Tuesday, April 13, 2010

HULU SELANGOR - PERTEMBUNGAN ZAID-PALANIVEL TIDAK BERLAKU?

Pada 2 April lalu Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata dialah satu-satunya pemimpin yang dinamakan oleh MIC untuk dinilai oleh Perdana Menteri sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Menurutnya, beliau yang satu-satunya dinamakan oleh MIC kerana beliau adalah Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor, selain Pengerusi MIC Selangor disamping Timbalan Presiden MIC.

Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selama empat penggal di situ sehingga dikalahkan pada pilihan raya umum Mac 2008.

Lagi pun pada pilihan raya lalu Palanivel kalah tipis iaitu 198 undi sahaja.

Hampir 53 peratus atau 34,020 daripada 64,500 pemilih berdaftar adalah pengundi Melayu manakala kaum Cina dan India masing-masing terdiri 16,964 pengundi (26.3 peratus) dan 12,453 pengundi (19.3 peratus).

Semua kata-kata ini untuk menyokong beliau sebagai paling layak untuk diumumkan sebagai calon yang akan dibuat lusa (Khamis).

Sementara bagi pembangkang, hari ini adalah pengumuman calon mereka untuk bertanding yang akan diadakan pada satu majlis yang akan berlangsung di pusat komuniti Serendah jam 8.30 malam ini.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada pengumuman itu selain Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Turut dijadualkan hadir ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, naib presiden PKR Azmin Ali, setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution dan ahli parlimem Bukit Gantang dari PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 17 April dan pengundian pada 25 April.

Teka-teki siapa akan menjadi calon BN dan pembangkan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor semakin menarik.

Cuma aneh sedikit pembangkang mengatakan mereka akan meletakkan Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jika Palanivel bertanding.

Masalahnnya, pengumuman oleh BN akan hanya dibuat lusa.

Persoalannya juga apakah Zaid akan berputih mata jika BN umumkan orang lain selain Palanivel?

Rasa-rasanya hasrat Zaid untuk bertanding pilihan raya kecil Hulu Selangor akan berkecai.
Berasaskan kenyataan Parti Keadilan Rakyat bahawa Zaid akan diturunkan jika Palanivel bertanding jelas tidak akan mendatangkan berita baik untuk Zaid.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan bahawa calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan.

Selain Palanivel, nama lain yang disebut-sebut ialah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor K. Balasundram, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan, Ketua Pemuda MIC bahagian itu V. Mugilan, Anggota Jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K. Arunasalam, Ketua Penerangan MIC kebangsaan P. Kamalanathan dan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam.

Mugilan dan Subramaniam dikatakan calon popular kerana kedua-duanya merupakan anak tempatan, masing-masing berasal dari Ladang Kerling dan Ladang Lima Belas, Hulu Selangor.

Apa yang pasti, seperti kata Muhyiddin, individu yang terpilih adalah terjemahan "denyut nadi" rakyat di kawasan itu bagi memastikan kerusi itu kembali ke tangan BN.

Dalam konteks MIC, jelas sekali Palanivel mempunyai ‘pengaruh’ yang besar apabila beliau mampu untuk menakut-nakutkan calon lain daripada bahagian itu.

Kenyataan Mugilan umpamanya menunjukkan beliau ‘tidak sanggup mengambil risiko’ untuk membuat kenyataan awal mengenai kemungkinan beliau dicalonkan.

Ini kerana Mugilan menafikan khabar beliau berminat menjadi calon atau mahu dicalonkan oleh MIC sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

UMNO bahagian itu dikatakan mahu Mugilan yang lahir di Ladang Kerling bertanding di situ kerana beliau disukai oleh penduduk di kawasan itu, termasuk orang-orang Melayu.

"Beliau (Mugilan) bermula dari bawah. Beliau seorang peramah dan suka membantu orang ramai pada peringkat akar umbi. Beliau juga rapat dengan budak-budak Melayu di kawasan ini," kata satu sumber UMNO.

Mengenai desakan Umno bahagian itu Mugilan berkata, "Palanivel adalah mentor saya dan saya bersetuju sekiranya Palanivel dipilih sebagai calon.”

Kata Mugilan, khabar itu sengaja disebarkan untuk menggugat mentornya, Palanivel, yang sudah dipersetujui MIC sebagai calon.

Beliau yang juga ketua MIC Hulu Selangor menegaskan beliau berdiri teguh di belakang Palanivel, yang membawanya ke dalam MIC dan menyokongnya.

“Saya penyokong setia. Tidak ada usaha melobi kerusi berkenaan, katanya.
Lebih hebat beliau berkata: “Jika Palanivel tidak mendapat kerusi itu, saya akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda MIC dan Ketua Pemuda Hulu Selangor.” Mugilan berkata beliau akan menjamin Palanivel memang pilihan raya itu untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Bagi Muhyiddin pula, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi Muhyiddin enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.

"Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi akan tahulah... (calon) dari Hulu Selangor. Insya-Allah daripada orang tempatanlah," katanya selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang semalam.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden UMNO dan timbalan pengerusi BN berkata banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kira semua maklumat dan maklum balas yang diterima daripada penduduk Hulu Selangor sebelum memutuskan calon yang sesuai.

BN sudah mendengar pelbagai pendapat dan Muhyiddin yakin calon yang dipilih adalah terbaik yang boleh memastikan kemenangan BN. “Kita di sini pun ada input daripada pelbagai sumber, jadi kita tahu apa kehendak pengundi di sini, yang mana yang rakyat mahukan," katanya.

Soal penting ialah yang rakyat mahukan dan mampu menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah.

Juga penting ialah mampu melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi, tegas Muhyiddin.

Berasakan kepada anak tempatan, diyakini penuh bahawa Palanivel tidak akan tersenarai dan jika Palanivel tidak tersenarai, apakah PKR akan meletakkan orang lain selain Zaid?
Seorang lagi nama yang disebut ialah pakar bedah saraf, Dr Halili Rahmat.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Persoalannya jika benar Palanivel tidak dicalonkan, apakah beliau akan terus menyumbangkan kudratnya untuk memenangkan calon BN yang datangnya dari MIC Hulu Selangor?

Apakah jentera MIC akan berfungsi pernah pada ketika UMNO dan MIC selain komponen lain bekerja keras untuk merampas kerusi berkenaan?

DOAKAN SULTAN KELANTAN CEPAT SEMBUH

Rakyat semakin memerhati. Sesetengahnya gelisah.

Namun yang penting doakan supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pulih.

Mengejutkan juga membaca “Step Down: Says Ku Li - Acting Kelantan Sultan ‘must relinquish post to his father”, demikian lapor The Star semalam, 12 April 2010.

Saya tidak pasti apakah tajuk yang memetik Tengku Razaleigh Hamzah itu sesuai atau kata-kata separuh jalan.

Bahaya jika membaca tajuk sedemikian kerana ia memberikan pelbagai gambaran dan persoalan.
“Turun, kata Ku Li - Pemangku Sultan Kelantan mesti melepaskan jawatan dan menyerahkannya balik kepada ayahndanya”, lebih kurang begitulah bunyi tajuk itu.

Mambaca tajuknya ia agak keras dan memberikan gambaran seolah-olah Tengku Razalegh mahukan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail menyerahkan kembali ‘takhta’ itu kepada ayahndanya.

Besar dan penuh makna kata-kata atau tajuk berkenaan kerana ia memberikan implikasi kepada banyak pihak.

Ini termasuklah kerajaan negeri yang kini nampaknya menjunjung segala perintah Tengku Faris.
Berlainan sedikit dengan laporan Bernama dan akhbar Melayu lain apabila Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, isu Istana Kelantan boleh diselesaikan apabila Sultan Kelantan, pulih sepenuhnya daripada kegeringan dan mampu memerintah semula.

"Ia bukan suatu konflik dalam istana...Jika ada konflik bermakna ada perkara-perkara baru timbul, terserah kepada Tuankulah untuk perbetulkan. Tunggulah dia sihat dulu," katanya mengulas mengenai isu Istana Kelantan itu.

Malah beliau tidak menganggap isu yang berlaku dalam Istana Kelantan sekarang sebagai suatu konflik dan beryakinan ia akan berakhir juga.

Kelmarin, Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-13, Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara, Tengku Mohammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tengku Razaleigh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan merupakan ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkata, beliau tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan bertenang dalam menghadapi isu berhubung istana sekarang. Beliau yakin Sultan Kelantan boleh kembali mentadbir dan memulakan tugas sebagai ketua agama negeri ini setelah sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.

Menurut The Star, Tengku Razaleigh Hamzah berkata apabila Sultan Kelantan sudah sihat Tuanku bolehlah menentukan sama ada untuk terus memerintah dalam kedudukan sebagai Pemangku atau sebagainya.

Beliau menegaskan tidak akan campur tangan kerana Tuanku aku sembuh dan akan menentukan seterusnya.

Beliau tidak perlu campur tangan dalam masalah tersebut walaupun Tengku Muhammad Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.

"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal.

"Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh Sultan Kelantan sudah boleh makan dan bercakap dan akan menentukan kedudukan istana seterusnya.

“Kesihatan Sultan kini semakin memuaskan, dulu kena usung apabila hendak dirawat di Singapura, namun kini tidak lagi, sudah boleh berjumpa rakyat serta ingatan baginda begitu baik, jauh berbeza dari dulu,” katanya.

Persoalannya, dalam kedudukan sebegini kenapakah kerajaan Kelantan tidak mengumumkan dari masa ke masa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Malah amat mengejutkan apabila pada 28 Mac Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Sultan Kelantan masih gering. “Kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Kenapa Nik Aziz bercakap sedemikian? Apakah beliau merasakan bahawa bagaikan ada suatu tekanan terhadap kerajaan Kelantan yang dilihat memihak?

Yang pasti, pada 7 April lalu, Sultan Kelantan yang diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid meluangkan masa bersama kira-kira 100 anak yatim di Istana Mahkota di Kota Bharu. Pada majlis jamuan teh yang diadakan secara santai di perkarangan istana itu, baginda kelihatan berborak dan bergurau senda dengan tetamu yang hadhir, sambil turut berhibur dengan berkaraoke bersama Tengku Anis.

Turut hadhir Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `Setiausaha Sulit' baginda.

Amat menarik kenyataan Tengku Razaleigh yang tidak mahu campur tangan dalam masalah itu walaupun Tengku Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.
"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal. Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Kata-kata itu dalam maknanya dan rakyat menunggu dan mendoakan supaya Sultan Kelantan segera pulih dan mengatasi apa juga kemelut istana Kelantan.

Pertanyaan ialah apakah langkah pembetulan itu akan menyebabkan berlaku perkembangan baru kepada kerajaan Kelantan yang selama ini seperti berpihak dalam kemelut ini?

Kita tunggu juga apakah benar ada kumpulan tertentu yang terbabit dengan kemelut ini dan apa pula tindakan terhadap mereka.

Malah individu seperti Menteri Besar sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Tengku Abdul Aziz dan Datuk Wan Hashim Wan Daud akan menjadi tumpuan selepas ini.

Saturday, April 10, 2010

MENCARI CALON MIC YANG BOLEH MEMENANGKAN…

Kawasan majoriti orang Melayu. Yang akan turun padang nanti pastinya lebih ramai Melayu. Namun, berasaskan semangat setiakawan Barisan Nasional (BN), kawasan Parlimen Hulu Selangor akan meletakkan calon dari MIC.

Ini bukan suatu perkara baru. Cuma yang diharapkan oleh semua pihak ialah MIC terbuka dalam menentukan calonnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor, tiga hari lalu mengumumkan mengekalkan MIC bagi bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

MIC jangan berfikiran party centric semata-mata. MIC kena fikir UMNO dan MCA yang menjadi komponen penting di Hulu Selangor.

Pada penamaan calon 17 April (Sabtu depan), calon yang diketengahkan BN perlunya yang mesra dan ‘larat’ turun padang – bukan calon yang mengharapkan orang lain bekerja untuknya.

Dia mestilah diterima semua kaum di Hulu Selangor, bukannya calon kitar semula yang terbukti sebelum ini sudah ditolak pengundi kawasan itu.

Sebab dan punca kekalahan calon BN sebelum ini dan kemenangan calon PKR, Dr Zainal Abidin memang boleh dibahaskan. Tetapi ‘rekod kekalahan’ BN di Hulu Selangor itu tidak boleh dicuci lagi.
Kerusi parlimen Hulu Selangor menjadi kosong apabila Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang sekian lama menderita sakit meninggal dunia pada 25 Mac. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal Abidin yang juga yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor ketika beliau bersama UMNO dahulu menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G.Palanivel hanya dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Allahyarham memperolehi 23,177 undi sementara Palanivel 22,979 undi.

Sumbangan Palanivel sejak 2008 hingga kini banyak dipersoalkan.

Pada ketika pakatan pembangkang cuba mengulangi kejayaan pilihan raya umum lalu dengan meletakkan calon Melayu, BN pula mengekalkan semangat setiakawan dan semangat 1Malaysia bahawa bukan Melayu tetap boleh mewakili kawasan yang walaupun pengundinya majoriti Melayu.

Sebagai rakyat, pengundi Hulu Selangor perlu membuktikan mereka adalah penyokong semangat perpaduan, bukan kerana kepentingan politik semata-mata.

Mereka juga perlu menunjukkan kepada rakyat di kawasan lain yang mereka mendokong semangat perpaduan melalui 1Malaysia dengan mengundi calon yang ditonjolkan oleh BN.
Kita berharap Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu tidak terlalu taksub untuk meletakkan Timbalan Presiden MIC dan satu-satunya pilihan MIC.

Pergerakan Pemuda Umno sudah menyatakan pendiriannya dengan berharap calon yang akan dipilih bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini dipilih di kalangan mereka yang dapat diterima pengundi muda.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, faktor tersebut perlu diberi perhatian kerana kajian pergerakan itu mendapati pengundi muda di Hulu Selangor bakal manjadi faktor penentu kepada kejayaan BN untuk merampas kembali kawasan berkenaan.

"Kita harap calon yang dipilih itu hendaklah yang mesra kepada orang muda dan pengundi muda. Walaupun kumpulan ini tidak sampai 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di situ, tetapi kajian kita mendapati pengundi muda itu boleh menentukan keputusan pilihan raya tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

"Pemuda harap kali ini Perdana Menteri boleh memilih seorang calon yang mesra dengan pengundi muda. Tidak kira calon itu orang muda atau tidak, yang penting ia dapat diterima pengundi muda, bersifat mesra serta mudah mendekati golongan muda," katanya.

Beliau berkata kajian yang dilakukan pergerakan itu baru-baru ini mendapati wujudnya kecenderungan di kalangan pengundi muda untuk menyokong BN tetapi ia bergantung kepada calon yang dipilih.

"Ketika ini soal siapa calon bakal dipilih BN menjadi isu di kalangan pengundi muda. Jadi kita harap calon yang dipilih itu adalah calon yang mesra kepada pengundi muda. Pemuda Umno dan BN akan memastikan kempen yang akan dijalankan nanti dapat mempengaruhi golongan itu," katanya.

Sementara UMNO Bahagian Hulu Selangor dikatakan mahu ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan dicalonkan mewakil BN bertanding dalam pilihan raya kecil di situ.

Menurut sumber, Mugilan sendiri pun sedar yang bahagian mahukan beliau menjadi calon. Beliau juga adalah timbalan ketua Pemuda MIC pusat.

Mugilan dikatakan pemimpin akar umbi yang rapat dan mudah didampingi pemimpin UMNO bahagian. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin UMNO, malah orang UMNO menganggap Murigan bagaikan orang Umno, bukan MIC.

Mugilan dikatakan aktif terlibat di peringkat belia dan kini merupakan naib pengerusi majlis belia daerah Hulu Selangor. Mugilan ialah penyandang jawatan exco majlis belia daerah selama lapan tahun sejak 1997, selain menjadi naib pengerusi sejak 2005.

Yang penting, UMNO Bahagian itu menerima dengan terbuka keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan MIC bertanding di situ.

Cumanya, UMNO Bahagian itu menolak Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan semula.

Kenapa calon BN memerlukan seseorang muda yang boleh ‘ketengah-ketepi’?
Ini kerana pakatan pembangkang yang akan diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyenarai pendekkan tiga nama sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini.

Mereka ialah, Datuk Zaid Ibrahim, Dr Halili Rahmat dan Shamsul Iskandar Md Akin.
Ketiga-tiganya mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya umum tetapi hanya Zaid pernah menang tetapi atas tiket UMNO pada pilihan raya umum 2004 di Kota Bharu.

Dr Halili adalah calon pilihan PKR kerana beliau adalah anak tempatan iaitu dari Batang Kali manakala Zaid berasal dari Kelantan dan Shamsul Iskandar dari Negeri Sembilan.

Dr Halili yang merupakan pakar bedah saraf Melayu yang pertama dilihat sebagai calon yang paling sesuai. Walaupun beliau pernah bertanding di DUN Batang Kali dan tewas tetapi dalam konteks pilihan raya kecil ini, sentimen tempatan memainkan peranan yang sangat besar.

Bagaimanapun PKR mempunyai satu masalah besar. Dr Halili disifatkan sebagai seorang ahli politik yang keberatan. Dia dikatakan menerjunkan diri dalam kancah ini kerana hubungannya dengan Anwar Ibrahim dan sangat komited dengan perjuangan politik Anwar.

Dr Halili masih berkhidmat sepenuh masa sebagai pakar bedah saraf dan ini menghindarnya daripada bergerak sepenuh masa sebagai ahli politik. Apatah lagi dengan kedudukan tempoh pilihan raya umum hanya tinggal tidak sampai tiga tahun sahaja lagi, Dr Halili merasakan tempoh untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan kerjaya sepenuh masanya sebagai seorang doktor tidak akan menyatu dengan baik.

Sementara Zaid yang outspoken atau bersikap berterus terang dikatakan sesuai dengan ‘keterbukaan PKR’ selain bergalaman sebagai wakil rakyat. Cuma masalah Zaid ialah dia bukan anak tempatan.

Zaid yang perwatakan urbannya mempunyai begitu ramai rakan dari kalangan peguam Cina dan juga usahawan Cina mungkin menjadi satu aset kepada PR untuk meraih sokongan pengundi Cina yang berjumlah 16,900 orang atau mewakili 26.3% daripada keseluruhan pengundi yang berjumlah 64,500 orang.

Tetapi jika PKR mahu mengambil kira undi Melayu yang berjumlah 32,000 orang atau 52.7% daripada keseluruhan pengundi, calon yang terbaik bagi mereka selain Dr Halili ialah Shamsul Md Akin.

Bukan sahaja beliau seorang peguam muda tetapi aura kepemudaan yang diwakilinya dan juga gayanya yang mewakili orang kampung boleh menjadi satu aset kepada PR.

Siapa pun calon dari PKR, ia akan diketahui pada 13 April, Selasa ini, iaitu empat hari sebelum hari penamaan calon pada Sabtu depan.

Berdasarkan kemungkinan calon-calon PKR itu, Mugilan tetap mampu mencabar kerana beliau bermula dari bawah dan berkawan dengan semua orang di akar umbi.

Selain Mugilan, koordinator Putera MIC, P Kamalanathan turut disebut-sebut menjadi calon di situ.

Apapun, sehingga kelmarin MIC dilaporkan hanya mencalonkan Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ketua Penerangan UMNO bahagian Hulu Selangor, Yusof Nawawi, menyatakan mengenai calon: "Kalau Datuk Palanivel tidak dicalonkan semula, maka Mugilan adalah calon terbaik untuk menggantikannya."

Ini kerana Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor dan juga seorang pemimpin Pemuda MIC pusat, katanya.

Friday, April 9, 2010

DIN ADAM…KENAPA MELATAH?

(Khamis, 2010 April 08)

Oleh Zamzuri Damanhuri

SAYA membaca ‘posting’ Hambali Abd Latiff dalam blognya http://hambali1.blogspot.com terbaru bertajuk DIN ADAM UGUR SAYA… ekoran terbitnya buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU.

Kenapa melatah? Dalam politik Terengganu terkini, Din Adam sepatutnya sedar kekecohan yang menyebabkan timbul kemelut berpunca dari dia dan kawan-kawannya yang digelar 10 Budak Hitam.

Mustahil Din Adam lupa bagaimana dia mendedahkan segala dakwaan dan fitnahnya terhadap YAB Datuk Ahmad Said di depan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Pejabat Menteri Dalam Negeri, ketika pertemuan semua ADUN BN Terengganu dengan Hishammuddin.

Ketika upacara memalukan YAB Datuk Ahmad Said dibuat oleh Din Adam, bossnya, Datuk Seri Idris Jusoh ada sama.

Ada Datuk Ahmad Said menjawab segala tuduhan dan fitnah Din ketika itu? Din sepatutnya sedar, ketika dia buat perkara-perkara buruk yang boleh menyebabkan Datuk Ahmad Said malu, jatuh air muka dan tersinggung, tidak pula Datuk Ahmad Said menyerang Din Adam macam mana Din Adam menyerang Hambali Abd Latiff.

Sepatutnya, Din mentelaah buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU itu secara berhati-hati dan buat pertimbangan…apakah benar apa yang ditulis di dalam buku itu atau semuanya tidak benar sama sekali.

Betul ke dakwaan sesetengah pihak, Din Adam antara orang yang awal ditawarkan jawatan Exco oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetapi Din menolaknya. Dia bukan menjawab perlawaan itu terus kepada Datuk Ahmad Said sebaliknya mengirim pesan menolak perlawaan itu melalui pihak ketiga.

Bukankan ini perbuatan seorang yang biadap? Datuk Ahmad Said dilantik menjadi MB Terengganu bukan atas kehendak dirinya tetapi atas rasa tanggungjawabnya kepada Negeri Terengganu dan orang-orang Melayu dan seluruh rakyat Terengganu yang memerlukan pemimpin yang mesra rakyat, mudah didekati dan mengambil berat masalah kemiskinan rakyat jelata.

Seperti yang diucapnya berkali-kali, beliau juga berasal dari keluarga miskin yang tentunya dapat merasai erti kemiskinan yang sebenarnya.

Din Adam sepatunya turut melayari blog budaknya, Abd Mubin Ismail di http://jaranganakmelayu.blogspot.com yang terus menerus menulis untuk mengutuk, menghina, mengejek dan memperendah-rendah kepimpinan YAB Datuk Ahmad Said. Pernah kita dengar cerita ada mana-mana wakil rakyat (ADUN) yang dikatakan bersama-sama Datuk Ahmad Said pergi menggugut Abd Mubin Ismail, budak Din Adam ini?

Sebagai seorang yang waras, sesiapa sahaja yang membaca tulisan Abdul Mubin Ismail akan dapat merasakan bahawa ‘budak ini kurang seposen, seringgit’ tetapi dia bebas terus menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said.

Sebagai salah seorang penulis yang menyumbang tulisan ke blog http://citra-bangsa.blogspot.com, saya juga sependapat dengan Saudara Hambali Abd Latiff yang berasa bangga apabila tulisan saya juga antara tulisan yang diambil oleh Saudara Zainal Yusof untuk dimasukkan ke dalam buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU.

Saya juga difahamkan, buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU terpaksa diulang cetak dalam tempoh sebulan berada di pasaran kerana laris jualannya.

Kepada Saudara Zainal Yusof, saya mengharapkan saudara tampil memperkenalkan diri kepada Din Adam yang tidak senang duduk dan tidak lena tidurnya sejak buku ini menemui pembaca di Terengganu.

Cerita Din Adam tidak mengiktiraf YAB Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, sekaligus tidak menerima perlantikan DYMM Sultan Terengganu memang menjadi cerita besar di Terengganu suatu ketika dahulu.

Ada juga cerita dari mulut ke mulut yang didengar, pihak Istana Terengganu sudah bersedia menerima semula bintang ‘Dato’ yang Din terima jika Din sudah tidak mahu lagi mengikhtiraf Istana Terengganu dan kuasa yang ada di dalam isu perlantikan Menteri Besar.

Walaupun Din kini sudah tidak berjawatan di dalam Umno Bahagian Dungun, khabarnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tetap mahu melantiknya menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri.

Suatu ketika dahulu, heboh cerita Din Adam akan dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menggantikan Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Nasib baiklah doa ahli-ahli Umno Terengganu supaya perkara perlantikan Din Adam itu tidak terjadi kerana Din adalah orang yang kalah jawatan Ketua Bahagian di tangan Datuk Dr. Rosli.

Din juga diceritakan oleh mereka yang mengenalinya di Bukit Besi bercita-cita mahu menjadi MB Terengganu. Apabila dia menolak jawatan Exco yang ditawarkan oleh YAB Datuk Ahmad Said, dia merasakan dia adalah layak untuk jawatan MB dan bukan Exco.

Dulu, ketika bumbung stadium runtuh ada cerita mengatakan SPRM berminat untuk berjumpa dengan tiga orang penting dalam era kepimpinan Idris Jusoh. Antara nama yang disebut-sebut oleh media itu ialah Din Adam.

Sejauh mana kebenaran cerita itu, tidak pula diketahui tetapi apabila Din Adam sudah mula menyerang Hambali Abd Latiff ketika sidang DUN awal April lalu, membuktikan Din ini jenis gedebe juga.

Agaknya Idris Jusoh memang suka berkawan dengan ‘gedebe’ hingga ada ‘gedebe’ yang berseluar pendek mengiringi Idris ke Dewan Undangan Negeri tahun lalu, ketika heboh cerita pemboikotan sidang DUN.

Saya akan menulis lagi selepas ini walaupun terpaksa berdepan dengan ugutan kerana saya juga seperti Hambali Abd Latiff, tidak akan berganjak dari mempertahankan kebenaran walaupun digelar penulis upahan dan sebagainya.

Memetik kata-kata Zainal Yusof dalam tulisannya, yang menyerang Datuk Ahmad Said tidak pula digelar ada penaja di belakangnya tetapi yang mempertahankan Datuk Ahmad Said pula digelar dan diserang habis-habisan.

Hairan dunia ini…mengkritik kerajaan dianggap hero, mempertahankan kerajaan dianggap pengampu!

Tunggu apa komen Abdul Mubin Ismail, budak yang pernah menjadi PA Din Adam.

DICATAT OLEH CITRA-BANGSA DI 10:00 0 ULASAN