Thursday, March 30, 2017

‘DRAMA RUU355’ – PAS TERPERANGKAP DENGAN JANJI UMNO YANG TERKANTOI...


“UMNO sudah kantoi...Janjinya untuk bantu PAS tidak kesampaian. PAS pula kantoi dengan penyokongnya yang mengharapkan bantuan UMNO untuk membolehkan RUU355 dibentangkan dengan mudah dan tanpa halangan.”

Status usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat kini kembali kabur.

Hasrat PAS untuk merealisasikan cita-citanya menjadikan Akta 355 sebagai pencapaian penting dalam perjuangan dan pencapaian politik semasanya,  kini terumbang ambing.

Terang lagi bersuluh - kini kerajaaan TIDAK AKAN mengambil alih pembentangan RUU355 itu.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mengesahkan Perdana Menteri membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini, sekadar penyedap mulut.

Malah, Dr Ahmad Zahid kini terperangkap dengan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam yang membincang akta itu serta memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus.


Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menentukan kedudukannya.

Pada 18 Mac lalu, Dr Ahmad Zahid bertegas bahawa kerajaan melalui Perdana Menteri akan membentangkan usul RUU355  dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

Katanya di Kuala Terengganu, buat pertama kalinya Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul tersebut, menerusi mesyuarat penggal kelima Parlimen ke-13, yang akan berakhir 6 April depan.

Namun jelas kini UMNO sudah kantoi. Sejarah sudah tercipta!!!!

Janjinya untuk membantu PAS tidak kesampaian dan PAS pula kantoi dengan penyokongnya yang mengharapkan bantuan UMNO untuk membolehkan RUU355 dibentangkan dengan mudah dan tanpa halangan.

Jelas kini segala-galanya berada dalam keadaan yang tidak tentu hala dan malang sungguh nasib RUU355 itu.

Bercakap pada sidang media di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam  tadi Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN,  menegaskan keputusan itu selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

Dengan kedudukan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itu kini tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dengan kata lain, RUU355 yang dilihat sebagai ‘milik PAS’ walaupun untuk kepentingan kerajaan semata-mata bergantung kepada EHSAN SPEAKER.

Jika dibenar dibentangkan ia boleh dibentangkan dan jika tidak, bermakna ia perlu ditangguhkan. Sampai bila? Tidak seorang pun ketahui.


Apakah PAS selesa dengan kedudukan itu selepas meyakini bahawa BN, khsuusnya UMNO bersamanya menjamin RU355 dibentang dan diluluskan di mahkamah?

Usul meminda Akta 355 itu dibawa Hadi untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan juga ditentang hebat parti komponen dalam BN sehingga sekarang.

Kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa perdana menteri komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini kini mungkin boleh dipersoalkan.

Bagaimanapun  ia kini diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat,  sedangkan sebelum ini UMNO memberikan jaminan perdana menteri komited mengenainya?

Semalam Najib menjelaskan,  ketika ini terserah kepada Pandikar Amin sama ada akan membenarkan rang undang-undang Hadi itu dibentangkan di Dewan Rakyat atau tidak.

"Kalau speaker memutuskan untuk membenarkan (ia dibentangkan), maka ia akan dibentangkan. Begitu juga dengan keputusan peraturan rang undang-undang tersebut," kata Najib.

Gembirakah PAS dengan pendirian Najib dan UMNO ini?


Malah ketika ditanya adakah ketetapan diambil itu bermaksud ahli parlimen BN tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia dibentangkan atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia bergantung kepada peraturan speaker.

"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung kepada peraturan speaker untuk memutuskannya," kata Najib.

Bukan sekadar itu sahaja, Perdana Menteri turut menolak pandangan bahawa UMNO cenderung kepada cadangan tersebut.

Ternyata PAS kini terkial-kial dalam menjamin RUU355 mendapat tempat seperti diharapkannya.

Bagaimana UMNO boleh ‘cuci tangan’ dan menjaga hati sekutu atau parti komponennya dalam BN, pada hal UMNO sudah memberikan harapan begitu besar kepada PAS.

Apakah pendirian Dewan BN ini akan menggugat apa yang disifatkan oleh Dr Ahmad Zahid sebagai  kerjasama kerajaan BN dengan "rakan baru" yang pernah menjadi musuh politik mereka demi memelihara kesucian Islam dan kedaulatan Melayu selepas ini?

Najib memberikan alasan UMNO tidak cenderung kepada cadangan Hadi itu kerana BN  percaya mengenai semangat dasar konsensus. “Begitulah cara BN," tegas Najib.

Ini sama sekali bertentangan dengan sikap awal UMNO yang dilihat sangat mengambil berat mengenai hasrat PAS bagi membentangkan usul berkenaan.

Apakah PAS akan bertindak balas seperti yang pernah dilaungkan oleh pemimpinnya.

Rakyat Malaysia memerhatikan ‘drama RUU355’ ini dan bagaimana penyudahnya?

Monday, March 27, 2017

PINDAAN RUU355 – UMNO, PAS MEMBELAKANGI MAJLIS RAJA-RAJA?


"Apakah institusi diRaja itu hanya ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai peranan dalam perkara penting membabitkan rang undang-undang Islam...Mereka tidak lagi penting dalam politik dan pentadbiran Malaysia?"

Langkah UMNO dan PAS dalam isu rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), ternyata  silap?

Kalau disebut sebagai bertujuan politik dan mendapatkan laba bersama-sama, kedua-duanya pasti  menafikannya.

Namun amat nyata kini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hadi Awang secara bersama yang beria-ia mahu RUU355 dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan, melakukan kesilapan besar dengan membelakngkan Majlis Raja-Raja.

Sewajarnya, semua pihak perlu mengambil kira pendapat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bahawa sebarang cadangan untuk meminda RUU355 perlu di dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Dengan kata lain, dapatkan pandangan majlis dan jangan sekali-kali membelakangi Raja-Raja Melayu.

Apakah Raja-Raja Melayu kita tidak mampu memberikan cadangan atau pandangan?

Apakah tidak perlu untuk meminta ulasan dan pandangan balas mereka dalam perkara RUU355 ini?

Apakah institusi diRaja itu hanya ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai peranan dalam perkara penting membabitkan rang undang-undang Islam seperti ini?

Mengapa UMNO dan PAS membelakangi Majlis? Mereka tidak lagi penting dalam politik dan pentadbiran Malaysia?


Sebagai orang Islam, tidak ada sebab kenapa kita menolak atau menafikan keperluan melakukan pindaan terhadap akta berkenaan apa lagi kes jenayah di bawah akta berkenaan semakin berleluasa.

Malah kita boleh menerima cadangan bahawa peningkatan hukuman ini mampu mengurangkan kesalahan yang dilakukan oleh orang beragama Islam.

Ini  kerana hukuman sedia ada tidak mencukupi bagi memberi kesedaran dan rasa takut kepada orang Islam.

Cumanya UMNO dan PAS jangan memandai-mandai menjadikan sebagai ‘laba politik’ kerana sesuatu yang baik jangan dijadikannya sebagai sesuatu yang hanya dimiliki oleh UMNO dan PAS sahaja.

Apakah penyokong parti lain dan rakyat beragama Islam seluruhnya di Malaysia tidak ada hak ke atas RUU355?

Kenapakah melihatnya sebagai laba politik semata-mat tetapi membiarkan sesuatu yang ‘suci’ dan bertujuan baik untuk semua masyarakat diputar-belit?

Apa jenis pemimpin dan kepemimpinan menggunakan Islam untuk laba politik seperti UMNO dan PAS ini?

Sebagai bekas ahli UMNO, penulis memang diajar supaya melihat PAS sebagai sebuah parti yang menggunakan Islam dalam semua sudut kepentingan dan laba politiknya.

Ahli UMNO diajar supaya ‘membenci PAS kerana menggunakan Islam’ untuk kepentingan dan laba politiknya.

Namun dalam aspek RUU355, siapa yang cuba menggunakan Islam untuk kepentingan dan laba politiknya?

Bukankah UMNO yang sanggup mengenepikan perasaan dan hati rakan komponen politiknya – MCA, MIC, Gerakan, PBB(Sarawak) serta PBS (Sabah) dan parti komponen lain dengan menyokong PAS bagi tujuan politik.

Kenapa UMNO mesti mengambil sama ‘laba daripada Islam’ seperti yang diperjuangkan oleh PAS selama ini?

Apa bezanya antara UMNO dan PAS dalam konteks RUU ini?


Juga jika PAS ‘membelakangkan Raja-Raja Melayu’ dengan membentangkan RUU355 ini di Dewan Rakyat, kenapa UMNO perlu bersekongkol sama?

UMNO pun sudah ikut PAS menjadikan Islam sebagai alat untuk mendapatkan ‘laba politik’?


Cadangan meminda RUU 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Hadi pada 24 November tahun lepas.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan untuk menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah'.

Kenyataan Tun Ahmad Fairuz - ketua hakim negara dari 2003 hingga 2007 - perlu diambil perhatian berat oleh semua pihak.

Pendangan beliau bahawa cadangan atau pindaan akta berkaitan agama Islam termasuk Rang Undang-undang (RUU) Persendirian perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen jangan di perlekehkan.

Bukan sahaja kerana kedudukan dan pengalamannya tetapi apa yang ditekankan oleh bekas Ketua Hakim Negara itu ialah sebagai ketua agama Islam, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan tersendiri.

Ini termasuk dalam menentukan sesuatu perkara berkaitan agama Islam sebelum ia diguna pakai ke atas pihak yang disasarkan.

Malah, berasaskan kepada perdebatan, kemusykilan mengenai mengapa RUU 355 tidak dipersembahkan kepada raja-raja sebelum ia dibentangkan di Parlimen, memang ada lojiknya untuk beliau mempersoalkan langkah dua parti politik itu menguruskan pindaan RUU355 ini.
.
"Hal ini boleh diperhujahkan kerana jelas tercatat dalam Perlembagaan Negara yang mewajibkan rujukan (mengenai agama Islam) dibuat kepada Majlis Raja-Raja yang juga ketua agama Islam dan hal yang termaktub itu mesti kita hormati," katanya.

Pada  sesi soal-jawab mengenai syarahan bertajuk "Islam as the Law of the Land" (Islam sebagai Undang-Undang Tanah Air), di ibu negara kelmarin, Ahmad Fairuz, menegaskan peranan Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama Islam tidak seharusnya dipinggirkan.

Katanya, Mahkamah Syariah wujud kerana Islam. Justeru itu, apa-apa yang berkaitan dengan Islam perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja dan mendapat persetujuan mereka sebelum dibentangkan di Parlimen.

Malah menurut beliau, Majlis Raja-Raja) mempunyai peranan masing-masing dan jika kerana tiada keterlibatan mereka, negara tidak akan merdeka.

Menjawab persoalan mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 walaupun akta itu tidak langsung melibatkan mereka, Ahmad Fairuz berkata, beliau tidak nampak sebab yang kukuh untuk orang bukan Islam menentangnya.

Menurutnya  RUU 355 bukan hukum hudud kerana rang undang-undang itu bertujuan untuk memperluaskan skop hukuman bagi kesalahan syariah sahaja.

Beliau menyatakan  sukar untuk memahami mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 sedangkan tidak ada alasan kukuh untuk mereka bersikap sedemikian.

"Sememangnya RUU 355 tidak melibatkan langsung orang bukan Islam. Apa yang mereka perlu risau?," tanyanya.

Thursday, March 23, 2017

PERTELINGKAHAN RUU 355 – SENJATA MAKAN TUAN DI PIHAK NAJIB, HADI…


"Apakah jika dipaksa, parti komponen BN akan bersedia untuk mematuhi sahaja dalam kedudukan mereka tahu akan ditentang dan dibantah pengundi mereka dan pastinya menghukum mereka pada PRU14?"

Apakah nasib pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355?

Apakah ia akan tersadai di Dewan Rakyat walaupun sebelum ini  Barisan Nasional (BN), khususnya Timbalan Perdana Menteri mengatakan ia akan dibentangkan oleh kerajaan?

Kini tiada siapa yang tahu apa akan terjadi selepas Perdana Menteri semalam mengadakan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin parti komponen BN berhubung isu berkenaan, demikian jika menurut laporan Oriental Daily semalam.

Apakah usaha PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hanya menjadi ‘permainan politik’ UMNO untuk memerangkap PAS.

Ketidakyakinan Hadi kepada draf RUU355 yang akan dibentangkan Barisan Nasional (BN) ditunjukkan melalui kenyataannya bahawa PAS menganggap hasrat BN untuk membentangkan sendiri di Parlimen sebagai keputusan tidak muktamad.

Apakah ia akan menjadi cabaran besar kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan BN akan mngambil alih pembentangannya.

Hadi berkata, PAS memilih untuk melihat terlebih dahulu isi kandungan RUU355 dan berharap agar ia tidak menjejaskan kepentingan semua pihak.

“Kita tidak anggap itu muktamad. Kita hendak lihat drafnya dahulu. Kalau lain dari yang kita mahukan, itu sudah tidak betul. Kita tidak mahu bertindih, “tegasnya.

Jika demikian, berapa lama pula ‘ding-dong’ akan berlaku dan sabarkan penyokong PAS menunggunya?

 PAS yang menjadikan RUU355 sebagai wadah penting perjuangannya hinggakan menjadikan  sokongan terhadap perkara itu sebagai prasyarat sebarang rundingan dengan parti pembangkang lain untuk bekerjasama, turut terperangkap.


Kesian kepada yang datang ke Padang Merbok dengan penuh harapan agar RUU355 disegerakan kini tertanya-tanya sejauh mana berkesannya Presiden mereka dalam hubungan atau meminta sokongan UMNO.

Oriental Daily yang memetik satu sumber sebagai berkata bahawa parti-parti komponen BN, terutamanya dari Sarawak, menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan pindaan RUU355 itu.

Ekoran bantahan tersebut, tiada keputusan dibuat, dan meletakkan Datuk Seri Najib Abdul Razak Najib dalam dilema, kata sumber itu.

Bukan dilema semata-mata tetapi kinii jelas Najib tidak dapat mengawal parti lain selain UMNO dalam BN yang akan berdepan Pakatan Pembangkang – PKR, PPBM, AMANAH dan DAP – dalam pilihan raya umum akan datang.

Kedudukan PAS kini terumbang-ambing dan ada mengatakan ia akan bertanding bersendirian, sementara ada pula yang meramalkan akan bergabung dengan BN.

Malaysiakini melaporkan, diramalkan Najib pada mulanya merancang untuk membentangkan pindaan di Parlimen pada 6 April, hari terakhir sesi parlimen kali ini, tetapi kini dijangka menangguhkannya.

Akhbar harian itu membuat spekulasi bahawa persidangan Dewan Rakyat mungkin dilanjutkan hingga 10 April, untuk memudahkan perbincangan mengenai perkara itu semasa permukiman pemimpin BN yang dijadualkan antara 7 April dan 9 April.

Setiausaha kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu akhbar itu bahawa sesi Parlimen sekarang mungkin dilanjutkan.
Cadangan pindaan Akta 355 itu pada mulanya dibawa oleh Presiden PAS itu.

Ia bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang dikenakan oleh mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.


Sekiranya Akta 355 gagal dibentangkan segera dan kalah pada undian di Dewan Rakyat, di mana muka Hadi dan Najib akan disorokkan?

Penyokong PAS pastinya akan marah dan mungkin Akta 355 akan menjadi penghalang besar ke arah kerjasama dengan BN dan UMNO.

Selesakah PAS bekerjasama dengan BN jika banyak parti komponen atau semua parti komponen lain, kecuali UMNO menentang  RUU355?

Menurut akhbar berbahasa Cina itu, isu ini  mungkin dibangkitkan lagi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing mengesahkan pertemuan dengan Najib itu kepada Borneo Post tetapi enggan mendedahkan apa yang berlaku.

Jelas sekali usaha BN khususnya UMNO dan Najib sendiri menggunakan RUU355 untuk merapatkan UMNO dan PAS bagi tujuan politik semakin kelam-kabut.

Benarlah ramalan dan telahan selama ini bahawa Akta 355 memang untuk laba politik UMNO-PAS namun sudah memakan diri sendiri.



Apakah jika dipaksa, parti komponen BN akan bersedia atau mematuhi sahaja dalam kedudukan mereka tahu akan ditentang dan dibantah pengundi mereka dan pastinya menghukum mereka pada PRU14 akan datang?

Atau apakah akan ada perpecahan di kalangan BN gara-gara isu ini, apalagi jika UMNO bekerjasama dengan PAS yang dilihat parti-parti komponen BN selain usaha UMNO ini sebagai usaha ‘penyatuan Melayu dan Islam’ untuk menjayakan pelaksanaan Hudud di Malaysia.

Pada ketika semua pihak, UMNO, PAS dan parti komponen BN bagai ‘cacing kepanasan’, pembangkang yang semakin bersatu melihat isu RUU355 sebagai ‘hadiah tidak ternilai’ untuk mereka.


Mungkin ia akan menjadi 'senjata makan tuan' kepada UMNO dan PAS juga keepada Najib dan Hadi dalam kaitannya dengan RUU355 ini!

MENTERI, PEMIMPIN POLITIK PRO-BN, EDITOR KINI DISERANG ‘VIRUS KERONGKONG’???


Jualan akhbar menurun tidak apa. Jumlah penonton televisyen merosot juga tidak apa.

Bagi bos-bos akhbar dan media prokerajaan, apa yang berlaku ketika ini tidak mengapa, asalkan mereka boleh terus duduk di kerusi empok.

Nasib dan masa depan pemberita yang bertugas dengan mereka walaupun berada dalam keadaan ‘telor di hujung tanduk’ akibat jualan akhbar, pendengar radio yang berkurangan  dan jumlah penonton televisyen yang menurun tidak menjadi soal.

Asalkan syarikat terus beroperasi, mereka tidak akan terjejas.

Kini penyakit baru pula yang datang, iaitu pemberita disekat untuk berada di lobi Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagi editoritupun tidak apa.

Sedangkan sebelum ini, malah ketika penulis membuat liputan di Parlimen dan kemudian bekerja di Parlimen antara 1980-an hingga 2006, adalah kebiasaan berpuluh petugas media dari pelbagai agensi berkumpul di lobi Parlimen.

Mereka berkumpul berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas mereka sedangkan pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.

Mereka tidak akan bersuara kerana menjaga kedudukan mereka.

Bagi mereka, buatah apa pun, buatlah sesuka hati terhadap pemberita, khususnya anak buah mereka, asalkan jangan kacau kedudukan mereka di kerusi empok dan gaji besar mereka tidak diganggu, sudahlah.

Begitu juga dengan pemimpin politik kerajaan, mereka tidak akan bersuara. Bersuara nanti akan mendapat padah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat mungkin sudah mendapat ‘lampu hijau’ bos mereka. Nanti kalau berusara, kelak ‘terpijak wayar’ susah pula.

Menteri yang jaga tugas dan kebajikan pemberita, isi kandungan berita atau maklumat pun sudah tidak boleh diharap. Tidak akan bersuara untuk membela pemberita dan nasib mereka.

Pandikar Amin Mulia,,,larang pemberita di lobi Parlimen
Menteri lain yang menjaga kepentingan Parlimen, institusi media atau juga penyaluran maklumat tidak akan membuka mulut dan akan sepi ‘seribu bahasa’.

Kerja mereka hanya mempertahankan bos dan kalau boleh ‘memuja dan memuji sahaja’. Jangan harap ada pendapat berlainan (second opinion), alamatnya tidak kekal lamalah pada jawatan yang disandang mereka.

Siapa memperjuangkan masa depan pemberita dan demokrasi bersuara dan menyatakan pendapat di negara ini? Barisan Nasional (BN)? Jangan diharap sama sekali!!!

Jelas sekali pemberita di lapangan khususnya di Parlimen walaupun dilarang sedemikian rupa, malah seperti dihina, tiada siapa peduli dan aka nada perkataan dan tindakan ‘tidak apa’.

Ia tidak kena mengena dengan menteri, orang politik BN atau juga editor di syarikat yang menggaji mereka.

Gelaran editor, pengarang atau apa juga pangkatnya, asalkan bos berada di pejabat sudah baik untuk mereka. Anak buah dijadikan sasaran oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat tidak ada kena kepada mereka.

Tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelmarin yang membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta pun tidak apa.

Mereka (pengarang, menteri, orang politik proBN serta pemimpin NGO berkaitan kerajaan) jelas sekali bersetuju dan akur sahaja dengan larangan itu.

Apakah arahan Pandikar Amin ini salah satu transformasi Parlimen yang kerajaan BN mahukan?

Nurul Izzah,,,pemberita bukan berkelah.
Apakah arahan pemberita hanya dibenarkan berada di pusat media yang telah disediakan sebagai sesuatu yang memang dikehendaki oleh BN. Suatu pembaharuan?

Tindakan dibuat kononnya berikutan rungutan yang diterima daripada ahli parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di lokasi tersebut.

"Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media di merata-rata seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah.

"Sehubungan itu, saya membuat ketetapan bahawa wakil media massa yang hadir di Parlimen hendaklah membuat liputan sesi persidangan Dewan Rakyat atau sidang media ahli parlimen hanya di pusat media. Berkuat kuasa serta merta," katanya sejurus selepas sesi soal jawab lisan tamat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Siapa yang tidak selesa diserbu pemberita? Ahli Parlimen biasa atau yang memegang jawatan tertentu dalam parti dan kerajaan?

Apakah sebelum ini tidak ada Ahli Parlimen yang diserbu oleh pemberita?

Bertahun-tahun ia sudah menjadi amalan dan tidak pernahpun kejadian sebegini berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri terdahulu daripada Najib.

Kenapa baru berlaku sekarang?

Kalau menteri atau pemimpin politik mempunyai jawapan yang baik dan jelas, kenapa takut?

Apakah pemimpin sekarang memang ‘pengecut’ dan tidak berani menerima asakan atau berdepan pemberita?


Kenapa begitu dayus? Atau suara mereka tersekat kerongkong? Apakah menteri dan pemimpin politik kerajaan, termasuk pemimpin NGO prokerajaan kini diserang oleh ‘sindrom sakit kerongkong’?

Virus apa yang membuatkan mereka’bisu dalam isu ini?’

Tidak akan ada ubat untuk penyakit sebegini. Mereka tidak akan sembuh, melainkan hanya ditumbangkan dalam pilihan raya untuk kembalikan maruah dan integriti Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia.

Pandikar Amin berkata, Peraturan 94, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memberikan kebenaran kepada wakil media massa untuk membuat liputan di Parlimen.

Kebisuan pemimpin proBN dalam isu ini menggambarkan betapa mereka akan kekal berdiam diri seperti dalam isu kecurian dan penyelewengan RM2.6 bilion, isu 1MDB, GST, isu Felda dan kenaikan harga barang.
Yang membela dan bersuara hanyalah  pemimpin pembangkang, termasuk Ahli Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semalam yang  membidas Pandikar Amin dalam isu ini.
Beliau menegaskan pemberita berkumpul di lobi parlimen bukan untuk "berkelah" tetapi untuk melakukan tugas mereka sebagai wartawan.
Nurul Izzah  kecewa dengan tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab Pandikar bahawa media telah menukar ruang legar menjadi 'tempat berkelah'.
"Pemberita berada di parlimen setiap hari persidangan, tanpa mengira perbahasan undang-undang atau berkenaan sesuatu isu. Petugas media menghabiskan waktu kerja mereka di koridor dan bukan di pusat media yang disediakan, menunjukkan betapa tidak praktikal dan tidak berkesannya kemudahan semasa di parlimen," katanya.
Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) kelmarin bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin selepas mengumumkan peraturan itu dengan mengatakan Parlimen perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang menyukarkan petugas media.

Faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana ahli parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.

Kenyataan Pandikar Amin bahawa  tidak ada mana-mana ahli parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan hanyalah alasan.

Jika demikian, perlu ada satu peraturan khusus diperkenalkan oleh kerajaan  di negara ini melalui SOP mengenai sidang media, liputan persidangan, kenyataan di medan lapangan dan juga liputan di Parlimen.

Pengenalan peraturan seperti dilakukan Pandikar Amin kelmarin menggangu tugas pemberita dan wartawan.

Jika menteri, orang politik atau sesiapa juga tidak mahu diganggu, maka tugas wartawan juga jangan diganggu dan dihormati.

‘Memerangi wartawan’ akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan yang kini sudahpun diburukkan dengan berbagai is nasional dan antarabangsa.

Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan ssuatu tindakan MULIA selain tidak membantu kerajaan tetapi jelas sekali ia satu lagi episod nyata mengenai kebimbangan amat sangat kerajaan terhadap media akibat perbuatan buruk pemimpin kerajaan, khususnya Perdana Menteri..