Tuesday, July 14, 2009

MANEK URAI - LEPASI SASARAN 85 PERATUS

Hanya sejam lagi keputusan akan diumumkan.

Kedua-dua pihak nampaknya yakin akan menang. PAS dan Barisan Nasional mengatakan jika menang, majoriti tidak besar.

Kira-kira 87.33 peratus atau 10,736 pengundi daripada 12,293 pemilih berdaftar telah menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sehingga tempoh pengundian ditutup pukul 5 petang ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu melepasi sasaran SPR iaitu 85 peratus keluar mengundi.

"Kita gembira kerana jumlah yang keluar mengundi amat baik dan melepasi jumlah yang disasarkan. Peratusan ini adalah antara yang tertinggi dalam pilihan raya kecil di negara ini," katanya.

Penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Ismail Yaacob, daripada PAS yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, 39 dan Mohd Fauzi Abdullah, 50 yang mewakili PAS.

Laporan Bernama menyebut, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan pengawasan dan seliaan lebih tegas dalam suatu pilihan raya supaya tidak timbul provokasi yang menjejaskan ketenteraman awam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata walaupun SPR telah membuat ketetapan supaya tidak ada lagi pondok panas dan perhimpunan besar diadakan di kawasan mengundi oleh penyokong parti bertanding, namun daripada segi pengawasannya, ia masih lemah.

Beliau mengulas kelemahan kawalan SPR di kawasan mengundi di Sekolah Kebangsaan Peria tengah hari ini sehingga mencetuskan sedikit pertelingkahan antara penyokong PAS dan BN, yang akhirnya menyebabkan dua anggota Puteri Umno cedera dibaling batu oleh penyokong PAS.

"Pihak polis mungkin mengawal tetapi dari segi peraturan pilihan raya ia terletak hak pada SPR untuk menguatkuasakan dan mengawasinya," katanya kepada pemberita di Markas Tektikal (MARTEK) di Laloh dekat sini Selasa.

Katanya satu laporan akan diserahkan kepada SPR mengenai insiden itu.
Justeru itu, katanya, SPR perlu bertindak tegas apabila berlaku insiden seumpama itu mahupun sebarang tindakan provokasi dengan mengambil langkah pencegahan melalui bantuan pihak polis.

"Kita harap SPR akan lebih teliti dengan perkara ini dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata seharusnya penyokong tidak dibenarkan berhimpun di hadapan pintu masuk tempat mengundi kerana ia boleh mencetuskan ketegangan akibat provokasi daripada penyokong parti yang bertanding.

"Saya tidak tahu ada pondok panas atau tidak tetapi berhimpun di pintu masuk tempat mengundi dengan melakukan provokasi dan kerenah ini bukan satu yang dibolehkan dalam peraturan pilihan raya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kekecohan oleh penyokong parti PAS dikenalpasti dilakukan oleh penykong luar dan bukannya penyokong daripada penduduk tempatan di Manik Urai.

"Saya dimaklumkan mungkin orang tempatan tak begitu, ia lebih banyak datangnya dari luar. Mereka ini mungkin tidak mengetahui budaya tempatan walaupun mereka orang PAS dan orang Umno tetapi hubungan tetap baik.

"Yang jadi masalah bila orang luar datang tidak tahu budaya tempatan malahan amat memalukan apabila mengatakan mereka dari parti yang memperjuang Islam tetapi perbuatan tidak Islamik dan mencemarkan agama Islam. Dalam berselawat, mereka mencerca, mencaci serta mengata," katanya.

Beliau berkata penyokong BN tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin PAS perlu bertanggungjawab untuk menasihati penyokong mereka kerana perbuatan yang dilakukan bukan sahaja bertentangan dengan adat dan budaya tetapi juga syariat Islam.

Di tempat yang sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam sidang akhbar berasingan, berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap provokasi penyokong parti bertanding jika pegawai SPR tidak mengarahkan.

Antara lain punca provokasi itu boleh berlaku adalah kerana ketetapan SPR yang membenarkan wakil calon berada di tempat semakan saluran mengundi SPR yang berdekatan tempat mengundi.

"Apabila dibenarkan wakil calon berada di situ, mereka juga cuba meraih undi di tempat semakan pengundian itu. Ini menyebabkan penyokong parti bertanding juga datang berkumpul dan timbul keadaan provokosi," katanya.

Beliau telah memaklumkan kepada SPR untuk meminta penyokong parti bertanding beredar dari tempat semakan itu kerana apabila jumlah penyokong semakin bertambah ia akan menyukarkan pihak polis untuk mengawal keadaan.

1 comment:

  1. Dah dahlah tu Dato Nik Aziz ,depa dah pun tua. Kubur dah kata "mari" .Bagilah org lain perintah Kelate tu. Depa bukan saja kena sawan tapi nyanyok dah. Dulu suruh che det bersara tapi sekarang terbalik dah.

    ReplyDelete