Saturday, October 29, 2011

SI BANGSAT PENYANGAK SUKAN WAJAR DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS

Celaka dan bangsat mereka yang melakukan kerja menjual tiket yang diberikan subsidi oleh kerajaan negeri.

Subsidi itu menggunakan wang rakyat dan tidak wajar dijadikan keuntungan untuk poket sendiri.

Memang penyangak sukan seperti ini tidak wajar jadi anak Terengganu!

Pada ketika peminat sukan begitu berharap masalah harga tiket tinggi dapat diatasi, mereka mengambil peluang menjual tiket yang disubsidi dan mengaut keuntungan dengan mudah.

Mungkin ada yang mengambil peluang apabila persatuan membenarkan seseorang membeli hingga 10 tiket.

Bagi penyangak ini mereka mungkin berpakat atau membelinya beberapa kali dan hasilnya mendapat pada jumlah yang banyak.

Difahamkan, sebanyak 10,000 tiket dijual secara terbuka sementara 20,000 tiket lagi diagihkan melalui Dewan Undangan Negeri.

Menurut laporan, tiket bersubsidi berharga RM25 bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan hari ini, dijual di pasaran gelap di Kuala Terengganu pada harga RM45 kelmarin.

Tiket untuk perlawanan akhir itu berharga RM50 tetapi kerajaan Terengganu menampung separuh daripada kos untuk 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Terengganu.

Geram dan menyedihkan apabila terdapat penjual tiket berlegar-legar untuk mencari peminat yang sanggup membayar pada harga yang lebih tinggi itu.

Malah ada dakwaan ‘orang dalam persatuan’ membuat kerja itu.

Seorang penyokong Terengganu, Rosamiza Omar, 45, berkata beliau terpaksa membeli tiket itu walaupun pada harga yang tinggi memandangkan tiket telah habis dijual sejak kelmarin.

"Sebaik sahaja mengetahui tiket habis dijual, saya pergi pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkannya di sana kerana difahamkan setiap pejabat DUN dan Parlimen dibekalkan dengan 500 tiket. Bagaimanapun apabila sampai di sana saya dimaklumkan tiket tersebut masih belum diterima, jadi saya terpaksa beli daripada penjual berkenaan," katanya.

Seorang kakitangan PBSNT ketika ditemui wartawan kelmarin enggan mengulas mengenai penjualan tiket di pasaran gelap itu kerana ia di luar kawalan persatuan.

Semalam, kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyiasat dengan segera dakwaan bahawa terdapat orang dalam persatuan itu menjadi dalang menyalurkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada ulat tiket.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu didapati benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menjual tiket yang telah disubsidi kerajaan negeri itu menyusahkan banyak pihak serta menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong bola sepak di negeri ini.

"Saya kesal jika benar perkara ini berlaku, dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Rozi berkata, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana pengagihan turut dilakukan di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen, dengan setiap kawasan diperuntukkan 500 tiket.

"Kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM25 bagi tiket perlawanan akhir kepada rakyat negeri ini untuk membolehkan lebih ramai yang datang untuk menyokong dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

Selasa lepas, Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus untuk 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket sebanyak RM50.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan apabila tiket berkenaan habis dalam tempoh dua jam pada hari pertama ia dijual Rabu lepas.

Sewajarnya ini menjadi pengajaran kepada persatuan dan kerajaan negeri yang membelanjakan lebih RM700,000 bagi tujuan subsidi tetapi ada pihak yang ‘menangguk di air keruh.

Oleh Teganuku

No comments:

Post a Comment