Wednesday, December 24, 2008

BAHAGIAN LARUT YANG MEMBIMBANGKAN

Dua laporan Berita Harian cukup menarik untuk direnungi.

Kedua-duanya membabitkan Ketua UMNO Bahagian. Seorang - Datuk Zahar Hashim - sudah meninggalkan UMNO dan seorang lagi itu Datuk Raja Ahmad Zainuddin juga mungkin meninggalkan UMNO.

Pertama, laporan berita harian online bertajuk “Saya bukan pengkhianat kepada Umno: Zahar Hashim”. Laporan memetik bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya, Datuk Zahar Hashim berkata beliau bukan pengkhianat kepada Umno apabila bertindak menyertai Pas semalam.

Sebaliknya, beliau menuduh Umno yang mengkhianat beliau biarpun selepas 20 tahun bersama menyumbang kepada parti.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai keputusannya menyertai parti pembangkang itu hari ini.

Tiada isu lain berkait Abu Zahar iaitu isu kritikan beliau terhadap pemimpin tertinggi UMNO. Beliau turut menimbulkan kontroversi mengenai pembelian helikopter.
Laporan Harakahdaily menyebut, dalam masa yang sama Zahar turut 'mewakafkan' (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan sama. Difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Ustaz Nasharuddin mengalu-alukan kesudian beliau menyertai PAS sekaligus menghargai Zahar untuk sama-sama membantu kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.-azm

Tajuk kedua ialah “AJK Bahagian Larut letak jawatan jika Hamzah tanding”.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut, UMNO Bahagian Larut yang sehingga ini belum menjalankan mesyuaratnya terus bergolak apabila sebahagian besar ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian itu dikatakan akan meletak jawatan beramai-ramai selepas tidak berpuas hati Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian itu.

Mereka dikatakan akan berbuat demikian sebagai tanda bantahan selepas Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibenarkan bertanding merebut jawatan itu oleh Umno Pusat walaupun hanya menjadi ahli di bahagian itu pada April lalu.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan ibu pejabat parti bahawa seseorang itu tidak boleh bertanding jika menjadi ahli selepas 31 Disember 2007 di sesuatu cawangan, namun Hamzah hanya menjadi ahli di sebuah cawangan di Bahagian Larut pada April lalu.
Isu ini semakin rumit kerana selain rasa kecewa, tindakan sebahagian besar ahli jawatankuasa bahagian itu berbuat demikian diktakan kerana tidak mahu perkara itu menjadi kes contoh.

Ia akan menjadi precedent di masa hadapan yang akan membolehkan perkara yang sama dilakukan oleh pihak lain pada masa depan tanpa kesudahan.

Sumber terbabit melahirkan rasa bimbang pergolakan yang berlaku serta tindakan yang dibuat oleh ahli jawatan kuasa berkenaan akan menjadi lebih buruk termasuk keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan keadaan yang berlaku.

"Jika kebenaran (bertanding) itu diberikan, sudah pasti ia menjadi amalan tidak sihat kepada parti kerana sesiapa saja dengan mudah akan menjadi ahli di sesuatu cawangan dan kemudian bertanding merebut apa juga jawatan yang mereka mahu," katanya sumber itu.

Posting saya sebelum ini banyak memperkatakan isu Bahagian Larut ini dan kini wujud pula cakap-cakap kononnya Hamzah mewakili ‘team Datuk Seri Abdullah Ahmad Badaw’i cuba menjatuhkan Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar.

Hamzah juga bertanding Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Puak-puak yang menyokong Hamzah dikatakan membawa berita bahawa Raja Ahmad bukan sahaja sudah ‘diterajang’ oleh Abdullah apabila tidak melantik beliau sebagai orang penting kerajaan walaupun menjadi Pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasionakl (BNBBC) sejak Datuk Shahril Samad melepaskannya.

Shahril yang kemudiannya mengatakan tidak berminat sebarang jawatan akhirnya dilantik menjadi Menteri dan kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketika BNBBC terumbang ambing, Perdana Menteri dikatakan bersetuju dengan pelantikan Raja Ahmad tetapi apabila pilihan raya umum lalu, Raja Ahmad dihantar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah dan melepaskan Parlimen Larut kepada Hamzah.

Penyokong Hamzah mengatakan Raja Ahmad tidak mendapat sokongan Abdullah dengan tindakan menggugutkan beliau sebagai Ahli Parlimen, Raja Ahmad berada dalam kedudukan yang ‘payah’.

Pada ketika Raja Ahmad yang menjadi ahli parlimen sejak 1999 dan kemudian Pemangku Presiden BBC digugurkan bertanding Parlimen, mereka yang dikatakan masih baru menjadi Ahli Parlimen tiba-tiba menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Lebih memburukkan keadaan, Raja Ahmad yang ‘membuka jalan’ untuk Hamzah tercampak dan kini Hamzah mahu mencabarnya pula.

Bagi Raja Ahmad, sudahlah ‘khidmatnya sebagai pemangku Presiden BBC tidak dihargai’ kini jawatan yang dipegangnya dicabar pula ‘orang Abdullah’.

Mainan politik apakah ini?

Persoalannya, benarkah Abdullah menyokong Hamzah untuk menjadi Ketua Bahagian atau ia kerana angkara pegawai di Ibu Pejabat UMNO yang dikatakan merancang untuk Hamzah?

Berita yang tidak sedap didengar dan contohnya seperti yang berlaku kepada Abu Zahar Hashim ialah jika Hamzah dibenarkan bertanding di Larut, mungkinkah Raja Ahmad juga akan keluar parti?

Pemimpin tertinggi UMNO nampak relaks dengan perkembangan ini. Apakah mereka gembira jika ada rakan-rakan yang dikenakan hukuman menyertai parti lain, khususnya PAS?
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula dikatakan ‘lepas tangan’ dan tidak menyelesaikan masalah Larut yang kini berlarutan.

Jika Ketua UMNO bahagian Petaling Jaya Selatan menyertai PAS dengan membawa bersama 28 ketua cawangan UMNO dalam bahagian itu apakah Raja Ahmad tidak ada penyokong?
Apakah Ibu Pejabat UMNO boleh mengatakan ‘kalau nak pergi pergilah’ begitu sahaja?
Apa kata Abdullah dan Najib?

Tidakkah ada cara perundingan terbaik menyelesaikan kekusutan Abu Zahar sebelum ini dan kini Raja Ahmad?

Apakah kerana Hamzah, peranan Raja Ahmad dan jawatan kuasa bahagian meletak jawatan sebagai perkara kecil?

Tidakkah mereka ini turut memenangkan BN pada pilihan raya lalu – 1 Kerusi Parlimen dan 3 kerusi negeri untuk BN?

Sanggupkah UMNO kehilangan lagi pemimpin bahagian dan ADUNnya ketika UMNO sedang berdepan dengan krisis hidup atau mati?

Monday, December 22, 2008

JERIT YANG MENJERIT UNTUK PEMBANGKANG

Beginilah kalau sudah terlalu gilakan kuasa dan mahukan kuasa untuk berkuasa.
Mahfuz Omar sanggup menganggap pengayuh Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) sebagai wira rakyat dan negara.

Mudahnya memberikan gelaran – apakah jasa mereka itu sehingga menjadi wira rakyat dan negara.

Tetapi itu yang dianggap oleh Ketua Penerangan PAS ini apabila aktivis (Jerit) adalah wira rakyat dan negara.

Apakah jasa mereka sebelum ini yang membolehkan mereka dianggap wira rakyat dan negara?

Sejauh manakah mereka ini mewakili rakyat tertindas? Siapakah rakyat tertindas? Kenapa Jerit hanya bagaikan mewakili satu kaum sahaja?

Pertanyaan ialah, bolehkah mereka dianggap wira dan wajarkah PAS, PKR serta DAP menyambut mereka sedemikian sedangkan ternyata kumpulan ini menyalahgunakan remaja di bawah umur?

Sudah pasti mengayuh itu mendapat upah dan sesetengahnya tidak tahupun matlamat kayuhan mereka.

Pada 20 Disember lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita terhadap pihak yang sanggup mengeksploitasikan kanak-kanak dalam menjalankan kempen dan aktiviti mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, titah Sultan Selangor itu disampaikan kepadanya sebelum baginda berangkat ke luar negara pada kelmarin.

Katanya, baginda amat mengambil berat berhubung perkara itu dan mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukannya.

"Baginda merasa dukacita di atas perkembangan yang berlaku ini, tuanku ingin perkara ini dihebahkan kepada semua khususnya rakyat Selangor," katanya pada sidang akhbar
Tindakan pertubuhan tidak berdaftar itu menggunakan kanak-kanak dalam programnya di Bangunan Parlimen minggu lalu, mencabuli hak asasi golongan tersebut.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, ia bukan sahaja melanggar Akta Kanak-Kanak 2001 malah menyalahi Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diamalkan di seluruh dunia.

Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang bertanggungjawab mencetuskan idea penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 berkata, hak yang digariskan di bawah undang-undang dan konvensyen itu tidak hanya tertakluk kepada kanak-kanak sekolah rendah tetapi meliputi bawah 18 tahun.

“Kanak-kanak ada hak asasinya sendiri. Sesiapa sahaja termasuk ibu bapa atau mana-mana pertubuhan yang menggunakan kanak-kanak dengan membawa mereka ke majlis seperti yang dilakukan oleh Jerit adalah satu perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya.
Antara tuntutan yang dikemukakan Jerit ialah, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); gaji minimum, air bersih; rumah yang selesa dan pilihan raya kerajaaan tempatan (PBT).

Mengulas tuntutan itu Mahfuz meminta kerajaan setidak-tidaknya membuat perubahan satu dari enam tuntutan yang dibuat itu.

Mahfuz berkata, keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis dan pengayuh jerit selama 16 hari berkayuh dengan pelbagai dugaan menimpa mereka hingga 18 Disember lalu tiba di Parlimen, membuktikan mereka wira rakyat, kata Mahfuz.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 120 aktivis Jerit sesudah penyerahan memorandum Jerit kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri di bangunan Parlimen 18 Disember lalu.

Dengan melihat senarai ahli Parlimen yang hadir ialah pada majlis itu - Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian); Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena); Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang), Tian Chua (KeADILan-Batu), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Charles Santiago (DAP-Klang); Dr Hatta Ramli (PAS Kuala Krai) dan Senator T Murugiah yang mewakili Perdana Menteri – kita sudah dapat mengagak siapa Jerit ini.

Polis membenarkan 30 peserta program berbasikal "Rakyat Pengayuh Perubahan" menyerahkan memorandum mereka di bangunan Parlimen-tiga daripadanya sampai jam 11.45 pagi ini.

Polis, yang asalnya melarang kumpulan itu berbasikal ke Parlimen, mengiring sebuah lori yang mengangkut basikal-basikal aktivis Jerit dari Taman Tasik Perdana yang terletak berhampiran ke satu simpang ke bangunan tersebut.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbasikal ke bangunan tersebut seorang demi seorang.

Sikap Perdana Menteri yang terbuka dan sanggup menerima memorandum itu perlu dilihat secara positif dan tidaklah perlu menagung-agungkan kumpulan ini sebagai wira.
Perbuatan menyerahkan memorandum adalah perkara biasa dan kini juga menjadi kebiasaan pembangkang menggunakan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Bagaimanapun penggunaan kanak-kanak dan pemuda di bawah umur adalah salah, apalagi jika mereka yang mengambil bahagian pun tidak tahu apa tujuan mereka mengayuh basikal berkenaan!

ALAHAI PAS ...ERDOGAN + KLON VS ULAMA

(sambungan semalam)

Pada posting semalam, saya mengatakan PAS sedang berdepan krisis memilih calon.

Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Markas Tarbiyah Pas Kuala Terengganu semalam mengatakan PAS sudah mengenal pasti seorang profesional sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun namanya hanya akan diumumkan 1 Januari ini.

Dengan tempoh masa seminggu lagi, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, calon pilihan Pas itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon... dalam poket saya. Insya-Allah... tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi?

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi boleh kata apa sahaja, tetapi hakikatnya Wan Farid adalah peguam dan sudah memasuki penggal kedua sebagai Ketua Bahagian. Jangan lupa, beliau juga adalah Timbalan Menteri.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Wan Farid pasti dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk memastikan kemenangan parti.

Beliau berkata, pemilihan tersebut juga akan mengelakkan timbul sebarang masalah dalaman parti sepanjang kempen berlangsung.

"Parti yakin sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya. Sekiranya calon bukan ketua bahagian, ia agak sukar sedikit untuk memberikan kerjasama dengan parti," katanya.

Juga penting, calon BN akan menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Usaha gigih terutama dalam memajukan bidang pendidikan di Terengganu yang dilakukan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu memerlukan kesinambungan oleh pengganti yang benar-benar ingin merubah masa depan penduduk di situ.

“Allahyarham telah meninggalkan nama baik di Kuala Terengganu, dengan memberi penekanan bagi memajukan modal insan di Kuala Terengganu. Cintanya kepada bidang pendidikan amat mendalam.

“Pantang bagi beliau sekiranya ada anak-anak di sini yang gagal masuk universiti kerana tidak ada wang. Allahyarham sering cakap kepada saya, hidupnya didedikasikan kepada bidang pendidikan,” Wan Farid.

Apapun, isu paling ketara sebelum ini iaitu PAS Terengganu mahukan calon tempatan tetap diperkatakan.

Malah, persoalan lebih besar ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu.

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Sudah pasti dalam kempen PAS dan usaha merampas kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon.

Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan.

Jadi di Kuala Terengganu ini, berdasarkan kriteria yang diumumkan itu Hadi itu, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kini terkeluar daripada senarai calon.

Memang persefahaman cuba ditunjukkan oleh PAS melalui pertemuan-pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Anwar. Namun, Anwar jelas lebih selesa dengan kumpulan Husam + Nik Aziz.

Bagaimanapun, rasanya jika Mat Sabu tetap dipilih menjadi calon, ini juga akan menggugat kehadiran Anwar untuk berkempen.

Kenapa?

Semuanya gara-gara “Al Juburi”. Mat Sabu pernah menggelarkan Anwar “Al Juburi” dan semua orang PAS dan UMNO dengar dan tahu panggilan Mat Sabu terhadap Anwar.

Mungkin sekarang Mat Sabu tidak lagi menggunakan gelaran itu tetapi mungkin meninggalkan kesan mendalam terhadap Anwar, apalagi gelaran itu sepopular “Mahazalim” dan “Mahafiraun” terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipopularkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Apa pun sebelum ini Mat Sabu tetap menaruh harapan beliau akan terpilih apabila, Nik Aziz berharap parti itu terus mengekalkan Mat Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Mursyidul Am PAS yakin Mat Sabu yang juga Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Mat Sabu, calon yang kalah dalam pilihan raya umum lalu bagi kerusi berkenaan berkata pada 11 Disember lalu , beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Dan kini selepas nama Mat Sabu semakin tenggelam, nama lain kumpulan Erdogan + Klon ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi, bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu sepenggal (1999-2004).

Syed Azman memang dianggap antara intelektual PAS tetapi PAS Terengganu melihat contribution kepada parti dalam konteks Terengganu agak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kuatnya pengaruh kumpulan ulama di negeri berkenaan, berbanding kuatnya pengaruh Erdogan + Klon di Kelantan.

(Saya akan membandingkan PAS Terengganu dan Kelantan dalam posting akan datang)

Bagi kumpulan ulama di Terengganu, mereka mempunyai calon yang dianggap paling sesuai, iaitu Datuk Mustapa Ali dan Wan Mutalib Embong.

Seorang lagi calon ialah kombinasi “Erdogan + Ulama’ ialah tetapi dekat paling dekat dengan kriteria disebut Hadi semalam ialah seorang ahli perniagaan yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Khazani Abdullah.

Kalau mengikut Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) PAS ada dua nama sahaja, iaitu selain Mustafa Ali ialah Dr Khazani. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja, itu kata Sayuti.

Saya sebenarnya lebih merasakan Dr Khazani akan terpilih walaupun Sayuti lebih memilih Mustafa.

Bagi Mat Sabu:"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.

Mat Sabu sebagai veteran PAS berkata perkara tersebut biasa berlaku dalam parti dan sesiapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dalam isu berkenaan.

Sunday, December 21, 2008

ALAHAI PAS ...MANA CALONNYA

(Sembang Ahad)

Sambil minum pagi di Rusila Coffee House, Hotel Primula, pagi ini saya bersembang dengan beberapa kawan wartawan dan orang politik.

Tajuknya adalah siapa lawan siapa. Atau lebih jelas, siapa akan berdepan dengan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini sentiasa menjadi medan tempur tradisi antara BN (UMNO) dan PAS, dengan kedua belah pihak sentiasa melayannya penuh cermat dan berhati-hati.

Jawatankuasa PAS Pusat hari ini mengadakan mesyuarat untuk menentukan bakal calon. Selepas nama calon dipilih, PAS akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persoalannya, sejauh manakah berkuasanya Majlis Syura itu atau apakah nama itu perlu dipersetujui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga kebetulan pemimpin PAS di Terengganu?

Hadi sudah menyatakan, walau apa sumber – termasuk blog- bagi menilai calon yang akan dikemukakan, akan diberikan perhatian dan pandangan.
Bagi saya, walau siapa juga yang dipilih menjadi calon PAS, rasa tidak puas hati dan pertelingkahan akan berlaku!

Kenapa saya katakan demikian?

Perhatikan, siapa yang mempengaruhi Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menonjolkan nama Mohamad Sabu (Mat Sabu) awal-awal lagi.

Kenapa Nik Aziz membuat cadangan terlalu awal sehinggakan PAS Terengganu terpaksa ‘membuka pencak bersilat’ (berdiplomasi) dalam menimbang cadangan Nik Aziz itu.

Tidakkan kumpulan ‘Erdogan’ dan klon yang mempengaruhi Nik Aziz supaya cepat-cepat menonjolkan calon pilihan mereka?

Ada pendapat daripada kalangan PAS sendiri mengatakan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di belakang tindakan ‘melatah’ Nik Aziz itu.

Husam diketahui harapan dan plan besarnya – menjadi Presiden PAS dan jika calon tajaannya dipersetujui, dia akan berhabis-habisan kempen. Jika tidak, jawapnya pandai-pandailah PAS Terengganu.

Walaupun sukar, PAS Terengganu jelas sekali awal-awal lagi menolak Mat Sabu yang dicadangkan oleh Nik Aziz itu. Ada tiga calon ditonjolkan iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Wan Mutalib Embong muka baru, Mohd Khazani Abdullah, seorang ahli perniagaan dan anak didik Harun Taib.

Walaupun Mohd Khazani dilihat termasuk dalam kumpulan Erdogan, dia masih boleh diterima oleh kumpulan ulama PAS.

Maknanya, Terengganu ada calonnya sendiri dan tidak payahlah ambil orang luar untuk bertanding. Dengan kedudukan itu pintu tertutup rapat untuk Mat Sabu.

Namun nama Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, turut diapung-apungkan selepas nama Mat Sabu makin lesap.

Syed Azman dikenali rapat dengan Husam dan ia adalah antara ahli ‘Erdogan’.

Hadi menyembunyikan sesuatu apabila berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Ia hanya sebagai ‘menutup api dalam sekam’ yang sedang membakar PAS gara-gara tekanan puak Erdogan berkenaan.

Kerana itu diminta mengulas pandangan Nik Aziz yang terus-terusan berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.

Daripada penjelasan Hadi itu, ternyata bahawa Hadi mengelak daripada bertelingkah secara terus dan terbuka dengan Nik Aziz. Ini menggambarkan suasana tidak sihat dalam PAS ketika ini kerana kedua-dua puak – Erdogan + Klon sedang berperang dengan puak ulama Terengganu yang berusaha menonjolkan calon mereka.

Yang menariknya, kumpulan Erdogan kini benar-benar berharap Syed Azman diterima selepas usaha menonjolkan Mat Sabu tidak berjaya.

Sementara kumpulan yang lagi satu – diketuai oleh Hadi – berharap calon mereka sama ada Mustapa atau setidak-tidaknya Khazani akan menjadi pilihan.

Tarik tali dan perbezaan pendapat ini sudah pasti tidak menguntungkan PAS dan akan menjadikan usaha BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan menjadi lebih mudah!

Hakikatnya, Kuala Terengganu bukanlah kerusi yang selamat sama ada bagi BN atau pembangkang. Ia berubah tangan beberapa kali. BN menang pada 1986, 1990, 2004 dan 2008, tetapi Parti Melayu Semangat 46 memenangi kerusi itu pada 1995 manakala PAS pula menang pada 1999.

Pada pilihan raya umum tahun ini, PKR dan PAS sama-sama mengutip 33,729 undi bagi empat kerusi di Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kuala Terengganu atau 1,795 undi lebih daripada kerusi Parlimen yang ditandingi calon Mohd Sabu.

Ini bermakna BN memperoleh 50 peratus daripada undi Parlimen dan 48.3 peratus daripada undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun PR hanya memenangi 49 peratus daripada undi persekutuan bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, ia menguasai pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan yang sama dengan memenangi 51.7 peratus.

Apapun, menurut sumber PAS, sehingga pagi ini, calon yang dijangka menentang Wan Farid ialah Mustapa dan kalau ada perubahan yang dibuat, maknanya PAS Terengganu terpaksa mengalah kepada tuntutan pihak-pihak Erdogan dan Klon yang dilihat semakin berpengaruh dalam PAS.

Dalam konteks UMNO dan BN, mereka sebenarnya jelas tidak mengharapkan PAS bertelingkah kerana calon mereka – Wan Farid – diterima oleh semua pihak dalam BN dan semua 103 cawangan UMNO dalam Bahagian UMNO Kuala Terengganu.

Setiap ahli UMNO di Kuala Terengganu mahu melihat ‘bos’ mereka yang kini sudah masuk penggal kedua sebagai Ketua Bahagian dipilih sebagai calon Parlimen bagi meneruskan kerja-kerja dan khidmat untuk rakyat seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Razali sebelum ini.

(Esok – apa kesan Erdogan + Klon vs Ulama)