Thursday, December 11, 2008

BUKAN AZIZ SATTAR SEORANG SAHAJA...

Pejuang seni, termasuk artis perlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Jangan menganggap mereka penghibur semata-mata. Mereka menceriakan rakyat dan sumbangan ini besar kerana kadangkala rakyat mampu melupakan seketika kesedihan dan kesulitan mereka apabila terhibur.

Sebagai insan seni yang bergantung hidup kepada bakat anugerah Allah, mereka adalah manusia ‘bebas’ yang tidak menuntut perkara yang bukan-bukan seperti orang politik atau rakyat yang mengharapkan subsidi.

Perkara ini perlu diberikan perhatian dan semestinya dijalankan secara bersepadu oleh beberapa kementerian, khususnya Kementerian Penerangan dan Kementerian dan Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta jabatan.

Kita sering mendengar artis susah dan menderita.

Susah dan menderita bukan bermakna sakit dan pendapatan yang semakin menurun tetapi juga soal-soal lain seperti masalah rumah tangga dan sebagainya.

Kita banyak mendengar masalah artis menghadapi perceraian dan perpisahan. Mereka ada anak dan keluarga.

Sewajarnya bantuan bukan dalam konteks geran, kemudahan pinjaman dan wang ringgit semata-mata. Ia juga mungkin dalam konteks kemudahan mendapatkan peguam, khidmat nasihat atau juga persatuan yang aktif.

Apapun, langkah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Mohd Shafie Apdal semalam meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat pelakon veteran Datuk Aziz Sattar dihargai.

Mohd Shafie yang turut ditemani Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim dan Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Aziz.

Pelakon berusia 83 tahun itu, yang cukup popular dengan filem Bujang Lapok dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, kelmarin kerana serangan asma.

Terdahulu, Seniman turut menyampaikan sumbangan bernilai RM500.

Melihat kepada keperihatinan beliau jelas KPKKW sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa golongan artis apatah lagi pelakon veteran itu banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tempatan.

Menurut Shafie, kementerian bukan hanya prihatin apabila artis ditimpa musibah tetapi kami memberikan sokongan kepada mereka setiap masa.

No comments:

Post a Comment