Monday, May 18, 2009

PENANTI – BN TIDAK IKUT RENTAK PEMBANGKANG

Perangkap pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengena.
Sah sudah Barisan Nasional (BN) tidak tunduk dengan desakan supaya meletakkan calon menentang PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan petang ini, DUN Penanti bukan untuk UMNO masuk gelanggang.

Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang.

Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.
Pada 29 April lalu, saya bertanyakan wajarkah Barisan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti?

Saya meminta difikirkan perkara berikut dalam konteks pilihan raya kecil Penanti ini. Ia termasuk:

1. Jika menang akan memberikan keyakinan baru kepada UMNO dan jika kalah, siri pembubaran DUN dan Parlimen seperti yang dimahukan Anwar akan menjadi bertambah rancak;

2. Jika UMNO bertanding, ia bagaikan ‘undur belakang untuk kebaikan’ namun dimanakah rasional merugikan wang rakyat;

3. Jika menang reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan menonjak dan jika kalah ia semakin merudum;

4. Jika bertanding akan ada tuduhan Najib mengikut telunjuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebelum ini Muhyiddin seperti menyokong kenyataan Dr Mahathir;

5. Jika bertanding, wang rakyat akan dikorbankan sedangkan kerusi itu tidak akan mengubah apa-apa; dan

6. Akan ada orang yang akan untung daripada pilihan raya kecil ini kerana selalunya walaupun calon kalah pilihan raya kalah tetapi ‘ada orang UMNO yang akan menang’ kerana mendapat pelbagai kemudahan dan wang’ hasil peruntukan pilihan raya berkenaan.

Yang pasti BN tidak akan menang mudah keranba PKR begitu yakin akan menang sudah menemui calon menggantikan bekas ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini berikutan timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng meletakkan jawatanb. Beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus.

Menarik pada pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.

Langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Apa pun, Najib menggariskan tiga sebab BN enggan bertanding:

Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.
Mesej BN mudah saja, iaitu BN "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang."

ANWAR - MAT JENIN?

“Kalau mereka lakukan (buat tawaran), mereka katakan mereka beretika, tapi kalau kita lakukan mereka kata kita tak beretika.”
Demikian pendirian Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai sikap pembangkang, khususnya bekas ‘mentornya’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baguslah Zahid tidak ikut ‘ajaran salah’ bekas gurunya.
Mungkin Anwar beranggapan pada ketika itu Ahli Parlimen Kimanis itu mudah untuk digula-gulakan kerana Anipah menolak tawaran menyertai pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Sejak meninggalkan Anwar, Zahid ternyata sering membuat kenyataan yang disifatkan oleh pengikut Anwar sebagai ‘melawan guru’.

Zahid menyatakan perkara itu merujuk kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang juga Menteri Luar yang beliau sedia disaman Anwar.

Anifah juga tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai umpan melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Zahid bingkas dengan menegaskan: “Saya harap dalam perkara ini Datuk Anifah mendedahkan banyak lagi perkara yang telah berlaku ketika beliau tidak menerima tawaran sebagai Timbalan Menteri.

Bagi Menteri Pertahanan itu, Anifah sepatutnya mendedahkan pelbagai tawaran lain yang pernah dibuat pihak pembangkang kepadanya selepas diumpan menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2008 lalu.

Bagi Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, pendedahan seperti itu akan membolehkan rakyat menilai pendirian sebenar pembangkang dalam memenuhi cita-cita politik mereka.

Menurut Zahid, “pada masa itu kononnya Anifah merajuk dan ketika itulah pakatan pembangkang mengambil peluang untuk menawarkan pelbagai, termasuk jawatan kedua tertinggi di negara kita.

Itulah angan-angan Mat Jenin yang dilakukan oleh pakatan pembangkang kepada mereka yang dirasakan kecewa,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Putrajaya hari ini.

Kenapa Anwar nak marah dengan kenyataan Anifah?
Laporan Bernama Sabtu Mei 16, 2009 bertajuk “Anifah: Anwar pernah tawar jawatan TPM bentuk Kerajaan Persekutuan” memetik kenyataan Anifah dari Washington yang membidas Ketua Pembangkang itu kerana tidak menceritakan keadaan sebenar mengenai Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Anda tahu, kami mempunyai kepercayaan teguh terhadap sistem kehakiman kami. Mengenai Anwar Ibrahim, kita amat mengenalinya. Lebih atau kurang, apa yang dia (Anwar) telah nyatakan khususnya di luar negara, banyak perkara yang diperkatakan adalah tidak benar.
"Dia telah berulang kali menyatakan sebelum pilihan raya bahawa dia akan memberikan bukti dan namum sehingga hari ini, dia tidak memberikan apa-apa," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu menjawab soalan seorang wartawan pada sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.
Sebelum ini, Anwar telah menyatakan bahawa beliau akan membentuk sebuah kerajaan pada 16 September lepas tetapi telah banyak kali mengubah tarikh tersebut.

Kata Anifah, Anwar cuba memujuk ahli Parlimen dan saya sendiri ditawarkan untuk melompat kepada pembangkang dengan jawatan amat lumayan dan dia juga beritahu seperti (jawatan) timbalan perdana menteri.Ini semua tidak diketahui oleh dunia umum sehingga sekarang," katanya.

Anifah berkata kerajaan Malaysia amat bimbang dengan tindakan Anwar merosakkan imej negara ketika berada di luar negara.

"Dia memberi gambaran salah secara berterusan dan menuduh semua pegawai kerajaan sebagai rasuah," katanya.

Apa yang jelas ialah, Anifah cuba menonjolkan betapa imej dan tindakan sebenar Anwar di luar negara selain mempertahankan betapa besarnya kerosakan yang dilakukan Anwar.
Pernyataan berterus terang itu selain membela semua pegawai kerajaan juga bertujuan memberitahu Amerika Syarikat bahawa mereka juga patut mendengar penjelasan kerajaan bukan hanya merujuk kepada ‘apa sahaja perkhabaran’ yang dibawa Anw

Sunday, May 17, 2009

MULAKAN EPISOD BARU

Malaysiakini kata mengelirukan.
Ia berkaitan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bawa Datuk Ahmad Said kekal Menteri Besar.

Siapa yang mahu Ahmad Said digantikan? Pucuk pimpinan UMNO dan Putrajaya? Jawapnnya tidak.

Jadi siapa sebenarnya yang keliru?
Pucuk pimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pusat tidak keliru.
Mungkin yang keliru ialah mereka yang mahu Ahmad ditukarkan.
Inilah sebenarnya kumpulan yang keliru dan kalau ada agenda demikian yang dilakukan secara tersusun atau terancang, ia bukan agenda UMNO, BN atau Putrajaya.
Malaysiakini tengah hari semalam menyebut, kenyataan Muhyiddin itu agak mengelirukan kerana selama ini memang ada ADUN BN di negeri itu yang mendesak supaya Ahmad diganti.

Apakah kenyataan Muhyiddin yang dipersoalkan itu tidak tepat? Apakah Muhyiddin bercakap melalui keputusan dan pendirian peribadinya?

Saya fikir apa yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri itu pendapat seluruh kepimpinan UMNO dan pentadbiran Putrajaya.

Kalau tidak puas hati nanti tanya Perdana Menteri dan Pengerusi BN pula esok atau lusa.

Semalam, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib berpendapat kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini.

Katanya, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda. Kita serahkan kepada pimpinan Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Benar kata Mohd Zaabar dan pengumuman Muhyiddin itu sewajarnya menjadi panduan agar kemelut politik Terengganu yang tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN setelah tiga daripada mereka menerima SMS yang berunsur ugutan, terus reda.

Ia ada kaitan dengan desakan sekumpulan ADUN BN yang rapat dengan Datuk Seri Idris Jusoh yang mahu Ahmad Said diganti.

Polemik itu wujud berikutan ura-ura Adun BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lepas, tetapi ia tidak berlaku.

Sebenarnya semua pihak tidak perlu keliru kerana Muhyiddin sudah menjelaskan, tiada sebarang cadangan untuk menukarkan Ahmad Said daripada jawatan menteri besar.

Bercakap di Kuala Terengganu semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan presiden Umno berkata, isu pertukaran menteri besar Terengganu tidak pernah berbangkit sebelum ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu itu tidak pernah berbangkit serta dibincangkan sebelum ini.

"Siapa kata (ada perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu). Setakat ini, saya tak dengar apa-apa," katanya ketika diminta mengulas desas-desus kononnya akan ada perubahan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berharap dengan penjelasan itu, situasi politik Terengganu akan bertambah baik kerana yang lebih penting ialah untuk melihat Umno dan BN bertambah kuat di negeri itu terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata jika ada perselisihan faham, ia perlu diselesaikan secara baik kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri itu selepas diberi kepercayaan oleh rakyat.

Dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu akan mengadakan pertemuan dengan semua 24 ADUN BN yang bertelagah di negeri serta ketua-ketua Umno bahagian Rabu ini, penyelesaian terhadap kemelut itu perlu dicari.

Bagi saya, kalau ia menjadi kudis dan barah, potong terus, jangan disimpan lagi.

Sesiapa juga yang nampak akan menyumbang kepada perpecahan, Hishamuddin patut gugurkan mereka.

Jangan ada kompromi kerana barah yang sudah ada akan membesar dan kelak akan ‘meletup’ dari dalam yang boleh memusnahkan UMNO Terengganu.

NIK AZIZ – ASAL UMNO/BN TIDAK MAHU

Tidak apa dengan DAP atau PKR. Jangan dengan UMNO.
Entahlah apa dah jadi dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Asalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) beliau tidak setuju. Dengan PKR, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP boleh saja!
Bagi Nik Aziz , UMNO penipu hangit.
Semalam, beliau tidak tidak mahu sebarang perbincangan diadakan antara pakatan pembangkang dan BN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tidak yakin kaedah perbincangan antara kedua-dua pihak yang bertentangan itu dapat menyelesaikan krisis berkenaan.
Jelas bagi Nik Aziz, beliau tidak percaya dengan perbincangan kerana "Jalan paling baik ialah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak," katanya di Kota Bharu
Bincang dan dengarlah dulu cadangan daripada orang lain.

Mentang-mentang bergelar Tok Guru, Nik Aziz main veto sahaja pandangan orang lain.
Nik Aziz mengulas kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden BN, untuk bertemu dengan pemimpin pembangkang dalam usaha menamatkan kemelut politik Perak.

Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilaporkan mahu beliau menetapkan tarikh pertemuan itu tetapi mereka berpendirian bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis politik itu ialah dengan membubarkan DUN Perak agar pilihan raya negeri dapat diadakan.
Sebelum ini Nik Aziz menegaskanpendiriannya untuk menolak pembentukkan kerajaan perpaduan dengan UMNO walaupun ia menjadi topik hangat menjelang muktamar agung parti itu, Jun ini.

Nik Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak percaya bahawa UMNO benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan Pas.

Dengan jelas lagi terang beliau berkata: "Tidak boleh, saya dengan UMNO, saya tidak percaya keikhlasan dia (UMNO) sebab dia telah tipu Pas masa dulu. Disebabkan itu, Pas telah berpecah kepada tiga ada yang sokong dan saya tergolong dalam orang yang menyokong masuk Barisan Nasional (BN), ada pula yang menjadi Hamim dan Berjasa.

"Apa jaminan mereka tidak akan 'tendang' kita lagi, bila kami 'ditendang' dulu, kami cuma jadi orang yang tolak kereta buruk UMNO, bila hidup kami ditinggalkan 'makan asap dan selut' dia," katanya pada sidang akhbar pada 13 Mei lalu.

Sebelum ini akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu diketengahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu, bagaimanapun ia ditentang oleh banyak pihak termasuk, Nik Abdul Aziz.

Pada bulan lepas, Abdul Hadi menarik balik cadangan tersebut dengan alasan kepimpinan negara telah bertukar dan pihaknya perlu melihat perkembangan terbaru sebelum ia diteruskan semula.
Isu pembentukan kerajaan perpaduan juga menjadi polemik berpanjangan menjelang pemilihan parti itu yang mana golongan pro-Anwar Ibrahim menolak cadangan tersebut, manakala golongan konservatif dilihat lebih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Jelas pendirian Nik Aziz sama saja dengan ‘anak didiknya’ Datuk Husam Musa yang sanggup menemui Tengku Razaleigh Hamzah.

Malaysiakini menyebut, Naib Presiden PAS, itu mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan parti komponen BN untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Yang pasti kini bagi Nik Aziz dan Husam, apa saja atas nama UMNO dan BN mereka akan menolaknya.

Alasannya bukan kerana UMNO dan BN tetapi kerana Anwar.
Husam sudah mengaku dia kawan Anwar dan apa lagi mahu dikata? Ini kerana melalui kerajaan perpaduan, Anwar tidak mungkin jadi Perdana Menteri.

Dan sebagai orang kuat Anwar, Husam tidak akan berkompromi dengan UMNO dan BN, malah suara Husam sebenarnya adalah suara bapa politik yang mendidiknya – Nik Abdul Aziz Nik Mat.