Monday, November 24, 2008

ISU BABI, JANGAN MAIN BELASAH JE...

Syor boleh, kritik pun boleh. Malah, kalau betul belasahlah. Tapi jangan ambil fakta separuh jalan.

Saya kasihan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang baru kira-kira lapan bulan memegang jawatan, tidak putus-putus ‘dibelasah’.

Belum habis isu kuota 50 peratus pemilikan rumah untuk Bumiputera (saya sokong), kini dibelasah lagi dengan isu babi.

Saya bukan nak sokong Kerajaan PAS Negeri Kedah. Saya ahli UMNO dan akan terus menyokong UMNO, kecuali jika UMNO tidak lagi memerlukan sokongan saya.

Dalam isu babi ini saya terasa ada sedikit tanggungjawab sebagai bekas wartawan dan mahu semua merujuk kepada fakta kelulusan projek ini.

Saya terbaca posting dalam blog Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com) bertajuk “Kedah Jelapang Padi, Bukan Jelapang Babi” pada Sabtu, 22 November 2008 (kelmarin) menyebut bahawa Negeri Kedah pimpinan PAS berkata pihaknya hanya akan membuka ladang babi moden secara berpusat di kawasan Bukit Selambau dekat Sungai Petani, jika ia tidak mendapat bantahan daripada penduduk tempatan.

Adalah wajar jika mereka membuat rayuan kepada kerajaan Negeri Kedah agar menjalankan kajian impak secara mendalam sebelum melaksanakan projek pembinaan ladang ternakan babi di sekitar kawasan itu.

Kerajaan negeri dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-12 memberitahu, tapak seluas 162 hektar itu telah diluluskan pada 4 Disember tahun lalu. Jawapan bertulis itu juga menyebut, hanya satu syarikat dikenal pasti untuk mengendalikan ladang babi tersebut.

Sebanyak 46,000 ekor babi dibenarkan diternak di ladang berkenaan.

Kata Kijang Jantan: “Kerajaan Negeri pimpinan PAS hanya mengambil alih selepas pilihan raya umum Mac lalu. Jadi cadangan ini bukan daripada PAS, ia sudah dipersetujui sejak Barisan Nasional memerintah lagi. UMNO pun terpalit sama. Baguslah kalau Kerajaan Negeri mahu mengambil kira pandangan penduduk.”

Selebihnya Kijang Jantan menyatakan kasihannya kepada penduduk pekan Bukit Selambau dekat Sungai Petani yang bimbang dengan projek berkenaan.

Dan semalam harakahdaily.net melaporkan: “Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman," demikian menurut laman-web pembangkang itu.

Menurut harakahdaily lagi, sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional), stesen televisyen (termasuk tv3 dan RTM1 terus menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

Yang menariknya siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

Tidakkah penyiaran berita sedemikian sudah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009)?

Ini soalan ikhlas daripada saya kerana buku Jawapan Bertulis hendaklah dihormati sebagai buku yang sah untuk DUN Negeri Kedah. Nak marah, marahlah.

Pada sidang media berkenaan, Menteri Besar Kedah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Ia semakin panas apabila Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas kini tidak mampu bersuara malah banyak tindak-tanduknya hanya untuk memuaskan parti lain termasuk membenarkan penternakan babi di kawasan kampung orang Melayu.

Katanya, Pas rela menerima perkara itu, malahan tidak lagi berani untuk bercakap mengenai penubuhan negara Islam.

Oleh itu kata beliau, orang Melayu juga tidak boleh mengharapkan Pas untuk melindungi hak-hak keistimewaan mereka memandangkan parti itu lebih kecil daripada DAP walaupun mempunyai penyokong yang ramai.

Semakin haru-birulah jadinya jika kita tidak merujuk kepada sumber asal untuk mengulas sesuatu perkara.

Dalam perkara ini adalah baik jika Kerajaan PAS Kedah menjelaskan kedudukan sebenar, bukan secara menghentam media dan sebagainya.

Penjelasan secara berhemah dan menggunakan fakta yang sudah ada cukup untuk membuatkan rakyat faham.

Jangan kerana salah faham, orang bukan Islam sensitive tidak tentu pasal dengan orang Islam – Melayu khususnya.

1 comment:

  1. Apa yang BN buat semuanya bagus dan manfaat pada rakyat termnasuklah menaikkan harga minyak dulu dan sekarang kurang tak sekurang harga minyak dunia sepatunya harga minyak Rm 1.50 sahaja satu litter. Harga getak dan sawit turun pun manfaat pada rakyat agar rakyat tidak kaya raya macam pemimpin BN. Harga barang keperluan masih diparas tinggi pun manfaat pada rakyat agar rakyat kurang makan.

    Bila pembangkang buat semuanya tak kena dan salah!

    Berhimnpun sokong BN tak ada permit tak apa! Madia arus pedana menjadi talibarut besar mengelirukan fikiran rakyat.

    Ini namanya Kerasjaan Cacar Marba!

    ReplyDelete