Monday, July 20, 2009

ADA PIHAK ENGGAN BEKERJASAMA KES TEOH – KENAPA?

Hairan juga kenapa Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah enggan memberikan kerjasama kepada polis untuk diambil keterangan daripadanya dalam kaitan kematian Teoh Beng Hock.

“Kami sudah menghubungi Tan tetapi beliau enggan. Jika beliau terus berdegil, kita akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk membolehkan untuk turut direkodkan keterangan daripadanya,” kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar .

Beliau menyatakan demikian selepas memberikan taklimat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai kemajuan siasatan.

Siasatan polis terhadap kes Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar
Khalid berkata polis sudah memanggil dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah untuk membantu siasatan.

Dua individu terbabit adalah orang terakhir yang dihubungi mendiang sebelum memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.
Difahamkan, taklimat kes itu dijalankan selama sejam.

Teoh, bekas wartawan adalah setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Musa berkata, pihaknya percaya kes itu dapat disiapkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, siasatan pihaknya percaya mendiang jatuh dari tingkat 14 sebelum mayatnya ditemui kira-kira empat atau lima jam selepas itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak berhenti menuding jari kepada agensi itu sebagai punca kematian Teoh kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata sejak insiden itu dilaporkan, banyak pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan komen hingga menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Biarlah polis siasat dan selesaikan dahulu kes ini. Janganlah keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada 1.30 tengah hari Khamis lepas.

Ahmad Said berkata kes penyalahgunaan peruntukan negeri yang disiasat SPRM itu hanyalah kes biasa dan bukannya kes besar sehingga boleh menimbulkan kematian.

"Bukan kerja kami hendak siasat sampai buat (kematian) macam itu sekali...kes biasa sahaja," katanya.

Ahmad Said berkata laporan sesetengah media didapati cuba mengeruhkan keadaan dan mewujudkan perselisihan faham dan tanggapan bahawa SPRM punca kematian Teoh.

"Jangan cuba wujudkan perselisian faham dan sensitiviti kaum...saya pun secara peribadi hendak tahu juga apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Ahmad Said berkata SPRM turut bersimpati dengan keluarga mangsa berikutan insiden itu.

SIAPA BUNUH MICHAEL JACKSON?

Di Luar Jendela

Daripada Agensi

Polis sudah menetapkan Raja Pop, Michael Jackson, dibunuh sebagai punca kematiannya dan akan mula mengemukakan pendakwaan terhadap pihak bertanggungjawab tidak lama lagi, lapor akhbar News of The World, semalam.

Bedah siasat penyanyi itu menunjukkan beliau meninggal dunia akibat terlebih dos suntikan ubat penahan sakit, Diprivan.

Polis memberitahu keluarganya mereka akan membuat dakwaan ke atas seorang atau lebih dalam tempoh beberapa hari lagi dan akan ada perbicaraan jenayah atas tuduhan itu.
Ia mungkin membabitkan sesiapa saja yang memberi suntikan dan mana-mana pihak yang memperkenalkan ubat terbabit kepada Jackson.

Yang pasti, doktor peribadi Michael, Dr Conrad Murray dilaporkan telah melarikan diri selepas disoal siasat oleh pihak polis Los Angeles.

Dr. Conrad Murray juga difahamkan kini berada di Houston, Texas, di mana dia menjalankan latihan perubatannya di sana, lapor satu sumber.

Bukti terbaru mendapati, 'Anastesia Propofol' atau sejenis ubat bius yang kuat merupakan penyebab utama kematian Michael, dan Murray dipercayai menjadi dalangnya.

Menurut pegawai koroner, keputusan laporan bedah siasat itu masih belum diketahui lagi
Minggu lalu, adik penyanyi itu, La Toya Jackson memberitahu News of The World, beliau tahu siapa yang membunuh adiknya.

Perkembangan mengejutkan ini didedahkan Terry Harvey, rakan lama keluarga Jackson dalam temu ramah eksklusif dengan akhbar ini.

Harvey berkata: “Bedah siasat menunjukkan Michael maut akibat penggunaan dos berlebihan Diprivan dan beberapa pil turut ditemui dalam perutnya. Dia juga mempunyai tanda suntikan pada leher dan seluruh tubuhnya.

“Pihak berkuasa memberitahu keluarganya, agensi Pentadbiran Penguat Kuasa Dadah (DEA) sedang mendesak supaya dakwaan jenayah dikemukakan.

“Ia kemungkinan pembunuhan tahap kedua, berikutan tindakan yang menyebabkan kematiannya. Mereka yakin seseorang atau mungkin lebih dari seorang perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Keluarga penyanyi itu bekerjasama dengan DEA dan Jabatan Polis Los Angeles untuk memutuskan doktor yang memberi ubat kepada Michael dan sejak bila.”

Bedah siasat yang dijalankan ke atas Michael mendapati badannya terdapat kesan jarum suntikan yang teruk di bahagian belakang lututnya dan di beberapa bahagian jari-jari kakinya.
Tubuh badannya seperti bantalyang telah dicucuk dengan jarum ketika dia mati," kata satu sumber.

Kesan-kesan jarum suntikan di celah jari-jari kakinya dikatakan tindakan yang terdesak Michael untuk menyuntik dadah ke badannya.

Satu sumber berkata: "Sesiapa juga yang memberikan Michael dadah tersebut, pasti seseorang yang tahu akan tahap ketagihan Michael yang amat teruk."

Dipercayai doktor Michael telah mengepam ubat penahan sakit dengan dos yang banyak melalui urat darahnya setelah mendapati urat-urat pada lengannya tidak berfungsi.

Pendedahan ini muncul setelah polis melakukan penyiasatan yang lebih mendalam dengan menyoal siasat doktor penyanyi itu, terutama Dr. Conrad Murray yang merupakan doktor peribadi Michael dan Dr. Arnold Klein yang merupakan pakar dermatologi Michael.

Turut juga dilaporkan, Michael membelanjakan 30, 000 pound sebulan untuk membeli ubat.

Sunday, July 19, 2009

DUA WARTAWAN LAPOR BERITA PALSU?

Sensasi atau menipu?

Sebagai bekas Pengarang Berita Harian Metro, saya terkejut membaca laporan bahawa dua wartawan Harian Metro yang sering memaparkan isu-isu sensasi dipanggil polis bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kenapa? Ia ada kaitan berhubung laporan muka hadapan akhbar tersebut semalam yang bertajuk "Restoran Berahi".

myMetroSaya berharap apa yang dipaparkan itu benar dan kalaupun ada sesnsasi di sana sini, ia hanya ‘bahan penyedap’ yang sengaja diada-adakan untuk pembaca tertarik dengan cerita berkenaan.

Soalnya jika laporan disensasikan tidaklah begitu menjadi masalah kerana faktanya betul.

Bagaimanapun, jika didapati ia menipu, kredibiliti Harian Metro sebagai akhbar harian paling tinggi edarannya akan tercalar.

Jangan kerana mahukan sensasi, keyakinan pembaca kepada kesahihan akhbar menjadi tanda tanya.

Harian Metro yang dibangunkan dengan penat lelah kakitangan sekitar awal 1990-an jangan dipertaruhkan dengan cerita-cerita sensasi yang tidak benar.

Dari dua edisi – Edisi KL dan Edisi JB (Selatan), kumpulan kami yang diketuai oleh Pengarangnya – Zian Johari – kami membangunkan Edisi Utara, Edisi Timur dan Edisi Tengah – Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan (diberhentikan kemudian kerana digabungkan ke dalam Edisi JB dan KL).

Tidak mengapa cerita sensasi kerana di waktu saya menjadi Pengarang Berita pun, banyak juga cerita yang perlu ditulis semua dan heavy editing dilakukan, termasuklah cerita umpamanya mengenai ‘Hantu Lilin’ di Johor Bahru sekitar 1995.

Malah, cerita mengenai perbicaraan kes Mona Fendi pun disensasikan sedikit walaupun ia berita dari mahkamah untuk ‘menyedapkan’ berita bagi menarik pembaca.

Bayangkan pembaca Melayu, cerita seperti Hantu Lilin ini boleh meningkatkan jualan daripada 65,000 pada hari biasa kepada 80,000 hanya kerana cerita berkenaan.

Dalam konteks ini, Harian Metro perlu mempertahankan maruahnya dengan bekerjasama dengan polis mengenai sumber.

Hanya polis yang boleh menghapuskan keraguan orang ramai terhadap berita seperti ini jika benar ada restoran berkenaan.

Kerana ‘sensasi tapi benar’ Harian Metro yang mulanya berkembang daripada edaran 15,000 kepada 25,000 dan akhirnya seperti yang ada pada hari ini.

Saya fikir dengan kedudukan Mior Kamarul Shahid sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian yang baru dilantik dan pernah merintis sebagai Pengarang Berita Harian Metro pada awal 1990-an, (bersama Ahmad Puad Onah), sensasi yang diragui tidak wajar berlaku.

Sayang jika Harian Metro yang mendapat tempat di hati pembaca hilang kredibiliti dan pembacanya mula mempersoalkan kesahihan punca beritanya.

Kedua-dua wartawan yang menulis berita sensasi itu sudah dipanggil memberi keterangan malam semalam, selama dua jam iaitu dari pukul 8 hingga 10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPKKL Datuk Ku Chin Wah mengesahkan pihaknya memanggil kedua-dua wartawan tersebut berhubung pendedahan berani mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggannya semasa menjamu selera.



Menurut laporan yang ditulis oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim itu,



pelayan wanita seksi terbabit dijadikan umpan kepada pelanggan lelaki berpoket tebal untuk menjamu selera sambil ‘bermanja’ dengan pelayan.



Berdasarkan maklumat diberikan, wartawan Harian Metro (HM) berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

Risikan bermula sejak sebulan lalu apabila HM menerima e-mel mengandungi beberapa gambar panas pelayan restoran terbabit melayani pelanggan.
Restoran hanya dibuka kepada ahli berdaftar dan orang awam dilarang memasukinya kecuali dibawa ahli kelab.

Golongan berkenaan sanggup membayar antara RM500 hingga RM5,000 bagi menempah meja termasuk imbuhan kepada pelayan semata-mata mahukan layanan luar biasa.

Laporan itu menambah, kebanyakan pelayan dipercayai warga China itu boleh disentuh atau diusik asalkan menyelitkan tip ketika mereka datang ke meja pelanggan.



Lebih mengejutkan, makanan turut dihidangkan di atas tubuh pelayan terbabit yang berbaring beramai-ramai di atas meja sebelum pelanggan memilih juadah digemari, kata dua wartawan itu.

Semua pelayan amat terlatih dan tidak segan silu membiarkan tubuh mereka ‘diterokai’ tangan gatal pelanggan. Malah, ada pelanggan yang bercumbu dengan pelayan seksi terbabit tanpa segan silu setiap kali mereka datang ke meja untuk menghidangkan makanan.

Berkonsepkan ‘syurga makanan dunia’, restoran terbabit hanya menyediakan khidmat wanita seksi terbabit pada hujung minggu tertentu.

Bagaimanapun, mereka sedia menyediakan khidmat sama jika ada pihak berminat mengadakannya pada hari lain.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan itu hanya terbuka kepada ahli restoran itu dengan perkhidmatannya diadakan pada hujung minggu tertentu sahaja. Ku berkata laporan yang dikeluarkan itu adalah palsu kerana siasatan mendapati restoran tersebut tidak wujud.

Disebabkan sambutan hangat selain bimbang diketahui umum, restoran itu hanya menyediakan khidmat berkenaan di tingkat atas bangunan dua tingkat yang turut mempunyai kolam renang.

Kawasan restoran dikawal lebih lima pengawal bagi memastikan tiada kunjungan individu tidak diundang, terutama pihak berkuasa.

Difahamkan, pengawal akan mengetuk kon ke atas tar dua kali jika ada tetamu tidak diundang memasuki kawasan berkenaan.Menurut laporan mStar yang memetik kenyataan polis, difahamkan gambar yang didedahkan wartawan tersebut diperoleh melalui internet dan restoran tersebut sebenarnya berada di sebuah negara jiran terdekat.

Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Akhbar itu mendakwa pendedahan yang dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh berdasarkan email yang dihantar orang ramai ke akhbar tersebut dan setelah sebulan membuat risikan, wartawannya berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

MU – PENGUNDI MUDA BERUBAH?












(Sembang Ahad)

Satu daripada perkara penting yang diperkatakan pada setiap pilihan raya ialah pengundi muda.

Isunya ialah apa sikap mereka? Ke mana haluan sokongan mereka? Benarkah pengundi muda menyokong pembangkang dan memaling muka terhadap Barisan Nasional (BN)? Apa kemahuan mereka sebenarnya? Pengundi muda mata duitan dan mementingkan pembangunan?

Keputusan di pilihan raya kecil Manek Urai sudah didapati. Dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai itu, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menang tipis untuk mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 65 undi sahaja. Beliau mendapat 5, 348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Kedudukannya ialah daripada 12,293 pengundi di Manek Urai, hampir 50 peratus adalah pengundi muda.

Jumlah mereka (berusia 21-35 tahun) adalah 5,598 atau 45.54 peratus daripada keseluruhan pengundi.

BN dikatakan menang di lima daripada sembilan pusat pengundian, iaitu Temalir, Laloh, Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor.Manakala PAS pula menang di Lata Rek, Peria, Chuchuh Puteri dan Sungai Sok.

Kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.
Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.

Kekalahan di peti undi Laloh adalah "suatu yang mengejutkan" kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS.

Bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, keputusan di beberapa kawasan di Manek Urai membayangkan kedudukan positif untuk mereka.

Di pihak PAS, dikatakan salah satu punca kemerosotan undi yang diperolehi calon PAS di Manek Urai adalah kerana pengundi muda di beberapa saluran menyokong BN.

Ini diakui oleh Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim yang menurutnya saluran (mengundi) orang tua menyokong PAS, manakala saluran yang ramai muda, PAS gagal di situ.

Walaupun PAS mengatakan pengundi muda tidak mempunyai sikap politik yang jelas, yang mudah disogok dengan janji-janji BN namun hakikatnya mereka penentu kepada setiap keputusan pilihan raya.
Sebelum ini PAS tidak menyuarakan pendapat demikian dan tetap dengan keyakinan bahawa pengundi muda aka nada dengan mereka selama-lamanya.
Memanglah sikap politik orang muda tidak sama dengan sikap politik orang tua yang menyokong PA. Ini kerana orang muda memerlukan banyak perkara – pendidikan, keperluan asas, pendapatan tetap, bantuan dan keyakinan bahawa ada masa depan untuk mereka.

Hakikatnya, apakah jaminan dan keyakinan yang boleh ditawarkan oleh PAS? Islam dan syurga?

Selama manakah orang muda boleh didodoikan dengan jaminan seperti itu apabila kehidupan semakin mendesak dan perlukah mereka hanya berdiam diri dengan kerajaan PAS Kelantan yang gagal membela mereka?

Apakah hidup boleh diteruskan dengan kekurangan, kemunduran dan kemiskinan? Apakah hidup boleh diteruskan hanya dengan berserah padaNYA?

Ada pemimpin PAS yang menyalahkan BN apabila pengundi terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.

Apakah menawarkan kemudahan dan keselesaan itu sesuatu yang berbentuk rasuah? Bagaimana pula dengan PAS yang menjanjikan syurga? Apakah umat Islam boleh masuk syurga hanya dengan bergantung harap?

Persoalan kepada PAS ialah selama manakah mereka boleh berdiam diri dan mengharapkan orang lain membela rakyat umpamanya kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan pusat seperti Kesedar?

Sudah pasti bagi rakyat yang mengalami kesusahan setiap hari, janji BN untuk bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan menawan hati mereka.

Rakyat, khususnya golongan muda belum ada sesuatu yang menjamin masa depan mereka, kalau pun ada tanah tetapi apa akan dilakukan terhadapnya?

Kalaupun ada kenderaan, mereka tidak selesa menggunakan jalan dan jambatan sempit. Ini semua memerlukan pemikiran semula terhadap kemudahan asas di Manek Urai.

Juga penting ialah kegiatan ekonomi di Manek Urai perlu pendekatan baru yang menjamin orang muda mendapat keuntungan daripadanya dan tidak selama-lamanya mengharapkan kerajaan pusat dan Kesedar sahaja yang membawanya.

Jika PAS terus menang di Manek Urai, rakyat terpaksa menjadi ‘peminta ikhsan’ daripada parti yang mereka tolak –BN dan UMNO . Berapa lama rakyat Manek Urai perlu menggadaikan maruah mereka hanya kerana menyokong parti yang mendakwa Islam tetapi tidak membela mereka sama sekali untuk hidup dan beribadat!