Friday, September 30, 2016

KPT DRAF PELAN BANTU PEMINJAM BAYAR PTPTN – SYABAS IDRIS JUSOH!!!


"Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya... kami akan draf cara untuk membantu peminjam membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka."

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kutipan balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ia  susulan sasaran bayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion diunjurkan bagi tahun ini telah dicapai.

Masalah kini ialah  PTPTN tidak lagi boleh memberikan  pinjaman penuh kerana rekod buruk pembayaran balik.

Berikutan itu, PTPTN pada 24 September lalu  mengatakan  kira-kira 1.3 juta peminjam tabung itu  akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Berikutan kenyataan itu, pelbagai pihak memberikan banyak reaksi, malah ada mengatakan ia akan memberikan kesan kepada sokongan politik kepada kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga kini hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

Setakat Julai tahun ini, terdapat 2.49 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara sejak badan itu ditubuhkan pada 1997.

Namun di sebalik kekecohan itu, apa yang  menarik dan melegakan ialah KPT sedang merumuskan pelan untuk membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman pelajaran mereka.

Usaha ini sewajarnya disokong dan dijayakan bersama sambil kita memuji usaha yang dilakukan Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.

Isu  PTPTN ini meledak apabila pada 24 September lalu, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid menegaskan, kira-kira 1.3 juta peminjam tabung itu  akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).


Ini akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.

Sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Idris sebelum ini mengingatkan PTPTN agar tidak menganiayai mana-mana peminjam dalam usaha mengutip semula tunggakan pinjaman daripada peminjam.

Menurut Mastura, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Isnin lalu ( 26 September 2016), PTPTN berkata pihaknya  sentiasa membuka ruang rundingan kepada semua peminjamnya yang mempunyai masalah membuat pembayaran.

PTPTN dalam kenyataannya berkata tindakan yang diambil terhadap peminjam bukan bertujuan menekan mereka tetapi demi kepentingan pendidikan negara dalam menyediakan dana secukupnya untuk pelajar lain.


Organisasi itu berkata sebarang tindakan yang diambilnya mengambil kira semua aspek dan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana ia sentiasa berpegang kepada konsep mesra pelanggan dan mempelbagaikan pendekatan dalam mencapai sasaran kutipan balik pinjaman.

Semalam ,menurut Idris, sebelum membantu peminjam, kementerian perlu menilai keadaan mereka bagi mengenal pasti peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik atau mereka yang sengaja enggan berbuat demikian.

"Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya (Idris)... kami akan draf cara untuk membantu mereka (peminjam) membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan satu seminar di Kuala Lumpur semalam.

Idris, bagaimanapun, menegaskan peminjam pada masa sama perlu terus membuat pembayaran balik pinjaman mereka kepada PTPTN ketika pelan sedang dirumuskan.

Ditanya mengenai jumlah peminjam yang telah menghubungi kementerian setakat ini bagi mendapatkan bantuan, Idris berkata beliau secara peribadi telah menerima kira-kira 30 e-mel daripada peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka.

Walaupun memberi amaran keras sebelum ini, sebenarnya PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Kita gembira dengan pendekatan yang sedang digarapkan oleh KPT dan PTPTN ini demi meringankan beban peminjam termasuk dengan mengadakan rundingan bagi penstrukturan semula pinjaman, membuka pejabat PTPTN negeri dan cawangan, menjalankan operasi pada hujung minggu dan selepas waktu pejabat bagi sesetengah cawangan, serta menyediakan perkhidmatan pembayaran semula dalam talian.

Apapun,  apa juga langkah yang telah diambil oleh PTPTN termasuk penyenaraian peminjam di dalam CCRIS  akan diteruskan.


Menggembirakan sedikit ialah  PTPTN menyatakan bahawa ramai peminjam mula membuat bayaran balik pinjaman berdasarkan kadar peminjam yang tampil membuat rundingan dan jumlah bayaran balik berbanding sebelum ini.

Thursday, September 22, 2016

DR AHMAD ZAHID, HISHAMUDDIN, SILA BUKTIKAN UMNO TEGUH BERDEPAN PRU14...

 

“There are growing tensions between the supporters of Deputy Prime Minister Abdul Zahid Hamidi, who is also Umno's deputy president, and the party's third-most senior leader, Mr Najib's cousin Hishamuddin Hussien, which could undermine party unity and expose Umno to internal sabotage during the polls.”

Mungkin ada mengatakan ia hanya pendapat seorang koresponden sebuah akhbar semata-mata, Ia bukan mencerminkan pendirian rasmi sebuah akhbar.

Namun pendapat penulis dalam satu perenggan dalam artikel bertajuk "Window of opportunity for Najib in early polls" yang disiarkan oleh The Straits Times, Singapura semalam boleh mendatangkan berbagai kesan dan pertayaan.

Apa tujuan dimasukkan perenggan ini pada penulisan yang memfokuskan peluang Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14) akan datang?

Anehnya, perenggan itu dibiarkan tanpa ulasan dan tanpa sumber yang menyatakan sedemikian.

Leslie Lopez...hubungan penyokong dua Naib Presiden UMNO tegang
Apakah penulisnya Leslie Lopez sengaja melakukan sedemikian sebagai suatu provokasi?

Disebut olehnya, hubungan antara penyokong Dr Ahmad Zahid dan Hishammuddin semakin meruncing, yang ada petanda jelas menunjukkan PRU14 akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Ketegangan di antara timbalan perdana menteri itu dengan Hishammuddin, yang juga sepupu Datuk Seri Mohd Najib Razak, boleh menyebabkan prestasi UMNO terjejas, mendedahkannya kepada sabotaj menjelang pilihan raya umum.

Lantas perlu ada jawapan atau penjelasan sama ada Putrajaya, Barisan Nasional (BN), UMNO atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sendiri bahawa keadaan itu tidak pernah wujud.

Juga kena ada penjelasan bahawa UMNO tetap teguh dan bersiap siaga menempuh PRU14 untuk kekal memerintah.

Pertanyaan yang sewajarnya diakukan kepada ST, khususnya Leslie ialah:

Pertama, bagaiamana dia boleh mengatakan ada perselisihan atau ketegangan hubungan antara penyokong dua Naib Presiden UMNO itu. (ketika ini Dr Ahmad Zahid sedang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO);

Kedua, siapakah yang mendedahkan kononnya wujud ketegangan berkenaan; dan

Ketiga, untuk apa diselitkan perenggan ini jika bukan untuk menunjukkan bahawa UMNO khususnya sedang berdepan dengan ketidak=ketentuan kepimpinan?

Kita amat  maklum bahawa ST sudah banyak menyiarkan berita mengenai Malaysia khususnya dalam isu yang ada kaitan dengan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berita-berita sensasi lain membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Apakah di sebalik mengatakan Perdana Menteri dan BN, di sebalik keyakinan akan dapat menarik kembali sokongan orang Cina untuk membolehkan BN menang PRU13 menggambarkan sesuatu yang tidak baik dalam parti komponen utama BN, iaitu UMNO?

Kerana itu adalah baik sekiranya bantahan secara mendapatkan maklumat sebenar bagaimana peranggan itu boleh ditulis dan kebenarannya dilakukan oleh pihak yang terbabit.

Perlu diingat bahawa Dr Ahmad Zahid dan Hishamuddin bukan sahaja ada kaitan dalam parti tetapi juga kerajaan.

kenapa penyokong kedua mereka menjadi tegang?

Apakah kerana masing-masing mahu menuntut hak bahawa antara mereka lebih menyumbang dan berjasa kepada parti dan kerajaan?

Atau masing-masing mahu menunjukkan pengaruh dalam keadaan siapa yang akan menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri selepas ini?

Sedangkan hakikatnya, cengkaman Najib ke atas UMNO dilihat sangat membantunya kekal berkuasa sepanjang kemelut 1MDB.

Kata Leslie, menyelesaikan sebarang perbezaan sebelum PRU akan menentukan berapa lama beliau kekal berkuasa.

Ini mungkin termasuk menyelesaikan isu ketegangan penyokong Dr Ahmad Zahid dan Hishamuddin?


Kalaupun ada ia tidak memerlukan campurtangan Najib kerana kedua-dua Naib Presiden itu tahu apa mahu dilakukan. Mereka tidak akan sanggup membiarkan UMNO tumpas!

Apapun, menurut ST, Najib masih berpeluang memenangi PRU ke-14 yang perlu diadakan sebelum 2018, tetapi dengan syarat ia diadakan lebih awal dalam masa setahun.

Dengan adanya laporan ini jangan pula ada pihak di Malaysia menganggap laporan sebegini juga diakibatkan oleh Yahudi yang mahu memporak-perandakan Malaysia.

Ia hanya mungkin suatu provokasi penulis dan ST tetapi jangan biarkan ia berulang di masa hadapan.

Pemimpin terbabit atau penyokong perlu menegas dan membuktikan kepada rakyat, termasuk akhbar berkenaan bahawa keadaan ‘baik belaka di Malaysia’.

Malah UMNO tetap padu dan teguh dalam menghadapi PRU14.

Wednesday, September 21, 2016

PERMATA, ROSMAH TIDAK TERJEJAS DENGAN FITNAH, PENANGGUHAN ANUGERAH....


Program Permata Negara (PERMATA) dan penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil keputusan menolak ‘Anugerah Memimpin dengan Teladan’ lantaran campur tangan daripada Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times (NYT) yang dimaklumkan oleh pengerusi badan penasihat penganjur, Prof Tudor Parfitt.

Selain itu Kerajaan Malaysia tidak pernah memohon untuk mendapatkan anugerah penghargaan khas daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebenarnya Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova yang mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada 8 September lepas.

Ia memaklumkan bahawa isteri perdana menteri akan diberi penghormatan menerima anugerah penghargaan khas itu pada satu majlis yang dihoskan bersama oleh Unesco pada 22 September (esok).

Ia  bagi menghargai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia dalam mengekang ekstremisme melalui sistem pendidikan, dan khususnya pendekatan yang diambil oleh PERMATA yang diasaskan pada 2007 oleh Rosmah.

Program PERMATA diwujudkan bagi memberikan tumpuan terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menjelaskan semalam, pada 18 September lalu Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menerima e-mel daripada Profesor Tudor Parfitt, Pengerusi Lembaga Penasihat Akademik Jawatankuasa Penganjur Penghormatan Kepada Wira-wira Kempen Global memerangi Ekstremisme Ganas, menyatakan bahawa penganugerahan itu akan ditunda ke 2017.

Ini kerana apa yang disifatkannya sebagai 'campur tangan' WSJ dan NYT berhubung pembiayaan PERMATA.

Kelmarin dilaporkan satu anugerah UNESCO untuk mengiktiraf program PERMATA dalam satu majlis yang diadakan sempena Persidangan Agung ke-71 PBB di New York telah ditarik balik.

Tudor Parfitt...hantar email kepada Wakil Tetap Malaysia di PBB
NYT kelmarin juga melaporkan anugerah anjuran Antiquities Coalition yang sepatutnya diterima Rosmah di Muzium Seni Metropolitan, New York, telah ditarik balik. pada saat akhir.

Parfitt dalam satu kenyataan berkata ia susulan beberapa persoalan yang dibangkitkan sekitar dana PERMATA, walaupun penganjur tidak mengesan sebarang salah laku secara khusus, keputusan diambil kerana mereka kesempitan masa untuk menyemak dakwaan.

Menurut kenyataan itu, pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai sumber dana PERMATA dan walaupun penganjur acara tidak menyedari wujud sebarang salah laku tertentu, mereka tiada masa untuk memeriksa persatuan itu.

Tengku Sariffuddin sebaliknya mengesahkan bahawa PERMATA dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah peruntukan yang secara telus dimasukkan dalam bajet Kerajaan dan  diluluskan oleh Parlimen.

"Semua perbelanjaan adalah selaras dengan prosedur kewangan Kerajaan. Ini bukan sahaja berkaitan dengan rekod awam tetapi ia boleh diperjelaskan dengan segera jika kami atau PERMATA diminta berbuat demikian sebelum penangguhan penganugerahan itu," kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata PERMATA dan Rosmah sentiasa mengutamakan program yang memberi impak positif kepada berpuluh-puluh ribu anak muda.

"Untuk mengelak perhatian terhadap usaha-usaha penting untuk kanak-kanak di Malaysia terganggu, PERMATA dan Datin Sri Rosmah telah menolak pemberian anugerah yang dicadangkan itu.

Tengku Sariffuddin...PERMATA dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
"Kami kesal dengan cubaan mempolitikkan usaha organisasi yang menjadi teladan itu yang matlamatnya adalah semata-mata untuk meningkatkan lagi kehidupan kanak-kanak.

"Dan, kami kesal bahawa mereka yang dipilih untuk menerima anugerah berkenaan telah difitnah dan disindir oleh sesetengah pihak yang hanya memberi tumpuan kepada kempen memburuk-burukkan Malaysia, kerajaan dan Perdana Menteri.


"Mereka yang mendalangi kempen bermotifkan politik itu langsung tidak mempedulikan kemusnahan yang berlaku akibat daripada dakwaan palsu terhadap PERMATA, kakitangan dan semua anak muda yang telah dibantu dan dijaganya," katanya.

Tengku Sariffuddin berkata baik PERMATA mahu pun Rosmah tidak akan terjejas dengan perbuatan pihak-pihak yang melemparkan fitnah untuk mencemarkan usaha murni itu.

"Mereka akan terus memberi tumpuan kepada membawa perbezaan sebenarnya untuk kanak-kanak masa kini, untuk membantu membina masa depan yang lebih baik bagi Malaysia," katanya.

Pada Sabtu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan bahawa Rosmah telah dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' daripada Unesco sempena Perhimpunan Agung Ke-71 PBB.

Penyampaian anugerah itu dijadual diadakan pada majlis 'A Tribute to Heroes in the Global Campaign Against Violent Exremism' di Metropolitan Museum of Arts, New York.

Laporan NYT kelmarin.
Bagaimanapun, portal berita Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Bernama mendakwa anugerah itu adalah daripada UNESCO.


Ia juga melaporkan bahawa nama Rosmah digugurkan daripada senarai penerima anugerah dan majlis pada 22 September itu bukanlah acara UNESCO.

Kelmarin Bernama  menjelaskan bahawa berita mengenai pemilihan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penerima Anugerah 'Lead by Example' telah ditulis berdasarkan kenyataan Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia Datuk Seri Alias Ahmad.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Alias, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya menyatakan anugerah itu adalah daripada UNESCO dan akan disampaikan pada 22 September (esok).

Zakaria mengulas portal berita Malaysiakini yang melaporkan Bernama mendakwa anugerah itu adalah daripada UNESCO.


"Bernama hanya melaporkan kenyataan itu yang menyatakan bahawa anugerah berkenaan adalah daripada UNESCO,"katanya.

Tuesday, September 20, 2016

DR AHMAD ZAHID SEDANG DIPERSIAPKAN...JANGAN TUDUH NAJIB

Dr Ahmad Zahid sedang berucap di UNGA semalam.

“(Najib) mahu beri pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa...Alhamdulillah saya tidak riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya.”
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Hari ini dilaporkan Timbalan Perdana Menteri mengucapkan ‘Terima kasih Najib’ kerana memberi beliau peluang berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Itulah sewajarnya dilakukan oleh seseorang yang bijak mengenang  budi dan tahu arah politik yang sedang dibentuk oleh ‘bosnya’, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh membaca kenapa beliau dihantar ke New York mewakili Perdana Menteri.

Dr Ahmad Zahid tiba di New York pada Sabtu mengetuai perwakilan Malaysia ke sesi ke-71 Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York itu.

Soal orang lain mahu membuat penekaan atau ramalan, itu soal lain. Biarkan...

Jika ia baik untuk diri Dr Ahmad Zahid dan negara kenapa perlu dipertikaikan.


Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid dilihat sedang ‘disediakan’ untuk menggantikan Perdana Menteri jika apa-apa berlaku.

Rakyat kena faham, Perdana Menteri kini dalam keadaan yang sibuk dengan persediaan untuk membentangkan Bajet 2017 yang meletakkan ‘rakyat Malaysia’ sebagai yang didahulukan.

Selain itu banyak isu politik dan pengurusan ekonomi negara perlu didahulukan.

Tiada ada kaitan langsung dengan majlis pelancaran kempen ‘Mulakan Hari Anda Dengan Madu’ dan ‘Kelulut Walk 2016’ di Putrajaya.

Takut untuk keluar negara? Tidak benar kerana Najib tiada kaitan langsung dengan laporan oleh Jabatan kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sementara isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor langsung tidak ada dalam laporan. Hanya Riza Aziz yang ada disebut.

Jadi, jangan tuduh Najib sembarangan.

Apapun, bukan skrip Najib atau bukan skrip Dr Ahmad Zahid membolehkan beliau ke persidangan UNGA ke 17 itu tetapi ia suatu ketentuan.


“Alhamdulillah dengan pendedahan yang diberikan Perdana Menteri, saya tidak perlu riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sesetengah pihak yang mempersoalkan perwakilan beliau pada persidangan tersebut dalam program Bicara Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di RTM malam tadi.

Beliau turut menjelaskan bukan sesuatu perkara luar biasa apabila beliau selaku timbalan perdana menteri ditugaskan mengetuai delegasi negara kerana banyak negara lain yang menghantar wakil bagi mewakili ketua negara dan kerajaan masing-masing.
  
Bagi Dr Ahmad Zahid, peluang ini ialah satu pengiktirafan dan tanggungjawab buat dirinya, untuk  pendedahan kepadanya untuk berada di pentas antarabangsa.

“Pada hemat dan bacaan saya, beliau (Najib) mahu memberi pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa.

Ini  kerana ada yang mempertikaikan saya masih belum layak untuk menjadi pembantu beliau kerana saya tidak mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Padahal sewaktu saya jadi Menteri Pertahanan saya mempengerusikan banyak majlis yang dihadiri menteri-menteri pertahanan antarabangsa dan juga di beberapa persidangan antarabangsa lain,” tegasnya.


Ahmad Zahid tidak perlu bimbang kerana untuk rekod, ada Perdana Menteri sebelum ini ada yang tidak mendapat pendedahan antarabangsa secara meluas pun ketika menjadi menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat pendedahan sebegini kerana banyak terlibat dengan rundingan antarabangsa.

Malah rekod sudah dicipta semalam (20 September), apabila pemimpin dunia pada UNGA menerima pakai Deklarasi New York bagi Pelarian dan Migran, menzahirkan kesungguhan politik untuk menangani isu-isu berkaitan membabitkan kumpulan itu dan berkongsi tanggungjawab bagi pergerakan lebih besar dalam skala global.

Menariknya, Dr Ahmad Zahid mewakili Malaysia hadir dan berucap pada mesyuarat peringkat tinggi PBB mengenai isu menangani pemindahan besar-besaran pelarian dan migran itu bertujuan merangsang semua negara bertindak secara lebih berperikemanusiaan dan pendekatan yang selaras.

Sudah pasti Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama Presiden UNGA, Peter Thomson bagi  mengusulkan komitmen keahlian untuk memulakan proses yang membawa kepada inisiatif global mengenai migrasi serta menyokong inisiatif global ke atas pelarian.

Juga kehadiran Dr Ahmad Zahid itu penting kerana Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut melancarkan kempen baharu, 'Together - Respect, Safety dan Dignity for All' bagi mengatasi masalah kebangkitan xenophobia.

Yang jelas dan nyata, kehadiran Dr Ahmad Zahid berbaloi kerana semalam juga Ban Ki-moon dan  Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) William Lacy Swing menandatangani perjanjian baharu yang membolehkan IOM menjadi organisasi berkaitan bagi PBB.


Ini akan mengukuhkan pendekatan menyeluruh global mengenai migrasi yang Malaysia tidak terkecuali.