Monday, October 20, 2008

ARUS NAJIB-MUHYIDDIN TERLALU KUAT

Ada beberapa isyarat yang boleh dijadikan panduan dalam pemilihan khususnya untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Isyarat paling penting ialah untuk jawatan Presiden. Sehingga ini pencabar yang satu-satunya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu tidak mendapat sebarang pencalonan, walaupun namanya naik di beberapa Bahagian UMNO untuk mencalonkannya.

Menurut laporan Bernama, sehingga jam 7 malam semalam, Najib mendapat 59 pencalonan, termasuk daripada kesemua 15 bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat semalam.
Had kelayakan pertandingan bagi jawatan Presiden ialah 58 pencalonan.

Ini bermakna Timbalan Perdana Menteri itu layak bertanding bagi jawatan Presiden setelah mendapat pencalonan melebihi had kelayakan.

Yang menariknya, beliau adalah calon tunggal untuk jawatan itu setakat ini setelah 59 daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, bermula 10 Oktober lepas.

Apakah maknanya ini?
Ia membuktikan bahawa Najib benar-benar mendapat sokongan padu biarpun ada beberapa percubaan sebelum dan semasa untuk menggagalkan Najib menjadi Presiden UMNO dan secara automatik Perdana Menteri.

Ada rakan memberitahu, sebelum pengumuman terakhir pelan peralihan kuasa terbaru – Presiden UMNO mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan – ada usaha besar bagi menjamin agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Dilaporkan seseorang yang dikatakan bertaraf Menteri bersama beberapa rakan-rakan mereka menyediakan dana lebih RM40 juta bagi menjayakan usaha “Kenapa Abdullah Mesti DiPertahankan”.

Hakikatnya Najib dan orang-orangnya tahu siapa dalang kumpulan ini kerana kebetulan penggerak itu juga seseorang yang dikatakan terlalu ‘anti-Mahathir’.

Tidak diketahui kenapa orang berkenaan ‘tidak suka’ Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi ketika kali pertama beliau bertanding Parlimen pada 1999, pencalonannya dipersetujui Dr Mahathir.
Rakan berkenaan memberitahu memang orang ini ‘orang Pak Lah 100 peratus’ kerana dia merasakan mendapat kedudukannya hari ini kerana jasa dan budi Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri.

Usaha mempertahankan Abdullah itu bukan sekadar memujuk bahagian-bahagian tidak mencalonkan Najib sebagai calon Presiden, malah kerja-kerja ‘mempertahankan Abdullah’ juga akan dibuat dengan cara yang berbagai, termasuk bahan cetakan.
Hakikatnya, orang ini bimbang jika Najib menjadi Perdana Menteri, dia mungkin diletakkan di kementerian kurang penting atau digugurkan terus.

Berkaitan itu, ada seorang rakan menyatakan ada pihak yang ada kaitan dengan orang berkenaan meminta beliau serta beberapa yang lain melakukan penyelidikan dan menyediakan dokumen yang berkisar sekitar “Kenapa Abdullah Mesti DiPertahankan”.

Menurut rakan berkenaan, permintaan itu dibuat sebelum berlangsungnya Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Bagaimanapun, ketika kempen hangat berjalan dan seminggu sebelum pilihan raya berkenaan berlangsung, apabila rakan saya menanyakan perkara itu kepada pihak berkenaan, mereka seperti ‘hilang selera’.

Menurut rakan berkenaan, kumpulan ini yang turut menjalankan kempen di Permatang Pauh dan kebetulan Najib sebagai ‘kepala pilihan raya kecil itu’, turut mengumpulkan data ‘serangan pembangkang terhadap Najib’ untuk dijadikan bahan bagi ‘membelasah Najib’ untuk ‘mempertahankan Abdullah’.

Apapun, selepas pilihan raya berkenaan selesai dan pengumuman demi pengumuman dibuat mengenai peralihan kuasa, kumpulan itu semakin lemah dan projek “Kenapa Abdullah Mesti DiPertahankan” menjadi longgar.

Ketua kumpulan itu yang mulanya berselera untuk bertanding jawatan tinggi parti akhirnya ‘mengalah’ dan bertanding mempertahankan kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MKT) sahaja.
Malah, bahagiannya turut mencalonkan gandingan Najib- Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan beliau mengalah, mungkin untuk sementara.

Kumpulan itu juga kini sunyi-sepi apalagi Muhyiddin, yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam layak bertanding bagi jawatan an Timbalan Presiden Umno setelah mendapat pencalonan melebihi had kelayakan.

Muhyiddin menerima tambahan empat lagi pencalonan iaitu daripada Umno Bahagian Gerik, Lenggong, Ledang dan Bakri, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonannya sebanyak 42.
Had pertandingan bagi jawatan Presiden Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Beliau meninggalkan jauh dua lagi calon jawatan Timbalan Presiden iaitu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menerima pencalonan semalam.

Mohd Ali menerima sembilan pencalonan baru dengan menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 12 manakala Muhammad kini memperoleh sejumlah lima pencalonan setelah menerima dua lagi pencalonan semalam.

No comments:

Post a Comment