Sunday, May 10, 2009

ULAMA ATAU PROFESIONAL JADI PEMIMPIN?

Saya mohon kebenaran daripada Utusan Malaysia kerana memuatkan tulisan Dr Maza ini (Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009).

Saya perturunkan ini untuk tatapan pembaca sesuai dengan perkembangan dalam PAS sekarang.

Kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Encik Aziz Ishak, terima kasih awal untuk kebenaran yang dipohon.

PAS panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan 'ulama' atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan 'rumahtangga jiran' yang tiada keperluan untuk campur tangan.
Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: "Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit.

Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku".

Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: "Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)". Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.

Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang 'bukan ulama' dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil 'ustaz'? Perkataan ulama berasal dari 'ilmu'. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah?

Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi 'kontang' dalam soal ini, dia tidak layak.
Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik?

Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran 'ulama' ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut.

Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan 'ulama' atau 'profesional' yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.

Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

MAHKAMAH BUKAN PILIHAN RAYA JADI PENENTU?

(Sembang Ahad)

Pelik tapi benar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan tentukan kedudukan siapa Menteri Besar Perak.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin?

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada 2.30 petang esok keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lalu agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding kelmarin, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah, krisis politik di Perak boleh diselesai dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Mohammad Nizar, 52, dilantik 17 Mac tahun lalu setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinannya tumbang apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan itu keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN) awal tahun ini.

Sementara ADUN UMNO yang masuk PKR, kembali semula ke pangkuan UMNO.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar setelah mendapati Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.

Yang menariknya, syarat penting yang disebut peguam Mohd Nizar ialah, menyerahkan semula kepada rakyat (pilihan raya) untuk tentukan kerajaan negeri.

Sedangkan dalam afidavit Mohd Nizar yang ditekankan ialah tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Persoalan penting ialah apakah ‘lompat oleh tiga ADUN’ tidak sah?

Dua pertanyaan di sini. Apakah Mahkamah Tinggi melihat, pertamanya ialah apakah lantikan oleh Sultan Perak tidak sah dan kedua, kelebihan kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pun tidak ‘sah’?

Persoalan lain:

1. Apakah hanya dengan pilihan raya baru sahaja akan mengesahkan kedudukan politik di Perak?

2. Bagaimana jika diadakan undi percaya kepada Dr Zambry di Persidangan DUN? Bukankah cara ini sama seperti undi tidak percaya kepada Mohd Nizar?

Andaian: Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Mohd Nizar.

1. Apakah memerlukan perlantikan semula atau tidak perlu. Kalau tidak perlu memudahkan Mohd Nizar tetapi kalau perlantikan semula membabitkan Sultan Perak, apakah Tuanku Sultan Perak bersedia untuk melakukan upacara angkat sumpah sekali lagi?

2. Apakah dengan keputusan mahkamah seperti itu, Mahkamah Tinggi cuba menidakkan kedudukan kerusi yang ketika ini 31 kepada BN dan sewajarnya BN berkuasa?

3. Apakah Mahkamah Tinggi atau mahkamah Malaysia amnya bersedia membuat precedent iaitu apabila berlaku krisis seperti ini di masa hadapan, penyelesaiannya bukan melalui politik atau persetujuan Sultan sebaliknya di mahkamah?

4. Bersediakah demokrasi Malaysia menerima keputusan mahkamah yang mengetepikan proses pilihan raya?

Semua ini lontaran pandangan sahaja, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi esok dan apa hujah hakim mengenainya.

Friday, May 8, 2009

SEMAKIN BERSULUH…

Biar polis menjalankan tugasnya. Saya tidak mahu komen banyak mengenai kenyataan polis memberi kata dua kepada Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online dan Malaysiakini menyiarkannya. Jangan terlepas ikuti ulasan oleh Mohd Sayuti Omar melalui blognya – msomelayu.blogspot.com.

SU bekas MB diminta tampil bantu kes SMS ugutan Berita Harian Online (8 Mei 2009, 3.10 pm)
KUALA TERENGGANU: Polis hari ini menggesa Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, untuk tampil membantu siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu. Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Dr Ramzi diberi 3 hari hubungi polis kes SMS ugutan 08/05/2009 7:10pm

KUALA TERENGGANU 8 Mei — Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai hari ini kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas. Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222. Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.
Utusan Malaysia-Bernama)



Orang kanan Idris dikehendaki polis Malaysiakini (May 8,09, 7:04pm)

Polis memberi 72 jam mulai petang ini kepada bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh untuk tampil membantu siasatan berhubung SMS ugutan kepada tiga ADUN Umno bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata jika Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata polis telah cuba mengesan bekas calon BN Marang itu di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal, lapor Bernama.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-62 46 222.

Ahmad Ramzi kini bertugas sebagai pegawai khas Idris, sekarang pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 13 April lepas, beberapa ADUN Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul
Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS , antaranya berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

Mesej ringkas itu kemudian dijadikan alasan mereka bertiga dan tujuh lagi ADUN Umno enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu keesokannya.

Dalam siasatannya, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.

Menurut agensi berita itu lagi, Hamzah berkata polis setakat ini mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

"Kita mengalukan kerjasama daripada keluarga Dr Ramzi untuk menasihatkan beliau supaya tampil bagi mempercepatkan siasatan berhubung kes tersebut," katanya.

Para Buruan Polis
Ayah Pin, Hilmi Malik dan Dr Ahmad Ramzi
(msomelayu.blogspot.com)
Friday, May 8, 2009

SEBELUM polis mencari dan mengesan Hilmi Malik yang disyaki terlibat dalam penyebaran foto bogel seorang Exco Selangor, Elizabeth Wong, lama sebelum itu polis telah memburu ayah Pin atau Ariffin Mohammad seorang guru yang mempunyai kerajaan di lagit tetapi berkhemah di Kampung kawasan Idris Jusoh di Pasir Akar, Besut Ternegganu.

Pemburuan ke atas ayah Pin sudah lebih setahun. Beberapa kali ayah Pin dilaporkan muncul di berbagai lokasi awam, namun polis gagal memberkas ayah Pin. Ayah Pin pernah dilaporkan berada di sebuah kedai makan di Tumpat Kelantan. Selepas itu, terbaru ayah Pin dilaporkan berada di Rantau Panjang. Kedua lokasi itu sempadan Malaysia dengan Thailand.

Apakah ayah Pin mempunyai ilmu ghaib ala-ala orang minyak yang boleh menghaibkan diri bila diburu? Ataupun polis sengaja tidak mahu memberkasnya kerana ia tidak membahaya rakyat dan negara kerana kesalahannya tidak bersifat jenayah sivil? Yang pastinya jika Majlis Agama Terengganu yang dilihat bertanggungjawab atas kegiatan ayah Pin meminta bantuan polis dan polis pula gagal ia adalah kelemahan polis negara ini.

Selain ayah Pin banyak pelaku jenayah yang dikenal pasti dan diburu gagal dicekup.
Begitu juga sehingga hari ini polis gagal untuk memberkaskan Hilmi Malik. Waran tangkap telah pun dikeluarkan. Dan polis telah pun memberi tempoh tertetu, namun Hlimi Malik juga tidak tampil untuk membantu siasatan polis. Sekiranya benar pangghilan telefon yang pernah saya terima di suatu pagi dari Hilmi, buruan polis itu kini berada di Indonesia.

Sebab Hilmi memaklumkan yang beliau berada di negara jiran itu.
Dua buruan polis terlepas dan masih bebas. Kini polis Terengganu katanya memberi tempoh tiga hari kepada orang bernama Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung penghantaran SMS berbentuk ugutan.

SMS itu diterima oleh tiga orang Adun UBN Terengganu menjelang sidang DUN negeri itu baru-baru ini. Gara-gara SMS ugutan itu menyebab tujuh Adun UBN yang lain juga boikot sidang Dewan kononnya takut dibunuh ekoran SMS itu. Menurut Timbalan Ketua Polis Ternegganu, bernama Hamzah Mohd Jamil, sekiranya Ahmad Razmi gagal berbuat demikian polis akan mendapatkan waran tangkap.

Persoalan kini kenapa polis memburu bekas setiuasaha politik Idris Jusoh itu. Apakah beliau terlibat dengan ugutan menerusi SMS itu? Nampaknya begitulah.

Kalau Dr Ahmad Ramzi tidak terlibat untuk apa siasatan dilakukan kepadanya dan untuk apa beliau perlu lari dari disiasat polis?
Sebelum ini heboh dikatakan pegawai MB Terengganu, Ahmad Said sendiri yang hantar SMS berkenaan. Bagaimana pun setelah disiasat dan tangkapan ke atas seorang lelaki di Bangi ternyata dakwaan itu palsu. Sebaliknya ada tanda-tanda lain ditemui di sebalik penghantaran SMS berkenaan.

Apakah apabila polis ingin batuan daripada Dr Ahmad Razmi menunjukkan beliau ada maklumat mengenai pengiriman SMS itu?
Isu ugutan menerusi SMS menjadi perhatian di Terengganu. Semoga orang yang disyaiki dapat membantu siasatan itu tampil segera ke depan. Dalam hal ini sudah pasti kalau bekas setiausaha politik Idris Jusoh itu beri kerjasama kes SMS ugutan itu akan dapat diselesaikan.

Dalam hal ini mungkin ada baiknya juga kalau Idris Jusoh mengambil galang ganti atau membantu polis mengesankan di mana bekas setiausaha itu berada atau berlindung. Kerjasama daripada Idris akan mempercepatkan penyelesaian perbalahan politik di Terengganu.


Walaupun ia tidak ada kena mengena dengan Idris, tetapi sebagai bekas borohnya tentu Idris tahu setidak-tidaknya di mana rumah Dr Ahmad Ramzi. Harapan selebihnya kepada polis Terengganu. Jangan pula cerita memburu Dr Ahmad Ramzi ini macam cerita memburu ayah Pin atau Hilmi Malik.

Sekiranya polis memerlukan bantuan interpol untuk menyelesaikan masalah, kenapa tidak boleh dilakukan.
Kesejahteraan rakyat dan wakil rakyat hendaklah diutamakan.

[wm.kl. 8:00 pm 08/05/09]

AHMAD SAID AKAN DIGANTI 12 MEI?

Tersebar luas berita kononnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan ditukar pada 12 Mei ini (enam hari dari hari ini).
Berita ini disebarkan di Kuala Lumpur. Orang di Terengganu mungkin tidak ramai yang mengetahuinya.
Punca berita dikatakan terpancut keluar daripada mulut Ketua Perhubungan UMNO Terengganu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa Menteri Besar Terengganu akan diganti.


Kalau bohong saya, bohonglah beberapa orang penting akhbar arus perdana.

Hishamuddin dalam pertemuan dengan sekumpulan kecil wartawan memberi hint berkenaan dan orang penting surat khabar bercakap mengenai perkara ini di mana-mana.

Punca sebenar Ahmad Said mahu digantikan dikatakan dikaitkan dengan beberapa siri desakan 10 ADUN yang tidak berpuashati dengan Menteri Besar itu.

Sesiapa pun akan percaya dengan ‘hebahan awal itu’ kerana Hishamuddin, selain kini Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, juga Naib Presiden UMNO.

Lebih penting, ia rapat dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Sepupunya pun!

Hishamuddin juga dikatakan rapat dengan beberapa pemimpin Pemuda UMNO Terengganu yang dilihat rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut orang penting surat khabar, Hishamuddin membuat hebahan itu selepas bertemu dengan orang penting istana Terengganu beberapa hari lalu.

Malah, dikatakan pertemuan di puncak bukit itu turut disertai beberapa ‘orang istana’ dan juga pegawai tinggi Kerajaan Terengganu.

Pegawai tinggi ini dikatakan ‘kurang senang’ dengan Ahmad Said malah beberapa kali bertukar pesanan ringkas (sms) dengan rakan-rakannya – malah dari Rome – bertanyakan ‘bila Ahmad Said akan diganti’.

Untuk rekod saya tidak diberitahu dengan jelas siapa orang istana dimaksudkan kerana aneh juga jika pertemuan diadakan di puncak bukit, apa gerangan ‘orang istana’ mahu menghadirkan diri.

Yang menariknya dikatakan juga, Ahmad Said turut dipanggil ke istana (istana mana saya tidak tahu) pada Isnin lalu. Apa hasil pertemuan itu tiada siapa yang tahu kerana dikatakan pertemuan ‘empat mata’.

Sejauh ini difahamkan, pertemuan antara Pengerusi dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu (Ahmad Said) belum berlaku.

Sejak pulang dari mesyuarat UNESCO, Hishamuddin dikatakan sibuk. Bagaimanapun, dilaporkan pertemuan tidak rasmi antaranya dengan beberapa kumpulan UMNO tertentu sudah berlaku.’

Ini tidak hairan kerana Hishamuddin kerap juga ke Kuala Terengganu kerana ada misi tersendiri yang beliau dan rakan-rakan Pemuda UMNO sahaja yang tahu.
Sehingga ini belum jelas apa janji ‘orang istana’ dengan Hishamuddin dan apa pula janji yang diberikan oleh istana kepada Ahmad Said.

Bagi Ahmad Said, mandat dan amanah oleh istana terhadapnya bukan untuk dibanggakan tetapi adalah harapan dan tanggungjawab membangunkann rakyat dan negeri Terengganu.

Ahmad Said mengulangi hasratnya membangunkan Terengganu dalam ucapan sempena perayaan Hari Pekerja pertingkat negeri Terengganu, Isnin lalu.

Yang penting, kita tunggu 12 Mei ini dan kita tunggu juga pertemuan antara Hishamuddin dan Ahmad Said.

Mereka dijangka akan bertemu minggu depan.

Yang pasti, di kalangan Ketua-Ketua Bahagian, hanya dua sahaja yang kurang mesra dengan Ahmad Said tetapi lima lagi ‘OK’.

Dalam konteks UMNO, Ahmad Said boleh dikatakan besar pengaruhnya berbanding ‘cengkamannya terhadap ADUN’.

Ini kerana ADUN dipilih oleh Idris dan mereka menang pilihan raya ke 12 lalu dan Ahmad Said terpaksa menerima ‘pemain-pemain’ berkenaan dan sebagai jurulatih sebenarnya Ahmad Said tiada kuasa memilih pemain yang digemarinya.

Kerana itu mudah berlaku ‘penentangan’ terhadapnya, lagipun ramai di kalangan mereka yang marah dengan Ahmad Said adalah pendokong “Kami Nak Idris, Natang”.