Monday, October 20, 2008

BACA DAN FIKIRLAH...

Saya tidak berani komen atau mengutarakan sebarang pendapat. Kalau komen pasal Melayu nanti ada yang mengatakan saya ‘asobiyah’ dan kalau komen pasal Islam, saya tidak belajar sekolah pondok atau lulusan Universiti Islam Antarabangsa. Saya hanya meletakkan keratan akhbar ini untuk sama-sama kita renungkan.
Pertahankan Melayu - Ulama
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Persatuan Ulama Malaysia menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini bersatu bagi menghalang segala perkara yang boleh menggugat kedudukan agama Islam, orang Melayu dan institusi diraja.

Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, menerusi penyatuan itu, semua perkara yang boleh merosakkan hak keistimewaan orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak sentiasa terpelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini akan hancur apabila ada pihak yang cuba mempertikaikan segala ciri-ciri Melayu termasuk menyamakan asal usul dengan kaum lain. ''NGO Islam perlu bersatu dalam perkara ini.

Jangan biarkan ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan ke atas kita. Jadikan peringatan daripada raja-raja Melayu itu sebagai sempadan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia, Koperasi Muslimin Malaysia Berhad dan Yayasan Muslimin (M) Berhad.
Beliau mengulas kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu berhubung hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sheikh Abdul Halim memberitahu, kenyataan akhbar khas itu menunjukkan raja-raja Melayu memandang serius setiap kejadian yang berlaku di dalam negara.

No comments:

Post a Comment