Friday, May 8, 2009

HUKUMAN BERAT UNTUK PERAGUT

Saya menyokong seratus peratus syor supaya polis mempercepatkan siasatan kes-kes ragut sedia ada bagi dibicarakan di mahkamah;

Ia bertujuan pesalah dijatuhkan hukuman berat yang setimpal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perbuatan jenayah ragut tidak boleh dimaafkan dan hukuman berat perlu dilaksanakan sebagai pengajaran kepada mereka yang masih bebas.

Shahrizat berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai satu lagi kejadian ragut yang menyayat hati.

Hakikatnya kita tidak boleh membiarkan peragut berleluasa apalagi yang menyebabkan kematian.

Soal penting, mahkamah – hakim-hakim - juga perlu memberikan kerjsama padu melalui hukuman berat terhadap peragut, khususnya yang membawa maut seperti yang berlaku di Kota Bharu dan Pulau Pinang itu.

Dalam tempoh berselang sehari kelmarin , negara dikejutkan dengan dua lagi kematian tragis akibat jenayah yang sama di Pulau Pinang dan Kelantan.
Di Pulau Pinang, seorang nenek berusia 86 tahun mati akibat ditumbuk ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya berusia 58 tahun daripada menjadi mangsa ragut di rumahnya di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara kelmarin.

Di Kota Bharu, seorang wanita hamil empat bulan yang juga ibu kepada lima anak, maut dirempuh kereta selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua lelaki bermotosikal di Kampung Padang Raja,Jalan Melor, Ketereh.

Siti Aminah Idris mangsa ragut di Pulau Pinang berkata beliau sekeluarga tidak akan memaafkan dua lelaki yang meragut nyawa ibunya kerana “Kalau bukan kerana mereka, pasti hari ini ibu saya masih bernafas”.

Kebimbangan mengenai kejadian ragut khususnya di Kuala Lumpur amat ketara kerana polis baru-baru ini mendedahkan bahawa jenayah ragut di ibu kota meningkat 99 peratus.
Ini merupakan satu fenomena yang perlu dipandang serius oleh masyarakat di negara ini.

Berdasarkan statistik yang diperoleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, sebanyak 1,915 kes ragut dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,058 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Terdapat beberapa daerah yang meningkat kadar jenayahnya. Antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, mencatatkan peningkatan sebanyak 170 kes kepada 269 pada tahun ini berbanding 99 kes pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, IPD Brickfields turut menunjukkan peningkatan yang banyak iaitu 110 kes pada tahun lalu kepada 322 kes bagi tahun 2009.

Menurutnya peningkatan juga berlaku bagi IPD Cheras yang mencatatkan kenaikan 244 kes daripada 80 kes tahun lalu kepada 324 kes tahun ini.

Bagaimanapun, bagi IPD Sentul ia menunjukkan penurunan sebanyak 63 kes daripada 239 tahun lalu kepada 176 kes tahun 2009.

Walaupun berlaku penurunan di kawasan Sentul, secara keseluruhannya jenayah ragut di sekitar ibu kota dilihat kritikal dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Orang awam terutamanya wanita dilihat mudah menjadi mangsa ragut berikutan sikap mereka yang gemar memberi peluang. Peningkatan kes ragut ini dipercayai disebabkan sikap ingin memperoleh wang dengan cepat dan mudah," katanya.

Pihak polis kini giat menjalankan operasi bersepadu khas bagi mencegah jenayah di ibu kota termasuk jenayah ragut.

2 comments:

  1. Salam sdr.Hambali.

    Saya amat menyokong tindakan keras kerajaan terhadap kegiatan rempit ini. Malah patut dilaksanakan lama dulu. Tapi biasalah bila dah terantuk baru nak tengadah, kata orang tua.

    Ada juga yang mengaitkan hukuman berat ini sebagai tak bertamadun 'hukuman harus berbentuk mengajar'. Ini selalu disuarakan oleh aktivis kemanusiaan yang nak menampakkan diri mereka lebih manusia. Akibatnya masyarakat menerima padahnya.

    Kaunseling juga ada batasnya. Jika berdepan dengan penjenayah tegar, langkah kaunseling lebih membuang masa dan wang ringgit saja.

    ROTAN SAJA... Jika satu stroke tak berkesan tambah 3 tambah 5 tambah 7.

    ReplyDelete
  2. saya sokong sangat penjenayah ragut tu kene hukuman yang berat..kalau hukuman berat tu pulak disebarkan dengan cepat..kemungkinan jugak akan memeberi kesedaran kepada bakal-bakal peragut yang ada kat luar sana tu..

    ReplyDelete