Saturday, October 27, 2018

BAJET 2019 - ELAUN MUSIM TENGKUJUH & SARA HIDUP UNTUK GOLONGAN MISKIN..



Bajet 2019 pastinya akan menekankan kepada kesaksaman dan keadilan dalam pengagihan kekayaan negara untuk rakyat.

Mengimbangi pembahagian rezeki daripada pendapatan negara sewajarnya tidak mengetepikan kumpulan nelayan, petani, peneroka, pekebun kecil getah dan kelapa sawit serta kumpulan B40 yang lain di luar bandar.

Kita mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh semalam yang menyebut elaun sara hidup nelayan perlu diberikan keutamaan dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan Jumaat nanti.

Selain itu, beliau berkata status elaun sara hidup nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 juga wajar diteruskan atau ditambah baik. Ia bagi memastikan nasib golongan itu terus terbela.

Dan pada ketika bulan November dan kemudian Disember akan menjelang beberapa hari lagi, sudah pasti bulan-bulan ini dan biasanya hingga Februari akan menjadi ujian dan cabaran kepada semua kumpulan nelayan, pekebun, penanam padi, penternak, peneroka dan penoreh getah.

Mereka bukan sekadar dalam kumpulan B40 tetapi ada yang berada dalam kalangan miskin tegar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam satu keluarga, ada paling  kurang purata 5-6 orang yang menjadi tanggungan mereka.

Pada bulan-bulan sebegini, hujan akan turun. Kemungkinan-kemungkinan lain ialah banjir, laut bergelora dan sawah ditenggelami air.

Pastinya kejadian sebegini akan  menguji kesabaran kumpulan yang mengharapkan ‘sinaran matahari’ tetapi sebaliknya mereka diuji dengan hujan, ribut dan banjir.

Soalnya mereka adalah rakyat yang mengharapkan pembelaan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggantikan Barisan Nasional (BN).

Pada Bajet 2018 yang dibentangkan tahun lalu, selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, buat kali pertamanya kerajaan BN mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh tiga (3) bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi.

Dalam kedudukan sebegini, mereka akan berdepan dengan suasana yang sukar, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga keluarga, jiran dan ‘awak-awak’ yang sesetengahnya menumpang rezeki dengan mereka.


Kepada siapa mereka akan memohon bantuan dan tidak wajar mengharapkan mereka hanya doa kepada Tuhan semata-mata - sedangkan kerajaan yang memerintah adalah juga ‘pelindung mereka’.

Namun, nampaknya pemimpin HARAPAN  yang ditugaskan menjaga kepentingan mereka ini masih membisu mengenai pengumuman bentuk dan jumlah bantuan ‘musim tengkujuh dan banjir’.

Mungkin menteri dan pegawai-pegawai kementerian bimbang untuk mengambil langkah yang sesuai kerana Perdana Menteri sebelum ini menunjukkan sikapnya yang tidak senang dengan bantuan bulanan umpamanya kepada nelayan.

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2018 lalu bahawa "(Kerajaan terdahulu) memberi duit kepada nelayan, sama ada mereka menangkap ikan atau tidak, itu bukan soalnya, mereka mendapat (RM) 300 sebulan seperti gaji,” mungkin dijadikan alasan untuk tidak bertindak secara proaktif.

Namun, apakah Dr Mahathir  sebagai pemimpin utama negara tidak mengendahkan nasib nelayan, petani, penternak, pekebun, penanam padi  dan semua mereka yang mungkin terjejas mata pencarian akibat musim tengkujuh?

Mungkin kenyataan pada Jun itu dibuat kerana kedudukan kewangan negara begitu ‘ketat’. Namun kini sudah Oktober dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah menyatakan bahawa kewangan negara semakin baik.

Persoalannya, apakah semuanya mahu diserahkan kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan? Apa cadangan menteri atau pegawai tinggi kerajaan untuk membantu kumpulan miskin dan termiskin ini?

Sama ada ia  insentif tunai oleh kerajaan HARAPAN yang hanya dibayar pada musim tengkujuh sahaja atau elaun sara hidup bulanan, menteri dan kementerianlah yang sewajarnya membuat cadangan untuk dibentangkan kepada Kabinet.

Berdiam diri dan menunggu Perdana Menteri ‘buka mulut’ akan menyebabkan kumpulan terjejas seperti pekebun kecil, penoreh getah, penanam padi dan yang sewaktu dengannya akan merasakan mereka tidak dibela.

Apakah mereka wajar untuk diabaikan?

Beberapa kementerian sewajarnya sudah mempunyai program khusus untuk tujuan ini. Ini termasuk:

1.      Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi:

Kementerian ini perlu membantu pekebun kecil persendirian sawit. Perlu diingat,  secara keseluruhan, 3.2 juta rakyat Malaysia adalah pekebun kecil, keluarga dan anak mereka serta masyarakat luar bandar bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup. Dianggarkan terdapat 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh Malaysia.

2.     Bidang kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas:

(a)  Bantuan untuk petani/penanam padi  dijangka akan melibatkan kira-kira 200,000 orang dalam tempoh empat bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dan jika dilanda banjir, kerugian mereka akan berlipat ganda;

(b)  Kira-kira 110,000  direkodkan sedang bekerja di atas bot (vessel) menangkap ikan; 53,000 nelayan bekerja di atas vessel komersial (laut dalam kelas B dam 57,000 orang (52.39%) bekerja di atas vessel yang mengusahakan peralatan menangkap ikan tradisional.

(c)  Sementara ada hampir 2,500  nelayan darat di seluruh negara. Banjir akan menyebabkan sangkar ikan dihanyutkan air, rosak dan juga kerugian lain

3.     Lembaga Getah Malaysia:

Sebelum ini LGM ada membuat  bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada kesemua pekebun kecil dan pemilik getah di seluruh negara sebanyak RM200 seorang setiap bulan untuk tempoh tiga bulan bermula November. Jumlah pekebun kecil ialah hampir 360,000 orang.

Kesemua anggaran ini mungkin tidak tepat. Ini kerana angka sebenar kesemua kumpulan mereka yang layak dibantu untuk musim tengkujuh dan elaun sara hidup diterbitkan secara berasingan antara kumpulan mereka.

Namun, jika kumpulan rakyat lain menerima nikmatb pembangunan, tidak salah memberikan tumpuan kepada mereka ini.

Mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara sama ada secara persendirian,mahupun berkumpulan.

Pastinya mereka juga adalah pengundi.

Friday, September 28, 2018

BERSATU MAHU SEKAT ANWAR? SATU FAKTA SANGAT MENYELEWENG...


Adu domba politik bukan berlaku di kalangan orang politik semata-mata.
Ia juga berlaku di kalangan ahli akademik yang lebih berminat menilai dan mentafsir politik dari bilik di kampus.

Walaupun tidak semua tetapi dalam kes terbaru di mana seorang pensyarah berpendapat  Bahagian BERSATU di Port Dickson dibubarkan sebagai “taktik politik supaya tak terlibat PRK?’ sangat menyeleweng.

Tanpa membuat rujukan yang sahih dan berfikiran terbuka dengan mengambil kes yang berlaku di Negeri Sembilan dan di Bahagian BERSATU Port Dickson sebelum ini, analisis jelas tidak betul dan menyimpang jauh.

Selain tafsiran yang menyimpang, ia jelas tidak mentelaah apa yang cuba dilakukan oleh kepimpinan BERSATU Pusat, khususnya oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Isu dan pergolakan di Negeri Sembilan bukan kes baharu.

Kritikan, letak jawatan, penggantian kepimpinan dan banyak masalah lain, termasuk keahlian menyebabkan BERSATU Negeri Sembilan dianggap salah satu ‘negeri BERSATU’ yang bermasalah.


Jadi, tanpa melihat kepada masalah yang berlaku dalam BERSATU negeri berkenaan, Felo Penyelidik Institut Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri  janganlah membuat kenyataan spontan yang menampakkan beliau cetek dalam politik dan tidak membuat kerja rumah.

Beliau mengatakan pembubaran BERSATU  di Negeri Sembilan sebagai taktik politik yang memberi isyarat bahawa parti itu tidak akan berkempen untuk calon PKR di PRK Parlimen Port Dickson.

Malah ‘tidak berkempen’ itu dikaitkan pula dengan hasrat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan berkenaan.

“Disebabkan itu katanya, “BERSATU mengambil jalan selamat dengan membubarkan parti itu di Negeri Sembilan agar tidak terlibat pada PRK berkenaan, 13 Oktober ini,” menurut apa yang dipetik oleh Sinar Harian.

Lebih menyeleweng fakta oleh Achmad Dzarlean ialah apabila mengatakan pembubarakan itu sebagai ‘satu cara untuk mengurangkan keupayaan Anwar menang besar pada PRK Parlimen Port Dickson’.

Mentadbir politik bukan mudah dan apa yang dibuat oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pasti melalui banyak pertimnbangan. Ia tidak semudah membuat ulasan spontan di akhbar.

Muhyiddin yang begitu berpengalaman dalam parti sama ada UMNO dan BERSATU sudah pasti mengambil kira banyak perkara, termasuk menjaga hati rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), khususnya menjelang PRK Port Dickon membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam isu BERSATU Negeri Sembilan ini, rujuk sahaja kepada kes awam di mana BERSATU Pusat berusaha keras untuk memulihkan BERSATU negeri selepas krisis besar akibat kritkkan dan perletakan jawatan setiausaha kerja, parti itu - Kamarulzaman Habibur Rahman  yang dikenali sebagai ‘Cik gu Kamaruzaman’.

Kamarulzaman yang merupakan pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) turut  mengumumkan keluar BERSATU pada 19 April 2017 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpunan PPBM, yang dakwanya semata-mata mahu merebut kuasa dan kedudukan.


Kemudian pada 28 Januari 2018, kekecohan berlaku apabila berlaku kekecohan di Konvensyen HARAPAN  Negeri Sembilan di Seremban apabila beberapa pihak dakam BERSATU tidak puas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
  
Lebih 50 ahli melaungkan perkataan 'ini tidak adil' beberapa kali dari bahagian belakang dewan sebaik Presiden PH, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selesai berucap.

Malah ketika sidang media di hadapan pentas bersama Wan Azizah; Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, serta pemimpin pakatan pembangkang negeri, kumpulan itu turut membuat gangguan.

Ini mencemarkan majlis dan belaku di hadapan pemimpin utama parti koponen HARAPAN yang hadir.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz terpaksa menelan semua perbuatan yang bersifat ‘kurang manis’ itu.


Terbaharu, pula pada 14 September lalu, ada amaran daripada kepimpinan BERSATU Port Dickson untuk Boikot PRK Port Dickson jika pemimpin PKR, khususnya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak memohon maaf kepada perdana menteri dahulu sebelum berkempen di Port Dickson.

Mereka juga menggesa pemimpin PKR tidak datang berkempen dalam PKR Parlimen Port Dickson kerana pernah membuat tuduhan tidak berasas kepada pimpinan parti itu. Mereka ialah Naib Presiden yang juga calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ketua Penyelaras BERSATU  bahagian itu, Ramli Awang berkata, kedua-dua individu terbabit telah melemparkan tuduhan yang tidak bermaruah terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Saya khuatir sekiranya sesuatu tidak dilakukan oleh mereka, ia akan menyebabkan kira-kira 2,000 ahli PPBM Port Dickson tidak keluar mengundi dan tindakan ini pasti akan mempengaruhi keputusan pengundian kelak,” tegas Ramli.

Kenyataan yang dibuat Ramli itu bagaimana pun tidak menghalang sama sekali Anwar daripada bertanding di Port Dickson. Namun ia tetap dilihat sebagai sesuatu yang akan mendatangkan masalah kepada parti dan hubungannya dengan PKR.

Berikutan itu BERSATU Pisat, selepas membubarkan BERSATU Negeri Sembilan melantik Tan Sri Rais Yatim sebagai Pengerusi BERSATU yang baharu di negeri itu. Rais memohon masa tiga bulan untuk pulihkan BERSATU negeri itu.

Mengenai PRK ini, sebagai orang berpengalaman Rais semalam berkata jika Anwar menang, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada Port Dickson, dalam masa sama ia juga beri kesan kesan positif terhadap pembangunan Negeri Sembilan secara amnya.

Menurutnya, Presiden PKR itu berhak untuk mendapat keistimewaan memandangkan beliau adalah antara orang terpenting dalam pentadbiran negara pada masa akan datang selain bakal Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

 “Kita bagilah peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali beraksi dalam politik, kita akan membantu memenangkan beliau,” kata Rais mengenai PRK Port Dickson.

Mengambil iktibar daripada kes yang berlaku di Negeri Sembilan ini, kepimpinan BNERSATU mempunyai sebab untuk membubarkannya, cumanya kebetulan ia berlaku ketika PRK dan Presiden PKR bertanding.

Namun, jika Rais begitu mnenyokong Anwar, sudah pasti jentera BERSATU akan digerakkan dan tidak ada istilah boikot atau sengaja mahu menyekat kemenangan Anwar.

Friday, September 7, 2018

ISLAM PERLU DIJADIKAN ‘ROH PERJUANGAN’ BERSATU...

"BERSATU perlu jelas mengenai hala tuju dasar dan pendirian Islam. Jangan kerana ‘duduk semeja dengan DAP’, BERSATU jadi dayus dan tidak menjadi juara kepada agama Islam."

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan merayakan ulang tahun keduanya malam esok (8 September 2018).

Selepas dua tahun, BERSATU diharapkan bergerak ke arah menggantikan UMNO lindungi Melayu.

Inilah yang dikehendaki oleh Pengerusi BERSATU Tun Dr. Mahathir Mohamad, Namun  cukupkah BERSATU sekadar Islmelindungi Melayu?

Dr Mahathir berpendapat  orang Melayu berasa tidak begitu selamat selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui negara disebabkan sekian lama mereka percaya bahawa perlindungan hanya mampu diberikan oleh UMNO.

UMNO hari ini dilihat oleh Dr Mahathir sebagai  sudah jauh menyimpang daripada perjuangan dan tujuan asal penubuhannya. "UMNO dulu adalah parti yang dihormati, dimuliakan tapi apabila menjadi pemerintah sekian lama, mereka lupa bahawa mereka ditubuhkan untuk perjuangan bangsa, agama dan negara.”

Dr Mahathir berkata UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menjadi parti yang hanya fikir duit ringgit bagi diri mereka sahaja dan yang ambil duit terbanyak, yang mencuri duit ialah Presiden mereka.

Dengan Najib tidak lagi memimpin UMNO dan BERSATU kini menjadi antara parti dalam HARAPAN, wajar sekali soal Melayu dan Islam ini difikirkan secara mendalam.

Namun berapa kerat pemimpin BERSATU yang berfikir dan mengulas pendapat Dr Mahathir yang dibuat dalam Program Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Laketown Resort, Bukit Merah di Taiping, 6 Julai lalu?


Juga berapa ramai cendikiawan Islam Melayu yang berjaya ditarik menyertai BERSATU. Apakah ada pemimpin berlatarbelakangkan Islam ( asam ada lulusan, ilmuan, pakar atau apa sahaja berkaitan Islam_ dalam BERSATU?

Melihat kepada keutuhan UMNO, khususnya pada 1980-an dan 1990-an, faktor meletakkan kepentingan Islam kepada UMNO dan melindungi umat Islam di Malaysia juga menjadi faktor penting terhadap kemajuan dan survival UMNO.

UMNO dihormati kerana ada ‘pemimpin Islam’ untuk jawatan Naib Presiden, ada Biro Agamanya dan tegas membuat kenyataan mengenai Islam.

UMNO ada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Mohd Yusof Nor, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Datuk Dusuki Ahmad, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi )sekadar menyebut beberapa nama).

Malah, pemimpin UMNO ‘tidak kalah dan bacul’ serta tunduk kepada pemimpin PAS yang mendakwa mereka ‘parti Islam’.

Cumanya mulai tahun 2000, pemimpin Islam dalam UMNO mula dipertikaikan kredibiliti mereka apabila ada isu salahguna kuasa dan sebagainya. Malah mufti-mufti juga bercakap hanya menyokong kerajaan pada masa itu.

Kerana itu BERSATU perlu jelas mengenai hala tuju dasar dan pendirian Islam. Jangan kerana ‘;duduk semeja dan bersekongkol dengan DAP’ BERSATU jadi dayus dan tidak menjadi juara kepada agama Islam.

BERSATU perlu memiliki pemimpin yang dilihat berjiwa dan mengamalkan pegangan Islam yang tegas dan tidak berkompromi.


Kenapa saya katakan demikian?

Jika tiada kedudukan ini, jangan harap mahu menjadi pengganti UMNO di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis.

Perlu diingat, lima negeri ini kini menjadi pusat kuasa PAS selepas PRU-14.

Itulah sebenarnya ‘lubuk orang Melayu’ dan memangpun BERSATU ditubuhkan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu luar bandar.

Pemimpin BERSATU – sama ada Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi – perlu sedar mengenai perkara ini, bukan sekadar menjadi ‘burung kakak tua’ kepada Pengerusi atau Presiden sahaja.

Tetapi apakah dalam BERSATU kini ada pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai ‘pemimpi Islam’?

Atau BERSATU mahu harapkan AMANAH perjuangkan Islam untuk mereka?

Jauh panggang daripada api kerana AMANAH juga bercita-cita tinggi dan kegagalan menangani masalah pemimpin Islam ini akan menyebabkan BERSATU akan ketinggalan dan nampak bahawa AMANAH lebih terserlah memperjuangan Islam.
BERSATU mahu kekal sebagai parti nasionalis? Jawalah wahai pemimpin BERSATU.

Kerana itu sambil  BERSATU perlu menggantikan UMNO sebagai pelindung kepada orang Melayu, ia jangan melihat kepantingan kepada bangsa atau kaum semata-mata tetapi juga agama Islam yang menjadi teras kepada kekuatan orang Melayu, khususnya di luar bandar.

Kegagalan memperjuang dan menjaga kepentingan Melayu dan Islam akan menjadikan BERSATU sebuah parti yang tidak mempunyai ‘roh perjuangan’.

Tanpa roh perjuangan, apa jenis parti BERSATU ini sebenarnya?

Sunday, July 1, 2018

NAJIB JANGAN BERTERUSAN DEDAH KELEMAHAN DIRI, ELAK DIBICARA OLEH MEDIA...



Datuk Seri Najib Razak dijangka didakwa minggu hadapan. Namun beliau terus membuat kenyataan-kenyataan yang dilihat cuba  mempertahankan dirinya.

Sejauh ini penilaian terhadap rampasan wang tunai dan barangan mewah di kediaman yang dikaitkan dengannya dianggar RM900 juta hingga RM1.1 billion . Penilaian bukan dibuat oleh polis tetapi oleh pakar.

Rakyat setiap  hari menilai dan media pula terus membicara dirinya. Apa untungnya bekas Perdana Menteri ke-6 itu  terus membuka mulut mempertahankan diri di khalayak ramai?

Kenyataannya ada yang lucu dan ada yang akan memakan diri jika beliau tidak berhenti segera.

Dakwaannya bahawa barangan kemas yang didakwa diterimanya sebagai hadiah sekitar 20 tahun lalu, jauh lebih rendah banyak timbulkan tanda tanya.

Kelmarin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata nilai rampasan itu dianggarkan mengikut harga pasaran.

Kenyataan Najib bahawa  polis tidak sepatutnya meninggalkan  sesetengah fakta berhubung rampasan barangan kemas dan jam tangan dari premis yang dikaitkan dengan dirinya kelihatan janggal. 

Mengatakan  barangan ada diberikan oleh seorang menteri dalam negeri, yang juga seorang putera dari sebuah negara di Asia Barat, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini perlulah dibuktikan di mahkamah, bukan di khalayak.


(Dilaporkan pada 15 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saudi Putera Abdulaziz Saud Al-Saud mengunjung Najib di pejabatnya di bangunan Parlimen).

Kenyataan Najib bahawa Low Thaek Jho mempunyai hubungan strategik (dengan kepimpinan beberapa kerabat diraja di Asia Barat) yang mungkin memberi faedah kepada Malaysia menjelaskan lagi bahawa  Najib menggunakan Jho Low untuk tujuan – peribadi atau perniagaan.

Kata-kata Najib bahawa Jho Low ada hubungan istimewa dengan kepimpinan Raja  Arab Saudi -  Raja Abdullah - dan kerabatnya serta juga istana beberapa negara terutamanya di UAE tidak bermakna apa-apa sebaliknya menunjukkan bahawa Jho Low banyak mempengaruhi Najib, walaupun kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Bagaimana seorang yang begitu muda boleh mempengaruhi seseorang yang berkedudukan tinggi seperti Najib?

Najib mengakui dalam temubual dengan Malaysiakini baru-baru ini bahawa Jho Low mempunyai peranan yang besar dalam 1MDB, dan menganggap hubungan itu mampu memberi nilai kepada Malaysia.

Kenyataan itu hanya menguatkan kepercayaan rakyat dan pendakwa bahawa memang Najib mempunyai hubungan rapat dan istimewa dengan jutawan Pulau Pinang itu.

Tidak perlulah Najib membela Jho Low kerana yang penting Najib membela dirinya sendiri atau kaum keluarganya.

Tidak penting lagi sama ada sebelum 1Malaysia Development Berhad,(1MDB) wujud, Jho Low sudah mengawal tiga syarikat tersenarai di Malaysia dan mempunyai pelaburan dalam projek Iskandar Johor dengan dana dikatakan dari Asia Barat atau tidak.


Sifat dan sikap kagum Najib dengan Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal  1MDB akan menyusahkan Najib bukan membantunya.

Najib perlu ingat bahawa walaupun mengatakan nilai semua barangan kemas yang dirampas polis adalah subjektif dan tidak realistik, ia tidak bermakna apa-apa kerana dibuat di luar mahkamah.


Malah kenyataan mengatakan beliau tidak sedar koleksi barangan kemas dan barang-barang lain menyeluruh milik isterinya dan menyatakan bahawa dirinya seperti suami-suami yang lain, memudahkan tugas polifs untuk menyoal isterinya, Rosmah Mansor.

Tidakkah Najib sebelum ini menasihati atau mengingatkan Rosmah bahawa mengambil pemberian dan hadiah mahal akan menysuahkan diri mereka kelak?

Tidakkah ini Najib membuka jalan untuk menyusahkan.isterinya yang kini turut termasuk dalam senarai mereka yang akan disiasat mulai minggu depan?

Kenyataannya bahawa tidak masuk akal jika beliau memberi kebenaran agar dana awam digunakan bagi membeli barang kemas, berlian, kapal layar, karya seni serta membiayai filem Hollywood, juga tidak bermakna apa-apa.

Pada bulan Jun 2017, Jabatan Kehakiman AS (DOJ)  memfailkan saman untuk merampas aset AS $ 540 juta, termasuk kapal layar Equanimity dan hak untuk filem Dumb and Dumber, yang dihasilkan oleh Red Granite, sebuah syarikat produksi yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz.

Pada Ogos 2017 pula, DOJ  meminta penangguhan saman sivilnya bagi merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB kerana ia sedang menjalankan siasatan jenayah berkaitan.


Antara aset dikehendaki ialah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli pembiaya Malaysia, Low Taek Jho, yang dinamakan sebagai orang penting dalam saman AS itu.

Menurut saman itu, Jho Low menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, kapal layar sepanjang 300 kaki (91m) yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
  
Kenyataannya bahawa beliau  tidak bersetuju dengan semua perkara ini dan bukan sebahagian daripada semua itu - hanya mahkamah akan membuktikannya!

Mereka yang dikaitkan dengan pembelian itu bukan sahaja akan didakwa di negara ini tetapi sudah disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan beberapa negera lain.

Tidakkan antara  mereka ini rapat dengan Najib?

Tidakkah Najib melihat bagaimana beberapa individu penting sudah menjauhkan diri daripada Jho Low dan anak tirinya – Reza Azia - seperti pelakon dan model yang menyerahkan balik hadiah yang diberikan kepada mereka?

Pertengahan Jun 2017, pelakon, Leonardo DiCaprio menyerahkan trofi Oscar dimenangi Marlon Brando kepada pihak berkuasa AS yang menyiasat dakwaan pengubahan wang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Selain trofi diberikan kepadanya sebagai hadiah oleh Red Granite - tanda terima kasih kepada DiCaprio untuk kerjanya dalam ‘The Wolf of Wall Street’ - turut memulangkan barang lain tidak dikenali yang diberikan kepadanya sebagai hadiah untuk lelongan amal dan berasal daripada orang dikaitkan dengan dana 1MDB.


Julai 2016, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melalui saman sivilnya menuduh syarikat penerbitan Hollywood, Red Granite menggunakan AS$100 juta daripada dana 1MDB untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi DiCaprio pada 2013.

Model dan pelakon Australia, Miranda Kerr menyerahkan barang kemas berjuta dolar yang menurut pihak berkuasa AS diberikan Low kepadanya, termasuk 1 set barang kemas yang diberikan kepadanya dalam satu pelayaran di atas Equanimity pada 2014.

Kenyataan Najib juga mamakan diri dan memalukan dirinya, khususnya mengenai hadiah mahal yang diterimanya yang cuba dikaitkan dengan isteri bekas Presiden Amerika Syarikat - kononnya turut terima hadiah

Najib mendakwa Michelle Obama menerima hadiah bernilai jutaan dollar daripada Raja Saudi Abdullah Abdulaziz Al Saud ketika suaminya Barack Obama bergelar presiden.

Pada 2009, Michelle menerima set perhiasan berlian dan batu delima bernilai AS$132,000 (RM533,940) daripada Abdullah Abd Al Aziz tetapi Michelle tidak menyimpan barangan perhiasan mewah tersebut di almari rumah atau dalam kotak di bawah katilnya. Ia diserahkan kepada Arkib Luar Negara AS.

Di AS  tidak seperti Najib, presiden  atau isteri yang menerima hadiah daripada orang kenamaan dari luar negara, mereka akan menyerahkan hadiah-hadiah itu kepada Unit Jabatan Protokol Hadiah selain dicatatkan  rekod hadiah tersebut.

Obama pernah menerima hadiah paling mahal pada tahun lalu iaitu pada arca kumpulan Bedouin yang dinamakan "The Small Caravan" daripada Raja Salman Abdulaziz Al Saudi serta pembuka surat rona perak dengan pemegang Falcon dan pen Chopard yang dianggarkan bernilai AS$56,720 (RM229,432) tetapi tidak menjadikannya ia milik peribadi.

Najib wajar tutup mulut segera dan menjelaskan semua perkara yang tercatat dalam hatinya di mahkamah daripada membuat kenyataan yang mendedahkan kelemahan diri dan membiarkan media membicarakan dirinya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahatir Mohamad kelmarin berkata pihak berkuasa kini sedang menyiasat dan mengumpulkan bukti yang kukuh berkaitan penyelewengan dana 1MDB serta kes berkaitan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 untuk mendakwa Najib.

Harap Najib segera tutup mulut dan bersedia berdepan dengan tuduhan-tuduhan terhadapnya.