Wednesday, June 27, 2012

AZREE MAHU PERMUDAHKAN MATEMATIK, GABUNGKAN UNSUR TEMPATAN...

Azree mahu menjadikan matematik mudah difahami, digemari rakyat Terengganu.
Felo Penyelidik Matematik Gunaan di University Cambridge, Azree Shahrel Ahmad Nazri, berkata kepakarannya dalam bidang matematik diharap boleh membantu menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia dan Terengganu meminati bidang itu.

Beliau berharap rakyat Terengganu khususnya, bukan sahaja akan menggemari matematik tetapi paling penting ia menjadi sesuatu yang mudah difahami.

Menurut beliau, sebenarnya elemen matematik sudah hadir dalam kehidupan masyarakat di Pantai Timur dengan memberikan contoh bagaimana di Pasar Payang, Kuala Terengganu,  ada peniaga menggunakan unit iaitu 3 amah bagi RM1.50.

Ini membuktikan elemen matematik sudah meresap di dalam budaya setempat, tegasnya.

“Saya harap suatu hari nanti dapat saya memudahkan matematik ke tahap yang dapat difahami oleh rakyat Terengganu dengan menggabungkan unsur-unsur tempatan,” katanya menjawab soalan saya melalui e-mail.

Blog teganuku, yang memetik laporan Berita Harian 19 Jun lalu menyebut Azree Shahrel, Tutor Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.


Pelantikan di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Anak muda kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Azree yang berasal dari Batu Rakit Terengganu berkata impian beliau adalah membantu anak-anak yatim di Malaysia untuk membuat 'social mobility'.

“Saya mungkin tidak dapat memberi sumbangan dari segi kewangan tetapi dari segi ilmu. Bagi saya hanya ilmu dapat membuat anjakan sosial kepada anak-anak yatim ini…” katanya.

Ditanya mengenai pengkhususnya, felo penyelidikan berusia mengatakan matematik adalah bidang universal. “Tanpa matematik mungkin banyak teknologi terkini tidak dapat dijumpai.

Bidang ini boleh membawa saya ke mana sahaja di mana memerlukan kepakaran kuantitatif,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge, kata beliau.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Ditanya apakah yang akan beliau beliau lakukan selepas ini, Azree mrngatakan beliau akan terus menumpukan kepada penyelidikan.

Azree turut menasihati rakan pelajar agar sentiasa menghargai kehidupan dan kewarasan. Menurutnya hidup hanya sekali dan sewajarnya tidak dipersiakan kehidupan yang dianugerah Allah.

“Sering ditanya kenapa bukan beragama Islam selalu berjaya berbanding orang Islam itu sendiri. Sebenarnya Allah itu Maha Adil.

 “ Orang bukan Islam suka berusaha bersungguh sungguh. Oleh itu Allah membalas usaha mereka didunia dengan kejayaan, “ katanya. Beliau turut menasihati orang muda, khususnya pelajar agar menghormati orang tua dan guru. Paling penting menurutnya, sentiasa merendah diri kepada sesiapa sahaja.

“Manusia ini dinamik. Jika kita menyombong hanya kepada seorang manusia, kita mungkin tidak mengetahui suatu hari nanti orang tersebut akan menjadi orang yang lebih berjaya daripada kita,” tegasnya.


 Bersambung esok

MENTERI ADA KUASA ISYTIHAR 'BERSIH' PERTUBUHAN HARAM...


Peguam Kanan Persekutuan menegaskan semalam, Menteri ada kuasa isytihar 'Bersih' pertubuhan haram.

Jadi Bersih itu haramlah...tidak kiralah Bersih 2.0 atau Bersih 3.0.

Sudah pasti kumpulan yang menyokong Bersih khsuusnya Datuk S. Ambiga yang mahu menjadi hero Bersih tidak akan bersetuju dengan keputusan ini.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempunyai kuasa untuk mengisytihar 'Bersih' sebagai sebuah pertubuhan haram.


Malah menurut Mahkamah Tinggi, tindakan beliau itu tidak bercanggah dengan undang-undang. Hishammuddin membuat keputusan itu bagi memelihara keselamatan negara serta ketenteraman awam dan keputusan beliau itu sah di sisi undang-undang.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata demikian dalam hujahnya pada prosiding semakan semula penghakiman yang difailkan 14 anggota jawatankausa pemandu "Bersih', termasuk Datuk S. Ambiga, terhadap Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Azizan juga berkata Ambiga dan 13 yang lain, yang diwakili Ambiga dalam permohonan itu, tidak mempunyai locus standi, manakala keputusan Menteri Dalam Negeri mengisytihar 'Bersih' sebagai pertubuhan haram pula adalah sesuatu yang wajar serta rasional.

Sementara itu, dalam hujahnya, peguam Tommy Thomas, yang mewakili kesemua pemohon, berkata tindakan Hishammuddin itu bercanggah dengan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

"Menteri berkenaan terkhilaf dalam melaksanakan kuasanya dan oleh itu, keputusan beliau patut dibatalkan," katanya. Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 24 Julai untuk mengumumkan keputusannya.

Pada 28 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan jawatankuasa pemandu itu untuk mendapatkan semakan semula penghakiman. Mereka juga memohon mahkamah mengetepikan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 1 Julai, yang mengisytihar Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, sebagai tidak sah dan terbatal serta tidak terpakai.

Kita tunggu dan sekiranya Mahkamah Tinggi tetap dengan keputusannya, kita mahu lihat apakah mereka yang menyokong Bersih, kebanyakannya kalangan peguam akan menghormati keputusan mahkamah.

Jika tidak, mereka ini bukan sahaja 'peguam' yang tidak menghormati mahkamah tetapi juga mereka yang sengaja mahu melanggar undang-undang negara. Apa hukumannya kepada mereka yang melanggar undang-undang negara?


Malah jika Ambiga turut mempersoalkan keputusan mahkamah kelak, jangan dibiarkan dia berterusan bersikap sebagai 'rakyat yang menentang peraturan dan undang-undang negara'.

Tuesday, June 26, 2012

TEMUBUAL DENGAN RAKYAT MALAYSIA PERTAMA JADI FELO PENYELIDIK MATEMATIK GUNAAN DI CAMBRIDGE...

Azree dan anak lelakinya di sebuah restoran...
Felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom, Azree Shahrel Ahmad Nazri menjawab beberapa soalan dikemukakan oleh saya yang akan disiarkan melalui blog ini esok.

Azree yang menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo berkenaan, memberitahu cita-citanya untuk berbakti kepada negeri Terengganu dan Malaysia amnya melalui kebolehannya.

Jangan lupa ikuti temubual berkenaan yang turut menyentuh mengenai harapan Azree terhadap atlet Terengganu yang akan bertanding pada Sukan Olimpik London 2012, Julai ini.

Saturday, June 23, 2012

APAKAH PILIHAN RAYA DI SINGAPURA LEBIH BERSIH, DEMOKRATIK DARIPADA KITA?

Kita tidak kacau mereka tetapi mereka macam sakit hati dengan kita.

Apakah pilihan raya di Singapura bersih, demokratik dan lebih baik daripada kita?
 
Apakah pembangkang di Singapura mendapat layanan seperti di Malaysia?

Jiran tetangga kita yang sepatutnya membantu kita untuk lebih mengamankan negara sebaliknya bermain 'talam dua muka'.


Kalau mahu sokong pembangkang nyatakan sahaja dengan terus terang...

Berikutan itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra semalam berhubung penglibatan tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi itu dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, beliau telah memanggil Keng Yong ke pejabatnya petang semalam untuk menyampaikan rasa tidak senang kerajaan Malaysia berhubung penyertaan ketiga-tiga diplomatnya dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata, kementerian telah menerima laporan-laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan tentang penglibatan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan.

"Sebagai Menteri Luar Negeri, saya amat memandang serius perkara ini," katanya. Dalam pertemuannya itu, Anifah berkata, beliau menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia mengenai penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar.

"Langkah yang tidak wajar ini sememangnya telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walaupun pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan baik Asean kini kian berkembang," katanya.

 Dalam pertemuannya dengan Ketua-Ketua Perwakilan Asean di ibu negara pada 11 Jun lepas, beliau membangkitkan isu penglibatan diplomat asing dalam perhimpunan Bersih 3.0 di mana penglibatan sedemikian dilihat sebagai aktiviti di luar batasan yang boleh memberi persepsi negatif kepada hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara-negara mereka.

Anifah berkata, beliau turut menegaskan kepada Keng Yong bahawa Kementerian Luar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap diplomat yang didapati telah melanggar batasan norma-norma diplomasi yang terpakai mengikut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 dan undang-undang negara.

Anifah berkata, beliau juga telah berhubung dengan rakan sejawatannya K.Shanmugan bagi memaklumkan mengenai pertemuan dengan Keng Yong itu.

"Semasa perbualan telefon yang positif tersebut, Menteri Luar Negeri Singapura dan saya bersetuju untuk terus menggerakkan usaha-usaha konstruktif bagi mempererat lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Anifah berkata, kementerian memahami tanggungjawab Perwakilan Diplomatik yang ada di Malaysia untuk memantau perkembangan di negara ini dan melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, para diplomat tetap perlu memberi perhatian kepada sensitiviti bagi menghormati negara tuan rumah dan cara bagaimana negara-negara di rantau ini menjamin hubungan baik antara satu sama lain dapat dijaga demi manfaat bersama.

"Saya juga yakin para diplomat tidak perlu terlibat secara langsung dalam perarakan semasa perhimpunan haram tersebut," katanya dipetik Bernama.