Showing posts with label Bughah. Show all posts
Showing posts with label Bughah. Show all posts

Monday, January 13, 2014

BUGHAH - PAS TERENGGANU ANGGAP HARUSSANI HANYA PANDAI MELEMPAR BATU....

 
Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu merangkap ADUN Bukit Payong mencabar Mufti Perak,  Tan Sri Harussani Zakaria supaya membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik .

Beliau menyifatkan Harussani sebagai hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan dalam isu Bughah.

Sedangkan katanya, rakyat mahukan kepastian bagi mengetahui apakah 'warna kulit' Harussani yang sebenarnya.

Berikutan itu PAS Terengganu (atau pendapat Mohd Nor seorang sahaja) mencabar Harussani untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu.

Jika Harussani gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat, kata Mohd Nor, rakyat boleh menilai bahawa beliau seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat ke 125. 

Baca kenyataan Mohd Nor berikut:

Buka Baju Mufti, Mari Berpencak Digelanggang Politik


Assalamualaikum. Saya ingin menarik perhatian seluruh rakan-rakan yang terkesan dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengeluarkan kenyataan yang agak ekstrem berkenaan dengan perhimpunan “Turun” pada malam tahun baru yang lalu.

Tak perlu saya perincikan segala butir patah kenyataan beliau kerana saya yakin saudara-saudari sekelian boleh mengaksesnya dari internet.

Suka saya mengingatkan kepada Tan Sri agar mengambil pengajaran dari Surah al-Hujuraat ayat 6 berkenaan saranan berhati-hati apabila menerima sebarang berita daripada orang yang fasik. Ibnu Al-Qayyim berkata, Abu Abdillah bin Baththah dalam kitabnya dari Al-Khal’ dari Imam Ahmad bahwasanya beliau berkata: "Tidak layak bagi seorang menyandarkan dirinya untuk berfatwa hingga dalam dirinya terdapat lima karakter:

Pertama: Dia harus memiliki niat baik, karena jika ia tidak memilikinya,tidak ada cahaya berkah baginya dan dalam kata-katanya – Niat Tan Sri dilihat sentiasa melindungi Umno yang mana sepatutnya Tan Sri seorang mufti, sepatutnya bersikap neutral.

Kedua: Dia harus memiliki ilmu, kesabaran, wibawa dan tenang – Dalam hal ini saya melihat Tan Sri kurang sabar kerana selalu gopoh dalam mengeluarkan pendapat terutama apabila melibatkan PAS. Begitu juga kewibawaan Tan Sri sudah pudar contoh terjadi apabila Tan Sri mengeluarkan fatwa haram keatas sambutan Valentine’s Day, Kongsi Raya, Raya Berkembar dengan Krismas dan juga Sure Heboh dimana orang Umno sendiri menolak fatwa Tan Sri malah memperlekehkannya pula.



Ketiga: Dia harus memiliki pemahaman yang kuat dari pengetahuan – Cara Tan Sri mengambil berita sangat lemah contoh seperti yang berlaku pada malam tahun baru yang lalu, tiada siapapun yang datang mahu turunkan kerajaan tetapi hanya mahu kerajaan turunkan harga barang-barang keperluan. Kedua ketika Tan Sri melaporkan akan ada umat Islam dimurtadkan satu masa dahulu dan pemberi maklumat Tan Sri ketika itu Raja Sherina telah ditangkap kerana telah memberikan maklumat palsu. Rupanya maklumat yang Tan Sri sebarkan adalah palsu, dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Keempat: Keperibadian yang kuat dan tidak terpengaruh oleh kritik manusia – Tan Sri tidak dilihat mempunyai peribadi yang kuat kerana sering memberikan fatwa yang belainan kepada pihak yang lain. Contoh apabila penyokong Idris Jusoh yang terang-terang mengangkat banner di hadapan istana Sultan Terengganu dan menggelarkan tuanku sultan sebagai “Natang” (binatang) tiada pula Tan Sri mengeluarkan fatwa bughah kepada mereka. Bukan itu sahaja malah perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menentang kerajaan Kelantan, Selangor dan juga Kedah sedikit masa dahulu, Tan Sri juga ketika itu kelihatan tidak menjumpai perkataan bughah dalam kamus Tan Sri untuk diberikan kepada mereka yang berdemostrasi itu.

Kelima: Memiliki pengetahuan tentang keadaan manusia – Saya percaya yang Tan Sri kurang mempunyai pengetahuan tentang manusia kerana itulah Tan Sri selalu digunakan orang dalam banyak hal terutama menjadi barisan depan dalam membelasah Pakatan Rakyat. Juga dengan mengatakan bahawa ulamak PAS tidak memahami al-Quran, memperlihatkan lagi kedangkalan Tan Sri dalam menilai manusia. Sekurang-kurangnya ulamak PAS telah berjaya menghapuskan kedai-kedai judi di Kelantan dan Terengganu sehingga kini tidak kelihatan lagi.


Tan Sri juga gagal melihat Malaysia ini adalah sebuah Negara demokrasi yang menjamin hak berhimpun dengan aman, apatah hal ini telah diakui oleh banyak pihak bahawa Himpunan Turun malam tahun baru itu berlangsung dalan keadaan aman.

Maka mengisytiharkan bugahah dan halal darah peserta himpunan itu adalah sangat jauh dari kebenaran dimana Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya

Dengan segala bukti yang dinyatakan juga dengan selera Tan Sri yang dilihat tinggi dan konsisten dalam menghentam Pakatan Rakyat, maka sebaiknya Tan Sri membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik dan bukannya hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan.

Ini akan memberikan kepastian kepada rakyat dan mengetahui apakah warna kulit Tan Sri yang sebenarnya. 

Rakyat merindui mufti-mufti seperti Mufti Izzudin, an- Nawawi yang begitu lantang menyuruh raja dan pembesar dahulu yang mengeluarkan harta mereka ketika menghadapi serangan tentera Tartar sebelum mengambil harta rakyat dan bukan seperti sekarang, ketika keadaan ekonomi yang mencengkam hidup rakyata, rakyat dahulu disuruh berkorban dan menanggung sengsara dengan sokongan orang agama yang berkepit dengan BN.

Oleh itu kami mencabar Tan Sri untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu. Jika Tan Sri gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat maka rakyat boleh menilai bahawa Tan Sri seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah “ Dan serulah agama Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang lebih baik (al-Nahl : 125).

Kami juga menggesa agar Tan Sri menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat dan kami juga mendesak pihak kerajaan supaya menyiasat terhadap kenyataan ini yang boleh mencetuskan huru-hara dalam Negara.


Komen saya: 


Mohd Nor juga sepatutnya menegur Mufti Kelantan kerana mempertahan Harussani.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar atas) berkata kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak itu bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baharu minggu lalu.

Menurutnya, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah fiqah namun ia boleh digunakan bagi tujuan memberi tauladan dan contoh.

“Pada pendapat saya, ia hanya contoh, bukan menuduh, tugas kita sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.

“Kalau mereka (peserta) tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu, kalau keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah, kenyataan tersebut sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu,” katanya dipetik Sinar Harian, 7 Januari lalu.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang tampil membuat laporan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak tersebut.

Menurutnya, Harussani memberikan contoh itu supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar tentang apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan pelbagai masalah.

Tuesday, January 7, 2014

HARUSSANI - JANGAN JADIKAN DEMONSTRASI TINDAKAN BIASA, JALAN PINTAS...


"Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh."
- Tan Sri Hasrussani Zakaria

Pemuda Pas menyatakan akan membuat laporan polis terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut.

Timbalan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan nyawa warganegara.

Justeru katanya, Dewan Pemuda Pas di seluruh negara perlu mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan Harussani.

"Dewan Pemuda Pas di seluruh negara diarah membuat laporan polis secara serentak pada hari ini (semalam) atau esok (hari ini) (6 dan 7 Januari 2014).

"Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan dengan menyiasat kenyataan beliau (Harussani) itu," katanya dalam satu kenyataan media yang turut menggesa Harussani menarik balik kenyataannya.

Media minggu lalu melaporkan Harussani sebagai berkata, peserta himpunan Turun pada 31 Disember 2013 yang lepas adalah 'bughah' dan halal darah mereka kerana disifatkan sebagai penderhaka kepada negara. Susulan itu, Harussani telah dikecam pelbagai pihak.

Namun mufti itu kemudiannya tampil menjelaskan, 'bughah' yang dimaksudkan beliau merujuk kepada demonstrasi pertama, iaitu 'guling kerajaan'.

Menurut Harussani, kenyataan berliau bersandarkan firman ALLAH menerusi surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud; ‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’


Kenyataan Penuh Tan Sri Harussani Zakaria Mengenai Isu Bughah, Halal Darah (7 Jan 2014):

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil.

Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak dihalalkan golongan bughah”. 

Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “bughah” dan demonstrasi.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat.

Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ Turun” sahaja.

Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.

Diizinkan ALLAH saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia.

Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya.


Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.

Nasihat dan peringatan

Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya.

Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud : “…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .

Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.

Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza) 

Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.

Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.

Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen.

Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti Parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah.

Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya.

Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat. 

Larangan memberontak

Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ”.

Sahabat bertanya , “ Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada ALLAH ”.

Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada ALLAH dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya.

Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka. “Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud) 

Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah memberi nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith: “Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.”(HR Imam Ahmad) 

Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya.

Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai ”.

Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab).

Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.


Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.

Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai.

Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.


Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua. Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat.

Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW : Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.

Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini.

Saya tiada niat lain kecuali mencari redha ALLAH dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.