Monday, November 3, 2008

MENCARI KEJERNIHAN ISU PEROLEHAN EUROCOPTER C-725

Elok sangat jika Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah membuka kertas siasatan berhubung isu cadangan pembelian 12 helikopter Eurocopter C-725 bernilai RM1.607 bilion yang kini ditangguhkan bagi memastikan sama ada ia dilakukan mengikut prosedur.

Isunya ialah ‘ harga yang dikatakan terlalu mahal dan didakwa dipengaruhi pihak tertentu’.
Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menumpukan perhatian pada projek lebih penting yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

Siasatan kes itu diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Shukri Abdullah dan baru dimulakan.

“Pegawai kami sudah ke Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklumat berhubung isu itu kerana BPR mahu melihat sama ada ia dilakukan mengikut prosedur atau ada kepincangan. Jika wujud unsur rasuah, kita akan jalankan siasatan lanjut," kata Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam.

BPR dijangka menjalankan siasatan secara berperingkat kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga sedang meneliti isu itu.

Dilaporkan, mesyuarat dengan Kementerian Kewangan tidak dapat dijalankan dengan sempuna kelmarin kerana masalah ketidak hadiran pegawai atasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan mesyuarat dengan wakil dari Kementerian Kewangan untuk membincangkan isu pembelian Eurocopter hanya berlangsung kurang dari satu jam.

Ini katanya, kerana wakil yang diharapkan dari kementerian tersebut hanya berpangkat setiausaha rendah dan bukannya Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

“Kita mahu setiausaha kementerian itu sendiri hadir memberikan penjelasan, oleh itu kita tangguhkan mesyuarat ini Isnin depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen.

Selain itu, beliau juga menyelar tindakan KSU tersebut kerana tidak hadir mesyuarat itu.

Apabila ditanya adakah KSU terbabit akan hadir ke mesyuarat Isnin depan, Azmi menjawab KSU tersebut akan hadir kerana menyifatkan semua pihak patut memberi perhatian serius dalam perkara yang dibangkitkan PAC.

Tambahnya, beliau juga akan memanggil semula Bahagian Teknikal Kementerian Pertahanan.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADs) dan pada 15 September kementerian itu mengeluarkan satu Surat Hasrat kepada Eurocopter.

Banyak maklumat akhir-akhir ini mengenai perolehan C-725 dan banyak pihak atasan pula dikaitkan.

Ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini Menteri Pertahanan dan bekas menterinya, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Selain itu, sudah pasti Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Abu Bakar Abdullah dan pengerusi Mentari Services Sdn Bhd, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim yang mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Februari tahun ini untuk perolehani itu dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 September.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah dilaporkan berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Mengenai isu ini, melalui posting saya ini pada 28 Oktober lalu ada mengemukakan pertanyaan sama ada perolehan itu bagi tujuan pertahanan kerana Kementerian Pertahanan yang menggendalikannya.

Saya berhujah bahawa jika ia untuk tujuan pengangkutan biasa, tidak apalah apa alasan ia ditangguhkan. Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.


Semalam saya membaca sebuah tulisan menarik mengenai isu ini ditulis moleh Kijang Jantan melalui http://kijang-jantan.blogspot.com yang memetik blog saya dan blog Datuk Husam Musa (http://cetusan-hati.blogspot.com) sebagai asas penulisannya.

Datuk Husam Musa dalam blognya (http://cetusan-hati.blogspot.com) menimbulkan beberapa isu tetapi yang menarik apabila beliau berkata:

“Benar LOI dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Ia nampak macam Najib tergesa-gesa. Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan. Memang pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. Abdullah berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan deal ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'.

Pada masa yang sama, ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib. Surat Kapt (B) Zahar Hashim ditujukan kepada Najib. Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka'.

Ia satu 'permainan' tingkat tingi. Berbillion ringgit wang negara jadi pertaruhan. Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah segera tahu Eurocopter adalah mahal dan negara tak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan. Cepat dan pantas. Sebulan, selesai. Abdullah terkejar masa untuk 'sentuhan' akhir sebelum bersara?”

Saya perturunan tulisan berkenaan:

PEROLEHAN EC725 – NAJIB CUBA DIPALITKAN?

Oleh Prebet Pencen (http://kijang-jantan.blogspot.com)

Bercakap mengenai isu proses perolehan helikopter EC725 keluaran Eurocopter, Hambali Abdul Latiff melalui blognya http://hambali1.blogspot.com pada 28 Oktober lalu, mengemukakan pertanyaan:

“Apakah pembelian helikopter itu untuk tujuan kegunaan biasa atau keselamatan? Jika ia untuk tujuan biasa, tidak apalah jika ditangguhkan. Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.”

Yang pasti Perdana Menteri yang mengumumkan pembelian Eurocopter dibatalkan dan beliaulah juga yang mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya buat kali pertama pada 26 September lalu.

Aneh juga apabila kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas diumumkan niat untuk membelinya.

Lantas teringat kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 21 Oktober 2008, yang menyebut kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan. Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa. Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima).

Tidakkah ini menggambarkan apa yang diperkatakan oleh Hambali memang benar dalam konteks keselamatan negara?

Selain isu berkenaan, saya tertarik dengan apa yang ditimbulkan Wan Nordin Wan Yaacob melalui tulisannya: Eurocopter: "Abdullah makan nangka, Najib terkena getahnya" dalam Harakahdaily semalam.

Tulisan ini mengemukakan pertanyaan mengenai siapa sebenarnya yang cuba mendapatkan keuntungan daripada perolehan berkenaan?

Berdasarkan tulisan Datuk Husam Musa bertajuk “Eurocopter: Najib atau Abdullah kempunan atau keduanya?” banyak perkara boleh diperkatakan.

Husam berkata, ketika ramai menyangka kononnya 'perbincangan' pembelian Eurocopter didalangi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan komisyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepadanya.

"Isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nangka dan orang lain terkena getah," kata Husam secara sinis dalam satu ulasan yang dipaparkan dalam blognya baru-baru ini.

Benar 'Letter of intent' (LOI) dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan ia nampak seperti Najib tergesa-gesa.

Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan dan sememangnya pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan, kata Husam.

Selanjutnya Husam menegaskan: "Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan 'deal' ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'.

Pada masa yang sama Husam melihat ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib.

Dan apabila Najib meminta Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka', sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah mengatakan Eurocopter adalah mahal dan negara tidak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan.

Kesian Najib!

Berikut pula ialah tulisan Husam:

Eurocopter: Najib atau Abdullah kempunan atau keduanya?

Tuesday, October 28, 2008

(http://cetusan-hati.blogspot.com)

Eurocopter permainan siapa - Abdullah atau Najib?

Hari ini, Abdullah umumkan pembelian Eurocopter dibatalkan. Kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas Abdullah yang sama pertama kali mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya pada 26 September tahun ini. Petikan laporan Utusan mengenainya seperti di bawah; Perdana Menteri berkata, surat hasrat (LOI) telah dihantar kepada Eurocopter untuk membeli helikopter tersebut.

‘‘Pada masa ini Kementerian Pertahanan sedang mengadakan rundingan dengan Eurocopter mengenai spesifikasi teknikal helikopter, klausa perjanjian sebelum menandatanganinya secara rasmi dengan syarikat berkenaan,’’ katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat khas di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Esok, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dijangka memulakan siasatan mereka ke atas pembelian tersebut. Hari ini, Abdullah mengumumkan pembatalannya. Kata Abdullah, keputusan pembatalan itu dibuat dalam mesyuarat Eksekutif Majlis Ekonomi Kebangsaan yang bersidang dua minggu sebelum ini. Maknanya, sekitar 14 Oktober.

Jika benar mesyuarat Majlis Ekonomi membincang dan membuat keputusan itu dua minggu lepas, ada dua persoalan di sini;

a. Mengapa dua minggu kemudian baru keputusan tersebut diumumkan? b. Mengapa Timbalan Perdana Menteri seakan tak mengetahuinya apabila Najib, pada 21 Oktober atau tujuh hari yang lalu, membuat kenyataan berikut, seperti laporan Utusan;

Najib ditanya sama ada krisis kewangan global akan menyebabkan kerajaan menilai kembali peruntukan untuk projek pertahanan terutama pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri.

Jawapan Najib, ikut laporan itu ialah; KUALA LUMPUR 21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam. ''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan. ''Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

''Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima) di sini hari ini. Kenyataan Najib di atas dibuat seminggu yang lalu, seminggu selepas apa yang didakwa Abdullah keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan.

Mustahil Najib tak mengetahui keputusan itu sehinga kenyataan seperti ini terkeluar dari mulutnya jika memang keputusan itu sudah dibuat.

Dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, Najib menyatakan; "Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.

PEKAN 19 Okt. - Kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Apa mesej yang nak dihantar oleh Najib?

Ketika ramai menyangka deal Eurocopter didalangi Najib dan komesyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nagka dan orang lain terkena getah.

Benar LOI dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Ia nampak macam Najib tergesa-gesa. Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan. Memang pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. Abdullah berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan deal ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'.

Pada masa yang sama, ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib. Surat Kapt (B) Zahar Hashim ditujukan kepada Najib. Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka'.

Ia satu 'permainan' tingkat tingi. Berbillion ringgit wang negara jadi pertaruhan. Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah segera tahu Eurocopter adalah mahal dan negara tak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan. Cepat dan pantas. Sebulan, selesai. Abdullah terkejar masa untuk 'sentuhan' akhir sebelum bersara?

No comments:

Post a Comment