Thursday, August 20, 2009

JIKA SAYA SEORANG BUKAN ISLAM

Ikhlas saya katakan, saya sedang berusaha memujuk seseorang bukan Islam – bukan dari Malaysia – untuk memeluk Islam.

Dia seorang anak muda yang bijak, berkelulusan tinggi, profesional dan sedang mempelajari Islam secara universal – bukan Islam cara Malaysia.

Membaca dan cuba memahami situasi politik di Malaysia, dia mengemukakan persoalan:

“Apakah ada perbezaan dalam konteks Islam Malaysia dan Islam universal?”

Kenapa dia bertanyakan sedemikian?

Ini kerana dia merasakan seolah-olah Islam di Malaysia bukan Islam seperti dipraktikkan oleh orang Islam di negaranya.

Saya terpaksa menjawab perbezaannya memang ada dan banyak.

Jika saya bukan Islam, saya pun akan bertanya soalan serupa.

Islam universal mungkin perbezaannya disebabkan oleh mazhab tetapi di Malaysia, walaupun mazhabnya Shafie tetapi “Tok Guru” yang ada melebihi Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Mereka mengeluarkan fatwa mengikut selera dan kefahaman atau pengalaman mereka sendiri.

Lebih memburukkan, “Tok Guru” ini kebanyakannya mempunyai pendirian politik yang kuat. Sesetengahnya memimpin parti politik.

Parti politik berjuang untuk kuasa. Untuk mendapatkan kuasa, manusia boleh melakukan
Maka jadilah Islam Malaysia ditentukan oleh pemimpin politik.

Ada Islam yang boleh masuk syurga dan ada Islam yang tidak boleh masuk syurga. Walaupun Allah itu satu dan al Quran itu satu serta Nabi Muhammad s.a.w. itu satu dan hadis-hadis sahihnya diyakini, namun belum pasti orang Islam – sama ada dari UMNO, PKR, DAP atau Bebas boleh masuk syurga.

Ia ditentukan oleh pasport yang dikeluarkan oleh PAS.

Siapa yang tidak masuk PAS, mereka tidak akan dapat pasport berkenaan dan tidak terjamin mereka boleh lepas Siratulmustaqin.

Sejak 1959 hingga kini Islam Malaysia ditentukan oleh parti politik.

Jika mengikut PAS, keIslaman seseorang lebih mulia dan jika tidak ikut PAS, Islam seseorang ‘kurang sempurna’ dan mungkin terjerumus ke neraka.

Islam universal?

Islam yang diterima oleh seluruh umat Islam sedunia yang yakin semuanya akan masuk syurga sekiranya beramal dengan ajaran ditetapkan – menerima dan mengamalkan Rukun Islam yang lima serta yakin dan beramal dengan Rukun Islam yang enam.

Lantas pemuda berkenaan bertanya kepada saya, apakah apabila dia memeluk Islam dan tidak menyertai PAS, amalannya diterima?

Saya bukan “Tok Guru” tetapi saya penuh yakin bahawa walaupun tidak menyartai PAS, kebaikan dan amalannya diterima Allah S.W.T. kerana pada asasnya bukan PAS yang menentukan syura dan pahala. Allah jua yang menentukan nasib dan kedudukan keIslaman seseorang.

Setidak-tidaknya, semalam apabila Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin mengatakan dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk syurga atau akan ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam, saya boleh memberikan jawapan dengan jelas jika ditanya esok atau lusa oleh anak muda berkenaan.

Jelas sudah, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu.

Lebih jelas lagi, pendirian ini telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Raja-Raja Kali ke-188 pada pada 21 hingga 23 Mac 2001 dan menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun membincangkan isu itu sejak tahun 2000 lagi.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Shukor mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lepas .

Selesai persoalan pertama, walaupun saya yakin akan ada lagi kenyataan balas daripada pemimpin PAS itu yang akan mempertahankan pendiriannya. Paling tidak ‘menegakkan benang basah’.

Timbul pula persoalan kedua.

Jika Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menyifatkan kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, apa tindakan yang sewajarnya dilakukan?

Saya bukan bermaksud menangkap atau mengurung “Tok Guru” berkenaan. Tetapi jika Ayah Pin diburu atau sesiapa juga yang ‘mengajar ajaran salah’ dikenakan tindakan, apa pula bentuk tindakan terhadap Nik Aziz?

Cukup sekadar menyatakan jawatankuasa berkenaan sebenarnya sudah membincangkan isu itu sejak tahun 2000 dan memutuskan ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah?

Sudah jelas bahawa "Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, “ jadi apa tindakannya?

Apakah cukup hanya sekadar nasihat yang berbunyi “umat Islam terutama mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam dinasihat berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengelirukan dan memecahkan umat Islam.

"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan bahawa dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka kecuali Allah S.W.T sahaja yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.”?

Majlis Fatwa boleh menasihat dan berharap sebagai tokoh dan arif mengenai agama, Menteri Besar Kelantan perlu membetulkan pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan timbul di kalangan umat Islam.

Tetapi kesan besar terhadap Islam itu sendiri perlu difikirkan.

Pertama, jika saya bukan Islam, saya melihat Islam ini sebagai suatu agama yang bercelaru dan boleh dibuat tafsiran begitu sahaja oleh orang yang mengaku arif dalam agama;

Kedua, Majlis Fatwa tidak mempunyai kuasa ‘memperbetul dan membendung fatwa atau ajaran salah’ kerana yang mengeliru dan membuat tafsiran salah mengenai Islam bebas sebebasnya; dan

Ketiga, kalau saya bukan Islam, saya akan menjauhi Islam Malaysia kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan Islam atau mengemukakan pandangan tertentu demi kepentingan politik dengan membelakangkan Majlis Fatwa, mufti-mufti dan sebagainya.

Tidak guna kita melabelkan Mursyidul Am PAS itu sudah berada di tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam kerana ia tidak memberikan kesan apa-apa.

Yang diharapkan jika mufti dan majlis fatwa tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kerajaan membiarkan kegiatan menyebarkan ‘fatwa salah’ ini berterusan yang menyebabkan orang Islam di Malaysia semakin keliru, institusi pelindung agama Islam – Majlis Raja-Raja Melayu - hendaklah berbuat sesuatu bagi membendung atau menyekat perbuatan ini.

Jangan biarkan ‘seorang (bukan seekor) kerbau membawa lumpur’ dan Islam di Malaysia terpalit!

TAHNIAH DR ZAINI UJANG – PENERIMA ANUGERAH MERDEKA 2009

Tahniah untuk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Zaini Ujang kerana menjadi penerima termuda Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Ia diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd Hassan Marican, pada satu majlis semalam.

Zaini adalah penerima sulung anugerah bagi kategori berkenaan selepas tidak ada individu menerimanya dalam edisi pertama Anugerah Merdeka yang lalu.

Mohd Hassan berkata, pemilihan Zaini dibuat berdasarkan kajian dan sumbangan beliau dalam pengurusan bekalan air, perparitan, pemuliharaan sungai dan ekologi bidang industri.

"Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.


"Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia.

Mohd Hassan turut mengumumkan Tun Dr Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Gan sebagai penerima bersama Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti sebagai menghargai sumbangan mereka dalam memperjuangkan hak wanita di dalam negara, serta Profesor Dr Halimaton Hamdan menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas kejayaan beliau membangunkan dan mengkomersialkan Maerogel yang digunakan di seluruh dunia.

Sebagai sahabat lama, saya turut bangga dengan anugerah kepada beliau. Tahniah sekali lagi.

AWAS BLOG DAN LAMAN WEB YANG MENGHASUT

Menunggu tindakan tegas Hishamuddin.

Di Kuala Terengganu semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menegaskannya.
Namun tiada akhbar yang memetiknya, kecuali The Star.

Mungkin tidak berpuas hati dengan mesej yang mahu disampaikan apabila akhbar dan agensi berita menumpukan kepada isu lain, beliau mengulanginya hari ini.

Hari ini melalui kenyataannya, Menteri Dalam Negeri itu mengulangi sekali lagi bahawa kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Datuk Seri Hishammuddin berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada.

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi.

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi.

Beliau menegaskan sedemikian selepas satu mesyuarat khas antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketiga-tiga pihak ini diberikan tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Mesyuarat yang pengerusikan Hishamuddin petang ini diadakan bersama Menteri di JPM Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Isu-isu yang dibincangkan antaranya usaha penyelarasan tindakan dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara (JPN) bagi memudahkan tindakan bawah Akta Hasutan.

"Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah," kata Hishammuddin.

Mesyuarat juga mendengar taklimat daripada polis mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak penasihat undang-undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Wednesday, August 19, 2009

IMAN PAS LEBIH BAIK DARIPADA UMNO?

Mursyudul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut saman dua akhbar perdana kerana salah petik beliau mengatakan ‘Ahli Umno tak akan masuk syurga.’

Menariknya bagi laporan itu Berita Harian meletakkan selonggok byline wartawannya yang bermakna bukan seorang sahaja mendengarnya. Tidak tahulah mungkin ‘tuli semua telinga’ wartawan berkenaan.

Sebelum ini sebuah akhbar perdana sudah kena tarik balik kenyataan sekali. Kali ini buat hal lagi?

Saman ‘Tok Guru’, jangan tak saman. Kalau tak saman nanti orang kata akhbar di pihak yang benar. Mana boleh ‘Tok Guru’ salah, akhbarlah yang salah.

Nik Aziz menjelaskan beliau tidak bermaksud anggota Umno tidak boleh masuk syurga sebagaimana media memetiknya sebagai berkata semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menafikan beliau menyebut anggota Umno tidak dapat masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Palestin.

"Saya baca dua akhbar arus perdana, ada perkataan Palestin. Saya nafi sekeras-kerasnya. Tak ada. Saya tak biasa guna perkataan ahli Umno. Ahli Umno dan penyokong Umno lain, dua perkataan berbeza," katanya.

Nik Aziz berkata mana-mana umat Islam yang mengasingkan iman dengan Islam tidak akan masuk syurga.

"Usaha Umno nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala," katanya.
Ni betul kah yang dilaporkan ni?

Maknanya orang UMNO pun boleh masuk syurga. Jadi syurga bukan ekslusif untuk PASlah?
Betullah seperti kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.

Syurga dijanjikan Allah hanya untuk mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

''Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak.

''Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan," katanya semalam.

Cuma terkejut sikit apabila Nik Aziz kata “Usaha Umno nak sebut Islam saja tapi tak ada iman mustahil diterima Allah Taala,"

Apa maknanya ini? PAS saja yang ada iman. Siapa menentukan iman seseorang? PAS dan Nik Aziz atau Allah?

Apa itu iman? Pastinya paling asas untuk mengukurnya ialah merujuk kepada Rukan Iman. Apa dia? Setiap orang Islam mestilah percaya dan yakin kepada enam perkara Rukun Iman:-

1. Percaya kepada Allah

2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul

3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat

4. Percaya kepada Kitab-Kitab

5. Percaya kepada Hari Akhirat

6. Percaya kepada Qada' dan Qadar

Berbezakah rukun Iman yang diyakini PAS dengan UMNO?

Mungkin kenyataan Nik Aziz mengenai iman ini sekali lagi diputarbelitkan. Kali ini bukan sahaja akhbar perdana akan terpalit tetapi dengan BERNAMA sekali akan terpalit kalau Nik Aziz nafikannya.

Saya perturunkan laporan Berita Harian semalam:

Islam Umno tidak masuk syurga: Mursyidul Am Pas

Oleh Fazli Abdullah, Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak

Nik Aziz samakan agama dibawa Umno seperti diamalkan di Palestin

BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, membuat tuduhan terbaru terhadap Umno dengan mendakwa Islam dibawa parti itu sama seperti Islam diamalkan di Palestin.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dengan nada sinis, berkata ajaran Islam dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim untuk ke syurga.
"Ada perbezaan antara Islam dibawa Pas, berbanding Islam dibawa Umno kerana Islam mereka (Umno) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.

"Atas perkara itu, saya percaya penduduk di Permatang Pasir akan memilih calon Pas (Mohd Salleh Man) sebagai wakil rakyat mereka, bukannya calon Umno (Rohaizat Othman)," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, semalam.

Pengundian akan diadakan pada 25 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman, pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.
Sebelum ini, ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan terhadap Umno dengan menyatakan parti itu sama seperti komunis.

Selain itu, beliau turut menyamakan Umno yang majoritinya dianggotai orang Islam seperti Ayah Pin, iaitu individu yang pernah menyebarkan ajaran sesat di Terengganu, beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Nik Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Kenyataannya itu dibidas pemimpin Umno antaranya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Nik Aziz sanggup menghalalkan tindakan menghina Islam tanpa memikirkan sentimen orang lain hanya kerana pihak menghina adalah dari rakan Pakatan Rakyat.