Wednesday, April 7, 2010
JANGAN PERSOAL HAK ORANG MELAYU
Bahagian Pertama
Kira-kira sebulan lalu sambil menunggu pesawat di Golden Lounge, KLIA untuk pulang ke Kuala Terengganu - saya dan beberapa rakan termasuk Naib Canselor Universiti Darul Iman, Datuk Profesor Dr Alias Daud serta Prof Hatta Azad Khan dari UiTM sempat berbual beberapa perkara mengenai orang Melayu.
Walaupun perbualan banyak menyentuh isu pendidikan dan bagaimana ia menjadi alat penting untuk pendakian ke kemuncak bagi orang Melayu, beberapa perkara lain misalnya peluang perniagaan dan sasaran pencapaian di kalangan orang Melayu turut diperkatakan.
Hakikatnya, apakah yang ada di kalangan kebanyakan orang Melayu untuk meningkat dalam masyarakat sama ada di sekelilingnya atau secara umum selain pencapaian baik dalam pendidikan.
Bak kata Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu, “anak penerima PPRT jika lulus universiti dengan cemerlang pasti tidak mengulangi sejarah bapa mereka dengan menjadi penerima PPRT di masa hadapan.”
Beliau sering mengatakan dirinya amat beruntung kerana sebagai anak ‘tok peyadat’ (pemungut nira kelapa) beliau berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan sama ada pada peringkat keluarga atau masyarakatnya – semata-mata kerana berpeluang mendapat pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke universiti.
Mobiliti dalam masyarakat dan keberanian untuk bersaing dibentuk daripada pendedahan di university. Tetapi untuk sampai ke situ, berapakah jumlah anak-anak Melayu yang turut ‘terkorban’?
Persoalannya, jika sebelum ini rata-rata anak Melayu mendapat manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), apakah generasi sekarang akan terbela seperti mana dasar afirmatif sebelum ini yang sedikit sebanyak mampu mengangkat Melayu menjadi bangsa yang mampu bersaing?
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa dasar afirmatif tidak akan dihapuskan, sudah mampu untuk melenyapkan sama sekali sebarang kebimbangan mengenai kemungkinan nasib orang Melayu tidak akan dibela.
Saya yakin tidak aka nada lagi dasar seperti DEB kerana yang menentang dasar itu bukan orang bukan Melayu sahaja tetapi juga di kalangan orang Melayu yang tidak pernah merasai betapa DEB membawa banyak manfaat kepada orang Melayu.
Kinin dengan adanya Model Ekonomi Baru (MEB), orang Melayu amat berharap mereka akan terus dibantu dan kerajaan tidak akan mengubah dasarnya untuk membela dan mempastikan orang Melayu terus bergerak maju, khususnya dalam bidang ekonomi di mana mereka masih ketinggalan.
Sejajar dengan konsep 'Rakyat Didahulukan', dasar afirmatif ini pastinya dilaksanakan dengan lebih berhati-hati dengan mengambil kira kepentingan rakyat keseluruhannya.
Persoalannya, apa yang dituntut dan dilakukan orang Melayu hari ini hanyalah untuk mempertahankan hak mereka kerana ada pihak tertentu yang sengaja buat-buat tidak faham.
Persoalan juga ialah sanggupkah kerajaan melihat orang Melayu yang merupakan majoriti lemah ekonominya terus jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India.
Yang pasti jika kesenjangan ekonomi antara kaum berterusan, keadaan akan mendedahkan negara kepada ketidakstabilan social.
Tetapi pesoalan penting yang sering dipertikaikan bukan dalam konteks pembelaan mendapatkan pendidikan. Yang banyak dibahas dan dipolimikkan ialah dasar membantu orang Melayu dalam bidang perniagaan menjadi ancaman kepada bukan Melayu.
Sedangkan dasar itu sebenarnya membantu kaum majoriti yang masih ketinggalan bukannya perkara baru kerana usaha itu diiktiraf oleh piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Apabila ini disebut, MEB dikatakan akan tidak berkesan dan pelabur asing beralih arah ke negara lain.
Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Stewart Forbes ada menyatakan jika kerajaan akur dengan desakan pihak tertentu yang mendapat perlindungan istimewa, seluruh struktur MEB akan terjejas.
Dakwanya, ia juga boleh menyebabkan pelabur asing yang berhati-hati atau berwas-was akan beralih ke negara lain untuk menanam modal.
Apakah pendapat ini benar atau ia satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab semata-mata?
Juga apakah ia merupakan sesuatu yang disifatkan sebagai bentuk tekanan secara halus kepada kerajaan di samping gambaran kurang tepat kepada pelabur asing.
Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata dalam Utusan Malaysia semalam, dasar afirmatif oleh mana-mana kerajaan di seluruh dunia juga tidak pernah menyebabkan pelabur asing tidak menanam modal.
Sebenarnya punca ketidakhadiran pelabur asing adalah ekonomi negara masih terperangkap dalam sistem berasaskan buruh dan bukannya berpaksikan teknologi tinggi dan ilmu pengetahuan.
"Kenyataan sedemikian menunjukkan penuturnya tidak bersetuju dengan dasar afirmatif yang dilakukan kerajaan walaupun Perdana Menteri telah memberi jaminan ia akan dilaksanakan dengan saksama.
"Jangan bagi hujah yang tidak berlandaskan fakta kerana yang menjadi masalah kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini adalah pelaksanaannya, apa yang nak dibuat sekarang adalah perubahan dari sudut itu," katanya.
Salleh menegaskan dasar membantu orang Melayu bukannya satu isu dengan syarat penerima faedahnya terdiri daripada individu yang berkelayakan dan berkemahiran tanpa membabitkan amalan kronisme.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman turut senada menolak andaian bantuan kerajaan kepada orang Melayu akan mengganggu-gugat pelabur asing.
Secara sinis Zainuddin berkata, beliau juga faham ada pihak tertentu di negara ini mahu melihat dasar sedemikian dihapuskan terus oleh kerajaan.
"Apa yang sebabkan pelabur asing tidak berminat adalah sistem kita, contohnya permohonan untuk memulakan operasi mengambil masa yang terlalu lama untuk diluluskan.
"Lihatlah senario di Thailand, sektor automotifnya berkembang pesat kerana sokongan berterusan daripada kerajaan, tidak seperti di Malaysia yang dasarnya berubah-ubah apabila bertukar menteri," katanya.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula membidas pihak yang mengetengahkan pandangan sedemikian sebagai melatah tidak bertempat.
Beliau turut mempertikaikan kenapa pihak terbabit membuat 'bising' dalam perkara yang tidak berasas. “Kalau tak tahu, tak faham, bacalah buku sejarah kerana matlamat jangka panjang kerajaan ialah perpaduan," tegasnya.
Persoalannya cukupkah kita hanya mengharapkan dasar oleh kerajaan sahaja tanpa melihat kembali kedudukan perlembagaan kita dan selama mana ia boleh bertahan, khususnya dalam perkara seperti Perkara 153?
Apakah kalau Barisan Nasional (BN) kalah, perlembagaan dikekalkan dan tidak diubah, khususnya perkara berkaitan ‘hak istimewa Melayu?”
Bersambung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment