Wednesday, November 5, 2008

AKHIRNYA RAJA-RAJA JUGA YANG DIRUJUK

Ketuanan Melayu hanya menguntungkan sesetengah golongan Melayu sahaja?

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sedemikian?
Siapakah yang dimaksudkan Anwar melalui kenyataannya itu?

Kata Anwar, sewajarnya kita membantu kesemua mereka bersama kaum Cina dan India.
Katanya semalam, perjuangan menegakkan Ketuanan Melayu akan hanya menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sedangkan yang lain masih dalam keadaan ketinggalan.

Beliau juga mahu supaya kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Ibrahim yang mengkritik dasar yang berasaskan kaum yang dianggapnya sengaja dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara dinilai dengan mendalam.

Soalnya ialah apakah Ketuanan Melayu meminggirkan bukan-Melayu?

Dengan kata lain apakah semangat Perikatan dan Barisan Nasional (BN) berteraskan Ketuanan melayu yang suatu ketika Anwar sendiri dokong tidak membantu masyarakat Melayu dan kaum lain?

PKR atau DAPkah yang meletakkan orang Melayu bersama-sama orang Cina dan India seperti kedudukan sekarang ini?

Benarkah kumpulan tertentu Melayu mengambil kesempatan terhadap rata-rata orang Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan?

Ketuanan Melayu sebagai dasar dan amalan tidak salah dan jika orang Melayu ketinggalan yang silapnya ialah pemimpin Melayu yang kurang membantu mereka, termasuk Anwar sendiri ketika dalam kerajaan.

Banyak pihak tidak berpuashati dengan pendapat Anwar dan Zaid.

Kerana itu, sekurang-kurangnya 500 orang Melayu dijangka akan menyertai perarakan bagi mengemukakan memorandum sokongan terhadap ketetapan yang diambil pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215, pagi ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu merupakan tanda taat setia orang Melayu terhadap institusi Raja Melayu di negara ini.

“'Perarakan ini adalah sebagai menyambut hasil ketetapan Majlis Raja- Raja Ke-215 yang bermesyuarat di Terengganu baru-baru ini mengenai kedudukan institusi raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan hak bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

''Saya harap perarakan yang bermula dari Masjid Ubudiah ini akan menjadi peringatan kepada kumpulan tertentu yang sering mempersoalkan hak istimewa orang Melayu," katanya di Kuala Kangsar.

Mohd. Hilmi memberitahu, perarakan akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan peserta dijangka tiba di Dewan Santapan Istana Iskandariah pada pukul 10 pagi.

Polimik mengenai Hak Istimewa dan Ketuanan Melayu ini reda seketika selepas Ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 tetapi hangat kembali apabila model Ketuanan Melayu dikatakan telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, minggu lalu yang mengkritik dasar Ketuanan Melayu yang dianggapnya berasaskan kaum, walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Beliau meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.
Hakikatnya Zaid ‘mahu ambil hati siapa’ dan ‘siapa pula yang mahu diredakan oleh Zaid’?

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf kepada orang Melayu berikutan kenyataannya konsep ketuanan Melayu gagal di negara ini.

Syed Hamid berkata, kenyataan Zaid yang mempertikaikan hak ketuanan Melayu itu boleh diibaratkan sebagai satu pengkhianatan bekas menteri terhadap bangsanya sendiri yang sudah merdeka dan berdaulat.

"Dia pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Zaid perlu insaf dan memohon maaf kepada bangsa Melayu.

"Jangan biarkan diri kita menjadi alat untuk melemahkan bangsa kita sendiri dan menggadaikan maruah bangsa sehingga orang lain mengambil kesempatan di atas kelemahan kita.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan Zaid sebagai orang yang buta sejarah perjuangan bangsanya, walaupun beliau pernah diletakkan di tempat yang begitu tinggi oleh kepemimpinan orang Melayu negara ini.

"Tanpa sejarah ketuanan Melayu, Zaid tidak berpeluang berada di tempat beliau berada sebelum ini dan mungkin tidak dapat bercakap seperti yang beliau pertikaikan jika negara ini bukan diperintah dan diasaskan oleh ketuanan Melayu," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.

“Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.

Kelmarin, Zaid mempertahankan kenyataannya bahawa formula berasaskan konsep ketuanan Melayu mempunyai unsur negatif yang melemahkan kaum itu dan bersifat perkauman.
Beliau bagaimanapun menegaskan, ia tidak bermaksud bahawa beliau mempersoalkan 'keistimewaan' orang Melayu dalam Perlembagaan seperti yang cuba digambarkan.

Apa yang sebenarnya, menurut Zaid, konsep itu mencerminkan orang Melayu hanya mahu menjadi 'tuan' tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Katanya: “Seolah-olah orang Melayu ini mahu hak-hak tertentu serta penghormatan dan pengiktirafan tentang kebolehan mereka semata-mata kerana mereka orang Melayu. Ini pada saya bukan gambaran yang sebenar. Imej ini melemahkan orang Melayu sendiri. Ramai orang Melayu mahu penghormatan dan pengiktirafan tentang kejayaan mereka berasaskan kebolehan mereka.

Orang Melayu mempunyai kebolehan luar biasa dan tidak perlu untuk mengamalkan sikap 'angkuh' kononnya mereka mempunyai hak yang lebih daripada kaum lain," ujar beliau dalam kenyataannya di Kota Bharu.

Zaid mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mengecam beliau di samping menuntutnya supaya memohon maaf kerana seolah-olah mengkhianati dan memburukkan bangsa sendiri serta melupakan sejarah perjuangan bangsa.

''Saya tidak terkejut dengan reaksi pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengenai kenyataan saya bahawa model atau formula berasaskan konsep ketuanan Melayu gagal menolong Melayu menuju kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang ekonomi ataupun pelajaran.

''Mereka hanya mahu saya minta maaf sambil menghina kewibawaan dan kesetiaan saya kepada bangsa Melayu," ujarnya.

''Saya tidak perlu meminta maaf kepada Syed Hamid dan kawan-kawannya. Kepada orang Melayu, saya harap anda dapat membezakan di antara pemimpin yang benar-benar memikirkan kepentingan anda daripada pemimpin yang hanya menggunakan nama Melayu untuk kepentingan politik mereka," ujar beliau.

Yang pasti Sultan Azlan sudah memberi perkenan untuk menerima semua peserta masuk mengadap dan perarakan itu juga mendapat kelulusan polis.

''Pada majlis itu, semua peserta akan melafazkan sumpah taat setia kepada Sultan Perak dan institusi Raja-Raja Melayu dan saya sendiri akan mempersembahkan memorandum kepada Sultan Azlan," katanya.

GMP yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai sebarang motif politik, sebaliknya berjuang mempertahankan kedudukan orang Melayu, agama Islam dan juga institusi Raja Melayu.

''Kami berasa kesal dengan tindakan segelintir kumpulan dan pemimpin menggunakan isu sensitif ini semata-mata untuk kepentingan politik sedangkan mereka tahu perkara ini sudah dipersetujui sebelum ini.

''Semua perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak wajar terus dipersoalkan. Selagi ia berada di situ, kita sebagai warganegara Malaysia wajar mematuhinya," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment