Saturday, June 18, 2016

SD AUGUSTIN YANG 'CEMARKAN MUHYIDDIN' UNTUK BERSIHKAN 'NAJIB'?


"Bolehkah digunakan SD Augustin ini bagi 'membersihkan nama Perdana Menteri' selain menutup persoalan mengenai wang 1MDB yang hilang, hutang 1MDB yang terpaksa dibayar dan juga mungkin berkaitan dana RM2.6 bilion itu?"

Selepas membaca beberapa siri penulisan Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan kononnya ‘skandal Tan Sri Muhyiddin dengan isteri peguam’, semakin jelas hala tuju sebenar penulisnya.

Apa pun kita perhatikan dahulu asas faktanya:

1. Kononnya skandal ini bermula ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor.
2. Skandal berterusan tetapi tidak jelas apakah sehingga sekarang?
3. Kenapa isu yang sudah lapuk itu  baru sekarang nak ‘dibomkan’?. Wanita itu kini        pun dah bergelar ‘nyonya’.
4. Jika ada masalah rumah tangga antara peguam dan isterinya, apakah selepas            begitu lama, faktor Muhyiddin masih punca utamanya?
5. Apa tujuan terus menerus mengaitkan kononnya isteri Muhyiddin tahu...untuk      goncangkan rumah tangganya? Meruntuhkan sebuah masjid?
6. Kalaupun ada ‘kesalahan’, ia sudah lama berlalu. Pasti Muhyiddin sudah insaf. Jika dia sudah bertaubat dan taubatnya diterima, apa hukumnya terhadap mereka yang terus memfitnah dan menyebabkan ‘aibnya’?
7. Apakah ini modal terbaik mempertahankan Perdana Menteri daripada diserang dalam isu 1MDB? Tidakkah ini akan menarik simpati terhadap Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad;
8. Baik sangatkan pemimpin negara dan UMNO lain? Tidak ada skandal seks atau dengan isteri orang waktu muda-muda dulu? Tidak perlu dedah, rakyat tahu siapa baik dan siapa sebenarnya ‘kaki betina’! Orang Melayu khususnya tidak mudah lupa dengan kes-kes perkahwinan melalui ‘tebus talak’ dan sewaktu dengannya.

Raja Petra semalam menyiarkan dokumen akaun bersumpah (SD) seorang lelaki mendakwa wujud hubungan sulit antara isterinya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Malaysiakini, kata lelaki dikenali sebagai Stanley Clement Augustin itu isterinya Nika Gee Siew Yee mempunyai hubungan dengan Muhyiddin ketika tokoh berkenaan menjadi Menteri Besar Johor.


1. Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor yang ke 13 antara 12 Ogos 1986 dan 13 Mei 1995.

Ini kes kira-kira 20 tahun dahulu dan jika ia berterusan sehingga Muhyiddin jadi Menteri Pertanian (seperti didakwa Raja Petra sebelum ini), Muhyiddin menjadi Menteri Belia dan Sukan (Mei 1995 – 10 November 1999), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (6Disember 1999 – 31 Oktober 2003) dan Menteri Pertanian (31 Mac 2004 – 17 Mac 2008), bukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang tahu tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi mungkin tahu.

Persoalannya kenapa sisuami TIDAK BERTINDAK dalam tempoh 12 tahun itu? Apakah dengan membiarkan ‘skandal’ itu berterusan dan tahu Nika dikata dibayar RM20,000 sebulan, si suami tidak menyanyangi isterinya?

Atau ada rahsia dan kepentingan lain di sebaliknya?

Juga kenapa si suami  berdiam diri apabila Nika yang dikatakan bertindak sebagai ejen sebuah syarikat berjaya mendapatkan tender untuk membina Kompleks Sukan Kampung Pandan daripada Muhyiddin (yang didakwa diketahui oleh Dr Mahathir)? Tumpang sekaki?

2. Persoalan juga apakah skandal berkenaan berterusan hingga sekarang?

Bagi yang ‘celik mata dan celik hati’ bacalah SD tu baik-baik. Sebenarnya si suami membiarkan seolah-olah bersetuju dengan perangai dan tingkah laku isterinya.

Persoalannya juga SD Augustin itu bertarikh 7 Disember 2015 dan dibuat ketika proses perceraiannya dengan Gee sedang berlangsung. Dah hampir 20 tahun hubungan sulit dilakukan oleh isterinya, bukan dengan Muhyiddin seorang tetapi juga dengan orang lain. Kenapa SD baru dibuat dan kini dibawa ke mahkamah?

Sehingga ini  Augustin menolak daripada memberikan sebarang komen seperti yang diminta oleh Malaysiakini.

SD berkenaan sudah berusia enam bulan. Kenapa diperkatakan sekarang? Untuk tujuan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar?

Hubungan dengan lelaki lain pun ada, bukan dengan Muhyiddin seorang sahaja. Cuma kebetulan Muhyiddin orang penting dan kerana itulah si wanita bijak ini rapat dengan Muhyiddin. Soal hubungan lain, wallahuaklam. Kalau serah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau mahukan saksi-saksi bukan sekadar tuduhan.

Malah dalam SD itu, tuduhan ialah hubungan berterusan hingga kini. Muhyiddin sudah tidak menjawab telefon dan wanita itu mendesak berbagai. Akhirnya untuk ‘tidak pening’, Muhyiddin dikatakan bayar RM5 juta dan wang itu disimpan di Singapura.



Satu perkara lagi yang jelas, si suami turut meminta ‘favour’ isterinya supaya memujuk Muhyiddin membantu melantiknya sebagai ‘Hakim Mahkamah Tinggi’. Perguna isteri, tidak malu ker?

Muhyiddin tidak layan dan apabila si isteri mendapat ‘Dato’ dia semakin marah, apalagi isterinya kini dilantik pula sebagai Ahli Lembaga Penyegahan Rasuah.

Ternyata dalam SD berkenaan, si suami pun cuba menggunakan isterinya untuk mendapatkan kedudukan dan patutlah seperti dalam SD, perkahwinan mereka hanya bersifat ‘non-exclusive relationship’.

3. Raja Petra terus menerus mengaitkan nama isteri Muhyiddin seolah-olah mahu terus mengasak dan mendesak Puan Sri melakukan sesuatu.

Kenapa mahu diganggu gugat rumah tangga dan perkahwinan orang lain yang bahagia hanya kerana sendiri mahu ‘habuan’? Perbuatan apakah ini?

Mulia dan sucikah mereka yang mengupah atau membayar Raja Petra untuk melakukan perbuatan seperti ini? Apakah Raja Petra dan yang bersubahat dengannya gembira melihat jika sesuatu berlaku kepada rumahtangga Muhyiddin?

Dokumen berkenaan yang disiar Raja Petra pada blognya mendakwa isteri Muhyiddin menyedari hubungan berkenaan dan melarang wanita terbabit bertemu dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Ini membuktikan bahawa Puan Sri berusaha mempertahankan hubungan dengan suaminya (Muhyiddin) dan ia langkah murni yang sewajarnya dipuji bukannya digalakkan supaya porak peranda.

Lautan mana yang tidak bergelora? Manusia mana yang terlepas daripada membuat kesilapan? Namun dengan berkat doa dan usaha sebarang masalah boleh diperbetulkan.

Kerana itu saya katakan di atas, kalaupun benar ada ‘kesalahan’, ia sudah lama berlalu. Pasti Muhyiddin sudah insaf. Jika dia sudah bertaubat dan taubatnya diterima, apa hukumnya terhadap mereka yang terus memfitnah dan menyebabkan ‘aibnya’?

Bersandarkan SD berkenaan Raja Petra berkata disebabkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata akan menyaman sebarang dakwaan tidak benar terhadap Muhyiddin, beliau perlu mengambil langkah itu untuk menafikan SD berkenaan tidak benar.

"Suami (Gee) memberitahu kita SD berkenaan dibuat berdasarkan pengakuan wanita terbabit. Justeru jika Muhyiddin mahu menafikan hal ini dan mahu menyaman sesiapa yang menuduhnya menjalin hubungan dengan isteri orang, beliau mesti menyaman Nika Gee.

"Satu-satunya cara untuk Muhyiddin membersihkan namanya hanyalah dengan mengemukakan saman. Tidak ada cara lain," kata Raja Petra.

Tidak perlu menjawab melalui SD. Tak payah layan. Baik biarkan saja, itu pendapat mereka yang rapat dengan Muhyiddin

4. Raja Petra berusaha agar Muhyiddin menyatakan hubungan itu ‘ya’ atau ‘tidak’? Ok, kalau ya, apakah dosa (kalau benar) lalu Muhyiddin itu boleh dijadikan asas untuk ‘mencedera’ kan beliau sambil  merosakkan gerakan Deklarasi Rakyat dan Kempen Anti-Najib (ANC) ketika ini?

Bolehkan kesalahan lalu itu akan turut mencemarkan nama Dr Mahathir yang memperjuangkan isu rakyat?

Baca apa yang ditulis oleh Raja Petra melalui MUHYIDDIN MUST SUE TO PROVE HIS INNOCENCE ini yang terang-terang mengaitkan kes Muhyiddin dengan ANC dan PRK berkenaan.

“But whatever it may be, Muhyiddin must sue. He cannot not sue. If Muhyiddin does not sue then the allegation is true and he has not been slandered. The ball is now in Muhyiddin’s court. Sue or be damned forever as not just a philanderer but a liar to boot.

And this is the man Tun Dr Mahathir Mohamad and the ANC wants as the proxy Prime Minister once they manage to oust Najib? Let us see tomorrow whether the voters in Kuala Kangsar and Sungai Besar are going to agree, especially when the purpose for appointing Muhyiddin the proxy Prime Minister is so that Mukhriz can become the Deputy Prime Minister.”


Persoalan besar ialah, apakah ini modal terbaik mempertahankan Perdana Menteri daripada diserang dalam isu 1MDB dan memenangkan Barisan Nasional? Tidakkah ini akan menarik simpati terhadap Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Seterus, melalui tajuk MUHYIDDIN MUST SUE TO PROVE HISINNOCENCE, Raja Petra berkata : “Since Najib has to prove he did not steal RM42 billion and probably even more than RM50 billion of the taxpayers’ money, Muhyiddin must also prove he did not have an affair with another man’s wife.
Same rules, same standards!
Probably we can start with Muhyiddin showing us a copy of the Statutory Declaration. Muhyiddin, show us a copy of that SD and prove that your name is not mentioned in that SD. The SD that I saw clearly stated your name. If you have a copy of that SD then show it to us and prove that your name is not mentioned in it.
Why so difficult? Why just deny? If Najib denies you will not believe. If Arul Kanda denies you will not believe. If 1MDB denies you will not believe. So stop denying and just show us a copy of that SD and prove that your name is not mentioned in that SD.”

Seperti disebut di atas, nama Muhyiddin disebut dalam SD dan perlukah dilayan dengan SD juga? Bukanlah jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh Raja Petra sebahagianya dijawab melalui SD si suami yang tahu dan benarkan isterinya bermesra dengan lelaki lain?

Ketawalah sepuas-puasnya dahlu takut-takut nanti anda tidak mendapat ketawa yang terakhir....
Yang penting, bolehkah kita gunakan SD ini bagi 'membersihkan nama Perdana Menteri' selain menutup persoalan mengenai wang 1MDB yang hilang, hutang 1MDB yang terpaksa dibayar dan juga mungkin berkaitan dana RM2.6 bilion itu?

5. Persoalannya, baik sangatkan pemimpin negara dan UMNO lain yang cuba dibela oleh Raja Petra itu?

Tidak adakah skandal seks atau seks dengan isteri orang waktu muda-muda dulu di kalangan pemimpin UMNO?

Kalau mahu sebut isu Tan Sri Rahim Thamby Chik, keputusan mahkamah sudah diketahui. Tan Sri Muhammad Mohd Taib tidak skandal, dia berkahwin. Suci, noktah. Yang lain?

Jangan main terjah, nanti terbuka pekong lebih besar malu sendiri. Ramai masih ingat kes di Port Dickson membabitkan orang politik. Ingat orang UMNO tak tahu?

Orang Malaysia baik-baik kerana agama Islam melarang mendedahkan aib orang dan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini pun baik-baik dan bijak. Tak apalah, usah diungkitkan apabila mereka menyorokkan sampah di bawah permaidi. Yang di atasnya tetap nampak berseri.

Dengan kata lain, tidak perlu dedah.

Rakyat dan ahli UMNO, termasuk pemimpin UMNO tahu siapa baik dan siapa sebenarnya ‘kaki betina’!

Juga siapa perasuah dan siapaya yang pernah dihukum kerana rasuah boleh menjadi pemimpin besar dalam kerajaan.

Orang Melayu khususnya dalam kalangan UMNO juga tidak mudah lupa dengan kes-kes perkahwinan melalui ‘tebus talak’ dan sewaktu dengannya.

Raja Petra jangan berlebih-lebih. Bimbang tepuk air di dulang, terpercik pula ke muka tuan Raja Petra yang duduk di sebelahnya.

Untuk pemimpin baru UMNO, belajarlah daripada kes Muhyiddin ini.


Kepada Muhyiddin, kita hanya sekelumit insan yang terlalu kecil. Reda dan terus beristifar.

Friday, June 17, 2016

RAJA PETRA GUNAKAN ‘SKANDAL MUHYIDDIN’ ASAK DR MAHATHR

Gambar ini dari blog Raja Petra
“ANC (Kempen Anti-Najib) kini sudah tercalar. Seluruh dunia sudah tahu mengenai kes perceraian yang mengaitkan Muhyiddin (Tan Sri) dalam kes hubungan sulit dengan wanita isteri seseorang. Kerosakan sudah berlaku walaupun ada usaha untuk menutupnya.

Mahathir (Tun Dr ) sepatutnya tidak campur tangan dalam perbicaraan perceraian (di mahkamah). Biarkan kes ini berjalan minggu hadapan supaya dunia ketahui kebenarannya. Media tempatan dan antarabangsa kini sedang menunggu dengan sepenuh tenaga untuk melaporkan pendengaran di mahkamah. Seperti yang selalu disebut Mahathir bahawa beliau hanya mahu mendengar kebenaran, kebenaran sepenuhnya, dan tiada selain kebenaran, jadi minta Tuhan membantunya.”

Itu adalah kata-kata Raja Petra Kamarudin melalui entri di blognya semalam yang terus menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengaitkan tuduhan skandal Muhyiddin.

Matlamat serangan itu sudah difahami. Raja Petra mahu supaya ANC gagal atau setidak-tidaknya ‘bergelumang dengan dosa Muhyiddin’ yang mungkin menyebabkan rakyat ragu-ragu dan menjauhi gerakan itu.

Persoalannya, apakah Raja Petra melakukan ini sebagai suatu pendedahan peribadi atau ‘diupah’ oleh seseorang atau sekumpulan yang menjadi ‘tuannya’ untuk ‘menembak dua ekor burung sekali gus dengan satu peluru’

Dengan kata lain, demi menjatuhkan Muhyiddin dan menggagalkan usaha ANC Dr Mahathir yang sekali gus memberhentikan serangan berterusan terhadap tuannya?

Namun sejauh ini usaha Raja Petra ini tidak menunjukkan kesan.Ini kerana Deklarasi Rakyat dan ANC terus mendapat sokongan dan banyak pihak memahami kenapa Raja Petra menerbit dan menyiarkan kes ini, ketika ini.

Jika sudah maklum kes ini berlaku kesekian lama, kenapa tidak dibuat awal sebaliknya ketika kempen PRK dan serangan Dr Mahathir melalui ANC yang semakin berkesan?

Malah, serangan peribadi ini tidak boleh dibandingkan dengan perkembangan serta pelbagai tuduhan salah laku, penyalahgunaan kuasa dan siasatan pihak luar terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang semakin ‘mengaru-birukan' pemimpin penting negara.

Media dalam negara dan luar negara sejak dua tahun lalu mengaitkan secara langsung 1MDB dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Malah ‘perbicaraan oleh media antarabangsa’ terhadap Najib sedang berlangsung.

Kini siasatan demi siasatan dan terbaru kes International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar) mengemukakan permintaan timbang tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London berhubung tuntutannya melibatkan lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF), pastinya akan menguatkan lagi ‘perbicaraan media asing’ terhadap Najib.

Malah, tuntutan IPIC - Aabar itu menimbulkan pertanyaan baru, “Siapa sebenarnya yang kebas RM14.2 bilion?”

Hakikatnya dengan usaha melarikan isu sebenar negara dengan skandal ini bukan sahaja dilihat suatu strategi lemah malah akan memudaratkan lagi pihak-pihak yang cuba dipertahankan oleh Raja Petra melalui ‘skandal Muhyiddin’ ini.

Raja Petra dalam entri bertajuk ‘IS MUHYIDDIN’S AFFAIR THE FUNERAL RITES FOR MAHATHIR’S ANC?’ secara ‘terang lagi bersuluh’ - melalui kes tuntutan perceraian oleh suami wanita yang dikatakan ada hubungan sulit dengan Muhyiddin itu – mengasak berterusan Dr Mahathir untuk memenuhi selera dan kepentingan ‘tuannya’.

Malah, dengan mengatakan skandal ini walaupun ditangguhkan daripada disebut di mahkamah Isnin ini dan ‘sesuatu sudah terlambat untuk disembunyikan’, bagaikan nada kecewa kerana ‘BOM YANG DIPASANG TIDAK MELETUP’.

Bagi Raja Petra,  skandal itu menyebabkan ANC kini ‘terpalit dengan Muhyiddin’ dan kesnya akan menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada sekutu Dr Mahathir itu dan ini pastinya menggugat kejayaan Deklarasi Rakyat.

Sehingga ini Dr Mahathir tidak memberikan sebarang reaksi dan cubaan Raja Petra untuk mengaitkannya dengan Presiden PAS, datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dingin.

Raja Petra pastinya kecewa kerana kedua-dua mereka ini tidak memberikan sebarang tindak balas. Dalam erti kata ‘soalan yang tidak bersahut’. (Untuk lebih jelas bagaimana Raja Petra cuba mengaitkan  Dr Mahathir dan Hadi, baca di sini). 

Berkaitan ‘tohmahan dan tuduhan’ Raja Petra ini, semalam untuk kesekian kalinya, Muhyiddin bersuara.

Menurut Muhyiddin :"Tohmahan ini bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya setelah saya tidak lagi berada di dalam kabinet dan terus lantang bersuara untuk mencari kebenaran. Dugaan Allah kepada saya amat besar di bulan Ramadan ini. Saya harus bertenang, bersabar dan berdoa mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan kita."

Bagi Muhyiddin, tududhan berniat jahat dan tidak berasas.

Baginya,  tuduhan berkenaan sengaja dilemparkan kepadanya semata-mata untuk merosakkan integriti dan berbaur politik yang "cukup menjijikkan".

Raja Petra melalui empat entrinya sejak 2 Jun lalu  menuduh Muhyiddin mempunyai hubungan sulit dengan isteri peguam dan kes yang sepatutnya disebut di mahkamah mulai 20 Jun depan kini titangguhkan. Untuk lebih jelas baca di sini.

Bagi Raja Petra,  dengan  terbongkarnya skandal yang didakwanya itu, ia  berpotensi mematikan kempen anti-Najib atau ANC.

 “Jika anda melihat kepada jadual mahkamah yang disertakan ini, kes berkenaan sepatutnya disebut selama empat hari minggu depan (20 hb, 21, 23 dan 24 Jun 2016). Bagaimanapun, hari ini, peguam memohon untuk menarik balik kes berkenaan.

Ini bermakna mereka perlu melantik peguam baru bagi kes yang sepatutnya disebut minggu hadapan dan kini ditangguhkan. Cara ini merupakan helah biasa untuk menangguhkan kes dan selalu digunakan,” kata Raja Petra.

Malah, Raja Petra terus mengasak Dr Mahathir dengan mengatakan penangguhan kes itu memberikan ruang atau 'nafas’ untuk merangka apa akan dilakukan seterusnya.

“Tidak salah lagi bahawa ramai mengetahui kes ini tetapi jika dibiarkan untuk berterusan, ia pastinya akan membawa kemusnahan kepada ANC kerana lebih banyak butiran ‘membunuh’ akan didedahkan di mahkamah melalui soalan dan pertanyaan balas.”

Bagi Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh, melalui kenyataannya semalam, menyifatkan  tuduhan itu lebih tidak wajar kerana dibuat pada bulan Ramadan.

"Segala tohmahan tersebut adalah fitnah jahat dan sangka buruk yang disebarkan semata-mata untuk merosakkan integriti saya serta berbaur politik yang cukup menjijikkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Sempena bulan Ramadan yang juga bulan keampunan dan kerahmatan, seharusnya orang yang membuat fitnah ini beristighfar dan berdoa semoga dihapuskan segala dosa-dosanya," kata Muhyiddin.

Walaupun sebelum ini beberapa artikel disiarkan blog Raja Petra mengaitkan Muhyiddin dengan skandal terlarang namun Muhyiddin tidak memberi sebarang reaksi sehinggalah malam ini.

Kata Muhyiddin - timbalan presiden UMNO yang digantung tugas sejak 26 Februari lalu itu - jika Raja Petra sedar terhadap kesalahannnya penulis blog itu seharusnya memohon maaf.

Raja Petra sudah pasti akan mempertahankan pendiriannya.

Ini sudah dibuktikan apabila semalam beliau memberikan reaksi kepada jawapan Muhyiddin dengan mengatakan, peluang perbicaraan di mahkamah tidak diambil oleh Muhyiddin untuk membersihkan dirinya.

Ini kata Raja Petra:  “So Muhyiddin blew the golden opportunity he had to clear his name by blocking the court proceedings next week. Merely denying that he is not involved in an affair is not good enough. Muhyiddin needs to prove his innocence. And he refuses to do that by blocking the court case next week. So until Muhyiddin can prove his innocence we have to assume he is guilty, just like what they have subjected Najib to.”

Apa yang dapat disimpulkan ialah apakah tindakan ‘melondehkan Muhyidin’ ini akan menyebabkan banyak lagi ‘rahsia dan kebejatan’ tuannya akan turut terlondeh dan dilondehkan?

Silap-silap, Raja Petra akan turut terlondeh!!!!

Thursday, June 16, 2016

HAKIM 100 NEGARA 'BODOH DAN TOLOL' MEMBERI ANUGERAH KEPADA WSJ...


"Tidak munasabah langsung anugerah diberikan kerana berasaskan tuduhan dan  ‘fitnah’ yang kemudian mengheret banyak pihak di banyak negara dunia menjalankan siasatan terhadap Malaysia...laporan ‘jahat’ WSJ yang bersiri itu, mendorong siasatan global selain mendapat liputan media di seluruh dunia."

Malam semalam berlaku lagi satu ’kebodohan’ bertaraf dunia apabila laporan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan editor ekonominya, memenangi anugerah penting.

Editor ekonominya untuk rantau Asia, Tom Wright memenangi Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (SOPA) 2016 di Hong Kong diumumkan malam semalam.

Tom Wright
Tidak masuk akal bagaimana WSJ yang menyiarkan berita ‘tidak benar’ dan ‘berunsur fitnah’ boleh memenangi SOPA 2016. Dah gila agaknya mereka yang membuat keputusan untuk memberikan anugerah berkenaan?

Gila peringkat gaban bila mana hakim-hakim dari 100 negara boleh memilih WSJ yang dikutuk oleh banyak pihak di Malaysia termasuk daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) boleh memenangkan penerbitan itu bagi Kumpulan A untuk Anugerah Scoop berhubung laporan mereka mengenai "Skandal 1MDB Malaysia".

Sudah tidak ada kerja lain ker selain mahu memburuk-burukkan Malaysia dan pemimpinnya dan diiktiraf sebagai laporan terbaik?

Apakah tidak ada isu lain yang lebih baik untuk diberikan anugerah?

Misalnya kes songlap RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan yang tidak diketahui statusnya sekarang?

Apakah WSJ dan Wright ada agenda khusus dalam laporannya?

New Straits Times pernah mempersoalkan agenda Wright dan dia menjawab tiada. Benarkah?

Kerana laporan ‘jahat’ WSJ yang bersiri itu, telah mendorong siasatan global dijalankan ke atas dana milik negara Malaysia , selain mendapat liputan media di seluruh dunia.

Tidak munasabah langsung anugerah diberikan kerana berasaskan tuduhan dan  ‘fitnah’ yang kemudian mengheret banyak pihak di banyak negara dunia menjalankan siasatan terhadap Malaysia.

Malah, kononnya wang hilang sebanyak juga tidak benar, mana ada?

1MDB banyak harta sama ada di lautan atau di daratan dan tidak heran dengan laporan WSJ itu.

Malah, tindakan untuk menyaman WSJ pada hari Selasa pun tidak dibuat hingga sekarang. Mungkin dalam kepala mereka yang mulanya mengatakan mahu sama menilai semula - buat apa mahu ambil tindakan terhadap pihak yang ‘pendek akal’. Buang masa sahaja.

PMO juga sudah berkali-kali memberikan jawapan terhadap apa yang didakwa oleh WSJ dan cukup jelas jawapan itu dapat mematikan semua dakwaan WSJ terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia.

Malah, hakim 100 negara itu juga agaknya ‘buta mata dan hati’ apabila menghadiahkan WSJ untuk mendapat penghargaan rencana sama bagi Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan.

Kategori laporan itu turut memberi penghargaan kepada laporan yang membuat pendedahan mengenai rasuah atau salah guna kuasa dan menuntut pertanggungjawaban.

Ditubuhkan pada 1991 Anugerah SOPA dibuat untuk menghargai kecemerlangan media - baru dan tradisional - di rantau Asia.

SOPA pula ditubuhkan pada 1982 untuk memperjuangkan kebebasan media dan kecemerlangan kewartawanan serantau.
 
Bagi saya SOPA juga melakukan kesilapan bertaraf dunia apbila menganugerahkan Wright untuk anugerah WARTAWAN TERBAIK.

Walaupun dia diiktiraf sebagai seorang daripada wartawan WSJ yang bertindak membuat pendedahan mengenai 1MDB dan siri laporan susulan mengenainya, laporan itu sememangnya TIDAK BENAR dan sengaja dibuat-buat untuk MENCEMARKAN MARUAH MALAYSIA.

Ia nyata sengaja mahu menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia dan sumbernya sering dipersoalkan. Selalu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai bekas wartawan kampung, saya melihat kemenangan WSJ ini sebagai satu konspirasi peringkat global untuk mengganggu ksetabilan Malaysia dalam konteks ekonomi dan politik.

Malah amat pelik sekali WSJ boleh menang berbagai hadiah SOPA dan sebelum ini pun turut boleh dipersoalkan bagaimana WSJ menjadi finalis bagi Hadiah Pulitzer untuk kategori laporan antarabangsa - yang menghargai kewartawanan cemerlang Amerika Syarikat.

Laporan itu juga berkaitan pendedahan 1MDB.

Tidakkah mereka faham bahawa 1MDB ialah syarikat yang berintegriti dan tidak ada SALAH LAKU, PENYELEWENGAN, KES PENGUBAHAN WANG HARAM atau apa sahaja kesalahan yang bekaitan dengannya?

Malah, Peguam Negara Malaysia juga sudah membuktikan bahawa tiada apa berlaku dalam 1MBD dan semuanya bersih?

‘Bodoh dan tolol’ kah hakim dari 100 negara itu boleh menilai untuk memberikan hadiah kepada WSJ?


Baca pendapat berikut yang saya petik daripada Malaysiakini mengenai anugerah kepada WSJ ini:

Anonymous_1372741039 - Has 1MDB made heroes of WSJ by not instituting legal proceeding against them for false and malicious reporting. How could the PM be press branded with such ugly and embarrassing, blatant and unsubstantiated accusations and permit WSJ to go scot free without lifting a finger to exonerate himself. NAJIB have been erroneously persecuted and crucified by WSJ. The Rakyat must encourage Najib to take this course of action which can clear his name, image and that of Malaysia.

Legit - Congratulations to WSJ and its editor Tom Wright. You indeed deserve these awards for none of the Malaysian MSM covered this news except The Edge for which the rotten regime suspended its license. Malaysians at large are very thankful to WSJ and Tom Wright for their excellent investigative reporting on this mega scandal in the history of Malaysia. Well done. Congratulations to Malaysiakini too.

Cogito Ergo Sum - The award is a crowning achievement for the winners who brought home the truth to Malaysians and the world. The expose led to a massive worldwide probe into 1MDB which uncovered a trail of deception and criminal activities. The SOPA awards are a damning indictment of this regime. I wonder what will be the official response to this piece of news?

Saya tidak faham kenapa mereka ini memuji berjela-jela WSJ.

Juga saya tidak faham dengan kewartawanan ketika ini, lebih-lebih lagi kewartawanan sejagat yang hanya mementingkan ‘konspirasi peringkat global’ menjahanamkan Malaysia.


Bagi anugerah semalam,  Malaysiakini turut menerima penghargaan untuk gambar semasa demonstrasi BERSIH 4 yang memaparkan penggunaan teknologi dron.

Sebuah lagi portal berita Malaysia The Star Online memenangi Anugerah Scoop Kumpulan B melalui laporan mengenai kenaikan kos visa bagi pekerja warga Indonesia di Malaysia yang menyebabkan semakin semakin sukar untuk mereka datang bekerja secara sah di negara ini.

Saya harap pembaca faham dan tahu dengan apa yang saya tulis ini. Mudah sahaja, "kalau ‘tak tahu dan tidak faham, tidak apalah...".

Wednesday, June 15, 2016

RAJA PETRA DAKWA MUHYIDDIN ADA ‘HUBUNGAN INTIM’ DENGAN ISTERI PEGUAM...


“A divorce case that implicates Muhyiddin in an affair with Nika Gee Siew Yee, someone’s wife, is going to court on 20th June 2016. What is going to be revealed is the RM20,000 a month that Muhyiddin is paying this woman plus the RM5 million she was paid in Singapore. Mahathir knows about this but is keeping very quiet because it is going to be game over for the ANC if this story explodes.”

Raja Petra dalam satu postingnya dengan tajuk “DID MAHATHIR TELL HADI ABOUT MUHYIDDIN’S AFFAIR?”, beliau mengemukakan pertanyaan mengaitkan bekas Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad, “apakah bekas Perdana Menteri yang mempelopori Deklarasi Rakyat turut memberitahu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai skandal Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Menurut beliau, Dr Mahathir bimbang jika kes ini meletup akan menjejaskan ‘perjuangannya’ melalui Deklarasi Rakyat dan Kempen Anti Najib.

Persoalannya, untuk apa diberitahu kepada Hadi - apakah Hadi akan percaya? Semudah itukah Hadi akan percaya?

Juga apakah Raja Petra ingat Dr Mahathir tidak ada kerja lain, sebaliknya suka ‘bergosip’?

Semua maklum bahawa selama ini Hadi menolak kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga isu ‘gambar Datuk Mustafa Ali dengan seorang wanita’. Inikan pula hanya cakap-cakap atau melalui ‘tulisan’ yang masih belum dibuktikan di mahkamah dan mempunyai bukti yang kukuh untuk Hadi percaya?

Untuk mengukuhkan hujahnya Raja Petra mendakwa Ketua-Ketua Bahagian UMNO kini sudah tahu dan berbincang mengenai perkara ini, malah memikirkan sama ada Muhyiddin patut dikekalkan dalam UMNO atau sebaliknya.

Raja Petra mendakwa 130 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO menyokong Muhyiddin disingkirkan daripada UMNO.

Mulanya Raja Petra mendakwa kes ini akan disebut pada Isnin 20 Jun depan tetapi hari ini menuduh ada campur tangan Dr Mahathir  yang memungkinkan kes itu ditangguh ke suatu masa lain.

Bagaimanapun persoalannya, kalaupun kelak jika ada keputusan mahkamah, apakah Hadi akan menelan keputusan itu dan menganggapnya betul?.

Selain itu, apakah kes ini akan dijadikan peluru untuk Hadi menyerang Dr Mahathir?


Atau Raja Petra yang kini dikatakan turut ‘makan dedak seseorang yang berpengaruh dengan UMNO’ (ada tuduhan oleh blogger terkenal) berfikir boleh membantu politik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam pertelingkahannya dengan Dr Mahathir, dengan mengaitkan isu Muhyiddin ini dengan penggerak Deklarasi Rakyat itu?

Apakah Hadi akan minta bukti daripada Raja Petra mengenai bukti-bukti sahih untuk mengesahkan tuduhannya itu sebagai persediaannya untuk ‘menembak Dr Mahathir’?

Selain keputusan mahkamah yang mungkin memulakan perbicaraan  pada 20  Jun, iaitu selepas dua hari keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Karang dan Kuala Kangsar, apakah ada bukti lain yang boleh mempengaruhi Hadi untuk mempercayai tuduhan terhadap Muhyiddin?

Dalam tulisan terbaharunya, Raja Petra berkata apa yang Hadi mahu tahu ialah, yang mana ‘orang tua’ itu tidak ceritakan ialah mengenai kes perceraian yang akan ke mahkamah 20 jun 2016 yang membabitkan sekutu  ‘orang tua itu’, iaitu Muhyiddin Yassin. (Bermakna Raja Petra boleh membaca gerak hati Hadi).

Muhyiddin, menurut Raja Petra (saya ulangi menurut RajaPetra), mempunyai hubungan (hubungan sulit kah?) kesekian lama dengan Nika Gee Siew Yee, isteri kepada seorang peguam. Menurut Raja Petra lagi, kebanyakan peguam  tahu dan kenal siapa suami Nika.


“Bukan sahaja isteri Muhyiddin tahu mengenai perkara ini tetapi ramai kakitangan Muhyiddin di Kementerian yang beliau ketuai sebelum ini mengetahui perkara ini.” kata Raja Petra.

Perlukah Raja Petra mengaitkan isteri Muhyiddin dana pa motifnya? Dengan mengatakan tahu apakah bermaksud ‘membiarkan’ atau ‘turut bersubahat’?

Selanjutnya Raja Petra menyebut : "Tidak jelas sebanyak mana perkara yang lebih detail akan didedahkan pada 20 Jun ini – umpamanya Muhyiddin membayar Nika sebanyak RM20,000 sebulan untuk tempoh yang sudah agak lama dam baru-baru ini membayar lagi kepada Nika  RM5 juta di Singapura.

Raja Petra turut membuat tuduhan bahawa Muhyiddin turut memenangkan tender projek Kompleks Sukan Kampong Pandan kepada syarikat yang Nika melobinya sebagai ejen syarikat – malah menurut Raja Petra, Dr Mahathir cukup tahu mengenai perkara ini.

Apakah ini tuduhan bahawa Dr Mahathir ‘turut bersubahat’ dan ‘membenar atau merestui’ perhubungan sulit itu?

Malah, menurut Raja Petra, Dr Mahathir pun tahu hubungan istimewa Muhyiddin dan  Nika yang berlanjutan sudah kesekian lama iaitu sejak Muhyiddin masih menjadi Menteri Pertanian lagi.
.
Kata Raja Petra lagi, Dr Mahathir melakukan banyak usaha untuk bercakap panjang-lebar dengan Hadi mengenai salah laku dan perbuatan Najib – yang Dr Mahathir tidak dapat buktikan, malah sebahagiannya tidak benar.

“Namun Dr Mahathir tidak menyatakan walau apa pun mengenai banyak salah laku rakannya, Muhyiddin, yang mana salah satunya mempunyai hubungan dengan dengan isteri orang yang akan meletup di mahkamah 20 Jun 2016 ini.”


Raja Petra cuba mempertahankan Hadi yang menurutnya dituduh ‘makan dedak Najib’ hanya kerana Hadi enggan menyertai kempen anti-Najib.

Pertanyaan ialah kenapa Raja Petra mendesak Dr Mahathir dengan mengatakan ‘apakah Dr Mahathir benar-benar berminat dengan kebenaran?”

“Jika kebenaranlah yang dicari atau dituntut Dr Mahathir seperti selalu disebut dan dilakukannya, kenapakah dia MENYEMBUNYIKAN kebenaran mengenai Muhyiddin?”

Benarkah Dr Mahathir menyembunyikan kebenaran atau Dr Mahathir memang tidak ambil pusing dengan isu ini,malah tidak berminat dengannya?

Raja Petra pergi lebih jauh apabila mengatakan selepas beliau menerbitkan dua laporan, iaitu Muhyiddin bogged down by personal scandals dan Why is Muhyiddin so quiet regarding the allegation of anaffair? kenapa Muhyiddin atau isterinya tidak menafikannya secara terbuka?

Sekali lagi isteri Muhyiddin dikaitkan.

Hakikatnya, mengenali Dr Mahathir, beliau bukan mudah dan tidak berminat  mencampuri urusan peribadi rakan politik atau menteri dan orang kuat UMNO.

Lihat sahaja dalam kes Datuk Seri Anwa Ibrahim, beliau diberitahu sejak awal tetapi tidak mahu percaya dan memarahi mereka yang ‘membawa cerita’ tetapi selepas mendapati bukti cukup untuknya bertindak baharulah beliau bertindak.

Allahyarham Megat Junid Megat Ayob dan Aziz Shamsuddin pernah menceritakan kepada saya bagaimana Dr Mahathir pada peringkat awal  ‘menyinga’ kepada mereka apabila diberitahu mengenai kes liwat Anwar.

Begitu juga dalam beberapa kes lain, umpamanya kes membabitkan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik ketika menjadi Ketua Menteri Melaka atau Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Dr Mahathir tidak campur pun.

Jika Raja Petra bertanya Dr Mahathir mengenai skandal seperti ini, beliau salah orang. Dr Mahathir tidak suka ambil tahu hal skandal orang lain dan sering cuba menutup aib, kecuali jika ‘bangkai gajah sudah tidak dapat ditutup lagi”.

Jadi dalam konteks perbincangannya dengan Hadi, tiada faedahnya Dr Mahathir mahu memberitahu kerana dia sendiri tidak minat dengan gossip dan Hadi pula tidak terima cerita gossip.

Yang dok bergosip hanyalah Raja Petra. Seelok-eloknya kita serahkan kepada mahkamah dan takdir Muhyiddin sendiri, ke mana dia selepas ini.

Yang lain serahkan kepada Allah menentukan segala-galanya kerana hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui!!!