Wednesday, November 5, 2008

BUDI BAHASA BERMULA DI PARLIMEN

Ahli Parlimen kita tidak berbudi bahasa?

Bukan begitu. Ada di kalangan mereka hanya sesekali tersasar. Itu sahaja.
Kempen Budi Bahasa diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.

Pujian harus diberikan kepada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mahu memperhebatkan kempen Budi Bahasa di kalangan ahli Parlimen.

Cadangan kerajaan itu rata-rata disambut baik oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga kalangan parti pembangkang.

Shafie berkata kelmarin Ahli Parlimen adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.
Menurutnya: “Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.

“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,”

Beliau berkata demikain selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan pada 2 November 2008.

Kementerian itu sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat seperti penyebaran risalah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin menyambut baik cadangan kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa di kalangan anggota Parlimen.

Menurut beliau, kempen seumpama itu sesuai dan relevan untuk dilaksanakan di kalangan Anggota Parlimen bagi memastikan mereka lebih berhati-hati sebelum bercakap dan menjadi contoh terbaik untuk diteladani.

"Anggota Parlimen ni orang yang berada di atas, sudah bijak pandai, banyak pengalaman, tidak perlu nak adakan akta atau sebagainya untuk kawal mereka," katanya di Kota Bharu.
Selain Nik Aziz, Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut menyokong kempen tersebut.

Namun katanya isu etika Ahli Parlimen ini bukanlah sesuatu yang besar dan perlu diberi perhatian yang khusus.

"Ada banyak lagi isu lain yang perlu diberi perhatian, namun sebenarnya baik juga kempen ini dilaksanakan," katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau amat menyokong cadangan dikemukakan oleh Menteri berkenaan.
"Saya amat bersutuju dan sokong penuh cadangan kempen ini, namun ia perlu diperluaskan meliputi semua peringkat," katanya.

Menurutnya, melalui kempen ini ahli Parlimen akan sentiasa berwaspada dalam penggunaan perkataan-perkataan yang bersesuaian ketika berhujah dalam Dewan Rakyat.

"Namun biasalah, kadang-kadang bila kita leka berhujah... ada juga tersasar dari etika bahasa," katanya.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut bersetuju dengan memperkenalkan kempen tersebut di kalangan ahli Parlimen.

"Kempen ini bagus, semua pihak harus amalkan budi bahasa yang baik terutamanya apabila berhujah dalam Dewan.

"Sepatutnya kita tak boleh gunakan perkataan sesuka hati tanpa berfikir terlebih dahulu, dengan kempen tersebut diharap semua pihak akan lebih berhemah ketika bercakap," katanya.
"Memanglah kita nak amalkan budi bahasa yang baik, tapi kalau mereka mencelah dan bangkitkan perkara yang boleh cetuskan kemarahan, kadang-kadang kita juga boleh hilang sabar," katanya.

Dalam pada itu, Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau) juga bersetuju dengan pelaksanaan kempen tersebut, namun tidak perlu terlalu bergantung kepadanya.

Kata beliau, seharusnya tiada pendekatan tadbir dan arah diperkenalkan kerana sepatutnya ahli Parlimen diberi kebebasan untuk berhujah dan menyampaikan pandangan.

"Apa yang lebih penting ialah melalui pendidikan kerana melaluinya kita akan bertindak dan berkelakuan dengan baik dan berhemah," katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong usaha yang dibuat untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai sebuah Parlimen bertaraf dunia.

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

“Kalau cakap Bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul,” katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan Bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.

“Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.

1 comment:

  1. Di Malaysia ni banyak sudah kempen yang dilaksanakan. Tapi ianya hangat-hangat tahi ayam. Kerana mereka yang mnerasa berkuasa selalunya tak tahu basa!

    Mereka fikir mereka boleh apa saja, jangan orang lain buat, dia akan marah lalu buat kempen itu dan ini.

    Contohnya kempen anti merokok. Ahli Parlimen BNlah yang banyak merokok!

    http://rp-semantan.blogspot.com

    ReplyDelete