Wednesday, April 7, 2010

ISU ROYALTI MINYAK – APA JAWAPAN AHMAD SAID?

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sedang berdepan dengan tekanan daripada pembangkang (PAS) mengenai isu royalti di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang.

Mungkin bagi kerajaan negeri, rundingan secara terus dengan Kerajaan Pusat dan Petronas lebih berkesan.

Bagi Ahmad Said mungkin merayu dan meminta ehsan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar royalti minyak dipulangkan adalah pilihan terbaik.

Begitulah keadaannya yang harus dialami Menteri Besar apabila berdepan dengan dua pihak – pembangkang yang menuntut royalti dipulangkan dan Kerajaan Pusat yang merasakan royalti minyak boleh dibayar dalam bentuk wang ehsan atau apa juga bentuk yang ‘sewaktu dengannya’.

Namun kepada pembangkang, hak adalah hak. Jika permintaan tidak dilayan oleh Kerajaan Pusat, caranya adalah berhujah secara terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerana itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila ketika ADUN Barisan Nasional (BN) membisu seribu bahasa mengenai isu ini, seperti dijangkakan, usul untuk membahaskan royalti minyak di sidang DUN ditimbulkan oleh ADUN PAS pada mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke 12 pagi semalam.

Usul itu dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman bangkit memohon mencadangkan bahawa persidangan itu hendaklah ditangguhkan mengikut fasa berkenaan bagi membolehkan dewan merundingkan isu penarikan balik royalti minyak yang berpanjangan hampir 10 tahun.

Katanya penarikan royalti minyak oleh kerajaan pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini.

Walaupun usul itu ditolak namun cara PAS memainkan isu ini akan menarik minat rakyat dan pastinya akan disambung ke ceramah sebelum menjadi isu pilihan raya jika royalti tidak dikembalikan kepada Terengganu sebelum pilihan raya umum ke 13.

Dr Syed Azman berkata, tahun ini sudah masuk 10 tahun royalti minyak ditarik oleh kerajaan Pusat dari kerajaan negeri Terengganu.


Ada sesuatu yang menarik diperkatakan oleh Ahmad Said kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebabkan Dr Syed Azman turut tersenyum.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2000 telah menarik royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada kerajaan negeri Terengganu ketika negeri itu ditadbir oleh PAS.

Ekoran itu, kerajaan negeri telah menyaman kerajaan Malaysia dan Petronas namun sehingga kini ia belum selesai.

Kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said kini juga enggan menarik balik kes itu dari mahkamah.

"Tindakan mengehsankan wang RM15.8 bilion yang sepatutnya diterima rakyat Terengganu adalah satu tindakan zalim kepada rakyat Terengganu yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam," kata Dr Syed Azman ketika membentangkan usul ini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sepatutnya, kata beliau, seluruh rakyat negeri ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menunjukkan sikap dan sifat seorang negarawan tulin.

"Beliau (Tengku Razaleigh) berani berdiri untuk mempertahankan fakta yang diselewengkan ini...namun sehingga kini tindak tanduk kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu terus dikesali," kata beliau ketika membentangkan usul itu.

Bagi beliau, kemiskinan rakyat Terengganu telah dimanipulasi dengan sogokan dan ugutan dan dalam masa yang sama mereka yang tamak haloba mengambil kesempatan dengan mengkayakan diri dan segelintir tauke Cina dari Kuala Lumpur.

Ia dibuat melalui projek persekutuan dan dana khas serta wang ehsan yang dicurahkan ke negeri Terengganu ini, katanya.

Dr Syed Azman berkata, usul ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal rakyat Terengganu keseluruhannya bukan kerana sentimen atau fahaman politik yang berbeza.

Bagi Dr Syed Azman, usul itu memenuhi segala yang diperlukan untuk sesuatu usul dikemukakan dan dibahaskan di Dewan itu di bawah perkara 30 peraturan Dewan.

Langkah ini, katanya, telah mencabuli hak demokrasi, sistem persekutuan dan melanggar perlembagaan negara.

Tindakan ini juga, katanya, boleh menggugat amalan demokrasi di negeri ini dan sistem federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

ADUN PAS Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut ketika membahaskan usul terima kasih titah perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, menyatakan sedihnya kerana isu royalti ini berpanjangan.

Beliau yang merujuk beberapa pertanyaan, jawapan dan kenyataan-kenyataan di Dewan Rakyat meminta supaya soal royalti ini dijawab dengan telus kerana ia membabitkan kepentingan umum.

Wahid mohon kerajaan menyataan dengan jelas hasil rundingan wakil kerajaan Terengganu dengan Petronas baru-baru ini.

Wahid pergi lebih jauh apabila mengatakan perjanjian antara negeri dan Persekutuan patut dinilai semula jika Kerajaan Pusat terus menafikan hak rakyat sesebuah negeri.
Beliau hairan bagaimana royalti minyak terus dibayar kepada Sabah dan Sarawak sedangkan menafikannya untuk Terengganu dan Kelantan.

Di pihak Yang Dipertua DUN - Datuk Tengku Putera Tengku Awang - walaupun isu berkenaan mustahak dan berkepentingan khusus, namun ia tidak mustahak untuk dibincangkan dengan segera.

Katanya, setelah meneliti secara menyeluruh dan khusus saya dapati isu yang dibangkitkan mengenai hal ini tidak perlu dibahaskan.

Kenapa? Pertama kerana perundingan mengenai royalti minyak antara kerajaan negeri dan pusat masih berjalan.

Kedua, hak kerajaan negeri juga tidak dinafikan langsung seperti yang dibentangkan dalam usul berkenaan.

Ketiga, isu ini masih lagi kes mahkamah dan tuntutan masih dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat, masih lagi belum ditarik balik dan masih berjalan, dan,

Keempat, perundingan sama ada di peringkat kepimpinan atau pegawai antara kerajaan negeri dan pusat juga sentiasa terbuka dan tidak ada penyisihan sebagaimana usul yang dibacakan.

Apa juga jawapannya, penggulungan yang akan dibuat Menteri Besar dinanti-nantikan untuk jawapan memuaskan semua pihak.

Walaupun isu ini begitu ditekankan oleh PAS, hakikatnya jika royalti atau apa juga bentuk kewangan hasil minyak, kerajaan negeri Barisan Nasional yang akan mendapat untung demi kebajikan rakyat Terengganu.

Mungkin Khamis, Ahmad Said akan memberikan jawapannya.

Sementara menunggu jawapan itu, isu ini dijangka akan terus dikemukan oleh ADUN PAS melalui pelbagai cara hari ini dan esok!

No comments:

Post a Comment