Sunday, April 24, 2016

WALAUPUN DEMI ISLAM, PAS, UMNO TIDAK AKAN PERNAH BERSATU...


“Itu cadangan daripada orang luar. Memanglah ia perlu dari segi perpaduan umat Islam tetapi atas dasar Islam, dari segi akidah Islam, keadaan itu berlaku apabila ada persamaan dari segi dasar parti."
 - Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu sedia untuk melupakan dan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan UMNO terhadap parti itu sebelum ini. 

Beliau berkata pada 20 Disember lalu, itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan PAS.

Namun kini lain pula nadanya selepas pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik mencadangkan sesuatu yang positif dalam perpaduan UMNO-PAS.

Takiyuddin menegaskan PAS sama sekali tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) kerana memegang teguh keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari lepas.

Namun, katanya, PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Ini bermakna PAS sentiasa tegas dan konsisten serta mengambil pendekatan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangan.

“Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara,” katanya.

Selain kenyataan Takiyuddin yang serlahkan sikap PAS, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam tidak membawa apa-apa faedah dan yang bersifat positif dalam kerjasama UMNO-PAS.

Hadi menyifatkan pandangan Dr Zakir sebagai pengamatan secara ilmu dan prihatin terhadap umat, namun walaupun mengatakan wajib dihormati Hadi tetap bermain perkataaan,

“Beliau bukan sahaja memahami perbandingan agama-agama dengan Islam, bahkan beliau memahami perbandingan Islam dengan Ideologi. Oleh kerana itu beliau mencadangkan kerjasama PAS dan UMNO berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

“PAS sudah lama meletakkan al-Quran, as-Sunnah bersama Ijmak Ulamak dan Qias yang nyata menjadi rujukan tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) PAS (Fasal 5). Bagi merealisasikannya secara kenyataan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak yang bukan hanya mengiyakan semua keputusan PAS Pusat, bahkan boleh membatalkannya sekiranya menyanggah hukum tertinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik berkata, sekiranya parti-parti itu berpakat, ia akan menjadikan Islam itu indah di mata rakyat beragama Islam.

Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, katanya.

Beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.
    
"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selePAS menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', baru-baru ini.

Lebih lanjut Hadi mengulas, perjalanan PAS hingga ke hari ini, mempunyai pengalaman melaksanakan kerjasama dengan semua pihak sama ada kumpulan Islam ataupun bukan Islam serta bersama kerajaan dan pembangkang.

Jadi? Apakah keputusan dan natijahnya?

Tidak ada apa. Akan seperti biasa biarpun Hadi mengakui Dr Zakir seorang pengamat politik yang peka terhadap ummatnya serta tidak memisahkan politik daripada agama dan dakwah, PAS tetap enggan 'melayan UMNO'..

Dalam PAS sendiri, banyak pendapat sudah dibangkitkan kesan saranan pendakwah antarabangsa itu, antaranya, kerjasama UMNO dan PAS boleh jadi kenyataan, jika:

1. UMNO tukar dasar perjuangan parti, dan

2. Buang dasar kebangsaan. Lagipun, UMNO sudah rosak sepenuhnya bermula dari atas

Begitulah 'angkuhnya kata-kata pemimpin PAS. Sebaliknya, PAS yang selama ini berjuang melawan UMNO mencatat sejarah pernah kerjasama dengan lawan mereka.

Jadi cadangan Dr Zakir hanya sia-sia, lagipun:

Ia hanyalah cadangan pihak luar yang tidak memahami keadaan politik setempat.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah berkata selagi UMNO mengekalkan dasar perjuangan parti dengan apa yang ada ketika ini, PAS tidak akan melayan sebarang usaha ke arah kerjasama politik dengan parti itu.

Perkara itu ditegaskan bahawa perkara sedemikian tidak akan berlaku sama sekali dalam keadaan UMNO masih lagi dengan dasar kebangsaan.

Menurutnya, walaupun cadangan itu turut disyorkan oleh Dr Zakir dalam memastikan kesepaduan umat Islam di negara ini, namun beliau menganggap ia hanyalah cadangan dari pihak luar.

“Itu cadangan daripada orang luar. Memanglah ia perlu dari segi perpaduan umat Islam tetapi atas dasar Islam, dari segi akidah Islam, keadaan itu berlaku apabila ada persamaan dari segi dasar parti. PAS adalah dasar Islam. UMNO kalau buang dasar kepada Islam, barulah boleh dilihat ke arah usaha perpaduan.

“Kalau UMNO tidak ubah dasar, masih kepada kebangsaan, ia tidak akan berlaku,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa pula berpendapat cadangan Dr Zakir adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan kerana kedua-dua parti mempunyai dasar berbeza.tersebut boleh menjadi kenyataan jika salah satu daripada parti tersebut bersedia mengubah dasar perjuangan mereka.

“Saya juga merasakan beliau (Dr Zakir) mungkin tidak memahami realiti sebenar politik di negara ini. Jika kerjasama PAS dengan UMNO dikatakan mampu membawa kebaikan untuk negara ini, ternyata ia adalah satu pemahaman yang salah,” tegasnya.

Menurutnya, UMNO itu sudah rosak sepenuhnya bermula dari atas,  sukar diperbaiki dan bagaimana pula PAS yang selama ini berjuang melawan UMNO boleh membentuk kerjasama dengan lawan mereka.

Beliau juga berkata, PAS akan berada di landasan yang lebih baik jika tidak sesekali bersama UMNO kerana kita sukar untuk nampak kebaikan sebagaimana kata Dr Zakir.

Katanya, adalah lebih baik Dr Zakir tidak banyak berbicara tentang politik negara ini untuk mengelak lebih banyak tanggapan lain, katanya.

Amat nyata, cadangan dan saranan Dr Zakir bagi PAS, bagaikan 'mencurah air di daun keladi' yang bagi PAS hanya ia sahaja memperjuangkan dasar Islam, UMNO pula berjuang demi kebangsaan.

Thursday, December 3, 2015

HARAP NAJIB JAWAP SENDIRI ISU DERMA RM2.67B ELAK TOHMAHAN BERTERUSAN...


Rakyat Malaysia dan yang berminat dengan isu kontroversi derma RM2.67 bilion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri pastinya menunggu hari ini untuk mengetahui jawapannya.

Jawapan yang tertangguh begitu lama diharapkan akan mengurangkan sedikit ‘keriuhan politik’ selain menghapuskan tuduhan dan tohman kepada Perdana Menteri.

Harapan ialah Perdana Menteri dapat meyakinkan semua pihak, khususnya rakyat bahawa derma yang disalurkan ke akaun bank peribadinya tidak digunakan untuk peribadi.

Pada 5 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawapan akan diberikan di Dewan Rakyat mengenai isu berkenaan.

Hari ini 3 November adalah hari terakhir sesi persidangan Dewan Rakyat penggal ini dan hari inilah janjinya isu RM267 bilion itu akan dijawab.

Banyak persoalan dan banyak juga keraguan yang ditimbulkan, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi di kalangan orang UMNO sendiri.

Antara persoalan:

1.      Siapa sebenarnya penderma berkenaan?
2.      Apakah benar ia derma atau ada niat atau hasrat lain oleh penderma?
3.      Ke mana RM2.67b itu disalurkan? Semuanya kepada Barisan Nasional (BN)?
4.      Benarkah semua parti dalam BN mendapatnya?
5.      Benarkah kebanyakan calon BN mendapat habuan daripada derma itu?
6.      Apakah semua RM2.67b itu di belanjakan?
7.      Apakah isu ini bukan suatu skandal seperti didakwa oleh media luar?
8.      Kenapa sehingga ini tiada tindakan, seperti saman kepada pihak-pihak yang membuat ‘tuduhan’?

Dalam usaha menjawab ini, Azalina menjelaskan, adalah baik untuk mengumpul semua soalan dan dijawab sekali gus, hari ini.


Namun yang juga menjadi pertanyaan ialah apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menjawab sendiri persoalan berkenaan.

Ini kerana Anggota Parlimen Pengerang pada 5 November lalu, enggan mengesahkan sama ada Najib akan menjawab sendiri isu ini.

“Sama ada perdana menteri akan jawab atau seseorang daripada Jabatan Perdana Menteri, ia bawah bidang kuasa khas perdana menteri,” katanya ketika ditanya sama ada Najib sendiri akan menyentuh perkara itu.

Jika Najib tidak menjawab sendiri, sudah pasti ramai yang tidak akan berpuashati. Najib akan dituduh ‘pengecut’ walaupun jawapan yang disediakan itu tetap sama sahaja, walau sesiapa yang menjawabnya.

Selain itu, kalau Najib tidak menjawabnya di Dewan Rakyat, akan ada pihak yang tidak berpuashati kerana soalan tambahan atau soalan lisan tidak boleh ditanya terus kepada beliau.

Lagipun Dewan Rakyat dilihat sebagai tempat paling sesuai untuk membersihkan dirinya.

Bagi saya, kalaupun Najib menjawab sendiri soalan, rasa tidak puashati di kalangan pihak-pihak tertentu akan tetap wujud, apalagi jika ada soalan perangkap dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu.

Perangkap juga ialah apakah BN atau calonnya yang menerima habuan derma ini berbelanja lebih daripada dihadkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu. Ini akan membuka ruang kepada pembangkang untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Satu perkara yang juga menjadi musykil ialah apakah masa yang diperuntukkan itu benar-benar cukup bagi menampung soalan-soalan balas yang akan dikemukakan.

Ini kerana Azalina sudah mengatakan bahawa sukar bagi ahli parlimen mendapat peluang bagi menyoal atau meminta penjelasan berhubung apa yang akan diperkatakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan SaifulWan Jan berkata, dengan meletak agenda itu pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat adalah tanda keengganan Najib untuk menjawap pengkritiknya.

Perlu ada lebih banyak masa diperuntukkan untuk sesi soal jawab," kata Wan Saiful.

Beliau juga menuduh Najib  tidak serius mahu menjawab soalan. Menurutnya, jika Perdana Menteri serius, perkara itu tidak ditolak ke belakang hingga ke hari yang terakhir.

Menurut Wan Saiful, masa yang terhad diperuntukkan juga akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan pengkritiknya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Saiful menegaskan, dalam usaha untuk kekal berkuasa, Perdana Menteri perlu meyakinkan ahli-ahli Umno tanpa menjadi liabiliti kepada parti, selain meyakinkan rakyat.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata beliau percaya bahawa Najib akan menawarkan "sesuatu yang baru" dalam jawapannya esok.

Apa yang dimaksudkan oleh Azmi itu kita sama-sama tunggu untuk mendengar daripada Najib.
Jika selepas memberikan jawapan tetapi masih ada pihak kurang yakin, terpulanglah kepada mereka.

Selain menjawab kepada Dewan Rakyat, Najib juga akan berdepan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM sudah pun merakamkan kenyataan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin di luar negara, pada Ahad lepas mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons terhadap perkara itu.

Kita berharap jawapan Najib kepada SPRM nanti tiada h bezanya dengan jawapan di Dewan Rakyat hari ini.

Ini kerana hanya ‘jawapan yang konsisten’ akan membuktikan Najib tidak berselindung dalam isu yang memeningkan banyak pemimpin UMNO ketika berdepan dengan rakyat atau penyokong mereka di peringkat akar umbi.

Wednesday, November 25, 2015

PERUBAHAN TRADISI DALAM UMNO KERANA MUHYIDDIN ATAU APA?


 "Pada masa hadapan, jika ada pertandingan atau ada yang mencabar Timbalan Presiden, jangan pula tiba-tiba perubahan tradisi ini diubah semula bagi membolehkan dia berucap di hadapan mesyuarat tiga sayap UMNO berkenaan."

Amalan Timbalan Presiden UMNO merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan Puteri – tidak akan berlaku lagi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan hadapan.

Dengan kata lain, PAU ke 69 akan menyaksikan tradisi dihapuskan apabila mesyuarat itu tidak akan dirasmikan timbalan presiden parti.

Apakah perubahan seperti ini tetap dilakukan sekiranya bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO?

Apakah keputusan dibuat semalam (24 November 2015) dalam keadaan dan sebab-sebab tertentu  untuk mengelakkan pemimpin yang dilihat ‘tidak sebulu dengan Presiden parti’ tidak berucap di hadapan tiga sayap parti?


Ada pemimpin veteran UMNO mengatakan perubahan ini dilakukan oleh presiden parti mengikut kehendak ramai.

Katanya, keputusan yang ditetapkan semalam sebenarnya membuka peluang kepada ketua perwakilan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda kerana golongan muda ini yang akan memimpin parti pada kemudian hari.

"Dengan ini (perubahan), pengikut setiap sayap akan dapat melihat kemampuan ketua mereka dalam membawa agenda-agenda parti kerana kini UMNO itu dipimpin oleh pucuk kepimpinan yang berpandangan jauh," kata pemimpin berkenaan.

Apakah sebelum ini pada setiap mesyuarat tiga sayap itu ketrampilan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri tidak terserlah keupayaan dan kebolehan mereka?

Persoalan asas ialah apakah tidak ada sekelumit niat atau sebab pun dalam membuat perubahan ini disebabkan  gara-gara pertentangan pendirian Timbalan Presiden dengan Presiden serta  ahli MT UMNO yang lain dalam satu-satunya  sebab -  isu 1MDB?

Jika perubahan ini  sesuatu yang dianggap perlu, baharu dan tidak ada kena mengena dengan sebab-sebab ‘onar Timbalan Presiden’, tidak apalah atau ‘wajar’ dilakukan.

Mungkin ia cadangan daripada kajian mendalam yang sudah lama dibuat di atas sebab-sebab pembaharuan yang perlu diperkenalkan.

Namun jika kerana mahu menjamin Timbalan Presiden tidak berucap kepada pemuda, wanita dan puteri, keputusan itu tetap boleh dipersoal keikhlasannya.

Beberapa pemimpin veteran UMNO mengatakan ia bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan sehingga boleh menjejaskan parti.

Lagipun  perubahan sesuatu amalan dalam parti boleh berlaku sekiranya telah mendapat persetujuan termasuk daripada MT UMNO.

Ini bermakna, apa sahaja amalan yang dipraktikkan selama ini tetapi kemudiannya mendapat persetujuan untuk merombak amalan itu, perkara itu bukan satu yang di luar kelaziman.

Keputusan baharu yang dibuat itu boleh mengatasi apa-apa sahaja ketetapan atau amalan selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Selain itu, soal perasmian berkenaan dianggap perkara kecil dan individu (yang merasmikan mesyuarat itu – selama ini Timbalan Presiden UMNO tidak penting... kerana individu akan datang dan pergi.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam  memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing.

Perdana Menteri Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

Ini bermakna ia adalah keputusan sebulat suara oleh anggota MT dan pendokong UMNO di bawah tidak boleh mempersoalkan keputusan itu, apa lagi apabila veteran UMNO sendiri mengatakan ia bukan perkara besar.

Beberapa veteran UMNO berpendapat polemik berterusan yang ditimbulkan sebelum ini hanya akan melemahkan parti terbesar orang Melayu itu terutama di peringkat akar umbi.

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat, apa yang lebih utama adalah pucuk pimpinan di semua peringkat akar umbi perlu melaksanakan tanggungjawab sepenuh hati dan lebih serius dalam memperjuangkan matlamat parti.

Rafidah berkata yang menjadi keutamaan sekarang adalah perjuangan anggota UMNO untuk kepentingan parti, bukan untuk individu tertentu.

Beliau menegaskan, UMNO perlu diperkukuhkan sekiranya mahu terus relevan dan meneraju negara.

Sementara itu, bekas Anggota MT Tan Sri Syed Hamid Albar pula berkata keputusan itu bukan sesuatu yang bercanggah dengan perlembagaan parti meskipun hakikatnya ia menjadi amalan parti itu sebelum ini.

"Mungkin isu ini akan menjadi persoalan dan teka-teki dalam kalangan para pemerhati politik, tapi saya nampak persoalan itu pun telah dijawab oleh Presiden UMNO," katanya.

Sementara itu, Datuk Abu Bakar Lajim berkata mana-mana individu tidak harus beremosi dengan keputusan yang diambil oleh MT UMNO itu.

Emosi atau tidak emosi seseorang pemimpin bukan dapat dilihat ketika PAU kerana di dalam dewan di PWTC memang setiap tahun ‘berdegar-degar’, namun selepas itu apabila tiba pilihan raya, ramai yang tersungkur bak  pepatah, “Ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”.

Hakikatnya, sekat menyekat bukan amalan yang baik untuk UMNO.

Ini kerana akan ada mereka yang bersimpati dan juga akan ada semakin ramai yang akan ‘membenci’ dengan tindakan-tindakan yang dilihat ‘kebudak-budakan’ hanya kerana bimbang tidak tentu pasal kepada pengaruh seseorang.

Pemimpin yang kuat tidak bimbang kepada saingan atau ancaman yang mendatang.

Sebaliknya,  hanya yang pengecut sahaja melihat empat penjurunya sedang dikepung sedangkan  realitinya mereka takut kepada bayang-bayang sendiri.

Kita berharap perubahan yang dilakukan semalam tidak akan diubah kembali apabila pada masa hadapan selepas Timbalan Presiden baru dipilih.

Juga, pada masa hadapan, jika ada pertandingan atau ada yang mencabar Timbalan Presiden, jangan pula tiba-tiba perubahan tradisi ini diubah semula bagi dibolehkan dia berucap di hadapan mesyuarat  tiga sayap UMNO berkenaan.

Semua dalam UMNO maklum betapa pentingnya ucapan seperti ini pada sesuatu pemilihan UMNO yang dilihat sebagai 'kempen terakhir'.

Juga kepada Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri, serlahkan kemampuan anda bukan sahaja pada perasmian mesyuarat ketiga-tiga sayap tetapi menjadi pendokong agenda UMNO bagi menjamin terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Tuesday, November 24, 2015

JUMPA ANAK PENCEROBOH, TIAN CHUA UGUT TIMBALAN PERDANA MENTERI?


"Saya akan pertimbangkan tindakan lanjut, tetapi pada peringkat ini saya minta menteri (Zahid) untuk menarik balik (tuduhan itu)."
 – Tian Chua, Ahli Parlimen Batu

Siapa cabar siapa. Siapa ingatkan siapa!

Dah terbalik kot. Tidak pernah berlaku Menteri Dalam Negeri dicabar dan diminta menarik balik kenyataan, selain mengugut untuk melakukan sesuatu tindakan.

Cabaran itu membayangkan seolah-olah Menteri berkenaan yang juga Timbalan Perdana Menteri melakukan pembohongan besar dan bersifat fitnah.

Kesombongan Ahli Parlimen Batu Tian Chua (Chua Tian Chang) terserlah apabila meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan yang menuduh dirinya sebagai ‘dalang’ pertemuan antara Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III, Jacel H Kiram.


Beliau selanjutnya mengugut akan pertimbangkan tindakan lanjut, tetapi pada peringkat ini beliau hanya mahu menteri (Dr Ahmad Zahid) untuk menarik balik (tuduhan itu).

Malah dengan angkuhnya Tian Chua menyatakam beliau bersedia untuk dipanggil pihak berkuasa untuk disiasat berhubung perjumpaan Nurul Izzah dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Sulu itu yang turut dihadiri beliau.

"Kita tak ada pilihan kalau dipanggil, kita kena pergi dan beri kerjasama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Tian Chua mengakui mereka ke Manila bagi membawa isu hak asasi manusia dan isu kebebasan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tian Chua membuat kenyataan itu gara-gara Dr Ahamad Zahid menuduh Chua mengaturkan mesyuarat Nurul Izzah dengan Jacel

Timbalan Perdana Menteri mengatakan Tian Chua adalah orang di belakang (pertemuan) yang telah mengatur pertemuan itu.

“Tian Chua orang yang bertanggungjawab menjalankan tindakan cara halus untuk menghubungkan apa yang dipanggil 'Kesultanan Sulu' yang kononnya mahu tuntut semula wilayah kesulatan itu hingga ke Sabah.”

Bagi Tian Chua, tuduhan itu adalah liar dan tidak berasas.

Ahli Parlimen Batu itu membidas pendedahan bahawa beliau menjadi dalang yang mengaturkan pertemuan pemimpin parti itu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas, Jacel Kiram, baru-baru ini.

Selain itu,  Tian Chua juga berkata Dr Ahmad Zahid sepatutnya menjawab tujuan sebenar pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang didakwa kerap bertemu dengan Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III sebelum ini.

"Jika Zahid menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara, sepatutnya dia meminta pemerintah Filipina tangkap kumpulan Kiram dan hantar ke Malaysia untuk menghadapi dakwaan," ujarnya.

Tian Chua turut membela Nurul Izzah dengan mengatakan anak bekas Ketua Pembangkang, datuk Seri Anwar Ibrahim itu  tidak pernah merancang melakukan pertemuan itu.

"YB Izzah telah menyatakan kesal kerana tidak berhati-hati dan terlepas menyemak senarai tetamu," katanya lagi.

Bagi Dr Ahmad Zahid, beliau tidak akan menarik balik dakwaan bahawa Ahli Parlimen Batu, Tian Chua itu terlibat mengatur pertemuan dengan jurucakap tentera Sulu, Jacel H Kiram di Manila baru-baru ini.

Menteri Dalam negeri itu menegaskan polis akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR itu.

"Tian Chua jangan nafikan penglibatan beliau dalam penganjuran majlis di Manila dan aturkan pertemuan dengan Jacel.

Dr Ahmad Zahid tidak mahu Tian Chua menafikan perbuatannya melalui media sebaliknya menjawab kepada polis apabila diminta beri kenyataan dan (buat) penafian di mahkamah bahawa beliau tidak terlibat.

Menteri Dalam Negeri berkata, hanya Tian Chua sahaja tahu apa yang berlaku kerana beliau individu yang bertanggungjawab dalam penganjuran majlis tersebut.

Isu ini jika tidak dilakukan dengan baik akan memberikan kemenangan moral kepada pembangkang – PKR dan DAP – selain mengesahkan bahawa tindakan dua pemimpin pembangkang itu betul.

Malah, kemenangan di pihak Tian Chua akan meletakkan imej Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada tahap yang memalukan kerajaan Barisan Nasional.

Jadi dalam menggendalikan kes ini, polis dan pihak berwajib perlu menjamin imej kerajaan dijaga dan dianggap di pihak yang memang.

Sebarang unsur ‘kekalahan’ atau ‘kebenaran kata-kata Tian Chua bahawa Dr Ahmad Zahid sememangnya membuat tuduhan liar dan tidak berasaskan’ akan meletakkan pemimpin UMNO itu pada tahap yang begitu rendah.

Selain itu, apa tindakan pihak berluasa terhadap kata-kata ugutan oleh Tian Chua yang beliau akan melakukan ‘tindakan lanjut’ terhadap Dr Ahmad Zahid?