaliknya cuma hanya membincangkan perkara tersebut, katanya.

Pada ketika PAS dan DAP menyokong hukuman itu, MCA yang berada dalam Barisan Nasional (BN) pula menolaknya?

Sharizat Khamis lalu berkata kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Menurutnya, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementerian itu pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu.

Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi masih berleluasa walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes itu sebagai kes percubaan membunuh dan kes bunuh.

"Kerajaan tiada pilihan lain berhubung perkara ini memandangkan kes-kes pembuangan bayi sesungguhnya adalah kes pembunuhan bayi," kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, sebagai tindakan susulan, pihak PDRM telah diminta untuk menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti ibu dan bapa kepada bayi yang tidak berdosa itu.

Katanya, langkah itu wajar bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan kejam bayi ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sehingga hari ini, terdapat 60 kes pembuangan bayi dilaporkan.

Sebaliknya mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MCA pada Jumaat (13 Ogos 2010) menolak keputusan kerajaan yang mahu kes pembuangan bayi disiasat kes jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.

Beliau juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di Kota Bharu kelmarin.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat undang-undang sekarang lebih "bersimpati" kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.

Sebaliknya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata MCA "berpendapat dengan cara demikian banyak lagi kes pembuangan bayi akan berlaku dengan cara yang lebih rumit untuk dikesan."

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MCA selama hampir empat jam di Wisma MCA, di Kuala Lumpur Jumaat, beliau berkata pendirian MCA itu telah dinyatakan pada mesyuarat kabinet Rabu lepas.

Dr Chua berkata dalam menangani isu itu, MCA mencadangkan supaya kerajaan mengambil berat mengenai pendidikan seks bagi membolehkan masyarakat lebih terdedah berhubung baik dan buruk perlakuan mereka.

Sehubungan itu, MCA akan melancarkan program 'Kesedaran Reproduktif Seksual' yang melibatkan semua bahagian parti itu pada bulan depan yang akan diterajui oleh Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, katanya.

Dr Chua berkata, MCA juga bersetuju bagi sebuah pusat khas diwujudkan untuk wanita-wanita mengandung menyerahkan bayi yang tidak diingini untuk dijaga.

Dr Chua berkata, pusat ini penting untuk masa depan bayi tersebut selain boleh mengelakkan wanita-wanita mengandung terjebak dalam kes jenayah dengan membuang bayi.

Bagi MCA, "adalah tidak adil untuk kita menghukum wanita-wanita ini. Jadi, kita perlukan pusat ini kerana saya tidak fikir pusat jagaan kanak-kanak akan menerima bayi ini tanpa ada bayaran."

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen MCA pula percaya gejala membuang bayi boleh diatasi melalui pendidikan dan perubahan mentaliti masyarakat.

Menurutnya, pendidikan kesihatan reproduktif boleh membantu menghalang atau menangani kehamilan tidak dirancang.

"MCA percaya cadangan hukuman mati ke atas mereka yang membuang bayi adalah keras dan akan merumitkan lagi keadaan," katanya.

Ng berkata MCA akan melakukan kempen untuk membangkitkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif bagi menangani gejala seksual di kalangan remaja. Namun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong keputusan kerajaan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang membuang bayi.

Sementara itu, Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata hukuman berat perlu dikenakan ke atas pesalah yang mempunyai niat membunuh atau cuba untuk membunuh bayi agar kes seperti itu tidak berulang.

"Beberapa langkah perlu dititikberatkan bagi menangani masalah ini termasuklah menerapkan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran kemahiran hidup di sekolah serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada ibu bapa terhadap masalah ini," katanya.

Beliau berkata penerangan secara meluas juga perlu diberi kepada golongan remaja dan belia bahawa setiap tindakan yang diambil akan memberi kesan kepada masa hadapan mereka.

"Selain itu, pusat rehabilitasi sosial perlu diwujudkan segera untuk membantu dan memberi perlindungan kepada remaja yang terlanjur dan mengandung," katanya.

Saturday, August 14, 2010

NIK AZIZ SILAP CAKAP ATAU BERNAMA SALAH LAPOR?

Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad, Azmi Harun menunjukkan emas dinar dan perak dirham pada Majlis Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar dan Perak Dirham Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Bernama dan beberapa agensi berita salah lapor sementara Datuk Dr Awang Adek tidak faham.

Itulah apa yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa mengenai pengumuman Kerajaan PAS Kelantan mengenai dinar emas dan dirham perak.

Jadi simbolik kepada majlis pelancaran itu apabila Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini, bermakna ia tidak pernah berlaku?

Kata Husam: "Mungkin (Bernama) terlalu terkejut dengan berita itu dan hendak buat sensasi. Kita pun tak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi nilainya itu ada," katanya lagi.

Begitu rendahkah martabat laporan dan pemberitaan oleh Bernama ketika ini sehingga majlis sedemikian yang tidaklah terlalu ‘berat’ pun tersalah lapor?

Apakah ini mutu pemberitaan agensi berita nasional milik kerajaan ketika ini? Apakah ini merupakan krisis dalam dunia kewartawanan Malaysia hari ini?

Gara-gara salah lapor itu Husam terpaksa jelaskan bahawa dinar dan dirham tersebut sebenarnya digunakan untuk pertukaran barangan.

Jika Bernama sebagai sebuah agensi berita yang berintegriti dan bermaruah, ia perlu mengakui atau menafikan apa yang diperkatakan oleh Husam. Jika tidak keyakinan orang ramai kepada Bernama akan sedikit sebanyak terhakis!

Husam tidak faham kenapa banyak pihak keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia hanya pengenalan kepada sistem tukaran barang yang menggunakan logam emas dan perak.

Husam menyalahkan beberapa agensi berita kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai dinar emas dan dirham perak sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Saya tidak nampak kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan selepas kerajaan Kelantan memperkenalkannya kerana ia telah digunakan sejak zaman Islam menguasai dunia lagi," katanya di Kota Bharu semalam.

Beliau turut menafikan emas dinar, dirham perak bukan matawang. Dengan kata lain, emas dan perak berkenaan tidak pernah diumumkan sebagai matawang, sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita itu.

Dengan kata lain, Bernama salah besar dalam laporannya. "Siapa yang kata (ini matawang). Kita tidak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi dari segi syariah, ia memang boleh dianggap sebagai matawang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya lagi, beliau hadir ke majlis pelancaran tersebut semalam dan tidak mendengar Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan emas dan perak itu sebagai matawang.

Ironinya, berita pelancaran dinar emas dan dirham perak ini tidak dilaporkan pula oleh Harakahdaily Online seperti biasa.

Ini bukan projek kecil. Ia adalah kerja besar Kerajaan PAS Kelantan.

Sama seperti pelancarannya, penafian oleh Husam juga tidak disiarkan oleh Harakahdaily. Ia dibuat melalui Malaysiakini. Apakah media milik PAS itu pun turut keliru atau bagaimana?

Persoalannya apakah PAS Pusat tidak setuju dengan apa yang dibuat oleh Kerajaan PAS Kelantan dan mengarahkan Harakahdaily jangan membuat laporan mengenai perkara yang dilakukan oleh PAS Kelantan itu?

Persoalan mula timbul. Apakah ia satu perancangan oleh Husam dan menggunakan Musyridul Am yang juga Menteri Besar, Nik Aziz yang ‘tidak tahu’ mengenai peraturan legal tender untuk bercakap?

Jadi, apakah Nik Aziz tersilap cakap apabila mengatakan mata wang syariah dinar dan dirham akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam?

Selain itu, apakah Nik Aziz juga tersalah cakap apabila mengatakan kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini bersetuju menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka?

Beliau juga mengatakan Dr Awang tidak faham apabila mengulas di Berita Harian semalam apabila berkata hanya kerajaan persekutuan melalui Bank Negara Malaysia mempunyai hak mutlak untuk mengeluarkan matawang.

Mengulas kenyataan tersebut, Husam berkata: "Semua orang tahu kerajaan negeri tidak boleh keluarkan matawang. Datuk Awang Adek yang tak faham."

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak perlu membuat rundingan dengan Bank Negara Malaysia untuk menjadikan dinar sebagai matawang. "Sebab kita tidak pernah kata nak jadikan dinar ini sebagai matawang," katanya lagi.

Perkara ketiga yang disalah lapor ialah berkaitan fungsi Bank Islam dan Tabung Haji dalam konteks penggunaan dinar dan dirham di Kelantan. Bernama tersilap lapor apabila mengatakan Bank Islam dan Tabung Haji sebagai ejen untuk menerima mata wang syariah itu berurusniaga.

Menurut Husam, emas dan perak itu sebaliknya boleh disimpan di Bank Islam melalui skim Ar-Rahnu.

Apapun, Bank Negara semalam menegaskan, hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Dalam kenyataannya, ia menegaskan di bawah undang-undang negara ini, BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

Penjelasan itu dibuat oleh BNM berhubung pelancaran mata wang dinar dan dirham Kelantan yang dilaporkan digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

UMNO LAYAK DILETAKKAN DI BAWAH KAKI?

Saya bukan sahabat Facebook UMNO kerana itu tidak tersenarai untuk dipanggil bagi mempromosi UMNO.

Apapun, tahniahlah kepada penganjur majlis ini kerana berjaya menghimpunkan ahli Sahabat Facebook UMNO semalam.

Hingga kini dilaporkan ahli Sahabat Facebook UMNO adalah seramai 4,513 dan sejumlah 3,088 orang menjadi pengikut kepada sahabat berkenaan.

Apa yang menarik pada majlis itu ialah Umno meminta bantuan sahabat maya untuk menaikkan semula imej serta nama parti itu yang sering menerima pelbagai tohmahan oleh pihak tertentu, terutama parti pembangkang.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengki Mansor berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada UMNO sehingga parti itu dilihat seperti pertubuhan siasah yang tidak bermoral.

"UMNO digambarkan seperti parti yang tidak berakhlak, yang seolah-olah hanya layak diletakkan di bawah kaki...saya sedih dengan keadaan ini.

"Kita tidak minta banyak...kita cuma minta diiktiraf apa yang telah dilakukan parti selama ini, apa yang telah dilaksanakan untuk kebaikan semua," katanya sempena majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Facebook (FB) Media-Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Kira-kira 500 sahabat FB Media-UMNO dirai pada majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abd Rauf Yusof.

Tengku Adnan berkata sejak ditubuhkan 64 tahun lepas, Umno banyak menabur jasa dan melaksanakan pelbagai usaha membangunkan negara.

"Kalau Umno tak ditubuhkan pada 1946 itu, kita tidak tahu di pinggir mana kedudukan orang Melayu sekarang," katanya.

Beliau turut meminta rakan UMNO yang sering berkomunikasi di ruang maya supaya memperkenalkan UMNO, khususnya kepada generasi muda yang belum mengenali Umno, selain menarik lebih ramai golongan itu mendekatkan diri dengan parti berkenaan.

Ruang FB Media-UMNO yang wujud sejak 8 Januari lepas, kini mempunyai seramai 4,513 sahabat dan 3,836 peminat.

Tengku Adnan berkata semua sahabat UMNO dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau pandangan untuk kebaikan parti.

"Walaupun Umno telah lama ditubuhkan, tetapi kita bukanlah sempurna. Kalau ada cadangan, pandangan boleh dikemukakan supaya perjalanan UMNO ini lebih baik," katanya.

UMNO sentiasa bersikap terbuka dalam menerima teguran mahupun kritikan daripada pelbagai pihak bagi memperkukuhkan parti itu.

"Kalau ada teguran, pandangan untuk kebaikan UMNO... gunalah facebookini untuk nyatakannya, tegurlah kami supaya dapat perbaiki keadaan," katanya.

Persoalannya, apakah UMNO memang terbuka seperti yang disebutkan oleh Tengku Adnan itu?

BUKTI DAP MENGUASAI PAKATAN PEMBANGKANG

DAP kelmarin mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan beberapa habuan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang.

Di dalam sidang medianya yang dibuat di Ibu Pejabat DAP, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat beberapa janji-janji palsu yang umum mengetahui tidak akan mereka laksanakan seperti mana janji-janji yang dibuat setelah mereka menguasai Pulau Pinang di dalam PRU12.

Persoalannya kenapa Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, DS Haji Hadi Awang tidak dijemput bersama untuk mengumumkan janji-janji yang dibuat?

Apakah DAP melakukan janji-jani ini secara unilateral? Atau apakah janji-janji tersebut hanyalah datang dari keluarga komunis Lim Kit Siang anak beranak?

Blog Cucu Tok Selampit mengemukakan pertanyaan: “Kenapakah DAP yang membuat pengumuman polisi-polisi yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan menawan Putrajaya? Di manakah semangat permuafakatan di dalam Pakatan Haram? Atau adakah PAS dan PKR telah menyerahkan bulat-bulat polisi ekonomi kepada DAP? Atau apakah selama ini PAS dan PKR hanyalah menjadi keldai dan kuda tunggangan DAP?”

Menurut blog berkenaan, paling melucukan adalah salah satu dasar yang diperkenalkan. Lihat di dalam gambar di atas.

Kata Cucu Tok Selampit, penulis tidak mahu menterjemahkannya takut lari dari konteks asal. Antara janji DAP sekiranya menawan Putrajaya adalah, "Three. Encourage innovation and breed human talent by providing free wife throughout Malaysia." Adakah ini bermakna DAP berjanji akan menyediakan isteri percuma juga untuk "breeding human talent"? “

Jadi, tidak nampakkah lagi wahai penyokong-penyokong totok PAS dan PKR, ketamakan DAP (baca Lim Kit Siang anak beranak) di dalam menguasai Pakatan Haram dan menjadikan PAS dan DAP kuda tunggan mereka menipu orang-orang Melayu Islam. Baghal!

Oooo seperti biasa esok atau lusa pastinya Anwar Ibrahim dan Haji Hadi akan mengeluarkan kenyataan, "Itu hanyalah pandangan peribadi beliau."

Apa yang jelas, ada juga beberapa blog yang melihat isu ini sengaja dibuat oleh Guan Eng yang sedang cuba mengalihkan perhatian daripada isu-isu panas di Pulau Pinang yang mengotori pentadbiran kerajaannya dengan menawarkan Habuan kepada rakyat sekiranya Pakatan membantuk kerajaan pada PRU 13.

Tiga perkara yang dijanjikan beliau ialah menghapuskan saman ekor , memberi wang tunai RM 1000 kepada warga emas berusia 60 tahun dan membekalkan wifi percuma ke seluruh negara .

Jelas sekali Guan Eng cuba membeli undi dengan menawarkan wang kepada rakyat .

Nampaknya DAP telah mengumumkan janji politik mereka lebih awal lagi daripada PKR dan PAS menjelang PRU 13 . Ini jelas memperlihatkan DAP cukup dominan dalam Pakatan dan tidak sabar untuk merampas Putrajaya daripada tangan kerajaan BN .

Memang DAP sekarang sudah gila kuasa betul terutama Lim Guan Eng ini . Sepatutnya, beliau harus menyelesaikan masalah rakyatnya di Pulau Pinang terlebih dahulu .

Bagi penulis, apa yang diperkatakan oleh Guan Eng ini itdak lebih daripada tawaran pilihan raya.

Jika pembangkang pernah mengatakan tawaran Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya sebagai 'rasuah', apa bezanya tawaran Guan Eng ini?

Bukankah ini juga bentuk janji untuk pilihan raya. iaitu PRU ke 13?