Tuesday, May 19, 2009

MEDIA ARUS PERDANA SELAMATKAN AHMAD SAID?

Ada pihak mengatakan wujud konspirasi terancang oleh media arus perdana Kuala Lumpur mempertahankan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu?

Jeng...jeng...jeng...sejak bila pula ada pihak tertentu yang selama ini percaya kepada laporan akhbar perdana mengubah selera?

Apakah mereka sudah beralih arah? Apakah laporan Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, Kosmo, tv3, tv7 dan sebagainya tidak benar?

Saya tidak pasti apa mahu dipanggil dengan orang yang bukan sekadar mempertikaikan laporan akhbar seperti ini – bukan satu tetapi semua akhbar – Jumud atau ‘Sakit Jiwa?’

Menurut sebuah blog - citra-bangsa.blogspot.com - penulis yang suka menghina dan mengaibkan seseorang adalah perbuatan mereka yang tidak ingat dosa dan pahala, serta tanggungjawabnya kepada agama.Beliau bertanya, apakah orang seperti ini ‘sakit’. Jika dia sakit, kenalah dia berubat. Jika dia berdosa, kenalah dia bertaubat.

Saya timbulkan perkara ini berikutan ada sebuah blog menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri ‘cukup kecewa dengan manipulasi berita berkenaan lalu pejabat TPM telah mengarahkan semua media (termasuk Bernama) menyediakan salinan percakapan TPM (transkrip sidang media) seterusnya mengemukakan kepada pejabat TPM dengan segera’.
Benarkah Muhyiddin kecewa dengan laporan berita dari Kuala Terengganu?
Kata blog berkenaan: ‘Ini merupakan siri konspirasi terancang dan pembohongan jahat kali kedua dalam siri mempertahankan Mat Said supaya kekal sebagai MB Terengganu selepas isu sms ugutan.’
Benarkah ada konspirasi di kalangan akhbar termasuk Bernama dalam soal ‘menyelamatkan Ahmad Said’?
Juga berkaitan dengan ini apakah isu sms ugutan itu juga satu konspirasi? Nada ini pernah diperkatakan oleh sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat kumpulan 10.

Persoalan kepada blogger berkenaan pula – ‘apakah anda salah seorang yang berkonspirasi mahu menjatuhkan Ahmad Said?’

Blogger berkenaan marah dengan kenyataan berikut: “Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.”

Menurut blogger berkenaan “Rupa-rupanya ‘berita’ berkenaan merupakan konspirasi terancang dan pembohongan jahat ‘dalang’ yang berselindung di sebalik kepentingan peribadi dan usaha menyembunyikan rasa ‘nak terkencing terberak’ mereka. Kali ini dibuat dengan menggunakan media @ orang-orang media.”

Katanya, lanjutan daripada berita yang mengelirukan ini, sekurang-kurangnya ada dua media arus perdana yang telah membuat pengakuan jujur bahawa berita berkaitan (yang melibatkan MB) yang disediakan oleh wartawan mereka dan dihantar untuk disiarkan adalah berasaskan kepada kenyataan akhbar TPM tetapi telah dirombak dan ditokoktambah (diarah?) oleh ‘tangan-tangan gatal’ di ibu pejabat media berkenaan.

Malah beliau menganggap berita yang disiarkan itu “Yang sebenarnya inilah corak konspirasi terancang dan pembohongan jahat terhebat abad ini. Tahniah kepada yang berjaya mencipta keburukan situasi kerana dengan bertambah buruk dan kalutnya situasi ini lebih menjelaskan keburukan dan kekalutan isi perut penciptanya.”

Ada beberapa persoalan di sini dan kita menuntut blogger berkenaan menjawabnya dengan ikhlas:

1. Akhbar mana yang melakukan konspirasi berkenaan?
2. Siapa wartawan dimaksudkan? Apakah wartawan berkenaan mempertikaikan penyuntingan
berita mereka? Kenapa pula mereka perlu memberitahu blogger berkenaan mengenai
ketidakpuasan hati mereka?
3. Apa hubungan Ketua Pengarang atau Ibu Pejabat akhbar berkenaan dengan Ahmad Said?
4. Berapa banyak Ahmad Said bayar kepada pengarang atau ‘tangan ghaib’ di Kuala Lumpur
untuk mempertahankannya?
5. Pengarang atau ‘tangan ghaib’ mana yang berani melakukan manipulasi berkenaan?
6. Kepada blogger berkenaan pula, apakah beliau sendiri ‘bebas daripada duit dan imbuhan’
apabila mengatakan mengenai ‘tangan ghaib’ berkenaan;
7. Apakah blogger berkenaan menulis dengan niat dan hati yang bersih apabila menyebut
mengenai konspirasi ini; dan
8. Apakah blogger berkenaan menulis bukan kerana kepentingan sesiapa tetapi demi
kepentingan rakyat Terengganu? Dengan kata lain ia adalah ‘kebenaran belaka’ bukan kerana
kepentingan sesiapa.

Saya berharap benar jawapan daripada Muhyiddin mengenai kekecewaan beliau terhadap laporan oleh media arus perdana mengenai kedudukan Ahmad Said itu.

Walaupun mungkin malam esok akan ada kenyataan daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu mengenai isu Menteri Besar dan usaha merapatkan jurang antara pemimpin UMNO Terengganu, rasanya nada desakan akan terus menerus disuarakan.

Pihak yang tidak berpuashati dengan kewujudan terus Ahmad Said sebagai Menteri Besar akan terus mendesak.

Rasanya kedudukan sebenar Ahmad Said wajar keluar daripada mulut Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Hanya jawapan Najib sahaja akan mengurangkan kekeruhan – selagi tidak dijernihkan, yang mendapat untung bukan kumpulan yang menentang Ahmad Said atau kumpulan yang menyokong Ahmad Said tetapi pembangkang – PAS.

Najib perlu fikir panjang soal ini kerana jatuh Terengganu akan mengecilkan peranannya!

SULTAN TIDAK BOLEH PECAT MENTERI BESAR

Dalam penghakiman 78 muka oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang dikeluarkan kepada media semalam, menyatakan dengan jelas Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya.
Ini kerana beliau (Menteri Besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Abdul Aziz berkata sebaik saja Menteri Besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada siapa lain.
Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Berlandaskan keputusan itulah beliaubeliau mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11 Mei lalu.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap Menteri Besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

"Saya berpendapat bahawa pemecatan Menteri Besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," kata beliau.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali Menteri Besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat Menteri Besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota DUN, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa "jika Menteri Besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif".

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Mohammad Nizar, 52, memohon writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Mohammad Nizar, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihan raya umum ke 12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Mohammad Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa Barisan Nasional mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Mohammad Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budi bicara mutlak berhubung pelantikan Menteri Besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran DUN.

"Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang Menteri Besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

"Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti DUN hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada Menteri Besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan - Bernama

Nota: Saya berharap sangat untuk mendengar pandangan lain mengenai penghakiman ini. Apa kata Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Nazri Aziz atau juga Datuk Zaid Ibrahim mengenai soal ini. Tolong jawablah mereka yang pakar undang-undang.

Monday, May 18, 2009

PENANTI – BN TIDAK IKUT RENTAK PEMBANGKANG

Perangkap pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengena.
Sah sudah Barisan Nasional (BN) tidak tunduk dengan desakan supaya meletakkan calon menentang PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan petang ini, DUN Penanti bukan untuk UMNO masuk gelanggang.

Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang.

Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.
Pada 29 April lalu, saya bertanyakan wajarkah Barisan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti?

Saya meminta difikirkan perkara berikut dalam konteks pilihan raya kecil Penanti ini. Ia termasuk:

1. Jika menang akan memberikan keyakinan baru kepada UMNO dan jika kalah, siri pembubaran DUN dan Parlimen seperti yang dimahukan Anwar akan menjadi bertambah rancak;

2. Jika UMNO bertanding, ia bagaikan ‘undur belakang untuk kebaikan’ namun dimanakah rasional merugikan wang rakyat;

3. Jika menang reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan menonjak dan jika kalah ia semakin merudum;

4. Jika bertanding akan ada tuduhan Najib mengikut telunjuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebelum ini Muhyiddin seperti menyokong kenyataan Dr Mahathir;

5. Jika bertanding, wang rakyat akan dikorbankan sedangkan kerusi itu tidak akan mengubah apa-apa; dan

6. Akan ada orang yang akan untung daripada pilihan raya kecil ini kerana selalunya walaupun calon kalah pilihan raya kalah tetapi ‘ada orang UMNO yang akan menang’ kerana mendapat pelbagai kemudahan dan wang’ hasil peruntukan pilihan raya berkenaan.

Yang pasti BN tidak akan menang mudah keranba PKR begitu yakin akan menang sudah menemui calon menggantikan bekas ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini berikutan timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng meletakkan jawatanb. Beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus.

Menarik pada pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.

Langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Apa pun, Najib menggariskan tiga sebab BN enggan bertanding:

Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.
Mesej BN mudah saja, iaitu BN "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang."

ANWAR - MAT JENIN?

“Kalau mereka lakukan (buat tawaran), mereka katakan mereka beretika, tapi kalau kita lakukan mereka kata kita tak beretika.”
Demikian pendirian Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai sikap pembangkang, khususnya bekas ‘mentornya’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baguslah Zahid tidak ikut ‘ajaran salah’ bekas gurunya.
Mungkin Anwar beranggapan pada ketika itu Ahli Parlimen Kimanis itu mudah untuk digula-gulakan kerana Anipah menolak tawaran menyertai pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Sejak meninggalkan Anwar, Zahid ternyata sering membuat kenyataan yang disifatkan oleh pengikut Anwar sebagai ‘melawan guru’.

Zahid menyatakan perkara itu merujuk kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang juga Menteri Luar yang beliau sedia disaman Anwar.

Anifah juga tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai umpan melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Zahid bingkas dengan menegaskan: “Saya harap dalam perkara ini Datuk Anifah mendedahkan banyak lagi perkara yang telah berlaku ketika beliau tidak menerima tawaran sebagai Timbalan Menteri.

Bagi Menteri Pertahanan itu, Anifah sepatutnya mendedahkan pelbagai tawaran lain yang pernah dibuat pihak pembangkang kepadanya selepas diumpan menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2008 lalu.

Bagi Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, pendedahan seperti itu akan membolehkan rakyat menilai pendirian sebenar pembangkang dalam memenuhi cita-cita politik mereka.

Menurut Zahid, “pada masa itu kononnya Anifah merajuk dan ketika itulah pakatan pembangkang mengambil peluang untuk menawarkan pelbagai, termasuk jawatan kedua tertinggi di negara kita.

Itulah angan-angan Mat Jenin yang dilakukan oleh pakatan pembangkang kepada mereka yang dirasakan kecewa,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Putrajaya hari ini.

Kenapa Anwar nak marah dengan kenyataan Anifah?
Laporan Bernama Sabtu Mei 16, 2009 bertajuk “Anifah: Anwar pernah tawar jawatan TPM bentuk Kerajaan Persekutuan” memetik kenyataan Anifah dari Washington yang membidas Ketua Pembangkang itu kerana tidak menceritakan keadaan sebenar mengenai Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Anda tahu, kami mempunyai kepercayaan teguh terhadap sistem kehakiman kami. Mengenai Anwar Ibrahim, kita amat mengenalinya. Lebih atau kurang, apa yang dia (Anwar) telah nyatakan khususnya di luar negara, banyak perkara yang diperkatakan adalah tidak benar.
"Dia telah berulang kali menyatakan sebelum pilihan raya bahawa dia akan memberikan bukti dan namum sehingga hari ini, dia tidak memberikan apa-apa," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu menjawab soalan seorang wartawan pada sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.
Sebelum ini, Anwar telah menyatakan bahawa beliau akan membentuk sebuah kerajaan pada 16 September lepas tetapi telah banyak kali mengubah tarikh tersebut.

Kata Anifah, Anwar cuba memujuk ahli Parlimen dan saya sendiri ditawarkan untuk melompat kepada pembangkang dengan jawatan amat lumayan dan dia juga beritahu seperti (jawatan) timbalan perdana menteri.Ini semua tidak diketahui oleh dunia umum sehingga sekarang," katanya.

Anifah berkata kerajaan Malaysia amat bimbang dengan tindakan Anwar merosakkan imej negara ketika berada di luar negara.

"Dia memberi gambaran salah secara berterusan dan menuduh semua pegawai kerajaan sebagai rasuah," katanya.

Apa yang jelas ialah, Anifah cuba menonjolkan betapa imej dan tindakan sebenar Anwar di luar negara selain mempertahankan betapa besarnya kerosakan yang dilakukan Anwar.
Pernyataan berterus terang itu selain membela semua pegawai kerajaan juga bertujuan memberitahu Amerika Syarikat bahawa mereka juga patut mendengar penjelasan kerajaan bukan hanya merujuk kepada ‘apa sahaja perkhabaran’ yang dibawa Anw