Sensasi atau menipu?
Sebagai bekas Pengarang Berita Harian Metro, saya terkejut membaca laporan bahawa dua wartawan Harian Metro yang sering memaparkan isu-isu sensasi dipanggil polis bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kenapa? Ia ada kaitan berhubung laporan muka hadapan akhbar tersebut semalam yang bertajuk "Restoran Berahi".
myMetroSaya berharap apa yang dipaparkan itu benar dan kalaupun ada sesnsasi di sana sini, ia hanya ‘bahan penyedap’ yang sengaja diada-adakan untuk pembaca tertarik dengan cerita berkenaan.
Soalnya jika laporan disensasikan tidaklah begitu menjadi masalah kerana faktanya betul.
Bagaimanapun, jika didapati ia menipu, kredibiliti Harian Metro sebagai akhbar harian paling tinggi edarannya akan tercalar.
Jangan kerana mahukan sensasi, keyakinan pembaca kepada kesahihan akhbar menjadi tanda tanya.
Harian Metro yang dibangunkan dengan penat lelah kakitangan sekitar awal 1990-an jangan dipertaruhkan dengan cerita-cerita sensasi yang tidak benar.
Dari dua edisi – Edisi KL dan Edisi JB (Selatan), kumpulan kami yang diketuai oleh Pengarangnya – Zian Johari – kami membangunkan Edisi Utara, Edisi Timur dan Edisi Tengah – Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan (diberhentikan kemudian kerana digabungkan ke dalam Edisi JB dan KL).
Tidak mengapa cerita sensasi kerana di waktu saya menjadi Pengarang Berita pun, banyak juga cerita yang perlu ditulis semua dan heavy editing dilakukan, termasuklah cerita umpamanya mengenai ‘Hantu Lilin’ di Johor Bahru sekitar 1995.
Malah, cerita mengenai perbicaraan kes Mona Fendi pun disensasikan sedikit walaupun ia berita dari mahkamah untuk ‘menyedapkan’ berita bagi menarik pembaca.
Bayangkan pembaca Melayu, cerita seperti Hantu Lilin ini boleh meningkatkan jualan daripada 65,000 pada hari biasa kepada 80,000 hanya kerana cerita berkenaan.
Dalam konteks ini, Harian Metro perlu mempertahankan maruahnya dengan bekerjasama dengan polis mengenai sumber.
Hanya polis yang boleh menghapuskan keraguan orang ramai terhadap berita seperti ini jika benar ada restoran berkenaan.
Kerana ‘sensasi tapi benar’ Harian Metro yang mulanya berkembang daripada edaran 15,000 kepada 25,000 dan akhirnya seperti yang ada pada hari ini.
Saya fikir dengan kedudukan Mior Kamarul Shahid sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian yang baru dilantik dan pernah merintis sebagai Pengarang Berita Harian Metro pada awal 1990-an, (bersama Ahmad Puad Onah), sensasi yang diragui tidak wajar berlaku.
Sayang jika Harian Metro yang mendapat tempat di hati pembaca hilang kredibiliti dan pembacanya mula mempersoalkan kesahihan punca beritanya.
Kedua-dua wartawan yang menulis berita sensasi itu sudah dipanggil memberi keterangan malam semalam, selama dua jam iaitu dari pukul 8 hingga 10 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPKKL Datuk Ku Chin Wah mengesahkan pihaknya memanggil kedua-dua wartawan tersebut berhubung pendedahan berani mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggannya semasa menjamu selera.
Menurut laporan yang ditulis oleh Salman Hamat dan Mohd Firdaus Ibrahim itu,
pelayan wanita seksi terbabit dijadikan umpan kepada pelanggan lelaki berpoket tebal untuk menjamu selera sambil ‘bermanja’ dengan pelayan.
Berdasarkan maklumat diberikan, wartawan Harian Metro (HM) berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.
Risikan bermula sejak sebulan lalu apabila HM menerima e-mel mengandungi beberapa gambar panas pelayan restoran terbabit melayani pelanggan.
Restoran hanya dibuka kepada ahli berdaftar dan orang awam dilarang memasukinya kecuali dibawa ahli kelab.
Golongan berkenaan sanggup membayar antara RM500 hingga RM5,000 bagi menempah meja termasuk imbuhan kepada pelayan semata-mata mahukan layanan luar biasa.
Laporan itu menambah, kebanyakan pelayan dipercayai warga China itu boleh disentuh atau diusik asalkan menyelitkan tip ketika mereka datang ke meja pelanggan.
Lebih mengejutkan, makanan turut dihidangkan di atas tubuh pelayan terbabit yang berbaring beramai-ramai di atas meja sebelum pelanggan memilih juadah digemari, kata dua wartawan itu.
Semua pelayan amat terlatih dan tidak segan silu membiarkan tubuh mereka ‘diterokai’ tangan gatal pelanggan. Malah, ada pelanggan yang bercumbu dengan pelayan seksi terbabit tanpa segan silu setiap kali mereka datang ke meja untuk menghidangkan makanan.
Berkonsepkan ‘syurga makanan dunia’, restoran terbabit hanya menyediakan khidmat wanita seksi terbabit pada hujung minggu tertentu.
Bagaimanapun, mereka sedia menyediakan khidmat sama jika ada pihak berminat mengadakannya pada hari lain.
Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan itu hanya terbuka kepada ahli restoran itu dengan perkhidmatannya diadakan pada hujung minggu tertentu sahaja. Ku berkata laporan yang dikeluarkan itu adalah palsu kerana siasatan mendapati restoran tersebut tidak wujud.
Disebabkan sambutan hangat selain bimbang diketahui umum, restoran itu hanya menyediakan khidmat berkenaan di tingkat atas bangunan dua tingkat yang turut mempunyai kolam renang.
Kawasan restoran dikawal lebih lima pengawal bagi memastikan tiada kunjungan individu tidak diundang, terutama pihak berkuasa.
Difahamkan, pengawal akan mengetuk kon ke atas tar dua kali jika ada tetamu tidak diundang memasuki kawasan berkenaan.Menurut laporan mStar yang memetik kenyataan polis, difahamkan gambar yang didedahkan wartawan tersebut diperoleh melalui internet dan restoran tersebut sebenarnya berada di sebuah negara jiran terdekat.
Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.
Akhbar itu mendakwa pendedahan yang dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh berdasarkan email yang dihantar orang ramai ke akhbar tersebut dan setelah sebulan membuat risikan, wartawannya berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.
No comments:
Post a Comment