Showing posts with label Sara Hidup. Show all posts
Showing posts with label Sara Hidup. Show all posts

Saturday, October 27, 2018

BAJET 2019 - ELAUN MUSIM TENGKUJUH & SARA HIDUP UNTUK GOLONGAN MISKIN..



Bajet 2019 pastinya akan menekankan kepada kesaksaman dan keadilan dalam pengagihan kekayaan negara untuk rakyat.

Mengimbangi pembahagian rezeki daripada pendapatan negara sewajarnya tidak mengetepikan kumpulan nelayan, petani, peneroka, pekebun kecil getah dan kelapa sawit serta kumpulan B40 yang lain di luar bandar.

Kita mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh semalam yang menyebut elaun sara hidup nelayan perlu diberikan keutamaan dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan Jumaat nanti.

Selain itu, beliau berkata status elaun sara hidup nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 juga wajar diteruskan atau ditambah baik. Ia bagi memastikan nasib golongan itu terus terbela.

Dan pada ketika bulan November dan kemudian Disember akan menjelang beberapa hari lagi, sudah pasti bulan-bulan ini dan biasanya hingga Februari akan menjadi ujian dan cabaran kepada semua kumpulan nelayan, pekebun, penanam padi, penternak, peneroka dan penoreh getah.

Mereka bukan sekadar dalam kumpulan B40 tetapi ada yang berada dalam kalangan miskin tegar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam satu keluarga, ada paling  kurang purata 5-6 orang yang menjadi tanggungan mereka.

Pada bulan-bulan sebegini, hujan akan turun. Kemungkinan-kemungkinan lain ialah banjir, laut bergelora dan sawah ditenggelami air.

Pastinya kejadian sebegini akan  menguji kesabaran kumpulan yang mengharapkan ‘sinaran matahari’ tetapi sebaliknya mereka diuji dengan hujan, ribut dan banjir.

Soalnya mereka adalah rakyat yang mengharapkan pembelaan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggantikan Barisan Nasional (BN).

Pada Bajet 2018 yang dibentangkan tahun lalu, selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, buat kali pertamanya kerajaan BN mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh tiga (3) bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi.

Dalam kedudukan sebegini, mereka akan berdepan dengan suasana yang sukar, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga keluarga, jiran dan ‘awak-awak’ yang sesetengahnya menumpang rezeki dengan mereka.


Kepada siapa mereka akan memohon bantuan dan tidak wajar mengharapkan mereka hanya doa kepada Tuhan semata-mata - sedangkan kerajaan yang memerintah adalah juga ‘pelindung mereka’.

Namun, nampaknya pemimpin HARAPAN  yang ditugaskan menjaga kepentingan mereka ini masih membisu mengenai pengumuman bentuk dan jumlah bantuan ‘musim tengkujuh dan banjir’.

Mungkin menteri dan pegawai-pegawai kementerian bimbang untuk mengambil langkah yang sesuai kerana Perdana Menteri sebelum ini menunjukkan sikapnya yang tidak senang dengan bantuan bulanan umpamanya kepada nelayan.

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2018 lalu bahawa "(Kerajaan terdahulu) memberi duit kepada nelayan, sama ada mereka menangkap ikan atau tidak, itu bukan soalnya, mereka mendapat (RM) 300 sebulan seperti gaji,” mungkin dijadikan alasan untuk tidak bertindak secara proaktif.

Namun, apakah Dr Mahathir  sebagai pemimpin utama negara tidak mengendahkan nasib nelayan, petani, penternak, pekebun, penanam padi  dan semua mereka yang mungkin terjejas mata pencarian akibat musim tengkujuh?

Mungkin kenyataan pada Jun itu dibuat kerana kedudukan kewangan negara begitu ‘ketat’. Namun kini sudah Oktober dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah menyatakan bahawa kewangan negara semakin baik.

Persoalannya, apakah semuanya mahu diserahkan kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan? Apa cadangan menteri atau pegawai tinggi kerajaan untuk membantu kumpulan miskin dan termiskin ini?

Sama ada ia  insentif tunai oleh kerajaan HARAPAN yang hanya dibayar pada musim tengkujuh sahaja atau elaun sara hidup bulanan, menteri dan kementerianlah yang sewajarnya membuat cadangan untuk dibentangkan kepada Kabinet.

Berdiam diri dan menunggu Perdana Menteri ‘buka mulut’ akan menyebabkan kumpulan terjejas seperti pekebun kecil, penoreh getah, penanam padi dan yang sewaktu dengannya akan merasakan mereka tidak dibela.

Apakah mereka wajar untuk diabaikan?

Beberapa kementerian sewajarnya sudah mempunyai program khusus untuk tujuan ini. Ini termasuk:

1.      Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi:

Kementerian ini perlu membantu pekebun kecil persendirian sawit. Perlu diingat,  secara keseluruhan, 3.2 juta rakyat Malaysia adalah pekebun kecil, keluarga dan anak mereka serta masyarakat luar bandar bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup. Dianggarkan terdapat 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh Malaysia.

2.     Bidang kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas:

(a)  Bantuan untuk petani/penanam padi  dijangka akan melibatkan kira-kira 200,000 orang dalam tempoh empat bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dan jika dilanda banjir, kerugian mereka akan berlipat ganda;

(b)  Kira-kira 110,000  direkodkan sedang bekerja di atas bot (vessel) menangkap ikan; 53,000 nelayan bekerja di atas vessel komersial (laut dalam kelas B dam 57,000 orang (52.39%) bekerja di atas vessel yang mengusahakan peralatan menangkap ikan tradisional.

(c)  Sementara ada hampir 2,500  nelayan darat di seluruh negara. Banjir akan menyebabkan sangkar ikan dihanyutkan air, rosak dan juga kerugian lain

3.     Lembaga Getah Malaysia:

Sebelum ini LGM ada membuat  bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada kesemua pekebun kecil dan pemilik getah di seluruh negara sebanyak RM200 seorang setiap bulan untuk tempoh tiga bulan bermula November. Jumlah pekebun kecil ialah hampir 360,000 orang.

Kesemua anggaran ini mungkin tidak tepat. Ini kerana angka sebenar kesemua kumpulan mereka yang layak dibantu untuk musim tengkujuh dan elaun sara hidup diterbitkan secara berasingan antara kumpulan mereka.

Namun, jika kumpulan rakyat lain menerima nikmatb pembangunan, tidak salah memberikan tumpuan kepada mereka ini.

Mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara sama ada secara persendirian,mahupun berkumpulan.

Pastinya mereka juga adalah pengundi.

Monday, September 14, 2015

HARGAILAH USAHA NAJIB MEMBELA ORANG MUDA…


Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini untuk  membantu isi rumah terutama golongan berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidup, jangan diperkecilkan.

Bukan sekadar itu sahaja Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah menangani masalah orang muda khususnya pemilikan rumah pertama melalui Skim Perumahan Belia untuk 20,000 pasangan belia berumur 25 hingga 40 tahun yang sudah berkahwin.






Langkah ini akan dilakukan melalui kerjasama Bank Simpanan Nasional dan Kementerian Kewangan yang menawarkan insentif sebanyak RM200 sebulan selama dua tahun akan diberi kepada pasangan belia bagi menampung ansuran bulanan pinjaman.

Skim tersebut ditawarkan kepada pasangan yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM10,000 dan layak dinikmati bagi hartanah bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000.

Pewujudan Skim Perumahan Belia diumumkan oleh perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu dan ditawarkan berdasarkan konsep 'siapa dulu dia dapat'. 

Tidakkan ini membuktikan bahawa kerajaan sedang mempercepatkan pembinaan rumah-rumah mampu milik untuk memastikan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan muda.

Bagi mengatasi masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia juga langkah penting yang patut diterima dengan tangan terbuka oleh orang muda.

Biarpun kadar pengangguran masih di peringkat terkawal, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap melihat masalah ini sebagai sesuatu yang penting untuk diberikan perhatian.

Antara langkah yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah dengan menambah bilangan graduan bagi program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS).

Penambahan itu akan melibatkan penambahan daripada lebih 10,000 tahun ini kepada 15,000 orang tahun depan.

Kerajaan bakal melaksanakan usaha itu melalui bantuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka. Kos bagi tujuan ini berjumlah sekitar RM500 juta.

Graduan yang terlibat bukan sahaja akan diberi latihan praktikal di tempat kerja, malah mereka juga akan diberi latihan dalam aspek seperti komunikasi, bahasa serta teknologi maklumat dan telekomunikasi.

Kerajaan juga akan memperluas dan mempertingkatkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang pada masa ini berjumlah RM1.38 bilion. Ia akan digunakan bagi program latihan semula serta peningkatan kemahiran pekerja yang diberhentikan oleh majikan berdaftar.

Selain itu langkah sederhana juga sedang dipertimbangkan bagi  menangani peningkatan bilangan pekerja asing kurang mahir yang menyebabkan aliran keluar tunai sebanyak RM28 bilion pada 2014.

Kewujudan mereka melembapkan pertumbuhan kadar upah tempatan.
Ternyata kerajaan berusaha untuk membela golongan muda bukan melalui mengajak mereka turun menunjukkan kekuatan di jalan raya.

Malah, Najib juga  tidak mengajak anak muda menjadi ‘kurang ajak’ memaki hamun pemimpin dan berkelakuan ‘tidak senonoh’ di khalayak ramai.

Ini bukan cakap politik sebaliknya kepada peminjam individu boleh memohon melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman daripada institusi pembiaya masing-masing, sekiranya perlu.

Apabila ada pengumuman sebegini, janganlah ada pihak yang memandang remeh kerana usaha dilakukan bagi tujuan membentuk hala orang muda ke arah kedudukan lebih baik di masa hadapan.

Lagipun pengumuman Najib di Putrajaya hari ini turut turut membabitkan usaha mengurangkan beban rakyat melalui langkah-langkah proaktif ekonomi.

Sebagai Menteri Kewangan Najib nyata berusaha berbuat sesuatu walaupun beliau dikritik hebat dengan pelbagai isu.
Antara langkah-langkah itu ialah:


1.   Kerajaan akan menambah bilangan kedai yang menyediakan perkhidmatan dan barangan pada harga yang berpatutan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia. Bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia akan ditambah sebanyak 25 pada tahun ini dan 12 pada 2016 di seluruh negara. (Ketika ini terdapat 169 buah Kedai Rakyat 1Malaysia);

2.   Kerajaan juga sedang menyediakan 16 Klinik 1Malaysia pada tahun ini dan 33 buah pada 2016. (Setakat ini, kerajaan telah menyediakan 326 Klinik 1Malaysia); dan

3.   Kerajaan juga akan memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terbawah.