Wednesday, April 7, 2010

JANGAN PERSOAL HAK ORANG MELAYU


Bahagian Pertama

Kira-kira sebulan lalu sambil menunggu pesawat di Golden Lounge, KLIA untuk pulang ke Kuala Terengganu - saya dan beberapa rakan termasuk Naib Canselor Universiti Darul Iman, Datuk Profesor Dr Alias Daud serta Prof Hatta Azad Khan dari UiTM sempat berbual beberapa perkara mengenai orang Melayu.

Walaupun perbualan banyak menyentuh isu pendidikan dan bagaimana ia menjadi alat penting untuk pendakian ke kemuncak bagi orang Melayu, beberapa perkara lain misalnya peluang perniagaan dan sasaran pencapaian di kalangan orang Melayu turut diperkatakan.

Hakikatnya, apakah yang ada di kalangan kebanyakan orang Melayu untuk meningkat dalam masyarakat sama ada di sekelilingnya atau secara umum selain pencapaian baik dalam pendidikan.

Bak kata Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu, “anak penerima PPRT jika lulus universiti dengan cemerlang pasti tidak mengulangi sejarah bapa mereka dengan menjadi penerima PPRT di masa hadapan.”

Beliau sering mengatakan dirinya amat beruntung kerana sebagai anak ‘tok peyadat’ (pemungut nira kelapa) beliau berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan sama ada pada peringkat keluarga atau masyarakatnya – semata-mata kerana berpeluang mendapat pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mobiliti dalam masyarakat dan keberanian untuk bersaing dibentuk daripada pendedahan di university. Tetapi untuk sampai ke situ, berapakah jumlah anak-anak Melayu yang turut ‘terkorban’?
Persoalannya, jika sebelum ini rata-rata anak Melayu mendapat manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), apakah generasi sekarang akan terbela seperti mana dasar afirmatif sebelum ini yang sedikit sebanyak mampu mengangkat Melayu menjadi bangsa yang mampu bersaing?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa dasar afirmatif tidak akan dihapuskan, sudah mampu untuk melenyapkan sama sekali sebarang kebimbangan mengenai kemungkinan nasib orang Melayu tidak akan dibela.

Saya yakin tidak aka nada lagi dasar seperti DEB kerana yang menentang dasar itu bukan orang bukan Melayu sahaja tetapi juga di kalangan orang Melayu yang tidak pernah merasai betapa DEB membawa banyak manfaat kepada orang Melayu.

Kinin dengan adanya Model Ekonomi Baru (MEB), orang Melayu amat berharap mereka akan terus dibantu dan kerajaan tidak akan mengubah dasarnya untuk membela dan mempastikan orang Melayu terus bergerak maju, khususnya dalam bidang ekonomi di mana mereka masih ketinggalan.

Sejajar dengan konsep 'Rakyat Didahulukan', dasar afirmatif ini pastinya dilaksanakan dengan lebih berhati-hati dengan mengambil kira kepentingan rakyat keseluruhannya.

Persoalannya, apa yang dituntut dan dilakukan orang Melayu hari ini hanyalah untuk mempertahankan hak mereka kerana ada pihak tertentu yang sengaja buat-buat tidak faham.

Persoalan juga ialah sanggupkah kerajaan melihat orang Melayu yang merupakan majoriti lemah ekonominya terus jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India.

Yang pasti jika kesenjangan ekonomi antara kaum berterusan, keadaan akan mendedahkan negara kepada ketidakstabilan social.

Tetapi pesoalan penting yang sering dipertikaikan bukan dalam konteks pembelaan mendapatkan pendidikan. Yang banyak dibahas dan dipolimikkan ialah dasar membantu orang Melayu dalam bidang perniagaan menjadi ancaman kepada bukan Melayu.

Sedangkan dasar itu sebenarnya membantu kaum majoriti yang masih ketinggalan bukannya perkara baru kerana usaha itu diiktiraf oleh piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Apabila ini disebut, MEB dikatakan akan tidak berkesan dan pelabur asing beralih arah ke negara lain.

Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Stewart Forbes ada menyatakan jika kerajaan akur dengan desakan pihak tertentu yang mendapat perlindungan istimewa, seluruh struktur MEB akan terjejas.

Dakwanya, ia juga boleh menyebabkan pelabur asing yang berhati-hati atau berwas-was akan beralih ke negara lain untuk menanam modal.

Apakah pendapat ini benar atau ia satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab semata-mata?
Juga apakah ia merupakan sesuatu yang disifatkan sebagai bentuk tekanan secara halus kepada kerajaan di samping gambaran kurang tepat kepada pelabur asing.

Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata dalam Utusan Malaysia semalam, dasar afirmatif oleh mana-mana kerajaan di seluruh dunia juga tidak pernah menyebabkan pelabur asing tidak menanam modal.

Sebenarnya punca ketidakhadiran pelabur asing adalah ekonomi negara masih terperangkap dalam sistem berasaskan buruh dan bukannya berpaksikan teknologi tinggi dan ilmu pengetahuan.

"Kenyataan sedemikian menunjukkan penuturnya tidak bersetuju dengan dasar afirmatif yang dilakukan kerajaan walaupun Perdana Menteri telah memberi jaminan ia akan dilaksanakan dengan saksama.

"Jangan bagi hujah yang tidak berlandaskan fakta kerana yang menjadi masalah kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini adalah pelaksanaannya, apa yang nak dibuat sekarang adalah perubahan dari sudut itu," katanya.

Salleh menegaskan dasar membantu orang Melayu bukannya satu isu dengan syarat penerima faedahnya terdiri daripada individu yang berkelayakan dan berkemahiran tanpa membabitkan amalan kronisme.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman turut senada menolak andaian bantuan kerajaan kepada orang Melayu akan mengganggu-gugat pelabur asing.

Secara sinis Zainuddin berkata, beliau juga faham ada pihak tertentu di negara ini mahu melihat dasar sedemikian dihapuskan terus oleh kerajaan.

"Apa yang sebabkan pelabur asing tidak berminat adalah sistem kita, contohnya permohonan untuk memulakan operasi mengambil masa yang terlalu lama untuk diluluskan.

"Lihatlah senario di Thailand, sektor automotifnya berkembang pesat kerana sokongan berterusan daripada kerajaan, tidak seperti di Malaysia yang dasarnya berubah-ubah apabila bertukar menteri," katanya.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula membidas pihak yang mengetengahkan pandangan sedemikian sebagai melatah tidak bertempat.

Beliau turut mempertikaikan kenapa pihak terbabit membuat 'bising' dalam perkara yang tidak berasas. “Kalau tak tahu, tak faham, bacalah buku sejarah kerana matlamat jangka panjang kerajaan ialah perpaduan," tegasnya.

Persoalannya cukupkah kita hanya mengharapkan dasar oleh kerajaan sahaja tanpa melihat kembali kedudukan perlembagaan kita dan selama mana ia boleh bertahan, khususnya dalam perkara seperti Perkara 153?

Apakah kalau Barisan Nasional (BN) kalah, perlembagaan dikekalkan dan tidak diubah, khususnya perkara berkaitan ‘hak istimewa Melayu?”

Bersambung

ISU ROYALTI MINYAK – APA JAWAPAN AHMAD SAID?

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sedang berdepan dengan tekanan daripada pembangkang (PAS) mengenai isu royalti di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang.

Mungkin bagi kerajaan negeri, rundingan secara terus dengan Kerajaan Pusat dan Petronas lebih berkesan.

Bagi Ahmad Said mungkin merayu dan meminta ehsan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar royalti minyak dipulangkan adalah pilihan terbaik.

Begitulah keadaannya yang harus dialami Menteri Besar apabila berdepan dengan dua pihak – pembangkang yang menuntut royalti dipulangkan dan Kerajaan Pusat yang merasakan royalti minyak boleh dibayar dalam bentuk wang ehsan atau apa juga bentuk yang ‘sewaktu dengannya’.

Namun kepada pembangkang, hak adalah hak. Jika permintaan tidak dilayan oleh Kerajaan Pusat, caranya adalah berhujah secara terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerana itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila ketika ADUN Barisan Nasional (BN) membisu seribu bahasa mengenai isu ini, seperti dijangkakan, usul untuk membahaskan royalti minyak di sidang DUN ditimbulkan oleh ADUN PAS pada mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke 12 pagi semalam.

Usul itu dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman bangkit memohon mencadangkan bahawa persidangan itu hendaklah ditangguhkan mengikut fasa berkenaan bagi membolehkan dewan merundingkan isu penarikan balik royalti minyak yang berpanjangan hampir 10 tahun.

Katanya penarikan royalti minyak oleh kerajaan pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini.

Walaupun usul itu ditolak namun cara PAS memainkan isu ini akan menarik minat rakyat dan pastinya akan disambung ke ceramah sebelum menjadi isu pilihan raya jika royalti tidak dikembalikan kepada Terengganu sebelum pilihan raya umum ke 13.

Dr Syed Azman berkata, tahun ini sudah masuk 10 tahun royalti minyak ditarik oleh kerajaan Pusat dari kerajaan negeri Terengganu.


Ada sesuatu yang menarik diperkatakan oleh Ahmad Said kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebabkan Dr Syed Azman turut tersenyum.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000 telah menarik royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada kerajaan negeri Terengganu ketika negeri itu ditadbir oleh PAS.

Ekoran itu, kerajaan negeri telah menyaman kerajaan Malaysia dan Petronas namun sehingga kini ia belum selesai.

Kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said kini juga enggan menarik balik kes itu dari mahkamah.

"Tindakan mengehsankan wang RM15.8 bilion yang sepatutnya diterima rakyat Terengganu adalah satu tindakan zalim kepada rakyat Terengganu yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam," kata Dr Syed Azman ketika membentangkan usul ini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sepatutnya, kata beliau, seluruh rakyat negeri ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sikap dan sifat seorang negarawan tulin.

"Beliau (Tengku Razaleigh) berani berdiri untuk mempertahankan fakta yang diselewengkan ini...namun sehingga kini tindak tanduk kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu terus dikesali," kata beliau ketika membentangkan usul itu.

Bagi beliau, kemiskinan rakyat Terengganu telah dimanipulasi dengan sogokan dan ugutan dan dalam masa yang sama mereka yang tamak haloba mengambil kesempatan dengan mengkayakan diri dan segelintir tauke Cina dari Kuala Lumpur.

Ia dibuat melalui projek persekutuan dan dana khas serta wang ehsan yang dicurahkan ke negeri Terengganu ini, katanya.

Dr Syed Azman berkata, usul ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal rakyat Terengganu keseluruhannya bukan kerana sentimen atau fahaman politik yang berbeza.

Bagi Dr Syed Azman, usul itu memenuhi segala yang diperlukan untuk sesuatu usul dikemukakan dan dibahaskan di Dewan itu di bawah perkara 30 peraturan Dewan.

Langkah ini, katanya, telah mencabuli hak demokrasi, sistem persekutuan dan melanggar perlembagaan negara.

Tindakan ini juga, katanya, boleh menggugat amalan demokrasi di negeri ini dan sistem federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

ADUN PAS Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut ketika membahaskan usul terima kasih titah perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, menyatakan sedihnya kerana isu royalti ini berpanjangan.

Beliau yang merujuk beberapa pertanyaan, jawapan dan kenyataan-kenyataan di Dewan Rakyat meminta supaya soal royalti ini dijawab dengan telus kerana ia membabitkan kepentingan umum.

Wahid mohon kerajaan menyataan dengan jelas hasil rundingan wakil kerajaan Terengganu dengan Petronas baru-baru ini.

Wahid pergi lebih jauh apabila mengatakan perjanjian antara negeri dan Persekutuan patut dinilai semula jika Kerajaan Pusat terus menafikan hak rakyat sesebuah negeri.
Beliau hairan bagaimana royalti minyak terus dibayar kepada Sabah dan Sarawak sedangkan menafikannya untuk Terengganu dan Kelantan.

Di pihak Yang Dipertua DUN - Datuk Tengku Putera Tengku Awang - walaupun isu berkenaan mustahak dan berkepentingan khusus, namun ia tidak mustahak untuk dibincangkan dengan segera.

Katanya, setelah meneliti secara menyeluruh dan khusus saya dapati isu yang dibangkitkan mengenai hal ini tidak perlu dibahaskan.

Kenapa? Pertama kerana perundingan mengenai royalti minyak antara kerajaan negeri dan pusat masih berjalan.

Kedua, hak kerajaan negeri juga tidak dinafikan langsung seperti yang dibentangkan dalam usul berkenaan.

Ketiga, isu ini masih lagi kes mahkamah dan tuntutan masih dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat, masih lagi belum ditarik balik dan masih berjalan, dan,

Keempat, perundingan sama ada di peringkat kepimpinan atau pegawai antara kerajaan negeri dan pusat juga sentiasa terbuka dan tidak ada penyisihan sebagaimana usul yang dibacakan.

Apa juga jawapannya, penggulungan yang akan dibuat Menteri Besar dinanti-nantikan untuk jawapan memuaskan semua pihak.

Walaupun isu ini begitu ditekankan oleh PAS, hakikatnya jika royalti atau apa juga bentuk kewangan hasil minyak, kerajaan negeri Barisan Nasional yang akan mendapat untung demi kebajikan rakyat Terengganu.

Mungkin Khamis, Ahmad Said akan memberikan jawapannya.

Sementara menunggu jawapan itu, isu ini dijangka akan terus dikemukan oleh ADUN PAS melalui pelbagai cara hari ini dan esok!

Sunday, April 4, 2010

GILIRAN NAJIB SERANG ANWAR

Rakyat semakin jelas untuk membuat kesimpulan sendiri mengenai situasi politik pembangkang.

Mungkin DAP sukar dibaca tetapi kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pertelingkahan yang melanda kedua-duanya semakin mengharukan.

Pertelingkahan mengenai halatuju dan perjuangan dalam PAS terdedah sejak Muktamar PAS lalu apabila isu kerajaan perpaduan walaupun reda tetap menjadi luka yang sukar disembuhkan.

Selain itu pertelingkahan PAS di Kelantan walaupun disorokkan di bawah permaidani sesekali membawa kesan yang kurang baik dalam konteks imej dan perpaduan parti pada peringkat negeri.

Dalam konteks PKR pula selain sukar mempertahankan serangan daripada Barisan Nasional (BN), pemimpin mereka kini sukar untuk spin dalam isu-isu tertentu.

kata lain, ketika ini pemimpin PKR lebih sibuk memperbetulkan rumah mereka yang semakin hampir roboh. Lebih membimbangkan pemimpin mereka - pakatan pembangkang - semakin sukar mendapat sokongan daripada anggota parti itu sendiri.

Paling jelas, dalam semua masalah ialah yang melanda PKR.

Perdana Menteri yang selalunya tidaklah begitu lantang memperkatakan mengenai pembangkang, khususnya PKR tetapi semalam – setahun selepas memegang tampuk pemerintahan – membidas pemimpin dan sikap pembangkang.

Malah, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaikan memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini menyerang beliau bertalu-talu khususnya dalam isu Altantuya dan kepimpinan yang dianggap lemah.

Najib berkata pemimpin pembangkang kini sering bertelagah sesama sendiri dan pelbagai pendedahan semakin banyak dibuat oleh bekas anggota parti itu, walaupun mereka dikatakan rapat dengan pemimpin parti pembangkang itu.

"Kalaulah orang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan dan dah keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?,"

Beliau membuat pertanyaan itu berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor semalam..

Najib mempunyai sebab tersendiri apabila berani memperkatakannya.

Beliau memberikan contoh anggota PKR yang keluar parti itu bukan calang-calang orang, bahkan merupakan golongan intelektual yang juga rapat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertahun-tahun lamanya.

"Saya boleh sebut satu persatu, Dr Chandra Muzaffar bekas timbalan presiden Keadilan. Dia orang kurang upaya tapi dari segi minda dia hebat. Orang yang rapat dengan dia boleh kena pecat, yang turun naik mahkamah hari ini dah hilang kepercayaan kepada pemimpin," katanya.

"Setiausaha Agungnya sama-sama dengan dia di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dah keluar, akhirnya sampai masa dia diketepikan, diperbodohkan, kepala yang jatuhkan BN suatu masa dulu dah tak percaya kepada PKR," katanya.

Najib menyebut mengenai Datuk Salehuddin Hasim yang menyertai PKR pada tahun 2004 sebagai setiausaha penganjur parti itu untuk tempoh empat tahun sebelum mengambil alih jawatan setiausaha agung parti itu daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008.

Salehuddin dilaporkan melepaskan jawatan itu pada 7 Januari 2010 untuk memberikan tumpuan kepada pernigaan konsultansi minyak dan gasnya.

Najib berkata Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat, dan bekas Ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor turut hilang kepercayaan terhadap parti, malah disuruh supaya memfitnah Najib.

"Ezam sanggup masuk penjara kerana Anwar. Anwar pernah suruh dia lawan saya di Pekan, dia tidak mahu tetapi Anwar suruh. Anwar suruh dia fitnah saya pasal kes (wanita Mongolia) Altantuya, tapi tiada bukti.

"Zulkifli pakai ketayap biasanya warak, dia jadi peguam Azilah dia tanya Azilah tapi dia kata Datuk Najib tak terlibat, kalau dia percaya saya terlibat dia takkan keluar (sebagai peguam kes itu)," kata Perdana Menteri.

"Ini mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat, nak jadi Perdana Menteri tetapi tak sampai, sebab kerusi perdana menteri Allah yang tentukan. Kita rancang macam-macam pun akhirnya tidak kesampaian," katanya.

Najib juga memperkatakan mengenai rancangan pengambilahan kuasa pada 16 September 2008.
Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menafikan bahawa baginda sudah menunggu di Istana untuk majlis angkat sumpah perdana menteri yang baru.

"Tarikh 16 September nak tubuhkan kerajaan, dia guna nama Agong. Saya tanya Tuanku tapi Tuanku menafikan, tentera juga sedia untuk sokong kerajaan baru, macam-macam bidaah dia buat," katanya.

Dua bekas Anggota Parlimen PKR yang kini menjadi wakil bebas iaitu anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli pada persidangan Dewan Rakyat semasa membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada baru-baru ini telah mendedahkan mengenai pembohongan Anwar itu.

Najib membuat serangan bertubi-tubi semalam selepas sekian lama bertahan daripada serangan Anwar.

Apakah akan ada serangan baru Anwar terhadap Najib selepas ini?

Saturday, April 3, 2010

NAJIB BERADA DI TAHAP TERBAIK

Kepimpinan Perdana Menteri di landasan betul.

Sudah dua kali bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak melakukan perkara yang sewajarnya untuk rakyat Malaysia.

Semalam, Dr Mahathir berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri pada Selasa lepas memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengenalan MEB itu menunjukkan Najib memahami keperluan semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

MEB dilaksanakan untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Kini genap setahun pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan dalam jangkamasa yang pendek itu, menurut Dr Mahathir, tidak cukup untuk menilai kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Satu tahun belum cukup untuk membuat penilaian. Satu tahun ialah untuk mempelajari kerja," katanya.

Dr Mahathir berkata dasar dan perancangan baru yang dikemukakan oleh Najib hanya dapat dinilai apabila ia berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil.

Apapun, bagi Dr Mahathir, Najib faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan komuniti beliau sendiri.

Malah menurut satu kajian, selepas setahun menjadi Perdana Menteri, kedudukan ratingnya pada tahap tertinggi.

Menurut kajian Merdeka Centre for Opinion Research yang dipetik The Malaysian Insider, kedudukan rating Najib berada pada tahap 68%, jauh lebih tinggi ketika mula menjadi Perdana Menteri, iaitu 44% sahaja.

Ini bermakna 68 peratus rakyat negara ini berpuas hati dengan kepimpinan beliau dann kedudukannya sebagai Perdana Menteri semakin mantap.

Kajian mengenai penerimaan terhadap Najib dijalankan sejak 2009, sebaik mengambil alih teraju kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu Najib mendapat kepercayaan di kalangan 51 peratus orang India dan 46 peratus orang Cina. Dalam konteks penerimaan Najib, sebanyak 77% di kalangan orang India, berbanding Melayu sebanyak 74 peratus dan Cina hanya 50 peratus.

Sebelum ini pada 9 Februari lalu, Dr Mahathir melahirkan rasa gembira ke atas kesungguhan Najib mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan rakyat.

Bagi Dr Mahathir, sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dikatakan cukup disenangi pelbagai pihak kerana mampu memimpin negara dengan lancar.

Kerana keadaan yang sedemikian, ia mendorong kepada kestabilan politik dan menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara untuk terus membangunkan negara ini.

"Saya telah beberapa kali bertemu Datuk Seri Najib sejak mengambil alih kepimpinan dan senang dengan cara beliau mentadbir negara. Saya lihat beliau bersungguh-sungguh untuk meneruskan tradisi pembangunan negara ini seperti yang diasaskan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan pemimpin-pemimpin lain," katanya pada tarikh tersebut.

Najib dipuji kerana berjaya menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik walaupun adakalanya timbul beberapa isu yang kurang menyenangkan dalam parti, kerajaan dan negara. Namun semuanya itu dapat diselesaikan dengan cekap dan tidak menimbulkan implikasi negatif sehingga menjejaskan kepentingan negara.

Dr Mahathir sangat berharap Najib dapat meneruskan kepimpinan ini dengan baik dan teruskan juga semangat bekerja serta berjasa kepada rakyat seperti yang dilakukan mana-mana pemimpin terdahulu.

Berikutan itu beliau mengajak rakyat supaya bersama-sama memberikan sokongan terhadap kepimpinan negara sekarang.

Dr Mahathir sempat membandingkan kepimpinan Najib dengan pembangkang kini yang berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Rakyat diminta menilai keupayaan kerajaan pakatan pembangkang yang dikatakan tidak dapat memenuhi kehendak umum di beberapa buah negeri. Mereka tidak berupaya tadbir dengan baik dan rakyat dilupakan. Sekarang kita boleh melihat perkara ini di Pulau Pinang dan Selangor malah di Kedah.

"Sebab itulah, sejak kebelakangan ini, timbul orang itu dan ini yang mahu keluar dari pakatan pembangkang," katanya.

Di pihak Najib, komen positif Dr Mahathir menggambarkan bekas Perdana Menteri itu mahu bersama membantu kerajaan mendepani cabaran semasa.

"Saya hargai ulasan dan komen beliau. Kita perlu bekerjasama dengan pemimpin yang lepas, dengan itu kita boleh membawa Malaysia ke tahap yang hebat," kata Perdana Menteri.