Thursday, December 11, 2008

ISU PPP - JANGAN CEPAT MELATAH

Isunya Parti Progresif Penduduk (PPP), mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan Barisan Nasional (BN) enggan melakukannya.

Kerana isu ini PPP mengugut akan keluar BN jika Akta ISA tidak dipinda sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejauh ini PPP tidak membawa cadangannya ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN, termasuk mesyuarat terbaru BN, sebaliknya diluahkan secara terbuka.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas tidak hadir pada mesyuarat terbaru Selasa lalu dan menghantar wakilnya.

Akibatnya? Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Selasa membuat kenyataan umum: “Jika itu pilihan mereka, apa yang kami boleh buat ?”

Dan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN mengatakan PPP bebas membuat pilihan untuk keluar daripada BN jika itulah pilihan mereka mengundang persepsi yang berbeza-beza.

1. Kata-kata itu tidak boleh diterjemahkan sebagai Abdullah sudah menghalau PPP daripada BN tetapi PPP boleh menilai sendiri kedudukannnya dalam BN kerana ia hak PPP;

2. Kalaupun kenyataan Abdullah dianggap ‘kasar’ dan seakan menghalau PPP, keputusannya juga terletak kepada PPP sama ada keluar secara sukarela dan tidak akan dipecat seperti yang berlaku kepada parti USNO pada awal 1980-an;

3. Sewajarnya PPP mengemukakan cadangannya kepada Majlis Tertinggi BN terlebih dahulu dan BN pula meminta dan meneliti apakan perkara-perkara yang perlu dipinda dalam akta tersebut sebelum membuat keputusan sama ada PPP wajar kekal atau sebaliknya dalam BN.


4. Akta ISA boleh disemak semula mengikut kepentingan dan keperluan semasa dan tidak rigid. Cadangan supaya dipinda tidak salah dan perlu diselesaikan dengan semangat BN bukan melalui ugutan atau amaran.

Hakikatnya, ugutan yang dibuat oleh PPP untuk meninggalkan BN sedikit pun tidak menjejaskan parti memerintah, sebaliknya ia akan kembali memperkuatkan BN pada masa depan. Bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan pemimpin parti kecil itu yang terus mengugut untuk keluar daripada BN nyata telah melemahkan PPP sendiri.

"Jadi kalau PPP nak keluar daripada BN, silakan. Saya sokong keputusan Pengerusi BN berhubung hal ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di Air Keroh semalam.

Apapun, BN dilihat perlu diperkemas dan dimantapkan, dan pastinya Kayveas sepatutnya tidak membuat ugutan atau gertakan sementara BN jangan terburu-buru menghukum.

Ini kerana bukan PPP sahaja yang mahukan Akta ISA dipinda, Parti Gerakan yang juga komponen BN pada 12 Oktober lalu, turut meminta kerajaan meminda Akta ISA bagi memperkukuhkan lagi sistem demokrasi di negara ini. Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pindaan akta itu perlu merangkumi segala perlindungan hak asasi manusia.

Pada sidang akhbar selepas menamatkan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional Ke-37 selama tiga hari di Wisma PGRM, Kuala Lumpur, beliau menyifatkan akta-akta yang memerlukan tahanan tanpa bicara di mahkamah hendaklah dipinda dan segala perlindungan hak asasi manusia hendaklah dimasukkan.

Berikutan terdapat banyak perbezaan pandangan mengenai ISA, Tsu Koon mencadangkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa atau pasukan petugas khas membincangkan mengenai pindaan akta tersebut.

Yang membezakan tindakan antara PPP dan Gerakan ialah PPP mengugut keluar BN tetapi Gerakan tidak sampai ke tahap itu.

Soal sama ada Kayveas mempunyai dua pilihan sama ada boleh meletakkan jawatan sebagai Presiden parti atau membawa parti itu keluar BN juga tidak timbul.

Kayveas sepatutnya terlebih dahulu mengemukakan cadangan apakah perkara atau bidang yang perlu dipinda dan tidak timbul msama ada perlu mendapatkan konsensus dan sokongan dengan mengadakan referendum di kalangan ahli peringkat akar umbi untuk keputusan keluar BN atau sebalinya.

Kelmarin, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata pelbagai isu sensitif dibincangkan tetapi tidak perlulah disenaraikan.

"Kita mengambil sikap terbuka dan memahami bahawa kami semua (parti-parti komponen) (terletak) di bawah satu parti besar BN dan kami juga bertanggungjawab kepada banyak perkara secara bersama.

"Kerajaan yang wujud adalah yang berkongsi kuasa berasaskan konsensus iaitu kita mengamalkan tanggungjawab bersama, maka dengan itu tidak ada perkara yang sensitif yang tidak dibincangkan," katanya.

Abdullah berkata, tidak ada sesiapa yang membangkitkan atau membuat kenyataan mengenai isu mahu keluar daripada BN pada mesyuarat berkenaan. Beliau berkata mesyuarat membincangkan langkah dan usaha yang mahu dibuat untuk mengadakan Konvensyen BN pada Februari depan.

No comments:

Post a Comment