Monday, January 13, 2014
BUGHAH - PAS TERENGGANU ANGGAP HARUSSANI HANYA PANDAI MELEMPAR BATU....
Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu merangkap ADUN Bukit Payong mencabar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik .
Beliau menyifatkan Harussani sebagai hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan dalam isu Bughah.
Sedangkan katanya, rakyat mahukan kepastian bagi mengetahui apakah 'warna kulit' Harussani yang sebenarnya.
Berikutan itu PAS Terengganu (atau pendapat Mohd Nor seorang sahaja) mencabar Harussani untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu.
Jika Harussani gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat, kata Mohd Nor, rakyat boleh menilai bahawa beliau seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat ke 125.
Baca kenyataan Mohd Nor berikut:
Buka Baju Mufti, Mari Berpencak Digelanggang Politik
Assalamualaikum. Saya ingin menarik perhatian seluruh rakan-rakan yang terkesan dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengeluarkan kenyataan yang agak ekstrem berkenaan dengan perhimpunan “Turun” pada malam tahun baru yang lalu.
Tak perlu saya perincikan segala butir patah kenyataan beliau kerana saya yakin saudara-saudari sekelian boleh mengaksesnya dari internet.
Suka saya mengingatkan kepada Tan Sri agar mengambil pengajaran dari Surah al-Hujuraat ayat 6 berkenaan saranan berhati-hati apabila menerima sebarang berita daripada orang yang fasik. Ibnu Al-Qayyim berkata, Abu Abdillah bin Baththah dalam kitabnya dari Al-Khal’ dari Imam Ahmad bahwasanya beliau berkata: "Tidak layak bagi seorang menyandarkan dirinya untuk berfatwa hingga dalam dirinya terdapat lima karakter:
Pertama: Dia harus memiliki niat baik, karena jika ia tidak memilikinya,tidak ada cahaya berkah baginya dan dalam kata-katanya – Niat Tan Sri dilihat sentiasa melindungi Umno yang mana sepatutnya Tan Sri seorang mufti, sepatutnya bersikap neutral.
Kedua: Dia harus memiliki ilmu, kesabaran, wibawa dan tenang – Dalam hal ini saya melihat Tan Sri kurang sabar kerana selalu gopoh dalam mengeluarkan pendapat terutama apabila melibatkan PAS. Begitu juga kewibawaan Tan Sri sudah pudar contoh terjadi apabila Tan Sri mengeluarkan fatwa haram keatas sambutan Valentine’s Day, Kongsi Raya, Raya Berkembar dengan Krismas dan juga Sure Heboh dimana orang Umno sendiri menolak fatwa Tan Sri malah memperlekehkannya pula.
Ketiga: Dia harus memiliki pemahaman yang kuat dari pengetahuan – Cara Tan Sri mengambil berita sangat lemah contoh seperti yang berlaku pada malam tahun baru yang lalu, tiada siapapun yang datang mahu turunkan kerajaan tetapi hanya mahu kerajaan turunkan harga barang-barang keperluan. Kedua ketika Tan Sri melaporkan akan ada umat Islam dimurtadkan satu masa dahulu dan pemberi maklumat Tan Sri ketika itu Raja Sherina telah ditangkap kerana telah memberikan maklumat palsu. Rupanya maklumat yang Tan Sri sebarkan adalah palsu, dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.
Keempat: Keperibadian yang kuat dan tidak terpengaruh oleh kritik manusia – Tan Sri tidak dilihat mempunyai peribadi yang kuat kerana sering memberikan fatwa yang belainan kepada pihak yang lain. Contoh apabila penyokong Idris Jusoh yang terang-terang mengangkat banner di hadapan istana Sultan Terengganu dan menggelarkan tuanku sultan sebagai “Natang” (binatang) tiada pula Tan Sri mengeluarkan fatwa bughah kepada mereka. Bukan itu sahaja malah perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menentang kerajaan Kelantan, Selangor dan juga Kedah sedikit masa dahulu, Tan Sri juga ketika itu kelihatan tidak menjumpai perkataan bughah dalam kamus Tan Sri untuk diberikan kepada mereka yang berdemostrasi itu.
Kelima: Memiliki pengetahuan tentang keadaan manusia – Saya percaya yang Tan Sri kurang mempunyai pengetahuan tentang manusia kerana itulah Tan Sri selalu digunakan orang dalam banyak hal terutama menjadi barisan depan dalam membelasah Pakatan Rakyat. Juga dengan mengatakan bahawa ulamak PAS tidak memahami al-Quran, memperlihatkan lagi kedangkalan Tan Sri dalam menilai manusia. Sekurang-kurangnya ulamak PAS telah berjaya menghapuskan kedai-kedai judi di Kelantan dan Terengganu sehingga kini tidak kelihatan lagi.
Tan Sri juga gagal melihat Malaysia ini adalah sebuah Negara demokrasi yang menjamin hak berhimpun dengan aman, apatah hal ini telah diakui oleh banyak pihak bahawa Himpunan Turun malam tahun baru itu berlangsung dalan keadaan aman.
Maka mengisytiharkan bugahah dan halal darah peserta himpunan itu adalah sangat jauh dari kebenaran dimana Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya
Dengan segala bukti yang dinyatakan juga dengan selera Tan Sri yang dilihat tinggi dan konsisten dalam menghentam Pakatan Rakyat, maka sebaiknya Tan Sri membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik dan bukannya hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan.
Ini akan memberikan kepastian kepada rakyat dan mengetahui apakah warna kulit Tan Sri yang sebenarnya.
Rakyat merindui mufti-mufti seperti Mufti Izzudin, an- Nawawi yang begitu lantang menyuruh raja dan pembesar dahulu yang mengeluarkan harta mereka ketika menghadapi serangan tentera Tartar sebelum mengambil harta rakyat dan bukan seperti sekarang, ketika keadaan ekonomi yang mencengkam hidup rakyata, rakyat dahulu disuruh berkorban dan menanggung sengsara dengan sokongan orang agama yang berkepit dengan BN.
Oleh itu kami mencabar Tan Sri untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu. Jika Tan Sri gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat maka rakyat boleh menilai bahawa Tan Sri seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah “ Dan serulah agama Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang lebih baik (al-Nahl : 125).
Kami juga menggesa agar Tan Sri menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat dan kami juga mendesak pihak kerajaan supaya menyiasat terhadap kenyataan ini yang boleh mencetuskan huru-hara dalam Negara.
Komen saya:
Mohd Nor juga sepatutnya menegur Mufti Kelantan kerana mempertahan Harussani.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar atas) berkata kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak itu bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baharu minggu lalu.
Menurutnya, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah fiqah namun ia boleh digunakan bagi tujuan memberi tauladan dan contoh.
“Pada pendapat saya, ia hanya contoh, bukan menuduh, tugas kita sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.
“Kalau mereka (peserta) tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu, kalau keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah, kenyataan tersebut sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu,” katanya dipetik Sinar Harian, 7 Januari lalu.
Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang tampil membuat laporan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak tersebut.
Menurutnya, Harussani memberikan contoh itu supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar tentang apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan pelbagai masalah.
Sunday, January 12, 2014
Pegawai Khas Menteri Mana Terus Dikenakan Tahanan Reman?
Tiga individu termasuk seorang pegawai khas menteri ditahan reman pada Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan permintaan dan pemberian wang suapan berkaitan pemberian tender.
Hari ini, tempoh reman pegawai khas menteri dan ahli perniagaan berpangkat 'Datuk' yang ditahan berhubung dakwaan rasuah berkaitan tender pembersihan di sebuah kementerian, disambung dua hari lagi.
Pendaftar Mahkamah Majistret, Rozaidi Yaacob, membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas kedua individu berkenaan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Kedua-dua mereka mula ditahan reman selama empat hari sejak Khamis lalu bersama seorang lagi suspek iaitu seorang wanita berjawatan setiausaha.
Menurut laporan media, Mahkamah Majistret Putrajaya, 9 Disember lalu mengeluarkan perintah reman terhadap tiga individu termasuk pegawai khas seorang menteri bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan permintaan dan penerimaan wang sogokan berkaitan pemberian tender.
Majistret Nur Dahlia Azmi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan ketiga-tiganya iaitu dua lelaki dan seorang wanita bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Selain pegawai khas tersebut, mereka yang direman ialah seorang pemilik syarikat bergelar Datuk dan seorang setiausaha wanita sebuah kementerian di Putrajaya.
Mahkamah membenarkan setiausaha berkenaan direman selama tiga hari hingga Sabtu ini manakala pegawai khas dan ahli perniagaan tersebut direman selama empat hari sehingga Ahad ini (semalam).
Mereka yang berumur di antara 31 dan 48 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu kesalahan meminta atau menerima rasuah.
Difahamkan, mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap seorang suspek yang dipercayai meminta wang sogokan sebanyak 10 peratus daripada nilai tender yang dikatakan untuk diserahkan kepada pegawai atasan.
Ketiga-tiganya dibawa ke pekarangan mahkamah dalam keadaan bergari selepas ditangkap kira-kira pukul 6 pagi oleh sepasukan anggota SPRM.
Thursday, January 9, 2014
PENINGKATAN KOS BOLEH TINGKATKAN KEGANASAN TERHADAP KANAK-KANAK?
Apakah kes penderaan kanak-kanak akan meningkat seiring dengan kenaikan kos hidup yang semakin tinggi?
Apakah benar kekecewaan yang meningkat dalam kehidupan di bandar, tekanan kerja, isu kewangan, kehilangan keselesaan dalam keluarga, boleh membawa kepada kemarahan memuncak seseorang sejak kebelakangan ini?
Jawapan yang diberikan pakar psikatri mengenai dua solan berkenaan ialah ‘Ya”. Ini membimbangkan kita.
Apapun, mereka yang melakukan penderaan kanak-kanak berkemungkinan juga menjadi mangsa terhadap perlakuan diri sendiri dan mengalami beberapa bentuk penyakit mental atau gangguan personaliti.
Berikutan itu pakar memberi amaran bahawa kes-kes penderaan kanak-kanak berkemungkinan besar akan meningkat akibat tahap tekanan yang ditanggung keluarga dalam usaha untuk menangani kos hidup yang tinggi.
Persatuan Kesihatan Mental Malaysia berkata kekecewaan yang meningkat dalam kehidupan di bandar, tekanan kerja, isu kewangan, kehilangan keselesaan dalam keluarga, semua ini dikesan boleh membawa kepada kemarahan memuncak seseorang sejak kebelakangan ini.
"Kemarahan ini sering membawa kepada serangan agresif yang boleh dipindahkan ke arah orang yang disayangi," kata timbalan presidennya, Datuk Dr Andrew Mohanraj Chandrasekaran.
Perunding psikiatri menambah: "Kos sara hidup yang meningkat dan harapan yang tinggi dalam kehidupan di bandar sering menyaksikan kedua-dua ibu bapa bekerja."Sistem keluarga nuklear (keluarga asas) adalah normal berbanding keluarga yang besar, satu perkara yang telah berlalu. "Ini juga bermakna kekecewaan yang lebih besar dialami oleh kedua-dua ibu bapa yang bekerja terutamanya dengan peningkatan kos hidup dan menjalani hidup di luar kemampuan seseorang yang membawa kepada kehancuran kewangan."
Dr Andrew mengulas laporan dalam akhbar 'The Star' mengenai kes seorang kanak-kanak yang telah disapu cili pada kemaluan dan disumbat cili pada mulutnya dan satu lagi kes kanak-kanak yang meninggal dunia selepas ditendang dan dicampak ke lantai.
Beliau telah dimaklumkan bahawa jumlah kes penderaan kanak-kanak yang lebih besar telah dibawa ke hospital awam untuk penilaian perubatan pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Dr Andrew berkata keluarga perlu hidup mengikut kemampuan mereka dan ibu bapa perlu menjadi teladan dengan berhemat dalam berbelanja.
"Tidak ada keperluan untuk membeli sebuah telefon pintar untuk anak berusia 10 tahun dengan akses internet hanya untuk bersaing dengan jiran-jiran atau untuk menutup mulut anak," katanya.
Beliau berkata guru juga perlu diajar berwaspada untuk mengesan kes-kes penderaan kanak-kanak.
Pada masa yang sama, langkah-langkah punitif perlu ditingkatkan terhadap ibu bapa bukan sahaja dalam kes penderaan kanak-kanak tetapi juga terhdap anak-anak yang diabaikan mereka, kata Dr Andrew.
Bekas Presiden Persekutuan Asean bagi Psikiatri dan Kesihatan Mental (AFPMH) Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata kegagalan dalam perkahwinan atau masalah kewangan boleh mencetuskan seseorang bertindak ganas.
Beliau berkata mereka yang melakukan penderaan kanak-kanak berkemungkinan menjadi mangsa terhadap perlakuan diri sendiri dan mengalami beberapa bentuk penyakit mental atau gangguan personaliti. "Ia hanya memerlukan faktor tidak diduga yang berlaku secara pantas (seperti masalah perkahwinan atau masalah kewangan) untuk meletakkan individu-individu (yang telah menjadi mangsa ) pada risiko menjadi pendera," katanya.
Dr Mohamad Hussain mengeluh apabila terdapat pihak memilih untuk mengabaikan kes-kes penderaan kanak-kanak. "Kadang-kadang datuk dan nenek, ibu saudara atau bapa saudara tahu apa yang sedang berlaku tetapi bukannya membantu kanak-kanak itu, mereka hanya buat-buat tidak nampak dan membiarkan penderaan terus dilakukan.
"Bantuan sering sampai kepada kanak-kanak kemudiannya, pada peringkat tulang telah patah. "Apabila ini berlaku, diri anda bertanya apa masalahnya dengan masyarakat hari ini," kata beliau.
Profesor Madya Dr Andrew Aeria di Universiti Malaysia Sarawak percaya bahawa "tekanan hidup industri" akan meningkatkan bilangan kes penderaan kanak-kanak.
Beliau berkata kerajaan harus melihat bahawa tekanan mental merupakan isu kesihatan yang serius. "Hakikatnya penderaan yang berlaku adalah isu kesihatan mental," katanya.
Dr Aeria, pakar dalam bidang sains sosial, pasti bahawa kos sara hidup yang meningkat akan meningkatkan tahap tekanan dan memberi tekanan dalam kehidupan moden.
Beliau mencadangkan agar lebih banyak pusat kaunseling diwujudkan di bandar dan diperkenalkan di kawasan-kawasan perumahan di mana mereka yang berada dalam kesusahan boleh menerima bantuan yang diperlukan.
Dr Lai Fong Hwa, seorang pakar psikiatri di Hospital Besar Pulau Pinang berkata kenaikan kos hidup boleh menjadi faktor mencetuskan pencerobohan terhadap seseorang individu jika dia tidak dapat menampung beban. "Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Semuanya bergantung kepada individu itu dan sama ada dia bersedia atau tidak untuk membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan untuk menampung kos sara hidup yang meningkat, "kata Dr Lai.
"Dalam masa-masa seperti ini, anda perlu mengambil langkah ke belakang dan menetapkan semula keutamaan anda. "Sentiasa ingat bahawa keluarga anda adalah yang pertama dan bukannya kekayaan material."
Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata semua mata akan tertumpu kepada dasar fiskal Putrajaya memandangkan kenaikan harga mula membebani rakyat.
Beliau berkata dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, dan lebih banyak pemotongan subsidi dijangka berlaku, persoalan lebih banyak akan dibangkitkan mengenai kredibiliti Kerajaan.
"Rakyat akan meletakkan lebih penelitian ke atas perbelanjaan kerajaan dan jika dasar ekonomi difikirkan tidak baik, keadaan itu akhirnya akan memburukkan lagi permintaan domestik," katanya.
Liew, yang memperoleh suara terbanyak dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP baru-baru ini berkata kenaikan harga itu akan memberi kesan semua orang.
"Orang ramai akan cuba untuk menjimatkan wang, kurang berbelanja dan mendapatkan pendapatan sampingan. Apabila semua orang yang menawarkan khidmat dan tidak ada yang membuat pembelian, permintaan dalam negeri akan jatuh," katanya.
Beliau berkata satu-satunya cara bagi kerajaan untuk mengurangkan kesan ke atas orang ramai akan ialah dengan menghapuskan "pembaziran" dalam pelbagai sektor dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan bukannya memotong subsidi bahan api.
"Saya percaya kerajaan mempunyai hak untuk menaikkan harga petrol tetapi ia hanya harus dilakukan apabila pengangkutan awam yang berkesan dan cekap.
"Untuk menyediakan pengangkutan awam yang cekap, ia tidak semestinya mmerlukan MRT," katanya merujuk kepada projek Kerajaan Persekutuan yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi.
"Ini akan membolehkan lebih ramai orang untuk melobi bagi mendapatkan kontrak. Adakah kita benar-benar menggalakkan orang ramai untuk menaiki bas?
"Jika kita telah berjaya menggalakkan orang ramai untuk beralih kepada pengangkutan awam, barulah kita boleh bercakap tentang menaikkan harga petrol," katanya.
Selain kos sara hidup, Liew melihat 2014 sebagai ujian untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bagaimana beliau mengendalikan "pelampau" dan NGO-NGO berhaluan kanan yang menjadi batu penghalang kepada masyarakat pelbagai budaya Malaysia.
"Apa sahaja yang dilakukan pada tahun ini akhirnya akan memberi kesan kepada negara pada tahun-tahun akan datang.
Dia perlu membuat keputusan sama ada mahu terus mengambil pendekatan sederhana seperti bagaimana 1Malaysia digambarkan atau sebaliknya," katanya.
Liew tidak menolak kemungkinan populariti Barisan Nasional merosot terutamanya di kawasan pinggir bandar pada tahun ini.
'GRAND DESIGN' SIAPA YANG CUBA MELAGA-LAGAKAN AHMAD SAID DENGAN ISTANA?
"...Apabila saya baca (kenyataan) itu kelmarin, tidak munasabah apabila seseorang ke Kemaman yang memperkenalkan diri sebagai adinda Tuanku, tak kan orang Kemaman, Pegawai Daerah tidak mengenali siapa adinda Tuanku.”
- Datuk Seri Ahmad Said.
Daripada teganuku
KUALA TERENGGANU (9 Januari 2014) - Siapa tidak kecewa apabila niat baik dan kerja baik untuk rakyat dibalas dengan FITNAH dan hemburan kata-kata yang menghina!
Lebih memburukkan, fitnah yang dilemparkan itu seolah-olah mahu memperkecilkan sumbangan tenaga dan pemikiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk rakyat Terengganu, khususnya di Kemaman dalam menghadapi keadaan ketika dan selepas banjir.
Perbuatan memfitnah beliau kononnya menyeleweng bantuan pihak istana untuk mangsa banjir di Kemaman sungguh MENGEJUT dan MENGECEWAKAN.
Malah fitnah itu seolah-olah ada suatu ‘grand design’ yang SENGAJA mahu melaga-lagakan beliau dengan istana.
Apakah kerana selama ini beliau kelihatan rapat dengan istana Terengganu menyebabkan ada pihak cuba merenggangnya?
Apakah kerja ini sengaja dilakukan oleh pihak tertentu melalui laman sosial, khususnya Facebook untuk mengatakan bahawa ‘masa sudah tiba’ untuk beliau disingkirkan oleh istana selepas menjadi Menteri Besar selama lima tahun?
Kejadian terbaharu, Ahmad Said didakwa oleh sebuah laman sosial 'Pakatan Rakyat Election News' menerusi Facebook pada Isnin lalu mendakwa bantuan pihak istana tersebut tidak diagih oleh Menteri Besar berkenaan.
Sebaliknya bantuan disonglap oleh Ahmad Said yang menyebabkan kemurkaan pihak istana.
Memburukkan lagi keadaan, kononnya ada pihak dari istana yang dikatakan menyamar dan turun ke Kemaman untuk mendapat tindak balas rakyat mengenai bantuan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.
Lebih serius, laman berkenaan mengatakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman tempoh hari, telah menyerahkan bantuan peribadinya untuk mangsa-mangsa banjir melalui Ahmad Said.
Menurut lama sosial itu, hasil siasatan yang dibuat oleh adinda Sultan Terengganu itu, (Tengku Panglima), bantuan tersebut tidak disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Ini bermakna Ahmad Said ‘telah mengyonglap keseluruhan wang tersebut’ untuk kepentingan dirinya. Malang sekali cerita sebegini direka dan disebarkan melalui media sosial.
Sedangkan sebagai orang Islam, semua tahu ‘fitnah itu lebih kejam daripada membunuh’.
Amat nyata, FITNAH yang disebarkan itu bertujuan membunuh karier politik Ahmad Said dan sekaligus MENJATUHKAN beliau daripada jawatan Menteri Besar.
Dengan cuba menimbulkan kebencian rakyat dan melaga-lagakan Ahmad Said dengan istana, pihak berkenaan berharap ‘grand design’ mereka akan menyebabkan Menteri Besar itu terpelanting daripada jawatannya.
Memanglah cerita begini menarik, seronok dan sedap untuk disebarkan.
Tetapi wajarkah kita sebagai rakyat yang sayangkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini boleh terpedaya dengan ‘satu berita yang dibawa oleh mereka yang fasiq’?
“Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasiq membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan”.
Sebagai rakyat Terengganu yang berpegang teguh kepada agama Islam, orang beriman sewajarnya tidak mengambil bulat-bulat apa yang dibawa oleh mereka yang fasiq ini melainkan diperiksa terlebih dahulu kesahihan berita tersebut.
“…sebab itu Islam sebut sekiranya datang kepada kamu seorang yang munafik membawa fitnah, hendaklah kamu siasat sama ada perkara itu betul ataupun tidak. Sebab apabila saya baca (kenyataan) itu selepas dimaklumkan kelmarin, maknanya tidak munasabah bayangkan apabila seseorang ke Kemaman yang memperkenalkan diri sebagai adinda Tuanku, tak kan orang Kemaman, Pegawai Daerah tidak mengenali siapa adinda Tuanku,” tegas Ahmad Said.
Dengan mempercayai perkataan orang fasiq tanpa periksa akan menyebabkan tindakan seseorang akan tersasar dari kebenaran, yang akan menyebabkan berlaku fitnah dan kezaliman keatas pihak yang tidak berdosa.
Lebih memudaratkan dengan adanya media social sekarang, FITNAH itu bagaikan sesuatu yang benar da nada yang menokok tambah ketika menyebarkan berita berkenaan secara melulu tanpa memeriksa kesahihan dan kebenaranya terlebih dahulu.
Dua perkara yang boleh dijadikan TANDA TANYA sekiranya terbaca atau terlayar tulisan di laman social ‘'Pakatan Rakyat Election News' itu:
1. Tidak logik sama sekali Tuanku Sultan menyerahkan bantuan kepada rakyat melalui Menteri Besar kerana Tuanku Mizan yang mesra dengan rakyat pastinya berkenan untuk menyampaikannya sendiri. Tindak munasabah bagi Sultan Terengganu itu tidak menyampaikan sendiri bantuan kerana sebelum ini pun, seperti di Besut, Tuanku Sultan yang mencemarkan duli melawat rakyat lebih gemar menyampaikan sendiri bantuan berkenaan.
2. Mustahil tiada siapa yang mengenali TENGKU PANGLIMA yang kononnya ‘dihantar’ ke Kemaman untuk menyiasat kes kononnya Menteri Besar songlap duit rakyat.
Kerana itu semalam Menteri Besar itu meluahkan kekecewaannya kepada media apabila terus difitnah dan dituduh dengan tuduhan tidak berasas oleh pihak tertentu yang dilihat mahu menjatuhkan reputasinya.
Bercakap kepada pemberita di selepas Mesyuarat Exco, Menteri Besar menyifatkan kenyataan melalui Facebook oleh pihak tertentu itu sangat tidak munasabah.
"Saya tidak tahu apa motif mereka. Sedangkan ketika itu saya ada bersama Tuanku semasa majlis bantuan penyampaian barangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cukai dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman di Kemaman," katanya.
Beliau kesal kerana susulan kenyataan tidak berasas itu, ramai pengguna Facebook memberi komen negatif dan melemparkan pelbagai tuduhan tidak wajar kepada beliau.
“Apabila adanya FB, Twitter, SMS, Instagram dan sebagaianya, sepatutnya manusia lebih bertamadun. Apatah lagi jika orang itu adalah orang Islam, sebab fitnah itu lebih dashyat daripada membunuh.
“Kalau dulu fitnah seorang dari mulut ke mulut, kini dengan kecanggihan media sosial menyebabkan perkara itu tersebar dalam masa beberapa minit sahaja ke seluruh dunia, sedangkan perkara itu sebenarnya tidak betul,” katanya.
Beliau kini menilai dan mengkaji perkara itu dari pelbagai sudut sebelum membuat tindakan seterusnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)




.jpg)








