Wednesday, January 15, 2014

PUSAT GIAT MARA - PEMIMPIN MELAYU DALAM PKR SELANGOR 'MUSANG BERBULU AYAM'?



Daripada lawiayam

Kesal sungguh dengan pemimpin Melayu dalam PKR Selangor.

Demi menjaga periuk nasi dan berkedudukan,  mereka sanggup mengatakan Giat MARA ditutup tiada kaitan dengan Melayu.

Sebaliknya mereka menyokong DAP yang menganggap pembinaan pusat itu di atas ‘tanah haram’.

Sedarlah orang Melayu dan Bumiputera Selangor mengenai cara DAP merampas tanah Bumiputera dan menutup peluang belajar untuk anak Melayu dan Bumiputera. Sepatutnya pemimpin Melayu Selangor dalam PKR ini memperjuangkan hak pusat ini selain menjamin tanah itu untuk tujuan pendidikan.

Lagipun ia didirikan sebelum Pakatan Rakyat (PR) merampas Selangor pada pilihan raya umum 2008.

Sebaliknya mereka tunduk kepada cara DAP merampas tanah dan menutup Pusat Giat MARA ini.

Cara pertama mereka lalukan ialah membekukan semua permohonan TOL untuk tanah yang diduduki. Manakala geran yang dikeluarkan pula, diperam sehinggalah kepimpinan PR berasakan peluang untuk mereka mencari publisiti sudah tersedia.

Apabila peluang itu sudah tiba, mereka pun mengadakan majlis publisiti media kononnya PR prihatin memberikan geran kepada penduduk TOL walaupun sebenarnya telah diluluskan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional.

“Kini, setelah semua status TOL ditarik balik, premis yang berada di atas tanah kerajaan negeri Selangor automatiknya berstatus haram.

Merbahaya jika semakin ramai pemimpin Melayu di Selangor bersikap sebegini dan tunduk kepada kehendak DAP yang ‘menyumpit dengan sebutir peluru beracun untuk dua ekor burung’. Memburukkan keadaan, pemimpin Melayu dalam PKR bagaikan 'musang berbulu ayam' apabila bersekongkol dengan DAP merampas tanah kerajaan dan menutup pusat Giat MARA itu.

Harapkan pemimpin PAS bersuara? Mereka pun sama - 5 kali 2 sahaja!

Maknanya di sini, DAP berniat menghapuskan Puast Giat MARA untuk pelajar Bumiputera dan pada masa yang sama 'merampas' tanah itu untuk dimajukan oleh ahli perniagaan Cina.

Kenyataan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Dr Halimah Ali (kiri) bahawa rampasan tanah Pusat Giat MARA Selayang seperti mana yang dilaporkan media baru-baru ini tiada kaitan dengan hal ehwal pendidikan anak Melayu sangat mengecewakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menegaskan apa yang dilakukan DAP menerusi kerajaan negeri sebaliknya adalah berkaitan dengan hak pemilikan tanah yang masih belum selesai.

“Bukan pasal DAP yang tutup Giat MARA. Itu masalah tanah yang mungkin Giat Mara belum selesaikan setelah mendirikan Giat Mara. Itu prosedur biasa. Ini bukannya pasal Melayu. Ini pasal tanah.

Kami akan bincangkan esok (hari ini) dalam mesyuarat exco. Kami nak dapatkan maklumat status tanah setelah bertahun-tahun (ia didirikan). Kita nak tahu cerita sebenarnya,” katanya kepada The Malaysian Insider. 

Nak cerita apa Wahai Dr Halimah yang tergolong dalam cerdik pandai Melayu di Selangor.

Semalam, The Selangor Chronicle melaporkan DAP menerusi kerajaan negeri Selangor merampas tanah Pusat Giat MARA  Selayang atas alasan ia dibina secara haram di atas tanah kerajaan maka tindakan meroboh perlu dilaksanakan.

Menurut laporan itu, exco Selangor Ean Yong Hian Wah dan wakil dari Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bersama-sama kontraktor telah datang ke Pusat Giat MARA  itu bagi mengeluarkan arahan agar pusat itu ditutup serta-merta.

Lihat tu yang datang bersama Exco ialah wakil Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur lagi.

Untuk apa diperkatakan mengenai tanah berkenaan kalau bukan untuk dimajukan dan terhapuskan pusat berkenaan.

Sebelum ini, Pusat Giat MARA Sabak Bernam sudah ditutup atas arahan sama manakala Pusat Giat Mara Kapar sedang menunggu hari, menurut laporan berkenaan.

Benar Pusat Giat MARA  telah dibangunkan di atas tanah Kerajaan Negeri Selangor dan berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL) tetapi jangan apabila berkuasa Melayu Selangor lupa diri.


Kita amat menaruh harapan agar Badan Perhubungan UMNO Selangor mempertahankan kawasan tanah yang diduduki Pusat Giat MARA Selayang walaupun sudah diarah berpindah oleh kerajaan negeri Selangor bermula hujung tahun lalu.

Pengerusi badan perhubungan itu, Datuk Seri Noh Omar wajar mencari jalan mengatasi masalah ini kerana  pusat latihan kemahiran itu sebenarnya sudah menduduki tanah kerajaan negeri selama 20 tahun.

Institusi ini penting untuk golongan remaja yang tercicir dalam akademik.

"Kita akan berusaha menggunakan apa saja yang perlu untuk mempertahankan hak kita dan berharap dapat membuat permohonan atas tanah yang diduduki oleh pusat Giatmara ini," katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat Tanjong Karang semalam.

 Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dikatakan sudah menghantar surat kepada pengurus Pusat Giat MARA Selayang pada 2 Disember tahun lalu yang menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan memberikan tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 kepada pusat itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan.

Ia kerana pusat berkenaan yang menduduki tanah seluas 11,396 kaki persegi itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, arahan terbaru itu adalah kes kedua pihak kerajaan negeri ingin memusnahkan impian pelajar Giat MARA selepas pusat Giat MARA di Merbau Berdarah, Sabak Bernam diarahkan tutup pada pertengahan 2012.

Tuesday, January 14, 2014

KANGKUNG - LAWAK DICIPTA UNTUK MENGATAKAN NAJIB 'BODOH' DAN LEMBIK


Tak cakap salah, cakap pun salah!

Dengan membuka mulut untuk memberikan contoh kepada penduduk di Kemaman, Najib dipersendakan.

Apakah dengan memberikan contoh ‘harga sayur seperti kangkung yang baik dan turun’ adalah sesuatu yang terlalu rendah pada pemikiran Najib?

Sebagai Perdana Menteri beliau memberikan contoh yang dekat dengan rakyat.

Dalam keadaan penduduk di Kemaman yang rata-ratanya menjalankan aktiviti kehidupan sebagai rakyat biasa,  tidak mungkin atau tidak seharusnya  Najib mahu memperkatakan perkara yang jauh daripada mereka.


Tolonglah, contoh sebegini bagi orang Kuala Lumpur atau Putrajaya mungkin ‘lekeh’ tetapi untuk penduduk Kemaman rasanya tidaklah teruk sangat. Oklah maknanya tu.

Lagi pun yang penting bagai Najib ialah cuba memberitahu orang ramai di Padang Astaka itu bahawa bukan semua harga naik disebabkan oleh kerajaan apabila mengatakan "...ada yang dah turun, kangkung yang dulunya naik sekarang sudah turun.”

Apabila Najib menyebut "Bila turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan," tidaklah dirujukkan kepada kangkung semata-mata.

Ambil contoh harga minyak, apabila dinaikkan bising satu Malaysia tetapi apabila kerajaan menurunkannya semua senyap. Bagai ‘tikus jatuh ke beras’.

Saya kecewa apabila ada blogger yang terikut-ikut dengan mainan atau spin pembangkang dan pihak-pihak tertentu yang mahu perkecil dan menunjukkan Najib seperti seorang yang ‘bodoh’.

Malah melalui chats kumpulan-kumpulan tertentu melalui Whatsapp, mereka turut terikut-ikut dengan pembangkang dan pihak-pihak tertentu yang cuba memperlekehkan Najib.

Atas dasar atau asas apa mahu serang Najib?

Pembangkang merasa tertekan apabila Perdana Menteri turun padang dan bertemu rakyat, apalagi menyerahkan sendiri bantuan.

Untuk menutup kelemahan dan ketidakupayaan mereka, pembangkang dan pihak-pihak yang tidak mahu rakyat menyanjungi Najib mencari perkara yang boleh mereka spinkan.


Kebetulan kangkung antara yang disebut oleh Perdana Menteri dan mereka menggunakan sayuran itu sebagai rujukan utama. Sedangkan banyak lagi contoh lain yang disebut.

Kenapa tidak ambil ikan sebagai contoh dengan mengatakan Najib kempen makan ikan?

Perkara penting yang dilakukan pembangkang ialah kononnya kerajaan tidak melihat isu lebih besar dari segi kenaikan harga.

Apakah sejauh ini ada cadangan bernas daripada pembangkang seperti yang dilakukan oleh kerajaan melalui pelbagai cara seperti memperbanyakkan KR1M, bantuan untuk tanaman musnah, operasi membanteras kenaikan harga, kempen dan sebagainya?

Pembangkang hanya tahu mempersoal, memperlekeh, mempersenda dan memainkan sentimen rakyat. Itu sahaja!

Di sebalik semua itu Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan sedar mengenai kos sara hidup semakin meningkat dan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Jadi tidak adil menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku kenaikan harga barangan. Ini kerana kerajaan telah dan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara bagi memastikan rakyat sentiasa menikmati kehidupan lebih baik.

"Kerajaan sentiasa bersama rakyat. Janganlah dipersalahkan kerajaan kalau harga barang naik, dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pula dimomokkan sebagai 'Barang Naik'," katanya.


Beliau menjelaskan harga barangan meningkat kerana pelbagai sebab dan factor termasuk keadaan semasa, ekonomi dunia, faktor cuaca serta fenomena cuaca ekstrem yang menyebabkan barangan mengalami kekurangan bekalan.

“Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang.

Masa harga (barangan) turun, tak puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji,” katanya.

Najib berkata kerajaan sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Hakikatnya semua tahu faktor yang mendorong ke arah kenaikan harga barang sementara kerajaan terus berusaha mencari jalan dengan pelbagai cara dan pendekatan untuk mengurangkan beban rakyat.

Cuma sedikit menghairankan ialah Menteri atau Timbalan tiada yang bersuara mengenai ‘isu kangkung’ ini, kecuali Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan isu itu tidak perlu dibesarkan.

“Tak perlu kecoh tentang kangkung. Najib bagi contoh bukan semua benda naik harga. Ada yang naik sebab faktor cuaca dan lain-lain. Rasional sedikitlah,” katanya yang dipetik melalui laman mikro, Twitter, semalam.


Betul tu Khairy!

Jangan kita terikut-ikut dengan pihak yang sengaja mahu memperbesarkan perkara kecil untuk mengatakan kononnya Perdana Menteri Malaysia ini ‘bodoh’ dan tidak berbuat sesuatu menangangi masalah rakyat.

Kita berharap Najib tidak kecewa atau tersentuh dengan sindiran seperti ini.

Ini  kerana lawak ini sengaja dicipta untuk mengatakan Perdana Menteri Malaysia sebagai 'dungu' dan lemah macam kangkung!

Monday, January 13, 2014

BANTUAN BANJIR - SIAPA DI SISI RAKYAT KALAU BUKAN UMNO, BN...


"Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan. Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang? Kita nak buktikan sama ada masa senang atau susah, siapa yang berada di sisi rakyat, bukankah UMNO?"
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengotakan janjinya apabila menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa banjir di Kemaman semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di samping meraikan anggota sukarelawan peringkat negeri Terengganu.

Perdana Menteri disambut kira-kira 15,000 hadirin pada majlis penyampaian bantuan kepada 600 keluarga yang terjejas akibat banjir itu.

Mereka merupakan sebahagian daripada hampir 20,000 keluarga di Terengganu yang menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).


Walaupun cuaca mendung dan hujan renyai sekejap-sekejap namun majlis tetap meriah di Padang Astaka itu kerana turut meraikan sukarelawan banjir yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di Kemaman.

Tidak seperti lazimnya, suasana kawasan padang itu penuh dengan keceriaan dan kemeriahan dengan orang ramai yang berpusu-pusu datang meskipun dalam keadaan basah dan becak untuk menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara.

Helikopter yang membawa Perdana Menteri mendarat di Stadium Mak Chili di Chukai kira-kira pukul 9.45 pagi. Turut berada di padang itu untuk menyambut ketibaan Datuk Seri Najib ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Kesudian Datuk Seri Najib menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Kemaman itu memberi semangat baharu kepada penduduk yang kehilangan harta benda dalam bencana itu bulan lalu.


Datuk Seri Ahmad Shabery berkata majlis semalam adalah bukti kerajaan sentiasa membantu rakyat ketika diperlukan. Sebanyak 19,205 keluarga mangsa banjir di Terengganu termasuk 14,000 keluarga di Kemaman diberi bantuan merangkumi produk televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan dapur selain wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Kesemua mangsa banjir di negeri ini dan di negeri lain akan menerima bantuan banjir secara berperingkat selepas majlis pelancaran oleh Perdana Menteri semalam.

Lebih menarik, bantuan banjir ini mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di negeri ini.

Antara produk yang diterima mangsa ialah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan SKMM serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, seramai 19,205 keluarga terbabit banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Berucap pada majlis itu Perdana Menteri berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang.

Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Jika mengikut pemberian biasa, sumbangan adalah RM500 kepada setiap keluarga.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, ketika beliau membuat semasa banjir, jika dikekalkan jumlah bantuan sebanyak RM500 itu, ia tidak berbaloi berbanding kerugian yang ditanggung.

Berikutan itu, kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi bantuan banjir, parti politik dan badan bukan kerajaan, telah mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan.

Ia bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah yang tidak dapat dielakkan itu. Amat nyata kerajaan melaksanakan dasar dan falsafah rakyat didahulukan.

Ketika berucap pada majlis itu, Najib berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang

 "Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Kalau ikut dasar kita, kita beri sumbangan RM500 kepada setiap keluarga. Tapi tinjauan saya semasa banjir, kalau kekal (jumlah bantuan itu), tidak berbaloi berbanding kerugian yang dipikul," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan badan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah itu.

"Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan. Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang?.

Kita nak buktikan sama ada masa senang atau susah, siapa yang berada di sisi rakyat, bukankah UMNO?," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka.

Najib berkata, pemimpin UMNO dan BN sentiasa berlaku adil kepada rakyat tanpa mengira parti dengan memastikan nilai bantuan yang dihulurkan lebih tinggi daripada kepentingan politik.

Pemimpin UMNO sanggup tinggalkan Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu seperti Ahmad Said dan Shabery yang sama-sama turun padang bantu mangsa banjir di Kemaman.

Sebagai pemimpin kita sentiasa bersama-sama rakyat yang dalam kesusahan. “Janganlah sekali-sekala muncul (pemimpin pembangkang) sambil kibar bendera besar tapi tak sampai tahap bantuan seperti UMNO dan BN buat," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan BN tidak pernah membezakan fahaman politik sebaliknya membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Sebaliknya, kerajaan turut membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Kerana itu, kita berharap selepas ini janganlah ada lagi mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu pemberian bantuan ini.

Tidak usahlah mempertikaikan keikhlasan kerajaan dalam membantu dan membela nasib rakyat sedangkan ada antara mereka langsung tidak berbuat apa-apa bagi meringankan beban mangsa banjir.

Apa yang diharapkan ialah bantuan yang diberikan pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Terengganu semalam akan membantu memulihkan semula semangat mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah itu.

Selain itu, kerajaan akan melakukan pelbagai projek bagi menangani masalah banjir di masa depan.

Ini termasuk projek tebatan banjir Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan lebih banyak projek projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.

Najib berkata untuk melaksanakan semua prasarana itu, kerajaan memerlukan lebih banyak peruntukan yang diharap dapat diperoleh daripada tranformasi ekonomi negara.

"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak," katanya.

Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.


Dalam pada itu, Menteri Besar berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya.

Selain projek ini, kos membaiki kemudahan asas yang rosak akibat banjir seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan keperluan asas lain dijangkan menelan berbilion ringgit.

Sementara semua agensi berkaitan dan pasukan keselamatan perlu melakukan kesiapsiagaan lebih rapi dalam menghadapi gelombang banjir berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini.

Kita berdoa agar penerima bantuan banjir tersebut akan bersyukur dan memahami siapa sebenarnya pembela nasib mereka dan siapa pula hanya sekadar menagih undi mereka.

Nota - Sebahagian bahan sudah disiarkan melalui BICARA TERENGGANUKITA, Trg FM, 12 Januari 2014, jam 1.30 tengah hari.

BUGHAH - PAS TERENGGANU ANGGAP HARUSSANI HANYA PANDAI MELEMPAR BATU....

 
Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu merangkap ADUN Bukit Payong mencabar Mufti Perak,  Tan Sri Harussani Zakaria supaya membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik .

Beliau menyifatkan Harussani sebagai hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan dalam isu Bughah.

Sedangkan katanya, rakyat mahukan kepastian bagi mengetahui apakah 'warna kulit' Harussani yang sebenarnya.

Berikutan itu PAS Terengganu (atau pendapat Mohd Nor seorang sahaja) mencabar Harussani untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu.

Jika Harussani gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat, kata Mohd Nor, rakyat boleh menilai bahawa beliau seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat ke 125. 

Baca kenyataan Mohd Nor berikut:

Buka Baju Mufti, Mari Berpencak Digelanggang Politik


Assalamualaikum. Saya ingin menarik perhatian seluruh rakan-rakan yang terkesan dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengeluarkan kenyataan yang agak ekstrem berkenaan dengan perhimpunan “Turun” pada malam tahun baru yang lalu.

Tak perlu saya perincikan segala butir patah kenyataan beliau kerana saya yakin saudara-saudari sekelian boleh mengaksesnya dari internet.

Suka saya mengingatkan kepada Tan Sri agar mengambil pengajaran dari Surah al-Hujuraat ayat 6 berkenaan saranan berhati-hati apabila menerima sebarang berita daripada orang yang fasik. Ibnu Al-Qayyim berkata, Abu Abdillah bin Baththah dalam kitabnya dari Al-Khal’ dari Imam Ahmad bahwasanya beliau berkata: "Tidak layak bagi seorang menyandarkan dirinya untuk berfatwa hingga dalam dirinya terdapat lima karakter:

Pertama: Dia harus memiliki niat baik, karena jika ia tidak memilikinya,tidak ada cahaya berkah baginya dan dalam kata-katanya – Niat Tan Sri dilihat sentiasa melindungi Umno yang mana sepatutnya Tan Sri seorang mufti, sepatutnya bersikap neutral.

Kedua: Dia harus memiliki ilmu, kesabaran, wibawa dan tenang – Dalam hal ini saya melihat Tan Sri kurang sabar kerana selalu gopoh dalam mengeluarkan pendapat terutama apabila melibatkan PAS. Begitu juga kewibawaan Tan Sri sudah pudar contoh terjadi apabila Tan Sri mengeluarkan fatwa haram keatas sambutan Valentine’s Day, Kongsi Raya, Raya Berkembar dengan Krismas dan juga Sure Heboh dimana orang Umno sendiri menolak fatwa Tan Sri malah memperlekehkannya pula.



Ketiga: Dia harus memiliki pemahaman yang kuat dari pengetahuan – Cara Tan Sri mengambil berita sangat lemah contoh seperti yang berlaku pada malam tahun baru yang lalu, tiada siapapun yang datang mahu turunkan kerajaan tetapi hanya mahu kerajaan turunkan harga barang-barang keperluan. Kedua ketika Tan Sri melaporkan akan ada umat Islam dimurtadkan satu masa dahulu dan pemberi maklumat Tan Sri ketika itu Raja Sherina telah ditangkap kerana telah memberikan maklumat palsu. Rupanya maklumat yang Tan Sri sebarkan adalah palsu, dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Keempat: Keperibadian yang kuat dan tidak terpengaruh oleh kritik manusia – Tan Sri tidak dilihat mempunyai peribadi yang kuat kerana sering memberikan fatwa yang belainan kepada pihak yang lain. Contoh apabila penyokong Idris Jusoh yang terang-terang mengangkat banner di hadapan istana Sultan Terengganu dan menggelarkan tuanku sultan sebagai “Natang” (binatang) tiada pula Tan Sri mengeluarkan fatwa bughah kepada mereka. Bukan itu sahaja malah perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menentang kerajaan Kelantan, Selangor dan juga Kedah sedikit masa dahulu, Tan Sri juga ketika itu kelihatan tidak menjumpai perkataan bughah dalam kamus Tan Sri untuk diberikan kepada mereka yang berdemostrasi itu.

Kelima: Memiliki pengetahuan tentang keadaan manusia – Saya percaya yang Tan Sri kurang mempunyai pengetahuan tentang manusia kerana itulah Tan Sri selalu digunakan orang dalam banyak hal terutama menjadi barisan depan dalam membelasah Pakatan Rakyat. Juga dengan mengatakan bahawa ulamak PAS tidak memahami al-Quran, memperlihatkan lagi kedangkalan Tan Sri dalam menilai manusia. Sekurang-kurangnya ulamak PAS telah berjaya menghapuskan kedai-kedai judi di Kelantan dan Terengganu sehingga kini tidak kelihatan lagi.


Tan Sri juga gagal melihat Malaysia ini adalah sebuah Negara demokrasi yang menjamin hak berhimpun dengan aman, apatah hal ini telah diakui oleh banyak pihak bahawa Himpunan Turun malam tahun baru itu berlangsung dalan keadaan aman.

Maka mengisytiharkan bugahah dan halal darah peserta himpunan itu adalah sangat jauh dari kebenaran dimana Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya

Dengan segala bukti yang dinyatakan juga dengan selera Tan Sri yang dilihat tinggi dan konsisten dalam menghentam Pakatan Rakyat, maka sebaiknya Tan Sri membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik dan bukannya hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan.

Ini akan memberikan kepastian kepada rakyat dan mengetahui apakah warna kulit Tan Sri yang sebenarnya. 

Rakyat merindui mufti-mufti seperti Mufti Izzudin, an- Nawawi yang begitu lantang menyuruh raja dan pembesar dahulu yang mengeluarkan harta mereka ketika menghadapi serangan tentera Tartar sebelum mengambil harta rakyat dan bukan seperti sekarang, ketika keadaan ekonomi yang mencengkam hidup rakyata, rakyat dahulu disuruh berkorban dan menanggung sengsara dengan sokongan orang agama yang berkepit dengan BN.

Oleh itu kami mencabar Tan Sri untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu. Jika Tan Sri gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat maka rakyat boleh menilai bahawa Tan Sri seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah “ Dan serulah agama Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang lebih baik (al-Nahl : 125).

Kami juga menggesa agar Tan Sri menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat dan kami juga mendesak pihak kerajaan supaya menyiasat terhadap kenyataan ini yang boleh mencetuskan huru-hara dalam Negara.


Komen saya: 


Mohd Nor juga sepatutnya menegur Mufti Kelantan kerana mempertahan Harussani.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar atas) berkata kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak itu bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baharu minggu lalu.

Menurutnya, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah fiqah namun ia boleh digunakan bagi tujuan memberi tauladan dan contoh.

“Pada pendapat saya, ia hanya contoh, bukan menuduh, tugas kita sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.

“Kalau mereka (peserta) tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu, kalau keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah, kenyataan tersebut sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu,” katanya dipetik Sinar Harian, 7 Januari lalu.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang tampil membuat laporan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak tersebut.

Menurutnya, Harussani memberikan contoh itu supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar tentang apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan pelbagai masalah.