Friday, October 31, 2008

APABILA ABDUL RAZAK BEBAS

(Kemaskini) Selepas dibicarakan selama 151 hari, Abdul Razak Baginda Abdullah kini kembali bebas.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, tidak berpuas hati dengan pembebasan Abdul Razak dan akan mendapatkan pandangan daripada Menteri Hal Ehwal Kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia sebelum mengemukakan sebarang rayuan.

Pembebasan penganalisis politik oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam itu daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini membawa erti yang sangat besar dalam konteks politik UMNO dan negara.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan setelah mendapati tiada kes prima facie terhadap Abdul Razak.

Selama ini isu pembunuhan Altantuya ini menjadi suatu kemelut dan 'awan mendung' yang menganggu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Najib pernah bersumpah bahawa beliau tidak mengenali Altantuya apabila beliau dikaitkan dengan wanita Mongolia itu.

Najib bersumpah untuk menegakkan kebenaran dan menurutnya beliau berserah kepada Allah menentukannya.

Dan pada 14 Oktober lalu. Najib mengulangi kenyataannya bahawa beliau ikhlas dan tidak pernah menggunakan kuasa dengan campur tangan dalam siasatan pembunuhan Altantuya.

Katanya, beliau tidak perlu memberikan sebarang ulasan mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) antara beliau dan seorang peguam terkemuka yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

‘‘Saya tidak perlu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut. Apa yang penting tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa,” katanya di Parlimen.
Jelas beliau, apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini adalah memadai.

Sebuah portal berita baru-baru ini mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam siasatan Altantuya.

Abdullah ketika diminta untuk mengulas mengenai perkara itu menolak dakwaan portal berita berkenaan.

Portal berita, Malaysia Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin itu mendakwa terdapat mesej komunikasi antara Najib dengan seorang peguam terkemuka yang mewakili Abdul Razak Baginda, salah seorang lelaki yang didakwa bersubahat dengan dua pegawai polis dalam pembunuhan Altantuya.

Abdul Razak, 48, menghadapi tuduhan bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan itu pada pukul 9.54 malam, 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam, 19 Oktober 2006 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Abdul Razak merupakan pengarah eksekutif sebuah kumpulan pemikir tempatan.
Dr Shaariibuu Setev ketika ditanya sama ada ibu Altantuya, Altentsetseg Sanjaa telah dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu, Abdul Rahman berkata Shaariibuu hanya memaklumkannya kepada Perdana Menteri Mongolia dan kedutaan Mongolia di Thailand.

Bagaimanapun, keputusan belum dimemaklumkan kepada Altentsetseg kerana bimbang akan menjejaskan kesihatannya yang kini menjalani rawatan di hospital akibat strok.

Altantuya mempunyai dua anak lelaki berumur 11 tahun dan empat tahun yang kini terpaksa berulang-alik ke Bejing untuk mendapatkan rawatan menyedut lendir di kepalanya.

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi berkata keputusan Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak membabitkan campur tangan politik.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan pembebasan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu dibuat mahkamah dan semua pihak seharusnya menghormati perkara itu.

“Keadilan terbukti hari ini tapi sama ada keadilan ini dihormati oleh dunia, hanya tuhan yang tahu,” katanya kepada pemberita selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu.
Ditanya sama ada hubungan Malaysia dan Mongolia akan terjejas berikutan keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak, Abdul Rahman berkata:
“Hubungan Malaysia dan Mongolia tidak terjejas kerana kita profesional. Kebetulan kejadian itu terjadi di sini dan boleh jadi ia berlaku di mana-mana pun.

“Cuma pandangan dunia terhadap sistem kehakiman kita akan dipertikaikan kerana dunia tahu hanya Altantuya dengan Abdul Razak, dunia tidak tahu Sirul dan Azilah,” katanya.

Raja Petra yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah antara saksi yang dicadangkan oleh pihak pembelaan untuk dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, selain Raja Petra, pihaknya juga bercadang memanggil semula penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan tertuduh sendiri untuk memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Raja Petra dan Balasubramaniam sebelum ini pernah mengikrarkan akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi termasuk Azilah dan teman wanitanya, Nor Azila Baharuddin.

Kedua tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin akan mula mendengar keterangan bela diri pada 10 November depan.

Abdul Razak yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Damansara hari ini, hanya mengungkapkan berulang kali perkataan `Alhamdulillah ’ apabila diminta reaksi di atas pembebasannya itu.

Selain itu katanya, amalan berpuasa sunat menjadi rutin harian beliau sepanjang 22 bulan tempoh penahanannya.

No comments:

Post a Comment