Saturday, April 9, 2011

Dedah Akaun Seseorang - Bekas Eksekutif Bank Didenda, Disumbat Ke Penjara

Kita sewajarnya mengalu-alukan keputusan mahkamah yang memenjarakan bekas pegawai bank yang mendedahkan akaun seseorang. Kes ini perlu jadi pengajaran kerana ia mungkin berlaku kepada sesiapa dan kali ini kebetulan akuan seorang Timbalan Menteri.

Sama ada pendedahan itu untuk kepentingan politik, bisnes atau ‘suka-suka’ ia adalah perbuatan tidak amanah dan mengganggu hak peribadi seseorang.

Lebih membahayakan jika pendedahan itu dibuat kerana kepentingan-kepentingan tertentu, khususnya untuk keuntungan politik sesuatu pihak.

Menurut laporan semalam, seorang bekas eksekutif akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) dihukum penjara selama dua hari dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah mendedahkan maklumat berhubung akaun-akaun milik Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong kepada seorang lelaki, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S. M Komathy yang membuat penghakiman tersebut semalam, turut memerintahkan supaya tertuduh, K.Jeyamary, 34, dihukum penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Bagaimanapun, Komathy membenarkan permohonan peguam Jag Ramachandran supaya tertuduh dibenarkan untuk menjelaskan denda itu secara ansuran selama empat bulan.

Pada penghakimannya, Komathy berkata, beliau mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang merupakan individu pertama dihukum untuk kesalahan mendedahkan maklumat akaun bank.

"Mahkamah mempunyai tugas untuk menyampaikan mesej bahawa mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan serupa di masa depan," katanya.

Jeyamary yang menangis sepanjang prosiding berlangsung turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui perbuatannya mendedahkan akaun Wee kepada M. Ramesh, 38, merupakan satu kesalahan.

Tertuduh yang mula bekerja di Maybank pada 4 Februari 2002 dan telah dipecat pada 19 Mac 2010 didakwa melakukan perbuatan itu pada 10 Februari 2010 di Setapak Business Centre, Jalan Genting-Klang, Setapak, di Kuala Lumpur.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang telah dihubungi oleh Ramesh telah mencetak maklumat akaun Wee dan menyerahkannya kepada lelaki berkenaan di luar pejabatnya. Maklumat akaun tersebut kemudiannya telah tertera di sebuah laman blog, iaitu 'unmasking Wee Ka Siong'.

Terdahulu, Jag merayu agar mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik kerana tertuduh tidak pernah berniat untuk melakukan kesalahan tersebut.

"Tertuduh tidak mendapat sebarang faedah daripada perbuatan tersebut. Sebelum dipecat, tertuduh telah digantung tugas selama dua minggu dan alasan pemecatan dikatakan kerana majikan telah hilang kepercayaan terhadap tertuduh.

"Tertuduh juga bukan individu yang bertanggungjawab meletakkan maklumat akaun tersebut ke dalam laman blog. Orang yang melakukannya masih bebas dan tidak didakwa di mahkamah," katanya.

Jag juga menambah, tertuduh yang merupakan graduan sebuah institusi pengajian tinggi awam juga telah memohon maaf secara terbuka kepada Wee atas kesilapan yang tidak disengajakannya itu.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Mohd Syakirin Manpot membidas rayuan itu dengan mengatakan bahawa maklumat akaun itu tidak akan tersiar di blog jika tertuduh tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

"Tujuan peruntukan kerahsiaan perbankan adalah untuk mematuhi maklumat-maklumat akaun apatah lagi dalam kecanggihan teknologi yang boleh menyebabkan maklumat seperti itu dapat disebarkan dengan cepat," kata seorang lagi pegawai pendakwa, Alvin Ong.

Thursday, April 7, 2011

APA YANG SAMPAI TUN AZMI MARAH SANGAT?

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dilaporkan meninggalkan sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Mahkamah Khas Jenayah Rasuah di Shah Alam semalam dalam keadaan marah.

Kenapa beliau meradang? Zaki diakatakan marahapabila menyangkakan wartawan telah merakamkan visual percakapannya walaupun telah diarah untuk tidak berbuat demikian.

Hanya kerana merakamkan percakapannya membuatkan beliau marah? Apa hal sampai begitu sekali?

Apakah ada yang silap atau kemungkinan silap menyebabkan Zaki 'naik angin'?

Menurut cerita, sebaik sahaja hadir pada sidang media tersebut, Zaki meminta supaya wartawan tidak mula merakamkan visual kerana semua perkara berhubung majlis berkenaan telah terkandung dalam ucapan perasmian yang dibacanya.

Bagaimanapun, tiba-tiba Zaki melenting apabila beliau mendapati terdapat kamera televisyen yang sedang merakamkan percakapannya.

“Saya dah kata jangan rakam, tetapi kamu tetap rakam,” katanya dalam nada yang tinggi dalam bahasa Inggeris.

Beliau juga tidak melayani sebarang pertanyaan wartawan termasuk berkaitan beberapa prosedur baru yang telah diperkenalkan oleh mahkamah sejak tahun lalu lagi.

Malah pertanyaan seorang wartawan apakah rakaman audio dan transkrip mahkamah boleh diperolehi pihak media juga tidak dijawab Zaki.

Beliau sebaliknya sekali lagi mengulangi rasa amarahnya kepada media kerana merakamkan visual percakapannya dan menghentak meja sebelum meninggalkan sidang media tersebut.

Wartawan bagaimanapun terus kekal di majlis tersebut untuk menunggu sekiranya Zaki akan kembali menghadiri sidang media berkenaan. Bagaimanapun, Zaki tidak kembali semula.

Ini menyebabkan sidang media diadakan tanpa kehadirannya dan digantikan oleh Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk Hisham Nordin.

Turut menyertai sidang media itu ialah Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri, D. Ravindra.

Seorang wartawan turut meminta izin daripada Hisham sekiranya sidang media tersebut boleh dirakamkan oleh kamera wartawan televisyen ekoran kejadian tadi.

Hisham yang memberikan kebenaran untuk merakamkan visual sidang media tersebut turut memberitahu sebenarnya berlaku 'salah faham' dan memohon maaf kepada wakil-wakil media."Saya menanggung kesilapan itu," katanya.

Terdahulu, majlis perasmian tersebut juga dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamad.

Zaki dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan 14 mahkamah khas rasuah akan mempercepatkan pendengaran kes-kes rasuah yang lazimnya mengambil masa yang lama.

Friday, April 1, 2011

Rakaman Video Seks Tulen: KPN

Rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pembangkang telah disahkan ketulennya oleh pakar tempatan yang melakukan pemeriksaan terhadap video berkenaan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata siasatan kini dalam peringkat akhir oleh pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan.

"Dengan ini diumumkan bahawa siasatan (video) kini di tahap terakhir...ini bermakna polis telah menerima laporan pakar mengenai kesahihan video itu.

Dengan kata lain, rakaman itu adalah tulen," katanya pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks terbabit. Ismail berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untum tindakan selanjutnya.

Katanya setakat ini seramai tiga individu telah ditahan namun dilepaskan dengan jaminan polis. Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan identiti ketiga-tiga individu tersebut namun memberitahu polis akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan berkaitan kes itu.

Mengenai perkembangan virus Adenovirus, Ismail berkata setakat ini hanya seorang pelatih Pulapol yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Pelatih wanita itu berada dalam keadaan tidak serius dan kini ditempatkan di wad biasa, manakala enam lagi menjalani pengasingan," katanya.

"Keadaan di Pulapol normal, tidak lama lagi latihan asas inspektor dan konstabel akan diteruskan. Saya telah meninjau langkah yang telah diambil oleh pihak komandan Pulapol untuk menentukan persekitaran di pusat itu adalah bersih," katanya.

Justeru itu, beliau meminta pihak Pulapol supaya mengatur satu aktiviti gotong royong bagi meningkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

Setakat ini, seramai tiga pelatih pusat tersebut maut akibat virus itu dan yang terbaru membabitkan pelatih konstabel, Mohammad Siman, 23, yang meninggal dunia pada 11.30 malam, Rabu lalu, selepas menerima rawatan selama hampir sebulan di HKL.

Wednesday, March 23, 2011

ANWAR - PENAFIAN, LAPORAN POLIS & KONSPIRASI MENJATUHKANNYA...

Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tidak sewajarnya dituduh melulu. Integriti polis perlu dipertahankan. Apakah Menteri berkenaan dan Ketua Polis Negara sanggup membiarkan integriti dan reputasi mereka diperlekeh sedemikian rupa?


Wartawan dan jurugambar menyerbu Anwar Ibrahim selepas selesai membuatlaporan polis berkenaan kes video seks di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Kelmarin menafikan dan semalam membuat laporan polis!

Itulah tindakan ‘pantas’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman video aksi seks seorang lelaki ‘buncit’.

Namun jika dibaca laporan kenyataan Anwar selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur pagi semalam, ada beberapa perkara yang menarik untuk direnungi bersama.

Pertama, Anwar membuat laporan polis mendakwan dirinya ‘dibabitkan’ dalam video adegan seks dengan pelacur di sebuah hotel;

Kedua, Anwar mendakwa polis turut bersekongkol dalam konspirasi video lucah itu;

Ketiga, Anwar mengatakan video adegan seks adalah serangan mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik keatas perwatakan serta reputasi beliau serta keluarga;

Keempat, tindakan Datuk T berkonspirasi untuk menjatuhkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat;

Kelima, ia juga adalah satu percubaan untuk memaksa beliau keluar daripada politik nasional; dan,

Akhir sekali, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuding jari kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sebagai dalang kepada pendedahan berkenaan.


Baca betul-betul dan renungi kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berusia 64 tahun dan Wan Azizah.

Anwar mendakwa beliau yang ditemani isterinya serta empat pengawal peribadi pada pukul 10.40 pagi, membuat laporan polis itu supaya pihak berkuasa dapat melakukan siasatan bagi membela dirinya.

Turut menemani Anwar dan Azizah ketika membuat laporan ialah Peguam, N. Surendran, Latheefa Koya dan R. Sivarasa.

Menjawab kepada apa yang diperkatakan Anwar, mungkin perkara berikut boleh dibaca dan dilihat semula.

Sebelum itu, apakah Anwar dan Wan Azizah sudah melihat video berkenaan? Kalau beliau melihatnya, jika bukan dirinya, kenapa beliau seperti resah, panik dan meracau?

Malah tanpa merujuk kepada Anwar dan Wan Azizah, Datuk T berkata kelmarin, beliau akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam tempoh seminggu jika pasangan berkenaan tidak melepaskan jawatan sebagai pemimpin politik.

Mana ada nama Anwar dan Wan Azizah disebut?

Selain itu, ada beberapa persoalan lain untuk Anwar dan Wan Azizah:

Pertama, tiada siapa mengatakan dan sahih, Anwar adalah lelaki yang melakukan adegan seks di dalam klip video itu? Mungkin ada beberapa orang bekas kenalan Anwar seperti Datuk Zaid Ibrahim membuat dakwaan seperti itu. Tetapi kan Anwar sendiri kelmarin mengatakan beliau bukan ‘lelaki buncit’ yang dalam video berkenaan.

Kedua, mendakwa polis bersekongkol adalah perbuatan double standard Anwar apabila beliau mahukan siasatan dilakukan. Siapa yang akan menyiasat? Bukankah polis? Anwar jelas klu-klek di sini kerana dia mengharapkan orang yang dituduhnya bersekongkol untuk menyiasat kesnya;

Ketiga, video seks adalah pendedahan sahaja – belum pasti siapa lelaki yang melanggan pelacur dan tidak ada kena mengena dengan perbuatan untuk mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik. Jika Anwar tidak melakukannya, kenapa pula mesti perwatakan serta reputasi beliau serta keluarga terjejas?

Keempat, dakwaan dan kata-kata berulang kali oleh Anwar bahawa ada percubaan untuk memaksa beliau keluar daripada politik nasional, bukan dalam kes ini sahaja. Ia pernah disuarakan Anwar sebelum ini. Bermakna bahawa Anwar semakin bimbang beliau akan ‘terpelanting’ daripada politik nasional dan menjadi Perdana Menteri. Jika tiada apa dilakukannya, kenapa takut? Malah beliau akan lebih mendapat sokongan jika benar beliau tidak ‘melanggan pelacur’ seperti dalam video berkenaan;

Kelima, bukan mudah untuk berkonspirasi menjatuhkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Dengan tayangan video aksi seks jika tidak kena pada batang tubuhnya, Anwar tidak boleh diapa-apakan, termasuk kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang. Kenapa Anwar begitu sekali bimbang?

Dan dakwaan Dr. Wan Azizah bahawa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sebagai dalang kepada pendedahan berkenaan amat serius.
Kita mahu melihat apa tindakan Menteri dan Ketua Polis Negara akibat kenyataan Wan Azizah ini.

Pada ketika polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Anwar berkenaan klip video aksi seks mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah, Wan Azizah juga perlu disiasat kerana tuduhan berat itu.

Menteri dan Ketua Polis Negara tidak sewajarnya dituduh melulu dan kenyataan Anwar yang mengatakan pihak tertentu berkonspirasi juga perlu disiasat.

Integriti polis perlu dipertahankan, Membiarkan tuduhan melulu akan merosakkan reputasi polis.

Apakah Menteri berkenaan dan Ketua Polis Negara sanggup membiarkan integriti dan reputasi mereka diperlekeh sedemikian rupa?