Sunday, July 19, 2009

MU – PENGUNDI MUDA BERUBAH?












(Sembang Ahad)

Satu daripada perkara penting yang diperkatakan pada setiap pilihan raya ialah pengundi muda.

Isunya ialah apa sikap mereka? Ke mana haluan sokongan mereka? Benarkah pengundi muda menyokong pembangkang dan memaling muka terhadap Barisan Nasional (BN)? Apa kemahuan mereka sebenarnya? Pengundi muda mata duitan dan mementingkan pembangunan?

Keputusan di pilihan raya kecil Manek Urai sudah didapati. Dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai itu, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menang tipis untuk mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 65 undi sahaja. Beliau mendapat 5, 348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Kedudukannya ialah daripada 12,293 pengundi di Manek Urai, hampir 50 peratus adalah pengundi muda.

Jumlah mereka (berusia 21-35 tahun) adalah 5,598 atau 45.54 peratus daripada keseluruhan pengundi.

BN dikatakan menang di lima daripada sembilan pusat pengundian, iaitu Temalir, Laloh, Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor.Manakala PAS pula menang di Lata Rek, Peria, Chuchuh Puteri dan Sungai Sok.

Kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.
Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.

Kekalahan di peti undi Laloh adalah "suatu yang mengejutkan" kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS.

Bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, keputusan di beberapa kawasan di Manek Urai membayangkan kedudukan positif untuk mereka.

Di pihak PAS, dikatakan salah satu punca kemerosotan undi yang diperolehi calon PAS di Manek Urai adalah kerana pengundi muda di beberapa saluran menyokong BN.

Ini diakui oleh Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim yang menurutnya saluran (mengundi) orang tua menyokong PAS, manakala saluran yang ramai muda, PAS gagal di situ.

Walaupun PAS mengatakan pengundi muda tidak mempunyai sikap politik yang jelas, yang mudah disogok dengan janji-janji BN namun hakikatnya mereka penentu kepada setiap keputusan pilihan raya.
Sebelum ini PAS tidak menyuarakan pendapat demikian dan tetap dengan keyakinan bahawa pengundi muda aka nada dengan mereka selama-lamanya.
Memanglah sikap politik orang muda tidak sama dengan sikap politik orang tua yang menyokong PA. Ini kerana orang muda memerlukan banyak perkara – pendidikan, keperluan asas, pendapatan tetap, bantuan dan keyakinan bahawa ada masa depan untuk mereka.

Hakikatnya, apakah jaminan dan keyakinan yang boleh ditawarkan oleh PAS? Islam dan syurga?

Selama manakah orang muda boleh didodoikan dengan jaminan seperti itu apabila kehidupan semakin mendesak dan perlukah mereka hanya berdiam diri dengan kerajaan PAS Kelantan yang gagal membela mereka?

Apakah hidup boleh diteruskan dengan kekurangan, kemunduran dan kemiskinan? Apakah hidup boleh diteruskan hanya dengan berserah padaNYA?

Ada pemimpin PAS yang menyalahkan BN apabila pengundi terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.

Apakah menawarkan kemudahan dan keselesaan itu sesuatu yang berbentuk rasuah? Bagaimana pula dengan PAS yang menjanjikan syurga? Apakah umat Islam boleh masuk syurga hanya dengan bergantung harap?

Persoalan kepada PAS ialah selama manakah mereka boleh berdiam diri dan mengharapkan orang lain membela rakyat umpamanya kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan pusat seperti Kesedar?

Sudah pasti bagi rakyat yang mengalami kesusahan setiap hari, janji BN untuk bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan menawan hati mereka.

Rakyat, khususnya golongan muda belum ada sesuatu yang menjamin masa depan mereka, kalau pun ada tanah tetapi apa akan dilakukan terhadapnya?

Kalaupun ada kenderaan, mereka tidak selesa menggunakan jalan dan jambatan sempit. Ini semua memerlukan pemikiran semula terhadap kemudahan asas di Manek Urai.

Juga penting ialah kegiatan ekonomi di Manek Urai perlu pendekatan baru yang menjamin orang muda mendapat keuntungan daripadanya dan tidak selama-lamanya mengharapkan kerajaan pusat dan Kesedar sahaja yang membawanya.

Jika PAS terus menang di Manek Urai, rakyat terpaksa menjadi ‘peminta ikhsan’ daripada parti yang mereka tolak –BN dan UMNO . Berapa lama rakyat Manek Urai perlu menggadaikan maruah mereka hanya kerana menyokong parti yang mendakwa Islam tetapi tidak membela mereka sama sekali untuk hidup dan beribadat!

No comments:

Post a Comment