Ini Larangan.
Anda tidak boleh menggunakan jentera kerajaan secara langsung atau tidak langsung untuk berkempen bagi pemilihan UMNO yang akan diadakan antara 24 hingga 26 Mac depan.
Awas, jika anda langgar peraturan, anda boleh dihukum gantung (keahlian) atau dibatalkan kemenangan anda!
Ini amaran daripada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.
Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) di Menara Dato Onn semalam.
Majlis Tertinggi memberi amaran pada calon dan anggota agar merujuk semula pada tata etika dan jangan langgar peraturan atau (bersedia) menghadapi tindakan tegas selaras dengan perlembagaan. Ia bukan saja pada penerima tetapi juga pemberi,
Persoalannya, kernapa tiba-tiba amaran ini dikeluarkan?
Apakah ada antara menteri-menteri yang menggunakan sepenuhnya ‘aset’ kementerian seperti mengagih-agihkan projek, kakitangan dan agensi untuk berkempen bagi pihak mereka?
Atau apakah ada bantahan daripada menteri-menteri tertentu bahawa kementeriannya tidak boleh memberikan apa-apa?
Dengan larangan ini bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kemungkinan Datuk Seri Ali Rustam atau Tan Sri Muhammad Muhd Taib tidak boleh menggunakan kementerian dan Pejabat Menteri Besar untuk berkempen.
Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar Bandar dan Pejabat Menteri Besar Melaka dilarang sama sekali berkempen.
Sementara bagi pertandingan untuk Naib Presiden pula, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga tidak boleh digunakan untuk berkempen.
Calon terbabit ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Malah, jika diikutkan daripada senarai calon yang mahu bertanding, Datuk Seri Dr Rais Yatim juga tidak boleh menggunakan Kementerian Luar dan Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik juga dilarang berbuat demikian.
Dua lagi calon iaitu bekas menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis secara automatic tidak akan menggunakan sebarang kementerian atau agensi.
Program-program kerajaan yang sudah diatur oleh kementerian-kementerian dan Jabatan Menteri Besar yang dilancarkan antara hari ini dan sehingga pengundian UMNO pada Mac depan perlu diberi jaminan tidak ‘berbau kempen’.
Bagi calon-calon MT yang ramai itu, ada beberapa kementerian penting turut terlibat umpamanya Kementerian Kerja Raya, Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pelancongan turut dilarang berkempen kepada Menterinya dalam apa juga bentuknya.
Bagi Kementerian Pembangunan Usahawan, Menteri dan Timbalannya bertanding untuk MT. Bagaimana dengan calon-calon yang menduduki agensi-agensi penting seperti Mara dan sebagainya. Adakah mereka juga terbabit?
Beliau berkata MT juga memutuskan membenarkan calon yang bertanding bertemu anggota parti dalam pertemuan yang diatur oleh ibu pejabat Umno di semua negeri.
"Semua yang akan bertanding, MT akan diberi kesempatan untuk bertemu. Tidak ada acara lain yang akan diadakan. Dengan cara ini mereka akan dapat bertemu anggota di peringkat negeri," katanya.
Abdullah berkata pertemuan seumpamanya bertujuan memastikan mereka tidak terlibat dalam kempen tidak beretika. Abdullah berkata MT hari ini turut membincangkan isu-isu politik, sosial yang setiap hari dipaparkan media yang mesti ditangani dengan baik.
Isu lain ialah, pelobi dan perayu undi dikatakan berkeliaran di Kuala Lumpur. Siapa mereka berada di hotel-hotel sekitar kuala lumpur?
Untuk apa datang ke Kuala Lumpur untuk melobi? Bukankah perayu undi sepatutnya keluar dari Kuala Lumpur dan menjelajah ke seluruh negara, kecuali Sarawak?
Menurut Presiden UMNO semalam, pelobi dan perayu undi bagi calon bertanding pemilihan parti, yang banyak dikesan berada di hotel di sekitar Kuala Lumpur dan negeri-negeri, digesa supaya pulang ke kawasan masing-masing atau menghadapi tindakan disiplin.
"Laporan yang diterima, ramai mereka ini sedang berada di hotel-hotel di KL (Kuala Lumpur) dan negeri untuk kempen secara langsung dan tidak langsung untuk dorong undi atau jangan mengundi (calon tertentu).
"Ini berleluasa di hotel sebagai tempat pertemuan. Bagi elak jadi lebih teruk, saya ingin beri amaran (kepada mereka) agar pulang ke kawasan masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau yang sudah mula jalankan tugas masing-masing," katanya.
Kalau benar, berguni-gunilah duit kini berlegar di Kuala Lumpur.
Kesan bukan politik ialah, hotel banyak ditempah, coffee house atau ‘pusat-pusat melobi’ semakin rancak bisnesnya dan penjual makanan, pemandu teksi dan lain-lain, termasuk kedai menjual roko0k dan cerut juga kini untung berlipat ganda.
Apabila pelobi di suruh pulang, sunyilah kembali tempat-tempat yang kini meriah tetapi ia
mungkin rancak semula dua tiga bulan akan datang.
Persoalan lain, balikkah mereka ke tempat masing-masing?
No comments:
Post a Comment